RSS

Friday, October 12, 2012

Ada dompet takde duit!




Saya masih ingat sewaktu kecil dulu. Untuk membeli sesuatu yang diingini, kena menabung terlebih dahulu. Paling tidak, mesti sudah ada sedikit duit, selebihnya barulah minta mak tambahkan. Tapi apabila tinggal dengan nenek (sebab ayah saya satu ketika tinggal di kawasan baru yang tiada sekolah), kalau teringin sesuatu memang kena berjimat. Tak mahu susahkan nenek, tapi dalam masa yang sama tak sabar tunggu cuti sekolah.

Ada satu ketika, teringin untuk membeli dompet duit. Lalu berjimatlah. Waktu itu dompet jenis berbulu yang comel berwarna-warni menjadi kegilaan. Harganya kalau tak silap dalam 60 sen. Akhirnya setelah berhempas pulas menyimpan, cukuplah duit untuk membelinya. Lalu pergilah ke kedai tersebut untuk membelinya. Yang lucunya, setelah beli baru lah sedar, saya sudah tak ada duit untuk disimpan dalam dompet comel itu. Ringkasnya, beli dompet takde duit, sedangkan tujuan beli dompet untuk letak duit di dalamnya.

Kisah "beli dompet takde duit" ini turut dikongsi oleh kakak saya. Malah saya rasa sebilangan besar daripada kita pernah mengalaminya. Dan bila bercerita kembali, ia terasa lucu dan jadi bahan ketawa. Tapi ia menjadi pengalaman yang cukup berharga betapa kita pernah mengalami zaman tiada!

Perisitwa tersebut sebenarnya turut membentuk sikap saya hari ini, saya tidak pandai untuk berbelanja terutama membeli handbag atau purse yang mahal. Takut pengalaman ada dompet takde duit itu berulang lagi. 

Justeru apabila melihat iklan beg tangan atau dompet mahal yang dimuat naik di fb atau daripada syarikat-syarikat tertentu, selalu juga ingatan lalu ini menerjah minda dan membuahkan pertanyaan nakal, "beli bag mahal-mahal ada duit ke nak letak dalamnya???" hehehe..

Tuesday, October 9, 2012

Ngomel petang hari

Diam tak diam kita dah menghampiri ke penghujung tahun. Dah bulan 10 rupanya. Sekejapnya masa berlalu. Bersawang sudah blog saya nih. Kesibukan berganda (alasan standard) ditambah tak tahu apa yang nak ditulis dan dikongsi. Dengan akaun FB jugak membuatkan keghairahan nak menulis tu macam berkurangan.

Hhmm...pernah tak terfikir, terutama yang dah masuk umur 4 siri...kalaulah Allah ambil nyawa kita jam-jam nih, bagaimana reaksi kita agaknya? Ngeri! Gerun! Takut! Sudah pasti....

Memang kalau  kita renung, kita tafakur, terasa betapa singkatnya kehidupan kita. Jam-jam tu jugak rasa insaf datang kan? Kalau boleh setiap inci kehidupan ini nak diisi dengan segala kebaikan. Dengan segala yang mendapatkan pahala. Pendek kata takmo dah buat dosa..!

Tapi..(ada tapinya!), bila saat iman kita menurun grafnya...saat hati seronok bersuka ria, hilang segala rasa bimbang andai nyawa tercabut! Itulah kita yang bernama manusia. Sebab itu hadis Nabi ada menyebut "cukuplah mati itu sebagai nasihat"...manusianya ini bila disebutkan mati baru dia sentap. Kalau tidak hampeh!

Apapun, marilah kita sama-sama berdoa agar Allah mematikan kita dalam keadaan beriman, mati dengan husnul khatimah. 

Ps: sekadar coretan di petang hari waktu bergelut dengan deadline majalah yang tak pernah henti...kecuali tuan empunya dirinya dead..atau pencen. 

Friday, July 20, 2012

Sahabat






Sabda Rasulullah....'Sahabatku umpama bintang di langit'...
Betapa seorang sahabat itu mewarnai dan mengindahkan kehidupan..ibarat bintang-bintang menghiasi kegelapan malam. Menerangi dan mencantikkan panorama alam. Juga menjadi penunjuk arah...yang takkan membiarkan diri kesesatan.


Sahabat bukan sahaja ikatannya di dunia... tapi hingga ke akhirat. Pasti kita tidak mahu di sana nanti sahabat menjadi seteru dan saling menyalahkan serta menyesali kerana pernah bersahabat di dunia.


Pesan Imam Al-Ghazali pilihlah sahabat yang baik akhlak, soleh, tidak tamak dunia dan benar. 
Kata Saidina Abu Bakar  sahabat itu ialah orang yang sanggup mengambil kesusahan sahabatnya untuk merasa sendiri peritnya dan sanggup berkorban demi sahabatnya. 


Dan dalam bersahabat elakkan berbantah dengan sahabat, sentiasa melebihkan sahabat dari segi material, menjaga rahsia dan aibnya, menegah orang mencela sahabatnya, memberi nasihat, memaafkan dan mendoakannya...


Sahabat...ada kategorinya; umpama makanan yang tidak dapat tidak kita memerlukannya setiap waktu. Adakalanya ubat yang diperlukan ketika sakit dan tidak diperlukan ketika sihat. Dan yang ketiganya umpama penyakit yang tidak diperlukan bahkan perlu dijauhi. 


Ya Allah jadikanlah diriku seorang sahabat yang memahami, baik budi pekerti, berakhlak mulia dan penuh sifat pengasih.
Ya Allah jadikanlah aku sahabat yang baik yang apabila ada disukai, apabila tiada diingati dan ditangisi. 
Ya Allah jadikan aku sahabat yang umpama makanan, yang diperlukan setiap waktu dan menyubur jiwa orang lain.


Maafkan segala kelemahan diri ini, maafkan andai selama ini aku tidak menjadi sahabat yang baik....Doaku mudah-mudahan aku telah menjadi sahabatmu yang baik...

