RSS

Friday, June 19, 2009

Buat seorang Ayah...

Apa yang boleh saya ceritakan mengenai seorang lelaki bernama Nik Hussin Nik Kadir? Dia merupakan ayah yang sangat saya kasihi.

Ayah saya seorang yang pendiam, tak banyak cakap. Sangat kontra dengan arwah mak, yang peramah. Masa kecil, ayah garang dengan kami adik beradik. Tapi seingat saya jarang sekali dia menjatuhkan tangan ke badan kami.

Ayah pandai menjahit. Semua baju kami adik beradik dan baju mak ayah yang jahitkan. Memang ramai yang pelik bila saya katakan baju ini ayah saya jahit. Dan terus bertanya, habis mak awak tak jahit baju kah? Tidak, kerana ayah saya yang jahitkan untuk kami!

Satu perkara, kalau dia menjahit amat pantang baginya kalau anak-anak duduk bertenggek di tepi. Memang sah kami akan kena ketuk dengan pembaris panjang yang digunakannya. Tapi kelakarnya, apabila cucunya yang bukan sahaja bertenggek malah duduk atas kain yang dibentang, dia cuma akan kata, "tepi, ayah nak gunting ni..nanti ayah ketuk." Hehe.. itulah yang dikatakan sayang cucu barangkali!

Sebagai seorang pekerja (ayah saya bekerja sebagai foreman di beberapa kilang sawit Felda), ayah seorang pekerja yang sangat dedikasi, bertanggungjawab dan amanah. Saya ingat pernah satu masa, lalat memproses buah sawit di kilang sawit di Felda Padang Piol, Jerantut, rosak. Ayah dipanggil oleh anak-anak buahnya untuk masuk ke kilang. Waktu tu dalam jam 8.30 malam. Selepas makan malam dan solat Isyak, ayah terus masuk semula ke kilang, walaupun dia baru balik kerja jam 5.30 petang sebelumnya. Dia hanya balik apabila subuh hampir menjelang dan masuk semula bekerja jam 8.30 pagi.

Dia juga sering dijadikan rujukan dan menjadi penasihat kepada anak-anak buahnya yang bergaduh. Alhamdulillah sepanjang 18 tahun dia bertugas, dia pernah dipilih sebagai pekerja terbaik dan dihantar oleh pihak Felda untuk menunaikan ibadah umrah. Malah berita mengenainya pernah tersiar di akhbar Utusan Malaysia.

Ayah saya bukan seorang yang kaya raya tetapi hidupnya sangat terancang. Sehingga sekarang, dia tidak pernah membeli kereta. Malah di kalangan rakan-rakan bergelar foreman di kilang-kilang Felda berhampiran, hanya dia seorang sahaja yang tidak berkereta. Bila ditanya kenapa, katanya biarlah anak-anaknya dapat makan dan belajar dengan sempurna. Kalau pakai kereta nanti duit banyak dihabiskan kepada kereta. Lagipun kenderaan awam banyak. Ada tak ada pun, ayah hanya membeli motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja dan ke surau.

Teringat sewaktu saya ingin melanjutkan pelajaran di ITM, dia telahpun berhenti kerja (dia minta bersara awal kerana keadaan kesihatan tidak berapa baik). Dia menjual sebidang tanah yang dibeli daripada adiknya sebagai persediaan buat saya. Katanya tanah tersebut tidak diperlukan kerana tiada siapa yang akan duduk di situ (tanah tersebut di Jerteh). Biarpun saya tahu, dia memang berhajat untuk menjual tanah itu sebelum ini, tetapi ia tetap membuat saya terharu. Dan sepanjang pengajian, hanya di semester akhir sahaja saya memohon pinjaman. Itupun kerana sengaja mencuba nasib dan alhamdulillah dapat. Tetapi dia tetap menghulurkan duit seribu ringgit setiap awal semester.

