RSS

Wednesday, December 30, 2009

Benarkah Anda Ingin Suami Soleh?

Apabila ditanya anak gadis yang sedang mencari calon suami, pasti antara kriteria utama dan teratas ialah inginkan suami soleh. Malah bagi yang telah berkahwin juga, jika ditanya kepada isteri apakah harapan terhadap pasangan, pasti jawapannya ingin suami kekal dengan sifat solehnya.

Justeru, banyaklah petua yang diberikan untuk mendapat suami soleh. Antaranya wanita mestilah menjadikan dirinya solehah terlebih dahulu, barulah akan dikurniakan suami yang soleh. Ada kebenarannya, sebagaimana yang dijanjikan Allah dalam surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud,

“Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka itu bersih daripada (tuduhan) yang dikatakan oleh orang (yang jahat), mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan dan kurniaan yang mulia.”

Ada juga yang memberi petua kalau inginkan suami soleh, usah membazir makanan. Malah kalau ada makanan yang tidak habis sewaktu makan bersama-sama sahabat, jadilah orang yang menghabiskan makanan tersebut. Mudah-mudahan dapat suami yang soleh. Paling tidak pun dapatlah suami yang bernama Salleh!

Teringat saya satu artikel yang pernah saya baca dalam sebuah majalah bertajuk Suami Saya Lelaki Soleh? Antara lain artikel tersebut menyatakan, seorang suami soleh ialah suami yang bukan hanya menjadi milik mutlak keluarganya tetapi masa dan tenaganya juga adalah untuk agamanya. Dirinya tidak akan berkepit 24 jam dengan isteri tetapi dia akan keluar untuk menjalankan tanggungjawab terhadap agamanya umpamanya keluar untuk berdakwah atau menyertai gerakan Islam.

Suami soleh juga adalah seorang yang mengambil berat tentang ibunya. Mengasihi ibunya dan taat kepada ibunya melebihi kasih sayangnya kepada isterinya. Ini kerana syurga suami ialah dengan keredhaan ibunya, manakala syurga isteri pula ialah dengan keredhaan suaminya.

Kalau direnung-renung kembali, rasa saya ramai yang bersetuju bahawa kebiasaannya hubungan menantu perempuan dengan ibu mertua rata-rata boleh dikategorikan sebagai baik. Jarang ada yang bersifat cemerlang. Bukanlah sesuatu yang menghairankan, kerana ibu mertua datang setelah kita dewasa dan berkahwin dengan suami. Hubungan masih baru berbanding dengan ibu yang melahirkan kita, yang sememangnya ada hubungan perasaan dengan kita. Pun begitu, tidak bermakna rasa hormat dan kasih terhadap ibu mertua boleh diambil mudah.

Bagaimanapun, ramai juga di kalangan kita, khususnya yang sudah berkahwin kadang kala ‘makan hati’ dengan suami yang melebihkan ibu bapa atau keluarganya berbanding dengan diri si isteri atau keluarganya. (Saya tahu bukan semua!)

Contoh mudah, apabila tiba hari raya (khasnya pasangan berlainan negeri). Mulalah ada sistem undian untuk menentukan giliran. Kalau ‘loteri’ siapa yang naik, senyum lebarlah dia. Takdirnya kalau si suami gunakan kuasa ‘vetonya’ untuk pulang ke kampungnya, maka akan adalah yang mogok dan panjang muncungnya hingga boleh dibuat penyangkut baju.

Itu baru satu contoh yang mudah, belum lagi bab duit ringgit, penjagaan dan sebagainya. Justeru, kalau sudah begitu, di manakah letaknya hasrat awal kita sewaktu dalam proses mencari calon dahulu (juga renungan untuk yang sedang mencari calon suami) yang inginkan suami soleh? Apakah benar kita mahukan suami soleh? Jika jawapan masih ‘ya’ maka seharusnya kita kena kembali bermuhasabah.

Memanglah tidak adil kalau penilaian hanya dibuat kepada kaum wanita sahaja. Sebenarnya suami sangat memainkan peranan penting dalam mendidik isteri. Suami yang soleh mesti bijak menangani kerenah ibu dan isteri agar kedua-duanya tidak terasa hati. Ibu insan yang melahirkan, tetapi isteri adalah ‘rakan kongsi’ penting. Isteri tempat berkongsi suka-duka, susah-senang. Isteri juga perawat, tukang masak dan pengasuh. Malah dalam situasi hari ini, isteri juga penyumbang ekonomi penting dalam rumah tangga. Sewajarnyalah suami bersifat memahami dan bertolak ansur dengan isteri. Hanya suami yang beriman dan bijaksana dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna.