Monday, July 16, 2012

Buat seorang Kak G…




Meninjau laman FB.. tiba-tiba saya terpandang status seorang sahabat lama – seorang kakak, naqibah usrah@ bulatan gembira saya sewaktu di kolej dulu..Kak Ruziah Hamsan yang saya panggil Kak G. Ingatan saya kembali terheret ke zaman bergelar pelajar.  Zaman kenakalan saya.  Nakal tapi terkawal.

Teringat sesosok peribadi bernama Ruziah.  Hitam manis orangnya, lembut peribadinya dan bersifat keibuan.  Saya cukup suka melihat dia yang selalu berjubah hitam berniqob.  Tapi yang saya sangat kagumi sifatnya yang penyayang dan  mengambil berat. Dia selalu sudi ‘memberikan telinganya’ untuk mendengar segala permasalahan dan selalu memberikan nasihat yang berguna.

Dia juga sangat berani, katanya yang perlu ditakutkan hanya Allah sahaja. Justeru, saya tak pelik, apabila dapat tahu dia sekarang ini menjadi seorang bilal memandikan jenazah.   Membaca di wall fb nya, saya tahu dia banyak menyimpan pengajaran daripada usaha fardu kifayahnya. Dan saya berasa rindu untuk mendengar kisah-kisah teladan seperti yang pernah dikongsikan dulu-dulu.

Di kalangan anak-anak usrahnya,  sayalah yang paling manja dan suka ke hulu ke hilir dengannya.  Biliknya selalu menjadi tempat lepak saya. Kalau terasa nak bangun qiam, sudah pasti biliknya jadi tempat tidur saya. Sebab pasti jam 3.30 pagi dia akan bangun dan kejutkan saya untuk bangun bersamanya.

Waktu senggang antara Magrib dan Isyak atau kadang-kala melarut hingga jam 10 malam sebelum mula mentelaah, akan diisi dengan pelbagai cerita teladan.  Mini usrah kami. 

Satu kenangan yang paling tak dapat dilupakan, satu perkara kecil tapi menyentuh hati.  Lengan baju kurung saya waktu dulu tidak bercekak. Dan waktu dulu masih belum ada sarung tangan seperti yang dapat dibeli pada hari ini. Kalau ada pun cuma arm guard untuk pemain badminton, memang tak sesuai dipakai. Teringat waktu tu… kak G dengan selamba menjahit butang ketip pada hujung lengan baju kurung saya dan mengetipkannya.  Small gesture tapi ingatan tersebut  tak pudar dari ingatan saya.

Begitu juga, satu masa kaki saya pernah terseliuh ditimpa cermin pecah (mujur tak luka). Kak G lah yang mengurutnya sehingga baik…dan yang lucunya kaki saya diurut dengan margerin sebab waktu tu tak ada minyak panas.

Saya sangat bersyukur sebenarnya kerana pernah  ditakdirkan menjadi anak usrah kak G… Melaluinya dengan izin Allah banyak yang saya dapat pelajari. Dan yang paling utama, melaluinya saya banyak bermuhasabah diri khususnya dalam bab akhlak.

Biarpun kami terpisah apabila kak G mendirikan rumah tangga  sewaktu bergelar pelajar, ingatan saya terhadapnya tak pernah putus. Dan alhamdulillah silaturrahim yang terputus puluhan tahun, akhirnya kembali tersimpul apabila kami bertemu semula di laman FB.

Terharu saya apabila Kak G masih lagi seperti yang saya kenali dulu…penuh dengan sifat memahami, pengasih, mengambil berat dan yang pasti…dia masih mengenali dan memahami diri saya. Tak perlu saya ungkapkan..dia sudah tahu gelojak perasaan saya. Dan ayat yang menyentuh jiwa saya…bila dia katakan, “Kak G kenal perangai adik manja kak G neh…”

Sungguh… saya terharu dan kagum dengan kekuasaan Allah yang menautkan hati kami. Tak perlu saya ceritakan apa masalah saya. Sebab dalam bercerita secara tak langsung, dia sudah menjawab persoalan yang menghantui diri saya. Dan bila saya akhirnya membuka kisah, seperti biasa nasihat yg amat berguna saya perolehi…Macam dulu-dulu.  Mudah-mudahan Allah menautkan ukhuwah kami hingga ke jannah.

Tuesday, June 19, 2012

Harapan


Harapan...besar perkataan tu sebenarnya. Bernilai infiniti.. Menggambarkan rasa seseorang..kehendaknya. Yang tak pernah ada satu titik masa. Selagi boleh bertahan dia akan bersabar dengan harapannya. Harapan...mungkin kesampaian atau mungkin tidak? Ia berkait dengan takdir.


Teringat lagu Aiman - Cinta Terakhir.
Mungkinkan terputus di tengah jalan, 
Mungkinkan terlerai tanpa ikatan,
Segalanya ketentuan Tuhan....


Dalam hidup, harapan ibarat satu jalur sinar waktu kita dalam kegelapan. Ibarat satu kekuatan saat kita rasa ingin rebah. Something soothing when we feel restless. Sebab itu jangan pernah berhenti berharap, kerana harapan menjadikan kita kuat, sabar dan tidak mengenal erti putus asa. Harapan akan menjadikan kita tak henti berdoa dan meminta daripada Pemilik Segalanya.


Doa dengan yakin pasrah dan tabah...dan pastinya dengan sabar. Yakin seperti firman-NYA.."AKU ADALAH APA YG HAMBAKU SANGKAKAN"  ~ mengajar kita untuk bersangka baik yg DIA TAKKAN SIA-SIAKAN DOA DAN HARAPAN KITA.


Mampukah kita? Mahukah kita...?


Benar! Tak semudah itu untuk kita bertahan dengan harapan yang ada...kerana sebarang kemungkinan pasti akan terjadi...hanya dengan mengamalkan KESEDERHANAAN dan KESABARAN, baru lah kita tidak akan kenal erti putus asa dan kecewa. 


Bersederhana dalam menjalani kehidupan. Bersederhana dalam menyukai atau mengasihi, bersederhana dalam membenci.  Ya SEDERHANA..kerana barulahkita akan mudah redha dengan segala apa yang terjadi. Dan tak kecewa.