Sebenarnya, budaya sambutan hari bapa bukan sesuatu yang kami raikan. Sebagaimana pernah saya ceritakan dalam entri untuk hari ibu, saya juga tidak pernah melafazkan ucap selamat untuk ayah. Namun saya tidak mahu terkilan lagi, biarpun dalam doa saya tidak pernah putus dipanjatkan agar ayah sentiasa diampunkan dosa dan diberi rahmat oleh-Nya.

Dan kali pertama saya ucapkannya ialah pada tahun 2007, sewaktu dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk urusan kerja (kebetulan jatuh pada hari tersebut). Saya benar-benar tidak menyangka, ayah sangat gembira mendengar ucapan saya dari anaknya.

Kali kedua di tahun lepas dan insya-Allah, tahun ini buat kali yang ketiga, juga sewaktu saya akan berada di Kota Bharu kerana tugas (sekejap lagi saya akan berangkat dan doakan saya selamat pergi dan kembali, hehe..)

Untuk ayah yang sangat saya kasihi, Selamat Hari Bapa, semoga ayah selalu dirahmati dan dalam peliharaan Allah selalu hendaknya. (Hmm.. kenapa airmata saya mengalir nih..!!) Biarpun saya tidak selalu dapat bersama ayah, tapi dalam setiap doa saya, tidak pernah saya lupakan AYAH.

ps: saya tidak menyimpan gambar ayah, tapi kata orang wajah saya ada iras AYAH. Insya-Allah kalau saya dapat daripada kakak saya, akan saya uploadkan gambar ayah.

Wednesday, June 17, 2009

Apabila Hidayah Menyentuh Hati (1)


Kewajiban menutup aurat sememangnya telah jelas dinyatakan di dalam al-Quran. Dalam surah al-Ahzab ayat 59 Allah SWT berfirman bermaksud, “Wahai nabi (Muhammad), suruhlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita beriman agar melabuhkan jilbab (pakaian bagi menutup seluruh tubuh) mereka (semasa mereka keluar), cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani (terhadap dosa kamu di masa lalu).

Dalam masyarakat Melayu Malaysia, pemakaian tudung sudah menjadi satu budaya. Rata-rata kita dapat melihat wanita Melayu bertudung. Sama ada singkat atau labuh, berwarna-warni dan sebagainya, ia bukanlah lagi fenomena asing. Biarpun dari segi syariat masih boleh dipertikaikan, (bergantung kepada kefahaman individu) namun ia satu perkara yang memberangsangkan.

Daripada golongan agamawan, orang awam sehinggalah golongan artis, rata-rata menyedari kewajipan menutup aurat ini.

Sepanjang penglibatan saya dalam bidang kewartawanan ini, agak ramai juga golongan selebriti yang melakukan penghijrahan, daripada tidak bertudung kepada memakai tudung, telah sempat saya temubual.

Kebiasaannya, ada cerita menarik yang tersimpan di sebalik penghijrahan mereka. Apabila mendengarkan cerita mereka, terbetik rasa syukur yang amat sangat kerana sekurang-kurangnya saya diberikan hidayah oleh Allah seawal usia 13 tahun untuk melaksanakan kewajipan menutup aurat. Dan rasa syukur itu juga dapat dikongsi bersama mereka yang akhirnya terbuka juga hati untuk melaksanakan tuntutan tersebut.

Bagaimanapun dalam ramai selebriti yang sempat saya temubual, saya berasa amat kagum dengan dua orang selebriti ini. Dayangku Intan Engku Abdul Hamid dan Mek Habshah. Bagi mereka yang sezaman dengan saya, Dayangku Intan bukanlah suatu nama asing di era 80-an. Antara lagu-lagu beliau yang sering menjadi siulan anak muda ialah Berpaut Di Dahan Cinta dan Kita Insan Biasa berduet dengan JayJay. Manakala Mek Habshah pula, merupakan seorang pelakon komedi wanita di zamannya.