Jangan sebab kita, isteri jatuh ke lubuk kebinasaan. Juga jangan kerana isteri, lelaki menjadi seperti kisah Alaqamah! Bagaimana mengatasinya? Tepuk dada tanya iman, carilah ilmu!

Saturday, December 26, 2009

Syukur Ada Mereka!

Setiap pagi saya pasti dapat melihat dia tekun menjalankan kerjanya. Tanpa menghiraukan orang sekeliling, tugas yang diamanahkan dilaksanakan sebaik mungkin. Kalau ada yang lalu di tepinya, dia akan berhenti seketika. Mungkin takut penyapunya terkena kaki orang yang lalu berhampiran. Ataupun sekadar untuk menghulur senyum bagi yang sudi menegurnya. Dia yang saya maksudkan seorang tukang sapu yang bekerja dengan Alam Flora.

Saya sempat berkenalan dengan dia. Namanya Muslimah. Orang seberang. Datang ke sini demi menyara hidup. Dengan pendapatan yang tak seberapa, cukup untuknya menyewa rumah kecil, makan minum dan dihantar sedikit ke kampung halaman. Memang ada kala perlu mengikat perut. Namun dia bersyukur, kerana dia tidak perlu menadah tangan memohon simpati orang lain.

Yang saya ingin singkap bukan kisah hidupnya, tapi perihal kehadirannya. Pernahkah kita semua terfikir, betapa pentingnya kehadiran seseorang seumpamanya. Atau golongan seumpamanya yang bekerja mencuci tandas awam atau mengutip sampah setiap hari dari setiap tong sampah di hadapan rumah kita?

Cuba bayangkan kalaulah tiada golongan seperti mereka ini, bagaimana agaknya kehidupan kita? Tentu tak lalu kita nak ‘menjenguk’ ke tandas awam. Atau kaki lima jalan (sekurang-kurangnya kaki lima Jalan Pahang Barat dekat pejabat saya) pasti berlumus dengan sampah atau daun-daun kayu yang gugur. Menyakitkan pandangan mata pastinya.

Benar mereka makan gaji, tapi kalau tiada orang seperti mereka, sudah pasti memberi kesan yang besar dalam kehidupan kita.

Mungkin ada yang tidak pernah terfikirpun mengenai golongan ini. Sebab kita tidak pernah merasa kewujudan mereka. Ibarat melukut di tepi gantang, ada tak menambah, tiada tak berkurang.

Mendekati kak Muslimah, saya sempat juga bertanya, tidak kisahkah dia dengan pandangan orang ramai terhadap kerjanya. Jawapannya, dia tidak kisah kerana baginya dia mencari rezeki yang halal. Dia bangga kerana tugasnya memastikan kebersihan kawasan yang diamanahkan kepadanya. Memang ada yang memandang serong, tapi ramai juga yang rajin menegur. Malah ada yang bermurah hati memberikan sebungkus air dan makanan.

Dari ceritanya, dapat saya rasakan kegembiraannya apabila ada yang sudi berhenti menegur atau bertanya khabar. Mudah kata, gembira kehadirannya disedari. Bukan meminta untuk dipuji atau diberi sedekah, cukup kalau ada yang menegur sebagai tanda ‘acknowledge’.

Teringat lebih 15 tahun yang lalu, sewaktu saya masih bergelar pelajar dan sedang menjalani praktikal. Setiap pagi saya akan lalu di tepi tong sampah besar di Jalan Hose. Dan setiap pagi saya akan terserempak dengan seorang pakcik yang dalam lingkungan usia 50-an, sedang menyapu sampah di kawasan tersebut. Pada mulanya teragak-agak juga untuk menegurnya. Sekadar lalu dan melemparkan senyuman sahaja. Namun satu hari, saya memberanikan diri menghulur salam dan bertanya khabar. Tersentuh hati saya melihat keceriaan yang terpancar di wajahnya. Gembira benar dia kerana ada orang sudi menegurnya. Langsung setiap pagi apabila ternampak saya, dia akan menghulurkan salam dan tersenyum manis.

