Kehidupan adalah sebuah universiti. Dari kehidupan pelbagai perkara boleh dipelajari. Kita mungkin mampu belajar sesuatu perkara itu secara teorinya sahaja di sekolah atau pusat pengajian, namun pengalaman yang dirasai itulah pelajaran atau guru sebenar dalam kehidupan.
Nikmat kejayaan dan pahit kegagalan, hanya mampu dirasai setelah kita melaluinya sendiri. 27 Januari, tarikh yang mendebarkan bagi semua pelajar yang telah menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama di Selangor. Tarikh pengumuman keputusan peperiksaan tersebut.
Bagi yang telah berusaha bersungguh-sungguh, pasti tersenyum lebar melihat keputusan 'mumtaz' yang tercatat di slip peperiksaan.
Saya sebenarnya agak terkejut sewaktu disapa oleh guru sekolah Along melalui fb. Katanya, along kelihatan sangat 'down'. Saya waktu itu masih tidak tahu rupa-rupanya hari tersebut hari pengumuman keputusan. Dalam hati sudah berdetap, mungkin keputusan along tidak seperti yang diharapnya. Setelah berbual seketika, barulah saya tahu along cuma mendapat pangkat Jayyid Jiddan.
Saya dapat merasakan kesedihan anak sulung saya itu. Memang dia sudah berusaha bersungguh-sungguh dan menaruh harapan yang tinggi untuk mendapat pangkat mumtaz. Dan tentu sahaja tambah menyedihkan, apabila tiga orang sahabahat baiknya mendapat pangkat mumtaz. Dapat saya bayangkan hancurnya hati along.
Lalu malam tersebut saya bergegas ke asramanya. Dalam tergesa-gesa balik dari pejabat, saya cuma sempat menyediakan sandwich telur kegemaran along. Selepas solat Magrib, kami sekeluarga bergerak ke Ampang. Pada guru asramanya saya telah kirimkan mesej meminta izin melawatnya, biarpun waktu tersebut bukan masa melawat. Naluri keibuan saya dapat merasakan beban perasaan yang ditanggung olehnya.
Sebaik saja dipanggil turun, along terus berlari mendapatkan saya dan memeluk saya seeratnya. Basah bahu saya dengan airmatanya. Luluh hati saya mendengar tangisannya. Namun saya tetap tiupkan semangat kepadanya. Saya nyatakan saya dan abahnya bangga dengan keputusan yang diperolehinya. Saya tahu dia sudah berusaha sedaya upaya, namun itu rezeki yang tersurat untuknya.
Saya ulang padanya, bukankah umi pernah kata, along dah berusaha sehabis daya. Apa juga keputusannya kena redha. Alhamdulillah, setelah hampir setengah jam meluahkan perasaan yang terbuku, akhirnya along tenang.
Saya dan abahnya terus menasihatinya agar melupakan keputusan yang diperolehi, dan terus berusaha sebaiknya untuk peperiksaan SPM yang bakal diduduki penghujung tahun ini.
Pada Along, ingatlah...kadang kala apa yang terbaik kita harapkan, bukan yang terbaik untuk kita sebenarnya. Along tak perlu malu dengan umi, tapi malulah dengan Allah dan redhalah dengan ketentuan Allah. Umi bangga kalau along dapat keputusan cemerlang, tapi umi lebih bangga jika along menjadi anak yang solehah dan hamba Allah yang beriman. Cemerlang di dunia, belum menjamin cemerlang di akhirat. Semoga Along terus tabah dan belajar dari pengalaman. Dan doa umi sentiasa mengiringi kehidupan Along.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
6 comments:
Alhamdulillah, bukan semua umi dan abah dapat memahami hati & perasaan seorang anak dalam keadaan seperti ini. Sudah sedaya upaya dia berusaha, itu yg penting. Along sangat sangat beruntung :)
tsk..tsk...sedey baca n3 ni...ada perasaan sebak yg dalam kat dada ni...
aja tahu apa perasaan along...sebab aja dah pernah mengalaminya...mungkin betul kata kak nik...kadang kala apa yg terbaik kita harapkan itu bukan yg terbaik utk kita....aja setuju...
pada along...bertuahnya dapat umi macam kaknik... :)
Dinas dan aJa,
Sebagai seorang ibu mmg luluh hati bila melihat anak kecewa. Tapi dia harus belajar menerima kegagalan. Yang penting dia telah berusaha, namun nasib tak menyebelahi dia.
Teringat dahulu cerita guru akak, katanya ada seorang ayah, apabila anaknya berjaya dlm pelajaran, dia berasa mahu berikan segalanya pd anaknya itu. Tapi bila anaknya gagal terasa hancur hati dan rasa macam nak mintak balik apa yg diberikan...
Syukur Alhamdulillah, Allah tak campakkan perasaan sebegitu dalam hati akak..
Moga along belajar dari pengalaman.
bila kak nik menulis..rasa hiba!boleh rasa jugak kesedihan..to along..jangan sedih sangat..bukan pengakhir segalanya..hurm..setuju dengan umi along jugak..lebih bangga memiliki anak yang solehah...semoga along terus maju dan terus bersemangat..
kak nik...
terasa mcm baca nv / cerpen pendek. begitu terkesan di hati sampai nk menitis air mata ida.
semoga along terus tabah. dan semoga along bisa menempah kejayaan cemerlang di SPM nanti...
Zam..tulah, pada akak biarlah dia menimba pengalaman..
Ida..mmg sedih hati tgk dia sgt sedih.. dan tambah sedih lagi, bila resultnya 89.6%, kurang 0.4% untuk dpt mumtaz. Dan janji dgn dia unt semak balik markah di Jais.. dlm prosespun cuma pesan kat dia..jgn terlalu berharap, sekadar mencuba. mana tahu ada rezeki dia.
Post a Comment