RSS

Wednesday, December 30, 2009

Benarkah Anda Ingin Suami Soleh?

Apabila ditanya anak gadis yang sedang mencari calon suami, pasti antara kriteria utama dan teratas ialah inginkan suami soleh. Malah bagi yang telah berkahwin juga, jika ditanya kepada isteri apakah harapan terhadap pasangan, pasti jawapannya ingin suami kekal dengan sifat solehnya.

Justeru, banyaklah petua yang diberikan untuk mendapat suami soleh. Antaranya wanita mestilah menjadikan dirinya solehah terlebih dahulu, barulah akan dikurniakan suami yang soleh. Ada kebenarannya, sebagaimana yang dijanjikan Allah dalam surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud,

“Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka itu bersih daripada (tuduhan) yang dikatakan oleh orang (yang jahat), mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan dan kurniaan yang mulia.”

Ada juga yang memberi petua kalau inginkan suami soleh, usah membazir makanan. Malah kalau ada makanan yang tidak habis sewaktu makan bersama-sama sahabat, jadilah orang yang menghabiskan makanan tersebut. Mudah-mudahan dapat suami yang soleh. Paling tidak pun dapatlah suami yang bernama Salleh!

Teringat saya satu artikel yang pernah saya baca dalam sebuah majalah bertajuk Suami Saya Lelaki Soleh? Antara lain artikel tersebut menyatakan, seorang suami soleh ialah suami yang bukan hanya menjadi milik mutlak keluarganya tetapi masa dan tenaganya juga adalah untuk agamanya. Dirinya tidak akan berkepit 24 jam dengan isteri tetapi dia akan keluar untuk menjalankan tanggungjawab terhadap agamanya umpamanya keluar untuk berdakwah atau menyertai gerakan Islam.

Suami soleh juga adalah seorang yang mengambil berat tentang ibunya. Mengasihi ibunya dan taat kepada ibunya melebihi kasih sayangnya kepada isterinya. Ini kerana syurga suami ialah dengan keredhaan ibunya, manakala syurga isteri pula ialah dengan keredhaan suaminya.

Kalau direnung-renung kembali, rasa saya ramai yang bersetuju bahawa kebiasaannya hubungan menantu perempuan dengan ibu mertua rata-rata boleh dikategorikan sebagai baik. Jarang ada yang bersifat cemerlang. Bukanlah sesuatu yang menghairankan, kerana ibu mertua datang setelah kita dewasa dan berkahwin dengan suami. Hubungan masih baru berbanding dengan ibu yang melahirkan kita, yang sememangnya ada hubungan perasaan dengan kita. Pun begitu, tidak bermakna rasa hormat dan kasih terhadap ibu mertua boleh diambil mudah.

Bagaimanapun, ramai juga di kalangan kita, khususnya yang sudah berkahwin kadang kala ‘makan hati’ dengan suami yang melebihkan ibu bapa atau keluarganya berbanding dengan diri si isteri atau keluarganya. (Saya tahu bukan semua!)

Contoh mudah, apabila tiba hari raya (khasnya pasangan berlainan negeri). Mulalah ada sistem undian untuk menentukan giliran. Kalau ‘loteri’ siapa yang naik, senyum lebarlah dia. Takdirnya kalau si suami gunakan kuasa ‘vetonya’ untuk pulang ke kampungnya, maka akan adalah yang mogok dan panjang muncungnya hingga boleh dibuat penyangkut baju.

Itu baru satu contoh yang mudah, belum lagi bab duit ringgit, penjagaan dan sebagainya. Justeru, kalau sudah begitu, di manakah letaknya hasrat awal kita sewaktu dalam proses mencari calon dahulu (juga renungan untuk yang sedang mencari calon suami) yang inginkan suami soleh? Apakah benar kita mahukan suami soleh? Jika jawapan masih ‘ya’ maka seharusnya kita kena kembali bermuhasabah.

Memanglah tidak adil kalau penilaian hanya dibuat kepada kaum wanita sahaja. Sebenarnya suami sangat memainkan peranan penting dalam mendidik isteri. Suami yang soleh mesti bijak menangani kerenah ibu dan isteri agar kedua-duanya tidak terasa hati. Ibu insan yang melahirkan, tetapi isteri adalah ‘rakan kongsi’ penting. Isteri tempat berkongsi suka-duka, susah-senang. Isteri juga perawat, tukang masak dan pengasuh. Malah dalam situasi hari ini, isteri juga penyumbang ekonomi penting dalam rumah tangga. Sewajarnyalah suami bersifat memahami dan bertolak ansur dengan isteri. Hanya suami yang beriman dan bijaksana dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna.

Jangan sebab kita, isteri jatuh ke lubuk kebinasaan. Juga jangan kerana isteri, lelaki menjadi seperti kisah Alaqamah! Bagaimana mengatasinya? Tepuk dada tanya iman, carilah ilmu!

5 comments:

mujahidah said...

maka apakah menjadi kesalahan apabila hubungan 3 segi ini menjadi gawat, si menantu menarik diri, kerana sayangkan suami kerana mahukan suami peroleh redha Allah dan tidak mahu suami tersepit di antara, maka si isteri rela menerima sebuah pemceraian hanya kerana mahukan suaminya peroleh redha Allah..apa pandangan akak?

kakchik said...

salam kak nik.

sudah tentu nak suami soleh kak. tapi diri kita tu kenalah solehah dulu. ada juga isterinya solehah tapi suaminya, huhu pentingkan diri sendiri je, langsung tak bertanggungjawab ke atas isteri mahupun ibu bapa sendiri. begitu juga sebaliknya.

Hamizah said...

ye, baiki peribadi kita dl.br dpt suami yg soleh

Marzalina said...

menariknya entry ni...buat intan berfikir sejenak...

Haiza Najwa said...

My kids alwez joke 'bout abeskan sisa makanan. Kata mereka, sapa nak suami atau isteri soleh mesti abeskan makanan dan scums tu yg plg berkat. I kata tak membazir dan jgn tinggalkan residual tu yang berkat. Anyway..makin sedap bahan editorial U Nik..