Memang benar, dalam kita mendidik anak-anak, kita sering mengingatkan mereka agar rajin belajar dan mendapat keputusan yang baik. Kita ingin mereka menjawat jawatan yang baik atau menjadi golongan profesional, teknokrat, korporat. Namun bukan semua bernasib baik. Ada yang suatu hari nanti terpaksa menjadi ‘kuli’. Justeru, jangan lupa mengajar anak-anak kita menghormati golongan sebegini. Sebab di sebalik ‘lekehnya’ pekerjaan mereka, sumbangan mereka sangat besar.

Ramai yang bersungut, anak-anak remaja sekarang kurang adab. Tapi adakah salah mereka seratus peratus? Tidakkah orang dewasa yang mendidik mereka juga bersalah? Sejauh mana kita yang dewasa ini beradab, terutama dengan golongan yang dianggap ‘kuli’ ini?

Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Rugilah kita kalau tidak mengambil iktibar daripada setiap kejadian.

Teringat pesanan yang pernah diberikan oleh pengetua asrama semasa saya bersekolah menengah dahulu. Katanya, adik-adik kena berterima kasih dengan makcik-makcik tukang sapu yang memastikan persekitaran adik-adik bersih. Kena berterima kasih dengan pakcik-pakcik pemandu bas yang setiap hari menghantar/ambil adik-adik ke/dari sekolah. Adik-adik kena berterima kasih kepada kakak-kakak kantin yang memasak makanan untuk adik-adik tiga kali sehari. Kalau adik berjaya nanti, mereka juga penyumbang kepada kejayaan adik-adik!

Benar, berkat bantuan mereka, hari ini saya berada di mana saya berada sekarang. Dan tidak lupa juga, daripada seorang makcik tukang sapu saya sempat menimba ilmu menjahit sulam tulang belut, walaupun tak pernah lagi mencubanya kini!

Monday, December 21, 2009

Apabila TV Rosak…

“Alah..tv dah rosak. Tak boleh dah nak tengok tv. Bosanlah macam ni,” rungut si adik.

“Baguslah takde tv. Kurang maksiat,” jawab si kakak pula.

Saya yang mendengar perbualan mereka berdua tersenyum sendiri.

“Betul ke? Boleh ke macam tu? Adik tak fahamlah,” tanya si adik yang berumur 10 tahun.

“Iyelah, kamu tengok tv tu ada yang jadi maksiat mata,” jawab si kakak pula.

“Umi, betul ke? Adik tak fahamlah,” kata si adik lagi.

“Iyelah, contohnya adik tengok orang perempuan tak pakai tudung, pakai seksi nampak aurat, tu maksiat matalah. Atau orang perempuan menyanyi tak pakai tudung, menari-nari. Itu boleh mendatangkan maksiat mata bagi kita yang melihat,” jawab saya.

“Betul dik. Lagi satu boleh jadi berdosa juga kalau sudah mengadap tv, solat lambat. Suruh solat bertangguh sebab nak tengok rancangan tv dulu. Tu kan tak bagus!” celah si kakak pula.

Si adik terdiam seketika. Tiba-tiba dia bersuara, “Umi kalau macam tu artis berdosalah ye? Sebab dia tak tutup aurat keluar tv? Menyanyi menari, kira buat maksiatlah tu?”

Rupa-rupanya diamnya dia, sedang mencerna apa yang diberitahu kepadanya sebentar tadi.

Namun bagi saya yang mendengar soalan si adik, terkedu seketika untuk menjawab. Bagaimana untuk kita menjawab sesuatu yang selama ini perbuatan maksiat tapi seperti sudah dipandang ‘tidak apa’ oleh masyarakat?

Berlakon yang memaparkan adegan pegang-memegang, berpelukan antara lelaki perempuan bukan mahram, sering menjadi paparan dalam tv. Orang lebih memandang ‘isi’ cerita yang memberi ‘pengajaran yang baik’, tetapi dalam masa yang sama, melupakan aspek ikhtilat atau percampuran lelaki perempuan yang bukan mahram.

