RSS

Wednesday, December 16, 2009

Mengapa Perlu Bimbang?

Kita semua maklum, apabila bercakap mengenai jodoh, ajal atau rezeki pasti yang akan terbit di mulut setiap kita ialah semuanya itu Allah yang tentukan. Pendek kata ia menjadi ayat wajib yang akan disebut, sementelah perkara tersebut tidak ada dalam pengetahuan kita sebagai manusia yang dicipta oleh-Nya.

Namun, sudah menjadi sifat manusia agaknya, sering berkeluh kesah juga apabila membicarakan perkara-perkara tersebut. Sebagai contoh, ibu bapa cukup risau apabila anak dara yang sudah menjangkau usia lebih 25 tahun masih tak punya calon suami. Mulalah ada yang sibuk bertanya takut kalau-kalau si anak menyandang gelaran andalusia. Terlupa sekejap yang jodoh itu Allah yang tentukan!

Begitu juga apabila berlaku musibah kematian, ada juga yang gatal mulut apabila menyebut “kalaulah dia ni tak pegi, tadi takdelah ditimpa kemalangan” atau bermacam-macam kalau lagi, sebelum dapat menerima hakikat kematian tersebut. Lupa ajal itu adalah rahsia Allah.

Begitu juga dalam bab rezeki. Ramai di kalangan kita, orang Islam yang terlupa rezeki itu kurniaan Allah. Usaha itu sebagai asbabnya sahaja, yang wajib kita lakukan. Sebab lupa inilah, ramai di kalangan kita yang menjadi takut kalau-kalau rezekinya dirampas orang.

Sebagai contoh klasik yang selalu digunakan, perniagaan orang Cina dan orang Islam khususnya Melayu. Orang Cina boleh membuka kedai runcit bersebelahan dan menjual barangan yang hampir sama, tanpa ada perasaan dengki. Kalau barang yang dikehendaki pelanggan tiada di kedainya, dia akan menyuruh pelanggan bertanya di kedai sebelah.

Berbanding perniagaan orang Melayu. Pendek kata hasad dengki pasti wujud. Kalau berniaga makanan misalnya, ada sahaja yang cuba dilakukan agar kedai makan jirannya tidak laku berbanding dengan kedainya.

Saya pernah mendengar kisah makcik sahabat saya yang mengalami kejadian pelik sewaktu berniaga gerai makanan. Selepas didatangi kawan yang berniaga di sebelah, yang kononnya bertanya apa masakan yang dimasak sambil mencuit tepi bekas makanan yang berasap, masakannya basi sejam kemudian.

Satu kisah lagi, seorang peniaga gerai makanan juga terkejut apabila seorang sahabatnya bertanya ke mana dia menghilang setelah dilihatnya gerai sahabatnya sudah seminggu tutup. Patutlah gerainya tidak dikunjungi orang dalam seminggu itu!

Ada juga yang begitu kedekut untuk berkongsi ilmu atau berkongsi maklumat dalam berniaga. Bimbang kalau-kalau nanti sahabat yang ingin berniaga itu akan mengatasinya. Takut kalau-kalau menggali lubang kubur sendiri!

Kalau kita yakin yang rezeki itu milik Allah yang telah ditetapkan kepada hamba-Nya sejak azali, mengapa harus kita berasa takut, tidak yakin atau was-was. Di mana keimanan kita ?

Adakah dengan berkongsi maklumat maka kita akan jatuh bankrupt? Tidakkah kita boleh mengukur sejauh mana kelebihan dan kekurangan kita berbanding orang yang bertanya itu? Belum tentu lagi kalau orang yang memilih bisnes yang sama dengan kita akan mendapat keuntungan sebagaimana yang kita perolehi. Kenapa? Sebab rezeki kita telah ditentukan oleh-Nya sejak di luh mahfuz lagi.

Sebab itu tidak pelik kalau kita lihat, dua orang berniaga benda yang sama tapi kita dapati seorang lebih maju berbanding seorang lagi. Kita boleh memberi bermacam sebab; faktor layananlah, kualiti barang dan sebagainya. Namun pokok persoalan ialah, rezeki kita telah diatur oleh-Nya.

Teringat kisah seorang sahabat yang pernah meniti kegemilangan perniagaan dan pernah merasai zaman kejatuhan. Katanya, “Sewaktu bisnes bagus, buat apa saja mesti menjadi. Bila melihat orang lain tidak berjaya, selalu timbul di hati, si polan tak kuat berusaha. Tapi kita lupa, usaha itu sebenarnya asbab sahaja. Rezeki itu Allah yang punya. Dia boleh beri dan Dia boleh tarik bila-bila masa. Bila sudah di zaman jatuh, baru kita sedar usahalah banyak manapun kalau bukan izin-Nya, takkan berjaya. Segala yang dibuat tidak menjadi. Sebab rezeki itu milik Dia dan hak Dia untuk beri pada sesiapa!”

Justeru, perlukah kita berasa gentar untuk berkongsi ilmu, berkongsi pengalaman? Kalau sebenarnya kita menyakini jodoh, ajal dan rezeki itu hak Allah, mengapa perlu kita ragu dan bimbang?

“Kebenaran itu adalah daripada Tuhan-Mu, maka janganlah sekali-kali kamu termasuk di kalangan orang yang ragu (syak)” - Al-Baqarah:147.

5 comments:

muajhidah said...

kak nik sham pengomen pertama..heheheh kak, instructor driving class sham yg jugak kwana kepada abh mertua sham ni pernah bawa sham ke gerai makan anaknya. bila sampai di kedai makan tersebut, sham jadi pelik ia sebuah medan selera yang besar tp cuma ada 3 kedai je yang beroperasi. yg lain dan bungkus! Pak cik ni pon cerita susah orang nak mniaga sini, anak dia mniaga pon sbb mwarisi perniagaan keluarga mertuanya. Menurut pak cik tu sering sahaja kedai anaknya itu di tabur kacang hijau, bukan kedai anaknya sebuah lagi kedai hujung di sebelah kiri turut menerima kacang hijau tersebut, maka nak di jadikan cerita pak cik tersebut mengatakan kedai2 disitu semuanya bungkus sebab buatan orang! Can u imagine tht? semua peniaga itu adalah orang melayu..

Packy @ Mawar Merah said...

Nik, macam pernah kudengar perkataan iru...hahaha....

NORHAYATI BERAHIM said...

bukan orang melayu ajelah nik, orang turki pun sama, bahkan lagi teruk kalau dengar cerita mereka, orang pakistan lagi dahsyat, di mana2 manusia sama aje.
baru2 ni balik kg, kedai cina kat kg tu tutup, kedai runcit tu okay juga...maju, rupanya..tuan punya kedai tu kalah berjudi dan pinjam along, itu penyakit orang berniaga juga tu..nak dapat rezeki lebih

hans said...

ntah
bagi saya
terutama ibu pasti bimbang sebab dia sayang anak dia
dia taknak orang luar kata2 anak dia andartu ker apa
biasalah
hati seorang ibu
tapi apa2 pun benda ni bergantung pada jodoh

sya said...

betul lah kak nik. saya sendiri pernah mengalami keadaan dengki mendengki masa berniaga ni.. memang sakit rasanya... malas nak melawan balik, akhirnya kami mengalah. biarlah orang tu nak buat apa pun.. rezeki ada di mana2, kan..