Mahal sungguh sebuah pengajaran yang terpaksa dilalui ... tapi sangat-sangat bererti.

Thursday, June 7, 2012

Perkongsian..





"Apa itu TITIAN SIRAT ?"

As-Sirat dari sudut bahasa bermaksud jalan. Manakala dari sudut syariat ianya merupakan satu jambatan yang dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk manusia menyeberanginya menuju ke Syurga.

Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya (Neraka Jahannam); (yang demikian) adalah satu perkara Yang mesti (berlaku) Yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. (Maryam : 71)

Dalil: Tidak akan menyeberangi titian Sirat melainkan orang Mukmin.

Dari Abi Said Al-Khudriy r.a dari Nabi s.a.w : “…Maka orang mukmin akan melaluinya seperti kerdipan mata; (ada yang) seperti kilat dan taufan, seperti burung, seperti kuda dan tunggangan yang terbaik; maka yang berjaya selamat sampai, yang tersiat dihantar, yang terkait berada dalam neraka…” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim

Dari hadith Abi Hurairah dan Huzaifah r.a : “…berjalan bersama mereka amalan mereka dan nabi kamu berada di atas titian sirat dalam keadaan berkata: “Ya Tuhan, selamatkan! Selamatkan!”, sehingga lemahnya amalan hamba-hamba dan sehingga datang seorang lelaki yang tidak mampu berjalan melainkan merangkak” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim

Dari Abi Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, selamatkan, selamatkan!” Riwayat Bukhari

|Fudhal bin iyadh brkata prjalanan di sirat memakn mase 15000 tahun. 5000 tahun menaik,5000 tahun mndatar dn 5000 tahun manaik,ada makhluk yg melitasinya sprt kilat,sprti ANGIN, menunggang binatang korban dn brjaln kaki. ade yg tdk dpt memelpsinya dsebabkn api nrka sntiase mnrik kaki mrka, lalu mrka JATUH ke dlmnya|

Orang pertama melalui sirat ialah Nabi Muhammad SAW yang mengepalai umat lain.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Dan direntangkan sirat di antara dua jurang neraka jahanam, maka akulah Rasul pertama yang melaluinya bersama umatku yang lulus.”

Tahap kelajuan seseorang mukmin meniti titian itu bergantung kepada tahap keimanan dan amal masing-masing. Semakin tinggi keimanan dan amalan, kian laju menuju titian itu. Perjalanan semua manusia di atas Sirat Mustaqim adalah berbagai diantaranya ialah :

Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas kilat.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti tiupan angin.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti burung terbang.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti kelajuan kuda lumba.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas lelaki perkasa.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas binatang peliharaan.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat dalam tempoh sehari semalam.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama satu bulan.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama bertahun-tahun.
Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama 25 ribu tahun.
semua kiraan masa adalah mengikut kiraan masa dunia.

Diantara tips untuk melepasi Titian Sirat Mustaqim

Dalam sebuah hadith panjang riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud

“Dan diletakkan sebuah jambatan di atas neraka jahannam, lalu aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Rasul-rasul berdoa pada hari itu : ‘Ya ALLAH, selamatkan, selamatkan.’ Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan. Pernahkah kalian melihat duri pokok Sa’dan?” Para sahabat menjawab, “pernah, wahai Rasulullah.”

Baginda melanjutkan : “Sesungguhnya pengait itu seperti duri poko Sa’dan, namun hanya ALLAH yang tahu besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia.”
Suasana pada saat itu pastinya mengerikan. Suara teriakan, jeritan meminta tolong, tangisan, dan ketakutan terdengar dari pelbagai arah. Lebih mengerikan suara gemuruh api neraka dari bawah sirat yang siap menelan orang terjatuh ke dalamnya. Tidak henti-henti Rasulullah s.a.w. dan nabi-nabi yang lain termasuk juga malaikat berdoa untuk keselamatan manusia,

“Ya ALLAH, Selamatkan, Selamatkan.”

Setiap muslim wajib menjadikan kepercayaan kepada perkara ini sebagai aqidahnya. Berkenaan dengan sifat titian ini,

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mafhumnya : “Ia ialah sebuah jalan yang sangat licin, kaki sulit sekali berdiri di atasnya.”

(Riwayat Imam Muslim daripada Abu Said Al-Khudri)

Dalam hadith Ahmad daripada Aisyah r.h.a., Rasulullah s.a.w. menyifatkan bahawa sifat titian itu adalah lebih tipis daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.Sirat di akhirat ini wujud hasil daripada titian hidup yang kita pilih selama tinggal di dunia. Oleh sebab itu, siapa yang memilih jalan ALLAH, sambil berpegang teguh dengan syariat Islam, maka sirat di akhirat ini akan mudah dilalui untuk sampai ke syurga idaman.Sebaliknya, siapa yang enggan melalui jalan ALLAH ini, lalu memilih jalan hidup yang bebas daripada aturan halal-haram, maka hari itu sirat yang akan dilaluinya menjadi sangat sempit dan sukar dilalui. Golongan ini akan tergelincir dari titian lalu jatuh melayang-layang ke dalam neraka jahannam selama-lamanya.

Rasulullah s.a.w. pernah menyebut beberapa amalan yang dapat menjamin keselamatan seseorang melintas di atas sirat. Antaranya adalah :

~Banyakkan bersedekah
~Melazimkan diri hadir ke masjid

Beberapa amalan buruk dapat merencatkan kelancaran perjalanan seseorang di atas titian sirat:

1. Membuat tuduhan dusta kepada seorang Mukmin.
Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Anas al-Juhani, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sesiapa yang menjaga seorang Mukmin daripada gangguan munafik, maka ALLAH akan mengutus seorang malaikat untuk menjaga tubuhnya daripada api neraka jahannam, dan sesiapa yang membuat tuduhan (dusta) kepada seorang Mukmin untuk memburukkan namanya, maka ALLAH akan menghentikan langkahnya di atas sirat hingga ia bersedia melepaskan tuduhan tersebut.”