Ramai yang terlepas pandang atau mengambil enteng, bahawa dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara. Apa yang baik perlu disampaikan secara baik juga. Kita tidak boleh bertindak seperti Robin Hood, mencuri daripada golongan kaya untuk membantu si miskin. Mencuri untuk bersedekah! Tidak ada istilah curi untuk kebaikan. Kalau hendak membantu gunakan harta sendiri atau galakkan orang yang berada bersedekah atau mengeluarkan zakat. Bukan merampas kemudian ‘bersedekah’!

Bagaimana kita ingin menerangkan kecelaruan ini kepada anak-anak? Tambahan, dosa pahala bukan kita yang menentukan. Namun sebagai garis panduan, kita hanya boleh menyatakan yang menutup aurat itu wajib bagi orang Islam. Kalau tak buat berdosa. Jelaskan dengan dalilnya.

Sedar tak sedar tv sangat memainkan peranan besar dalam hidup anak-anak kita. Sedar atau tidak, dalam kita melarang anak ke panggung wayang, kita sebenarnya telah ‘membawa masuk’ wayang gambar ke dalam rumah kita. Sedar atau tidak, hati anak-anak terikat dengan program tv. Program tv mengatur kehidupan mereka. Belum masuk bila hari raya yang menyajikan pelbagai program tv sehingga mengikat kaki anak-anak daripada program ziarah.

Justeru, ada baiknya apabila sesekali tv rosak, biarkan ia terus begitu. Dengan pelbagai sumber maklumat dalam dunia IT hari ini, tidak ketinggalan rasanya kalau tidak mengadap skrin tv.

Wednesday, December 16, 2009

Mengapa Perlu Bimbang?

Kita semua maklum, apabila bercakap mengenai jodoh, ajal atau rezeki pasti yang akan terbit di mulut setiap kita ialah semuanya itu Allah yang tentukan. Pendek kata ia menjadi ayat wajib yang akan disebut, sementelah perkara tersebut tidak ada dalam pengetahuan kita sebagai manusia yang dicipta oleh-Nya.

Namun, sudah menjadi sifat manusia agaknya, sering berkeluh kesah juga apabila membicarakan perkara-perkara tersebut. Sebagai contoh, ibu bapa cukup risau apabila anak dara yang sudah menjangkau usia lebih 25 tahun masih tak punya calon suami. Mulalah ada yang sibuk bertanya takut kalau-kalau si anak menyandang gelaran andalusia. Terlupa sekejap yang jodoh itu Allah yang tentukan!

Begitu juga apabila berlaku musibah kematian, ada juga yang gatal mulut apabila menyebut “kalaulah dia ni tak pegi, tadi takdelah ditimpa kemalangan” atau bermacam-macam kalau lagi, sebelum dapat menerima hakikat kematian tersebut. Lupa ajal itu adalah rahsia Allah.

Begitu juga dalam bab rezeki. Ramai di kalangan kita, orang Islam yang terlupa rezeki itu kurniaan Allah. Usaha itu sebagai asbabnya sahaja, yang wajib kita lakukan. Sebab lupa inilah, ramai di kalangan kita yang menjadi takut kalau-kalau rezekinya dirampas orang.

Sebagai contoh klasik yang selalu digunakan, perniagaan orang Cina dan orang Islam khususnya Melayu. Orang Cina boleh membuka kedai runcit bersebelahan dan menjual barangan yang hampir sama, tanpa ada perasaan dengki. Kalau barang yang dikehendaki pelanggan tiada di kedainya, dia akan menyuruh pelanggan bertanya di kedai sebelah.

Berbanding perniagaan orang Melayu. Pendek kata hasad dengki pasti wujud. Kalau berniaga makanan misalnya, ada sahaja yang cuba dilakukan agar kedai makan jirannya tidak laku berbanding dengan kedainya.

Saya pernah mendengar kisah makcik sahabat saya yang mengalami kejadian pelik sewaktu berniaga gerai makanan. Selepas didatangi kawan yang berniaga di sebelah, yang kononnya bertanya apa masakan yang dimasak sambil mencuit tepi bekas makanan yang berasap, masakannya basi sejam kemudian.

Satu kisah lagi, seorang peniaga gerai makanan juga terkejut apabila seorang sahabatnya bertanya ke mana dia menghilang setelah dilihatnya gerai sahabatnya sudah seminggu tutup. Patutlah gerainya tidak dikunjungi orang dalam seminggu itu!

