www.execinsurance.net/important_ins._facts.htm
Tiada satu pasangan pun yang melangkah ke alam perkahwinan yang tidak mengharapkan mahligai yang dibina kekal hingga ke hujung nyawa. Jika boleh, biarlah maut yang memisahkan.
Namun ada perkahwinan yang dilanda ujian. Panas yang diharap hingga ke petang, rupanya ternyata disiram hujan juga akhirnya. Perkahwinan, sinergi yang menyatukan perbezaan, akhirnya retak dan akhirnya mengundang perceraian.
Perceraian merupakan perkara halal yang amat dibenci oleh Allah. Namun demikian, ada hikmah mengapa ia dibenarkan, malah dibenarkan sehingga tiga kali. Antara hikmahnya ialah memberi ruang untuk memperbaiki kesilapan atau kelemahan dalam perkahwinan. Walau bagaimanapun jika sehingga habis peluang digunakan (untuk rujuk), ia juga rahmat Allah, iaitu sebagai petanda bahawa jodoh tersebut memang tidak lagi serasi. Ia sebagai jalan keluar kepada kemelut yang tidak berkesudahan. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam surah an-Nisa' ayat 130 yang bermaksud, "Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan(keperluan) masing-masing dari limpah kurnia-Nya. Dan Allah amatlah luas limpah kurnia-Nya lagi Maha Bijaksana"
Namun perlu diingatkan, perceraian merupakan jalan terakhir yang harus diambil. Janganlah pasangan sengaja mencari punca atau menyusahkan pasangannya semata-mata untuk merungkaikan ikatan perkahwinan. Malah para suami diajar agar terlebih dahulu memberi teguran kepada isteri andai terlihat perlakuan yang menjurus ke arah nusyuz. Langkah yang boleh diambil ialah menegur, mengasingkan tempat tidur dan barulah memukul tanpa mencederakannya, dengan niat mengajar atau membetulkannya. Namun bukan sewenangnya boleh dipukul, ada cara dan tertibnya - umpamanya tidak memukul di bahagian muka dan tidak pula sehingga mencederakannya.
Beberapa tahun kebelakangan ini, kita dihidangkan dengan paparan statistik yang menunjukkan meningkatnya bilangan perceraian di kalangan pasangan berumah tangga. Apa yang menyedihkan, pasangan yang baru sebulan dua mendirikan rumah tangga telah ke pejabat agama untuk mendapatkan pula surat cerai. Malah tidak lama dulu kita dikejutkan dengan laporan media bahawa Jabatan Agama Islam Selangor telah merekodkan peningkatan jumlah pasangan yang bercerai di usia emas. Begitu juga mengikut statistik, kes permohonan cerai bagi pasangan yang telah berumah tangga di Lembah Kelang adalah di antara 50-70 pasangan sebulan.
Antara punca utama berlaku perceraian ialah masalah kurang pengamalan Islam dalam keluarga, alasan tidak mendapat zuriat, suami/isteri curang, poligami dan masalah ekonomi.
Teringat saya akan beberapa kes yang sampai ke pengetahuan saya sepanjang bertugas. Pernah kami didatangi sepucuk surat daripada seorang suami yang meminta jasa baik kami untuk memberikan nasihat tentang perlakuan isterinya yang curang. Isteri yang dikasihi menyintai orang lain dan sanggup membawa lelaki lain ke rumah sewaktu suami tiada sehingga berlaku zina.
Begitu juga dengan seorang personaliti tv yang pernah saya temubual (kini beliau bekas personaliti). Sewaktu itu beliau bahagia dengan pasangannya, biarpun tidak dikurniakan cahayamata. Mereka berdua datang daripada keluarga yang berada. Mungkin mampu untuk mendapatkan zuriat secara tabung uji. Malangnya ternyata rezeki tidak berpihak kepada mereka.