*Termasuk membuat tuduhan dusta ialah menyokong tuduhan tersebut dan menyebarkannya dalam kalangan masyarakat untuk merosakkan nama baik atau reputasi orang yang dituduh. Justeru, berhati-hatilah dalam menapis tiap berita dan cerita yang kita terima. Lebih-lebih lagi bila berkaitan dengan dosa seperti zina dan liwat. Kita memohon agar ALLAH membersihkan umat kita daripada sikap-sikap yang tidak sihat ini.

Thursday, May 31, 2012

HIJAU....




Hijau ialah warna yang biasa dinampak dalam alam semula jadi, khususnya tumbuh-tumbuhan. Kebanyakan tumbuh-tumbuhan berwarna hijau, terutamanya kerana tumbuh-tumbuhan mempunyai klorofil, sejenis sebatian yang terlibat dalam proses fotosintesisSo kira warna hijau lambang parti bulan tu warna alam la ye dan perhimpunan HIJAU di stadium Darul Aman esok meraikan kembali kita kepada fitrah 

Jom...kita layan HIJAU

Tuesday, May 29, 2012

Ukhuwah Fillah..



" Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh " - Saidina Umar Al-Khattab

Hanya yang memiliki sahabat sejati sahaja yang faham nikmat bersahabat.
- "Mengapa sayang saya?"
+ "Takde jawapan"
- "Kalau sayang mesti ada sebab"
+ "Kasih sayang hanya boleh dirasa tapi tak boleh diungkap"
- "Kenapa begitu?"
+ "Sebab saya sayang awak kerana Allah"
- "Saya tak sempurna dan tak baikpun"
+ "Kalau kita ikhlas bersahabat dan berkasih sayang kerana Allah, kita akan terima sahabat kita seadanya dan kita akan saling melengkapi antara satu sama lain."
- "Terima kasih ye awak sebab sayang saya...saya tahu dan saya dapat rasakan kasih sayang itu"

Saya dapati kewujudan kasih sayang itu dan saya akan pegang sungguh-sungguh, sebagaimana kata Saidina Umar al-Khattab. 


Tuesday, May 22, 2012

Entry berangan

Bayangkan kalau dalam kehidupan ini  kita ada butang-butang ajaib yang boleh ditekan untuk:
1. Delete peristiwa yang kita tak suka
2. Pause peristiwa yang kita tak ingin berganjak darinya
3. Rewind peristiwa yang kita ingin lalui semula.
4. Fastforward peristiwa yang sedang dilalui dan kita tak menyukainya..

Bahagiakah hidup kita? Tapi kita takkan ada KENANGAN. 

Saturday, May 19, 2012

Ke makam bonda

Pusara ayah, mak dan Abg Man

Alhamdulillah..setelah sekian lama, akhirnya Allah izinkan juga saya menjejakkan kaki ke Tanah Perkuburan Islam Kuala Kerdau. Tempat bersemadinya jasad arwah mak, ayah dan abang ipar, Abg Man.

Telah 14 tahun arwah mak meninggalkan kami kerana menghidap penyakit barah pankreas. Memang pemergian mak mengejutkan. Kesihatan mak terganggu pada bulan Jun 1998 dan bermula dari situ mak menjalani pelbagai ujian dan pada penghujung Ogos, arwah mak menjalani pembedahan. Setelah dua minggu, kesihatan mak semakin merosot dan mak kembali menghadap Ilahi pada 15 September 1998.

Empat bulan kemudian arwah abang Man menyusul akibat kemalangan jalan raya, pada hari raya ketiga. Motor yang dinaiki arwah berlanggar dengan kereta dan arwah meninggal di tempat kejadian.

Setelah 13 tahun pemergian mak, ayah yang setia bersendirian kembali menghadap Ilahi pada bulan Disember 2011 kerana apendiks pecah dan penyakit jantung yang dihidapinya.

Alhamdulillah, Allah telah meminjamkan untuk saya mak dan ayah sehingga saya telah berkeluarga dan mempunyai anak sendiri. Namun walau setua mana pun kita, kita tetap mendambakan kasih sayang daripada insan yang bergelar ibu dan ayah.

Buat mereka yang telah mendahului kita, sekalung doa dan al-Fatihah yang mampu dihulurkan. Sesungguhnya kalian telah mendahului kami  dan yang pasti kami akan menyusul jejak kalian.

Allahummaghfirlahum warhamhum wa'afihim wa'fu'anhum.

Friday, May 18, 2012

Kuman seberang lautan...

Kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak...

Pepatah yang sering kita dengar. Memang benar. Kita yang memilih untuk melihat yang mana. Kadang kala perkara yang kecil itu lah yang kita nampak sebab hati terluka. Dan luka yang parah membuatkan kita lupa kebaikan yang banyak dicurahkan.

Bagaimana cara mudah untuk kembali merawat diri? Kata ustazah...perlu kesabaran. Kerana sabar itu ganjarannya tak terhitung. Tiada angka.. kalau solat berjemaah pahalanya 27 kali ganda. Kalau solat di Masjid Nabi pahalanya 1000 kali ganda, kalau bersolat di Masjidil Haram pahalanya 100 ribu kali ganda. Semuanya ada angka ada nilaiannya.

Tapi kalau sabar dengan ujian Allah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda!

Mudah-mudahan kita menjadi titis-titis air yang lembut tapi bisa melekukkan batu yang keras, kerana KESABARAN.
Mudah-mudahan 1 keburukan yang terlihat tidak menutup 10 kebaikan yang pernah dihulurkan kepada kita.
Mudah-mudahan kita sentiasa mampu berlapang dada.

Saturday, April 7, 2012

Rindu



Rindu itu adalah,
anugerah dari Allah,
insan yg berhati nurani,
punyai rasa rindu...
(kumpulan hijjaz)

Rindunya saya..pada yang telah pergi tak kembali. Rindu pada arwah mak, arwah ayah. Rindu pd arwah Ayu...

Rindu pada kenangan masa kecil, rindu menjadi seorang kanak-kanak..remaja.. dan rindu suasana kampus..