Ada juga yang begitu kedekut untuk berkongsi ilmu atau berkongsi maklumat dalam berniaga. Bimbang kalau-kalau nanti sahabat yang ingin berniaga itu akan mengatasinya. Takut kalau-kalau menggali lubang kubur sendiri!

Kalau kita yakin yang rezeki itu milik Allah yang telah ditetapkan kepada hamba-Nya sejak azali, mengapa harus kita berasa takut, tidak yakin atau was-was. Di mana keimanan kita ?

Adakah dengan berkongsi maklumat maka kita akan jatuh bankrupt? Tidakkah kita boleh mengukur sejauh mana kelebihan dan kekurangan kita berbanding orang yang bertanya itu? Belum tentu lagi kalau orang yang memilih bisnes yang sama dengan kita akan mendapat keuntungan sebagaimana yang kita perolehi. Kenapa? Sebab rezeki kita telah ditentukan oleh-Nya sejak di luh mahfuz lagi.

Sebab itu tidak pelik kalau kita lihat, dua orang berniaga benda yang sama tapi kita dapati seorang lebih maju berbanding seorang lagi. Kita boleh memberi bermacam sebab; faktor layananlah, kualiti barang dan sebagainya. Namun pokok persoalan ialah, rezeki kita telah diatur oleh-Nya.

Teringat kisah seorang sahabat yang pernah meniti kegemilangan perniagaan dan pernah merasai zaman kejatuhan. Katanya, “Sewaktu bisnes bagus, buat apa saja mesti menjadi. Bila melihat orang lain tidak berjaya, selalu timbul di hati, si polan tak kuat berusaha. Tapi kita lupa, usaha itu sebenarnya asbab sahaja. Rezeki itu Allah yang punya. Dia boleh beri dan Dia boleh tarik bila-bila masa. Bila sudah di zaman jatuh, baru kita sedar usahalah banyak manapun kalau bukan izin-Nya, takkan berjaya. Segala yang dibuat tidak menjadi. Sebab rezeki itu milik Dia dan hak Dia untuk beri pada sesiapa!”

Justeru, perlukah kita berasa gentar untuk berkongsi ilmu, berkongsi pengalaman? Kalau sebenarnya kita menyakini jodoh, ajal dan rezeki itu hak Allah, mengapa perlu kita ragu dan bimbang?

“Kebenaran itu adalah daripada Tuhan-Mu, maka janganlah sekali-kali kamu termasuk di kalangan orang yang ragu (syak)” - Al-Baqarah:147.

Monday, December 14, 2009

Bila Suami Nak Kahwin Lagi…

Apa perasaan anda apabila mendengar isteri nak bunuh diri sebab suami nak kawin lain? Mungkin anda beristighfar panjang,... kan?

Saya sebenarnya agak terkejut apabila mendengar cerita tersebut. Agak sukar rasanya untuk relate cerita tersebut dengan individu terbabit. Melihat keperibadiannya, saya sebenarnya tidak menyangka, sahabat saya ini akan terfikir untuk bertindak sedemikian.

Saya faham, memanglah hatinya sakit apabila mendengar suami ingin berkahwin lain. Tapi takkanlah sampai terfikir tindakan sebegitu, yang sah-sah menempah kemurkaan Allah.

Menurut ceritanya, isteri ini naik angin apabila suaminya berhasrat untuk berkahwin lagi. Khabarnya dengan janda anak lima. Apabila mendengar ura-ura tersebut, segala pergerakan suami mula dikawal. Panggilan telefon untuk suami ditapis dahulu pemanggilnya. Malah tempoh suami ke surau pun ditetapkan. Kalau lebih setengah jam, dia akan menyoal siasat ke mana suaminya pergi, bak pegawai Bukit Aman.

Apabila suami masih tidak berganjak daripada hajat tersebut, maka si isteri mula nekad untuk meminta fasakh. Setibanya hari yang dijanjikan, maka kedua-dua mereka disoal oleh pegawai bertugas. Mulanya secara berasingan, kemudian kedua-duanya dipanggil bersama. Sikap si isteri ditegur oleh pegawai tersebut kerana teryata suaminya berkemampuan.

Disebabkan perasaan marah yang tidak terbendung, maka isteri mengugut untuk menjerut leher dengan dawai andai suaminya meneruskan hajatnya.

