RSS

Wednesday, June 17, 2009

Apabila Hidayah Menyentuh Hati (1)


Kewajiban menutup aurat sememangnya telah jelas dinyatakan di dalam al-Quran. Dalam surah al-Ahzab ayat 59 Allah SWT berfirman bermaksud, “Wahai nabi (Muhammad), suruhlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita beriman agar melabuhkan jilbab (pakaian bagi menutup seluruh tubuh) mereka (semasa mereka keluar), cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani (terhadap dosa kamu di masa lalu).

Dalam masyarakat Melayu Malaysia, pemakaian tudung sudah menjadi satu budaya. Rata-rata kita dapat melihat wanita Melayu bertudung. Sama ada singkat atau labuh, berwarna-warni dan sebagainya, ia bukanlah lagi fenomena asing. Biarpun dari segi syariat masih boleh dipertikaikan, (bergantung kepada kefahaman individu) namun ia satu perkara yang memberangsangkan.

Daripada golongan agamawan, orang awam sehinggalah golongan artis, rata-rata menyedari kewajipan menutup aurat ini.

Sepanjang penglibatan saya dalam bidang kewartawanan ini, agak ramai juga golongan selebriti yang melakukan penghijrahan, daripada tidak bertudung kepada memakai tudung, telah sempat saya temubual.

Kebiasaannya, ada cerita menarik yang tersimpan di sebalik penghijrahan mereka. Apabila mendengarkan cerita mereka, terbetik rasa syukur yang amat sangat kerana sekurang-kurangnya saya diberikan hidayah oleh Allah seawal usia 13 tahun untuk melaksanakan kewajipan menutup aurat. Dan rasa syukur itu juga dapat dikongsi bersama mereka yang akhirnya terbuka juga hati untuk melaksanakan tuntutan tersebut.

Bagaimanapun dalam ramai selebriti yang sempat saya temubual, saya berasa amat kagum dengan dua orang selebriti ini. Dayangku Intan Engku Abdul Hamid dan Mek Habshah. Bagi mereka yang sezaman dengan saya, Dayangku Intan bukanlah suatu nama asing di era 80-an. Antara lagu-lagu beliau yang sering menjadi siulan anak muda ialah Berpaut Di Dahan Cinta dan Kita Insan Biasa berduet dengan JayJay. Manakala Mek Habshah pula, merupakan seorang pelakon komedi wanita di zamannya.

Alhamdulillah, kedua-dua mereka ini telah diberikan hidayah oleh Allah untuk melakukan penghijrahan yang sangat membawa erti. Mereka berdua bukan sahaja telah melaksanakan kewajipan menutup aurat tetapi turut mengambil langkah drastik meninggalkan bidang nyanyian dan lakonan.

Masih teringat temubual saya bersama Kak Intan (panggilan mesra untuk Dayangku Intan). “Apabila Allah memberikan saya ujian berturut-turut, cukup untuk membuatkan saya terduduk dan mengakui kebesaran-Nya.”

Bermula dengan kematian adik akibat penyakit SLE dan meninggalkan 5 orang anak, diikuti dengan kelahiran anak tanpa hempedu, cukup menguji dirinya. Namun apa yang lebih memberi kesan terhadap dirinya apabila anak yang masih dibangku sekolah rendah terlibat dengan gejala gangsterism, skin head dan membawa senjata ke sekolah.

“Keadaan itu membuatkan Kak Intan tidak yakin untuk menghantarnya ke sekolah menengah biasa sebaliknya menghantarnya ke sekolah agama.”

Setahun berada di Sekolah Islam Adni, ternyata berlaku perubahan yang besar dalam diri anaknya. Keadaan tersebut turut mendorong dirinya berubah. Menurutnya, setiap kali menghantar anak ke sekolah, beliau akan bertudung. Tapi apabila balik atau keluar bersama ahli keluarga beliau tidak bertudung.

