RSS

Friday, June 19, 2009

Buat seorang Ayah...

Apa yang boleh saya ceritakan mengenai seorang lelaki bernama Nik Hussin Nik Kadir? Dia merupakan ayah yang sangat saya kasihi.

Ayah saya seorang yang pendiam, tak banyak cakap. Sangat kontra dengan arwah mak, yang peramah. Masa kecil, ayah garang dengan kami adik beradik. Tapi seingat saya jarang sekali dia menjatuhkan tangan ke badan kami.

Ayah pandai menjahit. Semua baju kami adik beradik dan baju mak ayah yang jahitkan. Memang ramai yang pelik bila saya katakan baju ini ayah saya jahit. Dan terus bertanya, habis mak awak tak jahit baju kah? Tidak, kerana ayah saya yang jahitkan untuk kami!

Satu perkara, kalau dia menjahit amat pantang baginya kalau anak-anak duduk bertenggek di tepi. Memang sah kami akan kena ketuk dengan pembaris panjang yang digunakannya. Tapi kelakarnya, apabila cucunya yang bukan sahaja bertenggek malah duduk atas kain yang dibentang, dia cuma akan kata, "tepi, ayah nak gunting ni..nanti ayah ketuk." Hehe.. itulah yang dikatakan sayang cucu barangkali!

Sebagai seorang pekerja (ayah saya bekerja sebagai foreman di beberapa kilang sawit Felda), ayah seorang pekerja yang sangat dedikasi, bertanggungjawab dan amanah. Saya ingat pernah satu masa, lalat memproses buah sawit di kilang sawit di Felda Padang Piol, Jerantut, rosak. Ayah dipanggil oleh anak-anak buahnya untuk masuk ke kilang. Waktu tu dalam jam 8.30 malam. Selepas makan malam dan solat Isyak, ayah terus masuk semula ke kilang, walaupun dia baru balik kerja jam 5.30 petang sebelumnya. Dia hanya balik apabila subuh hampir menjelang dan masuk semula bekerja jam 8.30 pagi.

Dia juga sering dijadikan rujukan dan menjadi penasihat kepada anak-anak buahnya yang bergaduh. Alhamdulillah sepanjang 18 tahun dia bertugas, dia pernah dipilih sebagai pekerja terbaik dan dihantar oleh pihak Felda untuk menunaikan ibadah umrah. Malah berita mengenainya pernah tersiar di akhbar Utusan Malaysia.

Ayah saya bukan seorang yang kaya raya tetapi hidupnya sangat terancang. Sehingga sekarang, dia tidak pernah membeli kereta. Malah di kalangan rakan-rakan bergelar foreman di kilang-kilang Felda berhampiran, hanya dia seorang sahaja yang tidak berkereta. Bila ditanya kenapa, katanya biarlah anak-anaknya dapat makan dan belajar dengan sempurna. Kalau pakai kereta nanti duit banyak dihabiskan kepada kereta. Lagipun kenderaan awam banyak. Ada tak ada pun, ayah hanya membeli motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja dan ke surau.

Teringat sewaktu saya ingin melanjutkan pelajaran di ITM, dia telahpun berhenti kerja (dia minta bersara awal kerana keadaan kesihatan tidak berapa baik). Dia menjual sebidang tanah yang dibeli daripada adiknya sebagai persediaan buat saya. Katanya tanah tersebut tidak diperlukan kerana tiada siapa yang akan duduk di situ (tanah tersebut di Jerteh). Biarpun saya tahu, dia memang berhajat untuk menjual tanah itu sebelum ini, tetapi ia tetap membuat saya terharu. Dan sepanjang pengajian, hanya di semester akhir sahaja saya memohon pinjaman. Itupun kerana sengaja mencuba nasib dan alhamdulillah dapat. Tetapi dia tetap menghulurkan duit seribu ringgit setiap awal semester.

Sebenarnya, budaya sambutan hari bapa bukan sesuatu yang kami raikan. Sebagaimana pernah saya ceritakan dalam entri untuk hari ibu, saya juga tidak pernah melafazkan ucap selamat untuk ayah. Namun saya tidak mahu terkilan lagi, biarpun dalam doa saya tidak pernah putus dipanjatkan agar ayah sentiasa diampunkan dosa dan diberi rahmat oleh-Nya.

Dan kali pertama saya ucapkannya ialah pada tahun 2007, sewaktu dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk urusan kerja (kebetulan jatuh pada hari tersebut). Saya benar-benar tidak menyangka, ayah sangat gembira mendengar ucapan saya dari anaknya.