Memang tidak dinafikan sebagai wanita, akan terasa rabak hati apabila mendengar suami ingin berpoligami. Namun sebagai orang Islam dan beriman, kita seharusnya sedar hakikat perkara yang telah dibolehkan oleh Allah SWT ini. Biarpun nafsu menolak, namun ia halal di sisi-Nya.

Walaupun tidak suka, namun jangan sampai tindakan yang diambil mengundang murka Allah. Mengugut untuk menjerut leher dengan dawai semata-mata kerana suami ingin berkahwin lain, bukanlah satu tindakan yang bijak malah boleh tergelincir akidah.

Sesayang manapun kita pada suami, ingatlah dia hanyalah alat untuk mencapai matlamat.
Suami hanyalah alat untuk mencapai redha Allah. Jangan kerana alat, akhirnya kita terpelanting ke lembah kebinasaan.

Dan buat suami pula, walaupun niat perkahwinan atas dasar untuk membantu, membela atau sebagainya, seharusnya lihat dahulu kekurangan dalam rumah tangga yang dimiliki sekarang. Jangan hanya mengukur kemampuan dari sudut material semata-mata. Kalau isteri yang ada masih gagal ditarbiyah baik dari segi akhlak mahupun akidahnya, bukankkah anda sebenarnya menempah susah. Usah memandang silap isteri sahaja kerana apa yang terserlah, cerminan lemahnya suami sebagai qawwam atau pemimpin dalam institusi rumah tangga. Bukan firman Allah menyebut, "arrijaalu qawwamu na 'alannisa'"?

Thursday, December 10, 2009

Kritik, Kutuk @ Berterus-terang?

“Qulil haq, walau kaa namurraa”. Berkata benarlah walaupun ianya pahit!

Kita sememangnya diwajibkan bercakap benar, berterus-terang dan tidak berbohong. Malah berbohong adalah sifat munafik

Namun, dalam masyarakat Melayu tradisi, sifat berterus-terang amat sukar untuk dilakukan. Sebagai contoh, kalau kita bertandang ke rumah jiran atau sebagainya. Apabila ditanya, nak minum apa? Kita biasanya akan menjawab sama ada, “tak payahlah susah-susah” atau “apa-apapun boleh”. Jarang kita menjawab, “kopi, teh, milo, air kosong atau lain-lain” Sebabnya kita sudah terbiasa diajar untuk cakap berlapik. Malah akan dianggap tidak sopan pula kalau demand pada tuan rumah untuk bancuh air kegemaran kita!

Begitu juga dalam situasi lain, kalau kita tidak sukakan sesuatu perkara, kita ambil sikap berdiam diri. Sabar menahan perasaan. Sama ada sabar dalam erti kata menerima perkara tersebut sebagai kelemahan individu itu atau sabar yang kemudiannya kita akan bercakap di belakangnya!

Menelinga pengalaman sahabat-sahabat yang berkahwin campur (Melayu+foreigner), sedikit sebanyak dapat juga saya menambah ilmu. Ramai yang bersungut pada mulanya agak ‘makan hati’ dengan pasangan masing-masing. Apa tidaknya, kalau tidak sukakan sesuatu mereka akan terus menegur. Mereka lebih blunt. Begitu juga kalau suka, pujian akan diberikan. Isteri boleh menegur suami dan menyatakan sifat yang dia tidak suka, begitu juga sebaliknya. Anak-anak pula boleh menegur ibu bapa kalau ada yang dirasakan tidak kena.

Berlainan dengan budaya kita yang masih agak tertutup dalam berbicara. Masih ‘menjaga’ perasaan orang. Sampaikan kadang-kadang sendiri yang makan hati.

Sebenarnya ada baik dan buruknya juga perkara tersebut. Apa yang penting ialah kita perlu mengkaji terlebih dahulu penerimaan orang yang akan ditegur. Bak kata orang, kenali dulu mad’u kita baru senang nak berdakwah. Bukankah lebih baik hubungan itu berpanjangan daripada terbitnya bibit tidak senang di hati orang?

Teringat sewaktu belajar ilmu komunikasi di kolej dahulu. Kalau kita ingin menegur atau mengkritik, kena ada seninya juga. Kritikan harus diiringi dengan pujian. Takkanlah dalam 10 keburukan yang kita nampak, tidak terselit walau satu kebaikan? Sebenarnya kita yang memilih untuk melihat perkara buruk atau baik, positif atau negatif.