Owh..rindu jgk pada ahli usrah masa di kampus.. Kak Chik Ruziah, Kak Rosnah, Roslina, Azira, Kak Ati.. ke mana kalian?? Hanya kakcik yg dpt dihubungi..

Dan rindu tak pernah padam untuk Dia...yg sering mengambil berat...yang menerima diri ini seadanya...yg selalu sabar...Dia Segalanya!

Buat yg telah pergi..Allahummaghfirlahum, warhamhum, wa'afihim, wa'fu'anhum...

Friday, April 6, 2012

Maafkan kelemahan ini

"Mana hilangnya rasa syukur itu? Saya memang manusia biasa. Keimanan saya masih lagi pada tahap biasa-biasa. Rupanya. Muhasabah itu memang perlu setiap hari supaya kita lebih sedar diri dan supaya tangga keimanan kita tidak retak di sana sini."

Cukup tertarik dgn bait-bait ayat yang saya kutip dan ingin kongsi bersama daripada adik saya Jat di blognya Undergroud World http://simplicity-portrays-innocence.blogspot.com

Memang benar, kita ini manusia biasa - saya juga manusia biasa. Yang tidak dapat lari daripada beribu kelemahan. Fizikal yang lemah, hati yang lemah, jiwa yang lemah. Dan iman yang lemah..sentiasa pasang surut umpama ombak. Masih banyak sifat mazmumah dalam diri yang perlu disental dengan berus besi keimanan. Sungguh saya perlu mencari kekuatan dan masih mencari kekuatan.

Namun, ketidak sempurnaan itu tetap tidak melucutkan tanggungjawab kita untuk menyampaikan kebenaran. Menyampaikan nasihat. Semoga kata-kata yang baik itu dapat menjadi ingatan untuk diri sendiri dan untuk yang mahu mengambil iktibar.

Janganlah pandang pada siapa yg mengatakan kebenaran itu, tp pandanglah apa yg kebaikan yang disampaikan.

Mudah2an Allah ampuni segala dosa kita...

"Ya Allah, maafkan kelemahan hamba-Mu yang kdgkala tidak mampu melakukan apa yang diucapkan. Janganlah Engkau hukum kami disebabkan kelemahan dan kejahilan kami."

Tuesday, April 3, 2012

Kebenaran...

Qulil haq, walauka namurra - berkata benarlah walaupun pahit...

Kebenaran memang tak selalu indah
Kebenaran ada kalanya sangat menyakitkan
Kebenaran ada kala buat kita tersentap

TAPI....
kebenaran itu lebih bermakna
kebenaran itu akan menyedarkan kita biarpun terpaksa berkeluh kesah sebelum mampu menerima sebuah hakikat
Kebenaran juga lebih indah daripada diulit pembohongan yang lebih menyakitkan.

Hurt me with the truth, don't comfort me with lies.

"Kebenaran dari Tuhanmu janganlah engkau termasuk dari kalangan org yang ragu dan syak." - Al-Baqarah: 147

Thursday, March 22, 2012

Pengorbanan...

Hmmm...lama tak update blog..rasa mcm dah ada unsur2 nak bersawang.

Walaupun belum masuk bulan Zulhijjah lagi.. tapi tak salah rasanya kalau kita bercerita tentang pengorbanan. Kan???

Apa maksud pengorbanan? Untuk apa kita berkorban? Tahap mana perlu berkorban? Berkorban sehingga kita terkorban? Hmmmmm memang subjektif kan?

Pengorbanan yang dibuat di jalan Allah, memang sangat berbaloi kerana penghujungnya kita mengharapkan redha Allah.

Apa pun dalam hidup, kita perlu berkorban..berkorban harta, tenaga malah kadang kala berkorban perasaan juga nyawa! Tapi awas.. jangan sekali-kali mengorbankan akidah, iman dan Islam, tak berbaloi.

Berkorban demi yang tersayang, walaupun sakit tetap indah. Mudah2an pengorbanan yang dilakukan diiring keikhlasan, walaupun sukar. Dan terakhirnya berkorbanlah di jalan Allah kerana itulah sebaik2 pengorbanan.

Korbankan keselesaan dan keseronokan untuk beribadah. Moga kesusahan yg ditanggung sementara memberi manfaat di sana!

Wednesday, February 22, 2012

Maafkanlah...

Maaf...hanya dua suku kata, tapi memberi seribu makna. Maaf boleh menghilangkan segala rasa terbuku di dada, segala kesakitan yang dirasa.

Maafkanlah..
kerana dengan memaafkan, hati tidak akan sakit dan tidak berpenyakit. Maafkanlah, kerana dengan maaf hidup jadi aman dan tenteram.

Maafkanlah kerana memaafkan ertinya kita akur dengan teguran Tuhan dan redha dengan ujian.

Maafkanlah kerana memaafkan bererti kita sudah berjaya mengaudit hati.. membuang mazmumah dan menyubur mahmudah..

Monday, February 20, 2012

Buat diriku yang lupa...

Awal pagi yang mandom diselangi hujan… Lihat pokok subur . Daun basah, air hujan menitis…Syahdu. Subhanallah..terima kasih ya Allah kerana masih meminjamkan nyawa.

Buka FB, tertarik melihat deretan status sahabat-sahabat FB

“Sometimes giving someone a second chance is like giving them an extra bullet for their gun, because they missed you the first time.” Hmm ada benarnya, bak kata peribahasa, sekali jalan kena dua kali jalan tahu..serik.

Namun tersentap melihat status kedua:

“Being hurt is something you can not stop from happening, but being miserable is always your choice.” – memang benar dilukai bukan perkara yang kita boleh elakkan tapi bagaimana kita pilih untuk mengatasinya..are we going to wallow in hurt and misery forever?