Kali kedua di tahun lepas dan insya-Allah, tahun ini buat kali yang ketiga, juga sewaktu saya akan berada di Kota Bharu kerana tugas (sekejap lagi saya akan berangkat dan doakan saya selamat pergi dan kembali, hehe..)

Untuk ayah yang sangat saya kasihi, Selamat Hari Bapa, semoga ayah selalu dirahmati dan dalam peliharaan Allah selalu hendaknya. (Hmm.. kenapa airmata saya mengalir nih..!!) Biarpun saya tidak selalu dapat bersama ayah, tapi dalam setiap doa saya, tidak pernah saya lupakan AYAH.

ps: saya tidak menyimpan gambar ayah, tapi kata orang wajah saya ada iras AYAH. Insya-Allah kalau saya dapat daripada kakak saya, akan saya uploadkan gambar ayah.

12 comments:

Mama Nazhan said...

SALAM KAK NIK...seronoknya mempunyai ayah dan kenangan yg tidak pernah padam diingatan.
Sejak kecil saya tidak biasa dengan kehadiran ayah. Saya sendiri tidak pasti sama ada arwah mak bercerai sebelum atau selepas saya dilahirkan. Tapi memang seingat saya, ayah tiada dlm kehidupan saya. Tapi kini yg ade hanyalah ayah tiri yg dah berusia 81 tahun.Saya tidak lupa menjenguknya.Saya sedih juga masa mak meninggal...dia tanye takmo duduk ipoh ker? sbb dia nak dok ngan saya.Walaupun dia ade 7 anak yg lain. Walaupun byk perkara yg menyakitkan hati sblm2 ni...bila dah semakin tua ni..hati saya bertambah lembut... memang camtu kot yer kak nik?

ain said...

teringat abah kat kg. esok nak balik kg, nak ajak abah makan luar sempena hari bapa.

To every father in the world..happy fathers day!!!!

mawar merah said...

nik, sedih ler citer psal ayah ni, teringat kat ayah akak ler..huhuhu..

Lizabujang said...

salam nik..
entry ini membuat za menangis kerana ayah za dah tak ada....

dhan said...

sedihnya kak nik baca entri kak bik ni.. huhuhuhu...

sya said...

selamat hari bapa untuk semua ayah..

kakchik said...

terharu... pengorbanan seorang bapa untuk anaknya... adakah terbalas oleh kita?

kakyong said...

kak nik,
seronok baca kesah kaknik.
kakyong tak reti nak mesra dgn ayah.. bahkan selalu rasa mcm asing...
tp tak bermakna saya tak pernah mendoakan ayah & org tua kakyong..

lebih bertuah ayah kaknik pandai menjahit.

Nik Fauziah Nik Hussin said...

salam bai.. mmg bila semakin berumur, seharusnya kita semakin lembut.. klu tak mesti ada smthg tak kena..
apa pun syukur bai masih dilahirkan dari benih seorg ayah dan masih ada seorg lagi ayah walaupun ayah tiri..

ain..
semoga abah ain sentiasa dlm lindungan Allah.

Yerla kak mawar.. nik dpt bayangkan..sbb nik pun klu citer bab mak mmg sedih..

za, semoga ayah za dicucuri rahmat-Nya

Nik Fauziah Nik Hussin said...

salam dhan..
akak yang menulis pun sedih dhan bila teringat ayah.

sya.. selamat hari bapa gak untuk suami dan ayah sya..apasal susah akak nak tinggalkan komen kat blog sya yer..

kak cik.. mmg btol, mak dan ayah pengorbanan mereka tkde nilainya.. kita anak2 blom tntu dpt membalasnya.

Yong..mmg bukan semua orang dpt rapat ngan ayah.. alhmdulillah, akak dpt jugak rapat tp mcm yong kata tak rapat tak bermakna tak sayang dan tak mendoakan mereka kan?

seriadriani said...

salam kak nik

ayah saya pun garang masa kami kecik2 dulu. tapi bila ngan cucu, peliknya tak la garang. apa cucu nak semua dia tunaikan.

idasm said...

salam kak nik, td ida bc entri shelly tentang kasihnya ibu, mutiara jernih ni dh jatuh. sekarang ida bc entri akak ni.. lagi laju jatuh mutiara jernih ida... aduh2.. memang sayu dan menyentuh rasa...
ida pun tak pernah ucap selamat hari bapa buat abah ida... mungkin ida patut mulakan kan..
- kagum dgn perwatakan dan semangat ayah kak nik.