Kritikan bukan bermakna kita menghentam. Criticism is not condemning. Ia dua perkara yang berbeza. Jika dilakukan dengan ikhlas, ia akan diterima. Memang kita perlu berterus-terang dan berkata benar tetapi biarlah dengan cara yang betul dan tactful! Biar hubungan kekal elok mewangi!

Sunday, December 6, 2009

Al-Fatihah Buatmu Sahabat

Kematian merupakan sunnatullah yang tersurat sejak azali. Setiap yang berjiwa pasti akan merasai mati. Jika ada kehidupan maka ada lawannya, iaitu kematian. Kematian merupakan ruang istirahat bagi orang-orang beriman. Ia juga menjadi perantara untuk kembali ke negeri abadi.

Mungkin hari ini kita hanya mendengar orang-orang terdekat atau sahabat kita dipanggil menghadap kematian. Esok, mungkin kita pula yang akan dipanggil balik menghadap-Nya.

Sementelah saya mempunyai facebook, maka ramai sahabat-sahabat sewaktu persekolahan telah dapat ditemui kembali. Salah seorang yang sempat saya temui ialah Kak Noraini Kassan yang pernah sebilik dengan saya sewaktu kami di asrama.

Sewaktu berbual di facebook sempat juga saya bertanya perihal anak saudaranya Sarimah Sarlan yang saya panggil Kak Sari. Disebabkan line tidak berapa elok, kami tidak sempat berbual panjang.

Namun saya agak terkejut apabila membaca mesej yang ditinggalkan Kak Ani dalam inbox facebook saya.

“Nik, Sari dah tak ada. 25hb 12 ni genap tiga tahun Sari meninggalkan kita. Leukimia.” Innalillahiwainnaailaihiraaji'uun.

Saya sungguh terkedu membaca mesej tersebut. Terbayang di fikiran saya seorang gadis yang gedik-gedik manja, peramah, periang dan sangat aktif bersukan. Seorang yang sangat baik.

Sungguh saya tak menyangka perpisahan 23 tahun yang lalu sewaktu beliau meninggalkan alam persekolahan, menjadi titik perpisahan abadi. Saya sudah tidak berpeluang untuk bertemu sahabat saya itu lagi.

Daripada Kak Ani saya mendapat tahu, sebaik saja menamatkan persekolahan, arwah melanjutkan pengajian di UTM dan kemudiannya bekerja. Beliau sempat mendirikan rumah tangga, namun tidak dikurniakan cahaya mata. Khabarnya, kandungan kembarnya cuma mampu bertahan empat bulan sebelum mengalami keguguran disebabkan masalah darah yang dihidapinya.

Semoga arwah sentiasa dicucuri rahmat, diampuni dosanya dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman. Buat Kak Sari, al-Fatihah

Wednesday, December 2, 2009

Penyejuk Mata Penambat Hati.

Anak merupakan anugerah Allah yang tiada nilainya. Anak juga menjadi pengikat kasih sayang antara pasangan suami isteri. Ketiadaan cahaya mata boleh menyebabkan institusi rumah tangga runtuh atau sering dijadikan alasan untuk suami berpoligami. Tak mengapalah, sebab itulah antara hikmah dibolehkan poligami, iaitu untuk kelangsungan zuriat atau waris.

Selain dianggap rezeki dan kurniaan Allah, anak juga merupakan ujian Allah untuk hamba-Nya. Anak yang soleh dan solehah menjadi qurratu aini atau penyejuk mata. Sebaliknya anak toleh pula menjadi onak dalam kehidupan suami isteri.

Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 28 yang bermaksud, “..dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

Ramai di kalangan pasangan suami isteri yang diuji Allah tidak dikurniakan cahaya mata. Memang perit untuk dilalui namun Allah jua yang mengetahui kebaikan di sebalik setiap ujian yang diberikan-Nya.

Teringat saya kepada seorang sahabat yang dipilih oleh Allah untuk melalui ujian tersebut. Lebih 7 tahun berkahwin, dia tidak dikurniakan cahaya mata. Pernah sekali dia hamil tapi mengalami keguguran. Sejak itu dia tidak pernah lagi hamil. Alhamdulillah, suami boleh menerima keadaan dirinya. Namun dia sering dihantui rasa bersalah kerana tidak dapat menghadiahkan zuriat untuk suaminya, biarpun tahu semua itu ujian Allah.