Dan lebih menggegar perasaan melihat status ketiga–

Let's try to love, forgive & be humble for the sake of Allah• •You can't love if you can't forgive. • You can't forgive if you can't accept mistakes. • You can't accept mistakes if you can't be humble - Meresap terus ke relung rasa..lemahnya diri sebagai seorang hamba mengekang sebuah rasa

Benarlah sebagaimana sabda Nabi saw: “Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.” (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Jauhnya lagi diri dari akhlak terpuji Ya Allah, bagaimanakah layak untuk meraih kasih Allah dan Rasul kalau diri masih lagi terbelenggu dengan nafsu ammarah…

Permudahkanlah hamba-hambaMu bermusahabah dan berlapang dada dengan setiap musibah yang menimpa!

Saturday, February 18, 2012

Masa yang sesuai,...bila?



Dialog 1: “Abang bukan taknak bagitau Mah, tapi belum waktu yang sesuai. Tengok, bila Mah tahu abang kawin lain, inilah jadinya!”

Dialog 2: “ I bukan nak sorok dari you, tapi I tak sampai hati nak bagitahu you, I tunggu masa yang sesuai supaya you boleh bersedia…”

Dialog 3: “Saya mintak maaf, memang saya nak bagitau tapi takde masa yang sesuai.”

Melihat 3 dialog di atas, apa yang dapat dirumuskan?
Ayat pengecut?
Ayat alasan?
Ayat yang sangat hipokrit?
Ayat melepaskan diri?
Ayat menuduh?
Ayat ikhlas untuk menjaga hati?

Apapun alasannya, pihak kedua tetap menanggung ‘akibatnya’. Bilakah masa yang sesuai sebenarnya? Adakah setelah ‘bocor’ rahsia maka itulah waktu yang sesuai?

Atau masa yang sesuai itu takkan pernah tiba selagi rahsia tersimpan kemas? Atau masa yang sesuai itu apabila nyawa dan jasad sudah bercerai?

Kadang kala, merahsiakan itu mungkin lebih baik. Tapi adilkah buat pihak yang satu lagi? Bukankah lebih baik jika, ‘ tangan yang mencincang bahu yang menggalas’, ‘usah baling batu sembunyi tangan’ dan ‘berani buat berani tanggung'. Jom kita fikir-fikirkan!

Thursday, February 16, 2012

Terkilan!


kredit http://www.myemospace.com/Broken-heart-11.html

Terkilan..kalau ada orang yang menyebut nak makan sesuatu, kita usaha mencarinya tak dapat. Lepas tu tak lama kemudian orang tu meninggal, kita akan rasa TERKILAN sebab tak dapat tunaikan permintaannya.

Terkilan… begitu jugak kalau orang berhajat sgt2 nak jumpa kita tp kita punyalah sibuk, tak dan nak menziarahi dia, tiba2 dapat berita orang tu kembali ke rahmatullah… kita jugak akan rasa TERKILAN sebab tak dapat tunaikan hajat dia.

Memang banyak situasi yang boleh dikaitkan dengan TERKILAN, terutama bila hajat tak kesampaian.

Tapi ada jugak perkara lain membuatkan kita terkilan, contohnya apabila sahabat yang kita rasa sgt baik dengan kita (perkataan sahabat itu juga sudah menunjukkan betapa akrab hubungan, bukan kawan atau teman) berahsia dengan kita, walhal banyak perkara dikongsi sebelum ini..dan kita mendapat tahu dari orang lain. Itu juga buatkan kita rasa sangat TERKILAN.

Mengapa kita rasa terkilan? Sebab selagi kita bernama manusia kita berperasaan. Sedih, marah, gembira, takut, cemas dan serba segala.

Tapi bak kata Prof. Dr. Muhaya, belajarlah memaafkan…dan maaf itu perkara hati, kalau sukar memaafkan, auditlah hati –

Mudah2an hati akan terubat!

Tuesday, February 14, 2012

Antara anjing dan ajnabi.

kredit -http://www.kumpulangambar.com

Awal Februari ini, heboh dunia hiburan apabila Adira AF8 dikatakan bergambar memeluk anjing. Ada yang mengatakan mungkin patung anjing, mungkin seekor anjing. Bagaimanapun isu tersebut akhirnya terjawab apabila tuan punya badan mengakui gambar peribadi tersebut memang beliau memeluk anjing sewaktu berkunjung ke rumah ibu mertua kakaknya yang berbangsa Cina dan beliau memohon maaf kepada semua.

Sememangnya, orang Melayu Malaysia sangat sensitif apabila melibatkan haiwan yang dikategorikan sebagai najis mughallazah dalam Mazhab Shafie ini.Cuma dalam keghairahan sifat sensitif itu, ramai yang terlupa menyentuh anjing tidaklah haram dan berdosa…cukup dengan samak (orang kita suka guna samak sedangkan istilah yang betul ialah sertu. Samak – membersihkan kulit binatang) jika salah satu sama ada kita atau anjing tersebut dalam keadaan basah. Sebaliknya jika bersentuh sama-sama kering, tidak wajib disertu.

Walaupun demikian, kita tidak boleh mengambil mudah menyentuh anjing tanpa keperluan. Apatah lagi untuk membelanya sebagai binatang kesayangan ( ulama berbeza pendapat mengenai hukum membela anjing, haram/makruh– kecuali untuk tujuan menjaga tanaman, ternakan dan berburu sebagaimana yang disebut dalam hadis, “ Sesiapa mengambil anjing (sebagai peliharaan) kecuali anjing menjaga tanaman atau anjing menjaga ternakan atau anjing berburu maka setiap hari pahalanya berkurang satu qiraat.( Dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 1337. Rujuk juga Hadis 40 al-Imam al-Nawawi – hadis no: 9.) [Shahih Muslim – no: 1574].

Begitulah sensitifnya apabila melibatkan haiwan ini. Malangnya, tidak ramai yang peka deria rasanya apabila melihat lelaki wanita yang bukan mahram berpegang tangan! Malah perkara tersebut dianggap ‘biasa’ atau lumrah.

Sedangkan dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Majah menyatakan bahawa “Bergomolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja)dengan wanita yang bukan mahram.”

Menyentuh anjing/babi boleh disertu dan tidak berdosa, tetapi bersentuhan (dengan sengaja & apatah lagi bertujuan syahwat) dengan bukan mahram @ ajnabi sah-sah mengundang dosa. Tidak boleh disertu dengan air dan tanah, tapi wajib bertaubat.