Namun ketika saya menghubunginya tahun lalu untuk bertanya khabar, saya dikejutkan dengan berita bahawa dia telah pun kembali menyendiri. Rumah tangga yang dibina hampir sepuluh tahun itu berderai juga akhirnya.
Teringat saya harapannya agar suami tidak menyisihkan dirinya biarpun tidak berupaya memberikan zuriat, namun campur tangan keluarga mentua akhirnya mengundang juga perceraian.
Ada satu lagi kes yang amat mengesankan iaitu tentang ketidak sabaran pasangan khasnya suami, dalam menempuh ujian. Setelah berkahwin sekian lama, mereka masih gagal mendapatkan zuriat. Setelah berjumpa doktor pakar, mereka diberitahu bahawa si isteri mengalami masalah ovam yang tidak matang. Doktor meminta mereka bersabar setahun lagi kerana mengikut kajiannya dalam tempoh tersebut insya-Allah mereka akan dikurniakan cahaya mata.
Namun dek kerana ketidak sabaran dan perasaan tidak yakin serta campurtangan keluarga, pasangan ini akhirnya bercerai. Dalam tempoh setahun tersebut, kedua-duanya berkahwin dengan pasangan baru dan mereka sama-sama dikurniakan zuriat. Biarpun masih terselit perasaan kasih antara satu sama lain, namun apakan daya untuk berpatah balik. Yang pasti jodoh mereka hanya setakat itu.
Justeru, dalam melayari kehidupan berumah tangga, seharusnya kesabaran, pergantungan hati dengan Allah serta perasaan tolak ansur mesti dijadikan sandaran. Andai tersurat jodoh tidak berpanjangan, maka sebagaimana ikatan dijalinkan penuh beradab, perpisahan juga haruslah dilakukan dengan beradab dan penuh kebaikan.
Pendidikan Melangkaui Peperiksaan
3 hours ago
5 comments:
isu yg menarik ni. Sekrg ni kes cerai berai dh jd biasa. Kita jarang mahu mencari punca masalah dlm sesebuah rumahtangga lalu berusha mencari penyelesaian, kita cuma suka menuding jari menyalahkan psgan dn menamatkan sebuah perkahwinan utk menyelesaikan masalah. Tanpa sedar kita kdg2 membawa masalah diperkahwinan lama ke rumahtangga yg baru. Setiap pasangan pasti ada kekurangan, tetapi satu lg pasangan pasti mempunyai kelebihan untuk mengimbangi kekrgan psgan yg satu lg. Komunikasi telus yg berterusan juga penting untuk mematangkn sebuah rumahtangga supaya sentiasa aman dn damai.
p/s...semoga rumahtangga saya kekal hingga akhir hayat.
salam ain..
mmg kes cerai skrg sgt tinggi. nak kawin seronok tapi tak isi dengan ilmu perkahwinan. lagi satu hidup tidak menjadikan agama sebagai landasan. kesabaran pun kurang. mmg tak tahan daulat la klu kena uji.
Doa kita biarlah perkahwinan yang dibina ni kekal hingga hujung nyawa dan sentiasa dalam rahmat-Nya
Jika penceraian itu adalah jalan yang terbaik buat mereka berdua, maka redhakan mereka berpisah agar masing-masing tidak menyalahkan satu sama lain. Kita tidak boleh melihat penceraian mereka sebagai satu kesilapan. Tentu ada sebab di sebalik perkara terjadi.
salam kak nik,
ada sesuatu yang mengusik jiwa shelly bila membaca entry akak kali ini.. Ianya sukar diungkapkan dan pastinya jawapan yang paling selesa Hanya Tuhan Yang Tahu...
hmm. Alhamdulillah. bgus kak nik.. artikel yg menarik. betol!.. asas kepda stiap hubungan itu bergantung pada bagaiman hubungnnya dengan Allah. letakkan agama di hadapan. insyaallah. berjaya dunia akhirt. Allahukabar!.. "hehe.. memandai je saya ni.. mcm dah kawen.. hehe.. insyaallah. bakal kawen..=)"
Post a Comment