Alhamdulillah, kedua-dua mereka ini telah diberikan hidayah oleh Allah untuk melakukan penghijrahan yang sangat membawa erti. Mereka berdua bukan sahaja telah melaksanakan kewajipan menutup aurat tetapi turut mengambil langkah drastik meninggalkan bidang nyanyian dan lakonan.

Masih teringat temubual saya bersama Kak Intan (panggilan mesra untuk Dayangku Intan). “Apabila Allah memberikan saya ujian berturut-turut, cukup untuk membuatkan saya terduduk dan mengakui kebesaran-Nya.”

Bermula dengan kematian adik akibat penyakit SLE dan meninggalkan 5 orang anak, diikuti dengan kelahiran anak tanpa hempedu, cukup menguji dirinya. Namun apa yang lebih memberi kesan terhadap dirinya apabila anak yang masih dibangku sekolah rendah terlibat dengan gejala gangsterism, skin head dan membawa senjata ke sekolah.

“Keadaan itu membuatkan Kak Intan tidak yakin untuk menghantarnya ke sekolah menengah biasa sebaliknya menghantarnya ke sekolah agama.”

Setahun berada di Sekolah Islam Adni, ternyata berlaku perubahan yang besar dalam diri anaknya. Keadaan tersebut turut mendorong dirinya berubah. Menurutnya, setiap kali menghantar anak ke sekolah, beliau akan bertudung. Tapi apabila balik atau keluar bersama ahli keluarga beliau tidak bertudung.

Akhirnya, setelah terserempak dengan seorang ibu kepada rakan anaknya yang juga seperti beliau (bertudung umpama iklan biskut chipsmore, katanya), beliau menyedari betapa tidak elok sikap sedemikian lantas mengambil keputusan untuk terus bertudung.

Bertitik tolak dari situ, berlaku perubahan yang sangat besar dalam hidupnya. Beliau memang telah lama bercuti menyanyi sejak kelahiran anak ketiganya (tanpa hempedu), terus mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bidang tersebut.

Melihat perubahan kepada anak keduanya, beliau tidak teragak-agak menghantar dua orang lagi anaknya juga ke sekolah agama. Begitulah, apabila Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki melalui apa cara sekalipun.

Dalam kes Kak Intan, hidayah datang melalui anak. Teringat kata beliau, apabila anak-anak balik ke rumah dan melihat sesuatu seperti tidak diajar di sekolah (Khalifah Model School) mereka akan terus menegurnya.. “mama that’s not the Khalifah way”. Betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh si kecil.

Beliau tidak putus menyatakan kesyukurannya kerana masih dikasihi Allah dan memberi kesempatan untuknya berubah.

“Kak Intan tidak malu untuk mengakui bahawa dahulu Kak Intan tidak pernah mendirikan solat. Bukan tidak mahu mendirikan solat tetapi Kak Intan tidak tahu mendirikan solat.”

Alhamdulillah dengan hidayah kurniaan-Nya beliau telah memanggil ustaz untuk mengajar agama di rumah.

Hidayah yang hadir turut memberikan kesedaran bagi dirinya untuk menyumbangkan sesuatu kepada remaja Islam yang telah terjebak dengan gejala tidak sihat. Beliau dan suami kini aktif dengan kerja sosial yang membantu remaja yang telah terlanjur atau mat rempit.

Apabila ditanya tidak sayangkah meninggalkan bidang yang glamour dan populariti sebagai penyanyi, beliau dengan ceria berkata “sekarang inipun Kak Intan masih lagi popular malah lebih popular dan gembira kerana dapat bertemu orang yang baik-baik seperti Nik yang tak pernah akak berpeluang berjumpa sebelum ini!”