Akhirnya, setelah terserempak dengan seorang ibu kepada rakan anaknya yang juga seperti beliau (bertudung umpama iklan biskut chipsmore, katanya), beliau menyedari betapa tidak elok sikap sedemikian lantas mengambil keputusan untuk terus bertudung.

Bertitik tolak dari situ, berlaku perubahan yang sangat besar dalam hidupnya. Beliau memang telah lama bercuti menyanyi sejak kelahiran anak ketiganya (tanpa hempedu), terus mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bidang tersebut.

Melihat perubahan kepada anak keduanya, beliau tidak teragak-agak menghantar dua orang lagi anaknya juga ke sekolah agama. Begitulah, apabila Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki melalui apa cara sekalipun.

Dalam kes Kak Intan, hidayah datang melalui anak. Teringat kata beliau, apabila anak-anak balik ke rumah dan melihat sesuatu seperti tidak diajar di sekolah (Khalifah Model School) mereka akan terus menegurnya.. “mama that’s not the Khalifah way”. Betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh si kecil.

Beliau tidak putus menyatakan kesyukurannya kerana masih dikasihi Allah dan memberi kesempatan untuknya berubah.

“Kak Intan tidak malu untuk mengakui bahawa dahulu Kak Intan tidak pernah mendirikan solat. Bukan tidak mahu mendirikan solat tetapi Kak Intan tidak tahu mendirikan solat.”

Alhamdulillah dengan hidayah kurniaan-Nya beliau telah memanggil ustaz untuk mengajar agama di rumah.

Hidayah yang hadir turut memberikan kesedaran bagi dirinya untuk menyumbangkan sesuatu kepada remaja Islam yang telah terjebak dengan gejala tidak sihat. Beliau dan suami kini aktif dengan kerja sosial yang membantu remaja yang telah terlanjur atau mat rempit.

Apabila ditanya tidak sayangkah meninggalkan bidang yang glamour dan populariti sebagai penyanyi, beliau dengan ceria berkata “sekarang inipun Kak Intan masih lagi popular malah lebih popular dan gembira kerana dapat bertemu orang yang baik-baik seperti Nik yang tak pernah akak berpeluang berjumpa sebelum ini!”

Satu perkara yang cukup menyentuh saya, yang pernah dilafazkan beliau..Sakit akibat ditimpa penyakit, masih lagi tidak seberapa kerana kita tahu kalau kita ada duit kita boleh mendapatkan rawatan daripada doktor yang terbaik..tetapi sakit kerana bertaubat hanya Allah sahaja yang tahu. Kita tidak tahu sama ada taubat kita diterima dan ia membuatkan kita terus merintih memohon daripada-Nya

Cerita mengenai Kak Mek?? Tunggu di entry lain..

ps: 1) Terima kasih kepada Kak Intan yang memberi keizinan untuk saya paparkan kisahnya di dalam blog saya. Katanya kalau ia membawa kebaikan gunakanlah Nik!
2) Maaf yer kalau penulisan saya kali ini ayatnya skema semacam... alar2 reporting untuk majalah la plekk!!

13 comments:

aJa said...

Kak, sedih dan insafnya.
Awal bulan lalu pun suami saya ada bagi artikel pasal aurat ni, kadang-kadang kak kita tahu dan mahu..tetapi apa ye kak yang menyebabkan kita berlengah-lengah dgn kemahuan kita itu? Adakah kerana kemahuan diri yang tak cukup kuat atau....?

Nik Fauziah Nik Hussin said...

salam aja... Ingat tak satu hadis nabi s.a.w ada menyebut..cukuplah kematian itu sebagai satu nasihat.
Kalau kita hayati hadis itu insya-Allah kita akan bersegera untuk melakukan apa juga kebaikan sbb kita tak tahu bila ajal dtg menjemput. Hadis tu memberi kita motivasi untuk bersegera melakukan kebaikan. tapi sbg manusia penyakit malas dan lemah tu mmg tak dpt dielakkan. Mintakla perlindungan dari-Nya. semoga kita semua diberikan kekuatan untuk berubah ke arah kebaikan!

Dida... said...

Salam Kak Nik..