Bukan tujuan untuk mengatakan tak mengapa pegang anjing, tetapi sekadar mengajak kita berfikir cara kita menilai perkara dosa dan pahala. Adakah disebabkan sesuatu perkara dosa itu sudah ‘biasa’ dan ‘diterima’ maka ia jadi halal?

Tepuk dada, tanya iman!

Monday, February 13, 2012

Kisah si Boody

Kali ni saya nak berkongsi cerita ttg Boody, 'anak angkat' kakak saya, CheNa. Putih si dia neh... ada sikit blonde. Anak kacukan la katakan.

Dia diambil waktu masih kecil, masih dlm tempoh susuan. Mula tu kakak saya tak berapa nak jugak, tp bila tengok kecomelannya ditambah kakak pun dah jadi suri rumah sepenuh masa, maka ambillah jugak. Sekarang ni dah lincah.

Dari waktu ambil sampai skrg, mmg jenis yang berpenyakitlah. Tp dalam duk sakit-sakit tu srkg ni dah membesar dengan gebunya.

Kebiasaan perangai anak manja, kurang sket berdikari. Tapi kemanjaan dia tu memikat hati semua orang. Macam-macam kerenah dia. Dan besar panjang tp masih lagi berperangai mcm si kecik. Suka tidur dlm kotak. Lagi kecik kotak lagi suka dia 'memperosokkan' dirinya.

Kalau rasa panas tidur atas lantai dalam bilik berpenghawa dingin. Rasa nak selesa naik atas katil, kalau tak tahan sejuk masuk kotak! Mmg mengada sungguh.

Kalau makan pulak nak kena kecik2kan makanan dia (eg:ayam) sebab giginya ada masalah. Salah makan sikit cirit-birit.

Yang paling lucu pertama kali naik kereta, dia keje tidur sampai meleleh air liur..tak tahan pening. Tapi sekarang dah biasa dah..

Walau dah besar pajang, penakutnya ya amat. Bergaduh sampai terkencing terberak. Anak manjalah katakan! Tak pandai nak bela diri. Ni lah dia si Boody.

-



-


-


-



-



-

Kucing jantan, yg kadang kala buatkan kami terlupa dia ni seekor kucing!hehehe.





Thursday, February 9, 2012

Alahai anak...macam-macam kerenah!

Diam tak diam sudah hampir 2 bulan sesi persekolahan berlangsung. Bermakna hampir dua bulan jugaklah si Efa memasuki alam persekolahan. Sudah lama sebenarnya nak bercerita pasal si kenit nih..tapi tak sempat nak ambil gambar dia.

Pertamanya, memory card kamera saya telah 'diculik' oleh abah Efa dan dia terlupa di mana diletaknya. Dan kedua pulak, waktu pagi menjadi waktu yang sibuk dan serta kelam kabut. Kelam kabut melayan kerenah anak dara sunti berdua ini, sehinga tak sempat nak ambil gambar mereka berdua.

Iman dengan kerenahnya dan si Efa pulak dengan kerenahnya. Nasib baiklah uminya ni boleh tahan sabar! Walaupun rasa dah keluar asap kot telinga sebab geram. Agaknya dah tua2 ni (okey okey mmg dah tua..) Allah beri kesabaran lebih sikit kot.

Manalah tak nak meradang, pagi2 nak kejut kedua2nya makan masa dekat 15 minit. Si Iman bila dah keluar bilik air, mood dia pun lebih ok. Tapi si Efa pulak, mulalah serba tak kena. Hendak pulak kalau malamnya tido lewat. (Sejak sekolah mata Efa macam dah kena kontrol, pukul 9.30 sudah layu!)

Mesti ada yang tak kena, mandi nak air panas..bising rambut dia kata ikatannya senget (skrg dah kena potong pendek), tudung dia tak selesa..pendek kata semua serba tak kena sampailah van sekolah tiba depan pintu.

Kata Iman hari pertama sekolah, jam 12 sudah ajak kakaknya balik (waktu sekolah habis jam 3.30 ptg) sebab dia sudah penat. Seminggu sekolah, cikgu kelas sudah komplen kerana homework yang diberikan tak siap. Iman yang menjadi penolong ketua pengawas bengang kerana cikgu bertanya padanya.

Kata Iman lagi itu belum lagi bila Efa nak ke tandas. Dia akan mencari kakaknya di kelas tahun 6 untuk menemankan dia atau menjerit memanggil nama Iman sekuat hati sewaktu habis sekolah kerana bimbang si kakak meninggalkan dia seorang diri!

Memang tak tahan nak tergelak dengar Iman bercerita. Bengang dia, katanya malu namanya dijerit satu sekolah. Tapi Iman memang kakak yang bertanggungjawab dengan adiknya itu. Setiap kali waktu makan mesti melayan kerenah si adik, malah tiap2 malam dialah yang menyusun buku si adik (Efa selalu kena denda kalau dia sendiri yg susun buku sbb ada saja buku yg tertinggal).

Efa memang terlebih manja sedikit. Dan dia tak suka sangat menulis. Sebab itu homework dia ada sahaja yang tak siap awal2 dulu. Tapi sekarang sudah agak ok. Memang selalu apabila balik dari pejabat, saya akan paksa dia siapkan homeworknya.

Cuma yang tak tahannya sambil buat, mulutnya sama naik bisingnya. Kalau tak sibuk bercerita hal kawan-kawan sekolahnya, dia sibuk berleter. Cikgu ni kalau ye pun janganlah bagi budak2 banyak homework...penat tau. Kenapalah, kena tulis banyak2...dan mcm2lah lagi yang dibisingkannya.

Apapun setelah hampir dua bulan bersekolah, dia semakin serasi walaupun masih ada kerenah2 yg boleh membuatkan darah kita menyirap. Sabar jelah..

Melihat kerenah anak-anak, saya 'angkat topi' dengan guru-guru mereka. Tentu sahaja mereka lebih 'pening' menangani kerenah anak didik yang bukan seorang dua dan datang dari pelbagai latar yang berbeza.