Satu perkara yang cukup menyentuh saya, yang pernah dilafazkan beliau..Sakit akibat ditimpa penyakit, masih lagi tidak seberapa kerana kita tahu kalau kita ada duit kita boleh mendapatkan rawatan daripada doktor yang terbaik..tetapi sakit kerana bertaubat hanya Allah sahaja yang tahu. Kita tidak tahu sama ada taubat kita diterima dan ia membuatkan kita terus merintih memohon daripada-Nya

Cerita mengenai Kak Mek?? Tunggu di entry lain..

ps: 1) Terima kasih kepada Kak Intan yang memberi keizinan untuk saya paparkan kisahnya di dalam blog saya. Katanya kalau ia membawa kebaikan gunakanlah Nik!
2) Maaf yer kalau penulisan saya kali ini ayatnya skema semacam... alar2 reporting untuk majalah la plekk!!

Tuesday, June 16, 2009

Adus!..


Sebagai seorang ibu, sudah pasti kita mengajar perkara yang baik-baik kepada anak. Salah satunya ialah mengucapkan terima kasih apabila menerima pemberian atau bantuan daripada orang lain. Begitu juga apabila melakukan kesalahan, segera meminta maaf.. tapi anak-anak hari ini lebih senang mengucapkan “Sorry ye umi” hmmm…!

Teringat sewaktu menonton berita satu malam, ada seorang menteri meluahkan perasaan tidak puas hati. Katanya anak-anak pra-sekolah sekarang sudah tidak tahu berterima kasih. Maknanya budaya berterima kasih semakin lenyap daripada jiwa anak-anak kita. Entahlah, mungkin juga ada benarnya.

Berbalik kepada kisah terima kasih ini, saya juga sebagaimana ibu-ibu lain, turut mengajar anak-anak supaya mengucapkan terima kasih, terutama si Efa dan Iman. Tapi budak-budak, ada saja alasannya. Kadang kala lupa katanya atau malu. Tapi tak mengapalah, mereka perlu sentiasa kita ingatkan.

Sebenarnya kita sebagai orang dewasa pun kadang kala, ada masa terlupa. Apatah lagi kalau dengan anak-anak dan di waktu kita sibuk dengan kerja rumah. Kadang kala tak sempat mengucapkan terima kasih sebab kita berkejar untuk mengejar masa.

Perkara ini terjadi pada diri saya apabila saya menyuruh Efa meletakkan pakaian kotor di dalam bakul untuk dibasuh. Tangan saya sibuk menyiang ikan. Sebaik memberikan arahan kepadanya, saya terus berpaling menghadap ikan di singki. Terlupa untuk mengucapkan terima kasih.

Tiba-tiba suara halusnya menegur saya… “Umi tak cakap pun terima kasih kat adik..!”. Adus!! Terkena sebijik batang hidung saya.

“Alah sayang, umi lupa..terima kasih ya sayang!” segera ucapan terima kasih saya hulurkan dan dengan wajah ceria, Efa keluar bermain basikalnya.

Huh!.. agaknya saya ini ibarat ibu ketam mengajar anak berjalan betul! Tak apalah, sekurang-kurangnya teguran anak kecil ini membuatkan saya lebih berhati-hati dan sentiasa bermuhasabah diri. Tak rugi belajar dari anak sebenarnya!

ps: Efa kalau kita cakap thank you adik.. dia akan kata, mana boleh cakap macam tu.. cakap terima kasih! Hahah!

Saturday, June 13, 2009

Awards

Dua award ni dah lama tertangguh... kiranya nak bayar hutanglah ni.
Terima kasih kepada Kak Yong dan Ibujune

dari kak Yong


dari ibujune


Istimewa menjadi wanita:
Dari rahim wanitalah lahirnya orang-orang yang hebat dan tak hebat..
Syurga di bawah tapak kaki wanita.
Dua cukuplah yer ibujune??

Thursday, June 11, 2009

Bertemu juga...

Akhirnya bertemu juga kami

Dah naik bersawang rumah saya rasanya dek kerana lama tak dikemaskini. Terasa rindu kepada semua rakan bloggers.

Selepas 4 hari di Shah Alam, saya terpaksa surrender... demam!. Sakit tekak (suara pun boleh buat konsert rock hehehe), sakit urat dan segala macam sakit. Saya memang alah kalau kurang tidur, senang benar mengalami sakit tekak, tambahan pula dengan cuaca yang panas.