Cerita pendedahan tentang selebriti yg berhijrah ke arah kebaikan begini mmg bagus sekali dipaparkan.. Kak Nik mempunyai kelebihan utk mendekati mereka krn Kak Nik seorang penulis...

Saya menunggu N3 sterusnya mengenai mek habsah.. mgkin perkahwinan beliau juga merupakan satu titik tolak perubahan yg beliau lakukan ini.. wallahua'lam..

NORHAYATI BERAHIM said...

Nik
ingat lagu dayang ku intan..

Ku pendam rahsia hati yang menyintaimu,
Sungguh aku malu berterus terang
bimbang aku bimbang kau tak sudi..
Dan Dayang ku Intan telah menemui cintanya..
Cinta yang sebenar, cintanya kepada ALLAH...Alhamdulilah..ikhtibar utk kita semua kan nik..

mawar merah said...

Nik, cakap pasal aurat, akak rasa masih belum kuat untuk menjadi sempurna...sedang berusaha ke arah itu. Moga dipermudahkan Allah untuk semua orang.

ain said...

kak nik....saya selalu bertanya dgn diri saya, kenapa saya belum boleh menutup aurat dlm erti kata yg sebenar..???

sya said...

betul kak nik,
kadang2, bila didatangkan ujian buat kita, sebenarnya itu adalah satu peringatan buat kita supaya kita tidak terus lalai dan leka. ada kebaikan yang tersembunyi di sebaliknya.. terpulang pada kita untuk menilai..

saya juga masih pakai stokin ala2 chipsmore! huhu

Nik Fauziah Nik Hussin said...

salam dida..
Alhamdulillah kerana diberikan oleh-Nya sedikit kelebihan bertemu dengan mereka ini.. Banyak perkara baik yang dikongsi bersama. Dan hubungan baik itu terus kekal hingga ke hari ini.

Salam kak yati..
mmg betul, dia telah menemui kebahagiaan dan cinta yang sebenar. banyak lagi perkara yang tak mampu untuk nik catatkan di ruangan ini..tapi cukup membuatkan nik kagum dgn dia. Untuk pengetahuan akak..anak kedua dia ni skrg belajar tahfiz.

salam kak mawar..
bersama kita tingkatkan usaha untuk menjadi lebih baik.

Nik Fauziah Nik Hussin said...

Ain..
Kenapa? Akak tak ada jawapan untuk soalan ain...cuma bak hadis nabi Agama itu adalah nasihat. Kata ulama, hati kita ini akan keras kalau tidak mendengar perkara agama lebih dari tiga hari. dengan kata lain kita perlu menambah ilmu sentiasa.. selain itu berdoa agar sentiasa diberikan hidayah. dan cukuplah mati itu sebagai nasihat dan peringatan yang merenggut segala kesedapan duniawi. (yang baik itu dari Allah jua, yang buruk itu kekurangan diri akak)

Betol sya..setiap sesuatu yang terjadi itu ada hikmah bagi yang mahu mengambil iktibar... Perkara yang tidak kita suka itu kadangkala menjadi peringatan dari Allah dan tanda Dia masih sayangkan kita...

Pengasas said...

Salam Nik,
Sebenarnya, pada hati lelaki, wanita yang menutup aurat lebih baik dari yang lain. Pada mata lelaki pula, yang menutup aurat lebih manis lagi menawan. Tambah lagi jika disertai sopan santun dan lemah lembut.
Apa yang Islam ajarkan itu menyelesai banyak masalah. Contoh, wanita mudah dapat jodoh, lelaki tak luntur kasih sayang.

kakyong said...

thanks kak nik...
sharing is caring... ade sesuatu yg buat air mata daku bergenang...

Nik Fauziah Nik Hussin said...

yong, semoga kita dpt manfaatnya.

Nik Fauziah Nik Hussin said...

salam dr.
Teringat satu pepatah.. yang baik itu yang tak dpt dilihat dengan mata tapi dirasai kebaikannya.. alhamdulillah dpt berkongsi pandang seorang lelaki