Terima kasih buat mereka dan semoga anak2 amanah Allah ini membesar menjadi insan solehah penyejuk mata.


Gambar Mood tengah ok!

Monday, January 30, 2012

Itulah pengalaman hidup, anak!

Kehidupan adalah sebuah universiti. Dari kehidupan pelbagai perkara boleh dipelajari. Kita mungkin mampu belajar sesuatu perkara itu secara teorinya sahaja di sekolah atau pusat pengajian, namun pengalaman yang dirasai itulah pelajaran atau guru sebenar dalam kehidupan.

Nikmat kejayaan dan pahit kegagalan, hanya mampu dirasai setelah kita melaluinya sendiri. 27 Januari, tarikh yang mendebarkan bagi semua pelajar yang telah menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama di Selangor. Tarikh pengumuman keputusan peperiksaan tersebut.

Bagi yang telah berusaha bersungguh-sungguh, pasti tersenyum lebar melihat keputusan 'mumtaz' yang tercatat di slip peperiksaan.

Saya sebenarnya agak terkejut sewaktu disapa oleh guru sekolah Along melalui fb. Katanya, along kelihatan sangat 'down'. Saya waktu itu masih tidak tahu rupa-rupanya hari tersebut hari pengumuman keputusan. Dalam hati sudah berdetap, mungkin keputusan along tidak seperti yang diharapnya. Setelah berbual seketika, barulah saya tahu along cuma mendapat pangkat Jayyid Jiddan.

Saya dapat merasakan kesedihan anak sulung saya itu. Memang dia sudah berusaha bersungguh-sungguh dan menaruh harapan yang tinggi untuk mendapat pangkat mumtaz. Dan tentu sahaja tambah menyedihkan, apabila tiga orang sahabahat baiknya mendapat pangkat mumtaz. Dapat saya bayangkan hancurnya hati along.

Lalu malam tersebut saya bergegas ke asramanya. Dalam tergesa-gesa balik dari pejabat, saya cuma sempat menyediakan sandwich telur kegemaran along. Selepas solat Magrib, kami sekeluarga bergerak ke Ampang. Pada guru asramanya saya telah kirimkan mesej meminta izin melawatnya, biarpun waktu tersebut bukan masa melawat. Naluri keibuan saya dapat merasakan beban perasaan yang ditanggung olehnya.

Sebaik saja dipanggil turun, along terus berlari mendapatkan saya dan memeluk saya seeratnya. Basah bahu saya dengan airmatanya. Luluh hati saya mendengar tangisannya. Namun saya tetap tiupkan semangat kepadanya. Saya nyatakan saya dan abahnya bangga dengan keputusan yang diperolehinya. Saya tahu dia sudah berusaha sedaya upaya, namun itu rezeki yang tersurat untuknya.

Saya ulang padanya, bukankah umi pernah kata, along dah berusaha sehabis daya. Apa juga keputusannya kena redha. Alhamdulillah, setelah hampir setengah jam meluahkan perasaan yang terbuku, akhirnya along tenang.

Saya dan abahnya terus menasihatinya agar melupakan keputusan yang diperolehi, dan terus berusaha sebaiknya untuk peperiksaan SPM yang bakal diduduki penghujung tahun ini.

Pada Along, ingatlah...kadang kala apa yang terbaik kita harapkan, bukan yang terbaik untuk kita sebenarnya. Along tak perlu malu dengan umi, tapi malulah dengan Allah dan redhalah dengan ketentuan Allah. Umi bangga kalau along dapat keputusan cemerlang, tapi umi lebih bangga jika along menjadi anak yang solehah dan hamba Allah yang beriman. Cemerlang di dunia, belum menjamin cemerlang di akhirat. Semoga Along terus tabah dan belajar dari pengalaman. Dan doa umi sentiasa mengiringi kehidupan Along.

Tuesday, January 10, 2012

Berpindah...

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang oleh-Nya untuk terus bernafas di bumi pinjaman-Nya ini.

Alhamdulillah..1 Januari 2012, saya berpindah ke rumah sewa baru. Setelah agak lama mencari akhirnya ditemukan juga sebuah rumah yang selesa, dalam bajet mampu. Syukur atas kurniaan Allah.

Sebenarnya setiap hari kita dalam proses perpindahan..berpindah dari setiap minit ke minit, jam ke jam, hari ke hari. Dan sedar atau tidak..kita semakin berhijrah dari alam fana ke alam baqa! Suka atau tidak perpindahan itu tetap akan terjadi.

Penghujung tahun 2011 menyaksikan peristiwa sedih dalam kehidupan saya. Adat bergelar manusia, hidup berjodoh dengan mati. Seawal Disember 2011, saya kehilangan ayahanda tercinta dan penutup tahun, seorang sahabat blogger yang sempat dua kali saya bertemu mata (tapi sering berhubung di talian..) Ayu, kembali ke alam baqa.

Ternyata pertemuan Oktober lalu menjadi pertemuan terakhir kami..Masih teringat kata-kata akhir Ayu, "tak taulah bila kita jumpa lagi kak...agaknya tak jumpa dah!" Sedih bila diingatkan kembali..Moga Allah memberikan rahmat buat Ayu!

Dan semalam, saya dikejutkan lagi berita, kenalan yang saya panggil ibu (jiran kakak angkat saya di Nilai) kematian suami tercinta. Begitu mengejut pemergiannya.

Betapa, terasa sungguh bahawa tiada daya dan upaya kita yang bergelar manusia. Nyawa yang dipinjamkan, bila-bila masa boleh ditarik balik oleh Allah. Dan setiap hari kita semakin meniti ke detik tersebut...

Cukupkah persiapan kita untuk kembali menghadap-Nya? Apa yang bakal kita jawap di hadapan-Nya nanti? Bolehkah kita menyediakan alasan-alasan sebagaimana kita sering beralasan kini? Atau mantapkan jawapan yang akan kita berikan nanti?

Mudah-mudahan cukuplah mati itu sebagai satu nasihat untuk kita semua memperbaiki diri dan terus mencari redha Allah..