Dia menyuruh suaminya berkahwin lain dan melepaskan dirinya. Alasannya, tidak mahu bermadu kerana nanti tidak mahu suaminya itu berasa serba salah kerana terpaksa membahagikan masa antara dia dan isteri baru serta anak-anak. Dan dia juga tidak mahu dirinya berasa kekurangan kerana tidak berupaya melahirkan anak.

Sudah lama saya terpisah dengan sahabat tersebut sehingga saya terjumpanya kembali pada tahun 2007 yang lalu. Tapi sebelum itu saya pernah terserempak sekali dengan suaminya pada tahun 2005 di klinik kesihatan ibu dan kanak-kanak. Waktu itu suaminya sedang mendukung seorang bayi bersama seorang wanita lain!

Saya diberitahu oleh sahabat saya tadi, dia telah bercerai dengan suaminya dan suaminya telah pun berkahwin lain. Penceraian tersebut dipersetujui bersama dan mereka masih bersahabat. Namun yang agak mengharukan, saya mendapat tahu, isteri baru suaminya pernah meminta agar mereka bermadu. Malah dia rela diceraikan oleh suami dan menyerahkan anak yang dilahirkannya kepada sahabat saya itu.

Namun sahabat saya ini memang sudah nekad dan mengotakan kata-katanya iaitu atas dasar sayang kepada suami dia rela suaminya menceraikan dirinya untuk membina kehidupan bersama isteri baru dan zuriatnya. Memang tak terkata saya dibuatnya.

Saya memang mengenali sahabat saya ini sebagai seorang isteri yang cukup mithali. Setiap kali sebelum keluar bekerja, dia akan memasak terlebih dahulu supaya suaminya dapat makan tengahari di rumah. Malah dia sanggup mengikut suaminya berhijrah ke kampung halaman dan tinggal bersama mertua apabila suaminya mendapat kerja di negeri kelahirannya. Mungkin sudah tersurat jodoh mereka setakat itu.

Alhamdulillah, tidak lama selepas pertemuan dengannya, saya telah menerima undangan ke majlis walimahnya. Dia sudah bertemu jodoh baru. Malah menurut cerita seorang sahabat yang sempat berkunjung ke kendurinya, (saya tidak dapat ikut serta kerana kebetulan pada hari kenduri tersebut ayah saya masuk hospital akibat serangan jantung), bekas suaminya telah datang meraikan perkahwinannya. Menurut sahabat saya itu, rasa sedih pula mendengar perbualan telefon mereka berdua, kerana dia masih memanggil ‘abang’ pada bekas suaminya dan menunggu kedatangannya di hari perkahwinannya. Iyelah.. penceraian secara baik dan tidak dibayangi perasaan marah, dendam atau kecil hati, sungguh mengharukan!

Kami sahabat-sahabatnya sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka berdua, baik untuk sahabat saya ini dan juga bekas suaminya. Khabar terbaru yang saya dengar, suaminya telah dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Akhir kalam, saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya perolehi daripada sahabat saya Che Milah sebagai ikhtiar untuk mendapat zuriat. Caranya, isteri berpuasa sunat 7 hari berturut-turut, manakala suami pula 3 hari berturut-turut. Sewaktu berbuka puasa, berzikir “Ya Musawwir” (Wahai yang Menjadikan) sebanyak 21 kali.

Selain itu banyakkan juga beristighfar memohon ampun. Bukan sekadar lafaz astaghfirullahal azim, tetapi menginsafi kesilapan diri dan memohon ampun dengan sebenar-benarnya. Insya-Allah, ia sebagai ikhtiar untuk menyelesaikan segala kemelut permasalahan, sebagaimana hadis Nabi s.a.w , “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya.” (hadis riwayat Abu Daud)

Iringi juga dengan doa Nabi Zakaria sebagaimana dalam surah Ali ‘Imran ayat: 38 yang bermaksud, “Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (dan mengabulkan) doa permohonan.”

Semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh/solehah sebagai pewaris dan menjadi saham di ‘sana’ nanti! Insya-Allah.
Allhu a’lam