Meninjau laman FB.. tiba-tiba saya terpandang status seorang
sahabat lama – seorang kakak, naqibah usrah@ bulatan gembira saya sewaktu di
kolej dulu..Kak Ruziah Hamsan yang saya panggil Kak G. Ingatan saya kembali terheret ke zaman
bergelar pelajar. Zaman kenakalan
saya. Nakal tapi terkawal.
Teringat sesosok peribadi bernama Ruziah. Hitam manis orangnya, lembut peribadinya dan
bersifat keibuan. Saya cukup suka
melihat dia yang selalu berjubah hitam berniqob. Tapi yang saya sangat kagumi sifatnya yang
penyayang dan mengambil berat. Dia
selalu sudi ‘memberikan telinganya’ untuk mendengar segala permasalahan dan
selalu memberikan nasihat yang berguna.
Dia juga sangat berani, katanya yang perlu ditakutkan hanya
Allah sahaja. Justeru, saya tak pelik, apabila dapat tahu dia sekarang ini
menjadi seorang bilal memandikan jenazah. Membaca
di wall fb nya, saya tahu dia banyak menyimpan pengajaran daripada usaha fardu
kifayahnya. Dan saya berasa rindu untuk mendengar kisah-kisah teladan seperti
yang pernah dikongsikan dulu-dulu.
Di kalangan anak-anak usrahnya, sayalah yang paling manja dan suka ke hulu ke
hilir dengannya. Biliknya selalu menjadi
tempat lepak saya. Kalau terasa nak bangun qiam, sudah pasti biliknya jadi
tempat tidur saya. Sebab pasti jam 3.30 pagi dia akan bangun dan kejutkan saya
untuk bangun bersamanya.
Waktu senggang antara Magrib dan Isyak atau kadang-kala
melarut hingga jam 10 malam sebelum mula mentelaah, akan diisi dengan pelbagai
cerita teladan. Mini usrah kami.
Satu kenangan yang paling tak dapat dilupakan, satu perkara
kecil tapi menyentuh hati. Lengan baju
kurung saya waktu dulu tidak bercekak. Dan waktu dulu masih belum ada sarung
tangan seperti yang dapat dibeli pada hari ini. Kalau ada pun cuma arm guard
untuk pemain badminton, memang tak sesuai dipakai. Teringat waktu tu… kak G
dengan selamba menjahit butang ketip pada hujung lengan baju kurung saya dan
mengetipkannya. Small gesture tapi
ingatan tersebut tak pudar dari ingatan
saya.
Begitu juga, satu masa kaki saya pernah terseliuh ditimpa
cermin pecah (mujur tak luka). Kak G lah yang mengurutnya sehingga baik…dan
yang lucunya kaki saya diurut dengan margerin sebab waktu tu tak ada minyak
panas.
Saya sangat bersyukur sebenarnya kerana pernah ditakdirkan menjadi anak usrah kak G… Melaluinya
dengan izin Allah banyak yang saya dapat pelajari. Dan yang paling utama,
melaluinya saya banyak bermuhasabah diri khususnya dalam bab akhlak.
Biarpun kami terpisah apabila kak G mendirikan rumah
tangga sewaktu bergelar pelajar, ingatan
saya terhadapnya tak pernah putus. Dan alhamdulillah silaturrahim yang terputus
puluhan tahun, akhirnya kembali tersimpul apabila kami bertemu semula di laman
FB.
Terharu saya apabila Kak G masih lagi seperti yang saya
kenali dulu…penuh dengan sifat memahami, pengasih, mengambil berat dan yang
pasti…dia masih mengenali dan memahami diri saya. Tak perlu saya ungkapkan..dia
sudah tahu gelojak perasaan saya. Dan ayat yang menyentuh jiwa saya…bila dia katakan,
“Kak G kenal perangai adik manja kak G neh…”
Sungguh… saya terharu dan kagum dengan kekuasaan Allah yang
menautkan hati kami. Tak perlu saya ceritakan apa masalah saya. Sebab dalam
bercerita secara tak langsung, dia sudah menjawab persoalan yang menghantui
diri saya. Dan bila saya akhirnya membuka kisah, seperti biasa nasihat yg amat
berguna saya perolehi…Macam dulu-dulu. Mudah-mudahan Allah menautkan ukhuwah kami
hingga ke jannah.
3 comments:
Assaalamualaikum kak nik....
Terharu membaca kisah kak gee...beruntung akk mempunyai sahabat sepertinya...alahamdulilah.
wassalam...azlina.
memang beruntung, syukur pada Allah.
Kata Saidina Abu Bakar sahabat itu ialah orang yang sanggup mengambil kesusahan sahabatnya untuk merasa sendiri peritnya dan sanggup berkorban demi sahabatnya.
Kalau berjumpa org yg mcm tu jgn dilepaskan. Moga Azlina juga dikurniakan sahabat yang baik.
Assalamualaikum..
wah.. ceritanya mengharukan sekali..
kunjungi blog saya yah
http://jilbabluye.blogspot.com/
terima kasih
Wassalam
Post a Comment