Oh, sebagaimana biasa, muktamar PAS seringkali menjadi medan pertemuan dengan sahabat-sahabat yang lama terpisah. Dalam ramai orang, saya telah bertemu kembali dengan seorang sahabat yang telah lebih 15 tahun terpisah, Siti Razayanah Bajuri. Kali terakhir saya bertemu dengan beliau ialah sewaktu hari graduasi. Sampailah sekarang setelah kami sama-sama memiliki keluarga sendiri barulah dapat bertemu. Bergenang air mata dibuatnya, kerana terlalu gembira. Tapi tak sempat nak bergambar kerana berjumpa pun sekejap sangat.

Sebaik sahaja muktamar tamat pada hari Ahad, (owh..saya ingin membuat pembetulan, sebenarnya muktamar itu kali yang ke -55), saya terus demam.

Tapi mengenangkan Liza datang dari jauh dan berhajat untuk bertemu dengan saya, maka saya gagahkan diri juga untuk berjumpa dia di Sogo, pada hari Isnin. Itu pun setelah Kak Yati menelefon bertanya saya di mana. Mujur cik abang sporting... sanggup hantarkan saya dan siap bagi time off daripada menjaga anak-anak!

sarung bercorak Pua Kumbu dari Liza dan kain pasang dari Kak Yati

Berjumpa dengan Kak Yati, Kak Mijah, Akim dan Ojan, serta Liza di food court Sogo, saya cuma minum jus tembikai. Selera memang tiada. Sebaik duduk di meja bersama mereka, Liza menghulurkan buah tangan yang dibawa dari Sarawak. Sehelai kain batik bercorak Pua Kumbu.. cantik sekali. Dan Kak Yati turut menghulurkan sebuah beg plastik kepada saya…rupa-rupanya kain pasang berwarna biru, katanya untuk saya buat baju kerana saya tiada baju berwarna biru!! Terharu saya menerima buah tangan daripada mereka berdua.

Kak Yati dan Kak Mijah memilih baju untuk anak-anak

Setelah menemani mereka bershopping, saya meminta diri untuk pulang setelah jam menunjukkan pukul 5 petang. Tapi sebelum itu sempat ke Pertama Book Store, apa lagi layan novellah. Hajat hati ingin mencari novel Eka Fahara JAWAPAN YANG PASTI, nampaknya belum sampai di kedai buku tersebut. Sempat juga saya capai sebuah novel yang dicadangkan oleh Ani (pekerja di kedai buku). Memang Ani tempat rujukan saya mencari novel yang best heheh! So inilah bukunya.. DENDAM PENCINTA


Tapi masih belum sempat nak layan… betul-betul tak larat. Anak saya, KakLong Huda yang baca dulu. Selasa, saya terpaksa sambung cuti kerana terasa benar-benar letih dan tidak sihat.

Ramai yang bertanya, macam mana berniaga… hehehe, BOLEH LAR, sekadar mengasah semula bakat berniaga yang dah lama terendam!!..

Saya masih ‘berhutang’ tag dan macam-macam lagi dengan beberapa rakan blogger. Mintak maaf yer.. especially cousin saya IBUJUNES. Insya-Allah saya akan cuba tunaikan hutang tersebut! (Tah bila la tuh.. Ahaks!)

Thursday, June 4, 2009

Jom Semua!!!

Kepada semua sahabat blogger yang bertugas sebagai guru, selamat bercuti diucapkan. Cuti sekolah pastinya masa untuk bersama anak-anak.

Saya juga turut bercuti sambil BEKERJA! Sempena muktamar PAS kali ke-54, kami ada membuka gerai DARI 4 JUN HINGGA 7 JUN. Kepada sahabat semua.. jemputlah ke gerai saya!

GERAI K-80
STADIUM MELAWATI
SHAH ALAM
SELANGOR