RSS

Friday, December 30, 2011

Sebab mulut iman binasa!



Sebut hal mulut ini, memang macam-macam perkara yang boleh dikaitkan dengannya. Malah banyak peribahasa yang mengaitkan tentang mulut. Mulut tempayan, berat mulut dan ringan mulut, antara contoh biasa yang digunakan ramai orang.

Begitu juga dengan kata bidalan, sebab pulut santan binasa sebab mulut badan binasa. Menunjukkan betapa peranan mulut atau apa yang disebut oleh mulut akan memporak-porandakan hidup.

Sebab itu Nabi saw bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Namun pernahkah kita semua terfikir, disebabkan mulut juga iman dan akidah kita boleh binasa?

Sebenarnya ramai di kalangan kita yang tidak sedar bahawa disebabkan kata-kata yang keluar daripada mulut kita, menyebabkan jatuh syahdah atau gugur keimanan kita. Benarkan begitu?

Keimanan itu terbina di atas 3 unsur iaitu takrir , tasydid dan amal; diucapkan di mulut, membenarkan di hati dan dimanifestasikan dengan perbuatan. 3 unsur inilah yang membina keimanan. Justeru andai rosak salah satu daripada 3 unsur ini maka bukankah akan rosak keimanan kita?

Sifir iman bukan 3-1 jadi 2. Tapi 3-1 jadi 0!

Contoh mudah, mulut kita suka sangat sebut: “Mujurlah ada awak, kalau tak tahu apa nak jadi.”

Kata –kata sebegini sebenarnya sangat mengundang bahaya. Bayangkan kalau dilafazkan dengan taklid bahawa sebab kawan kita itu ada kita selamat, maka apa jadi dengan iman kita? Tak takut jatuh syirik kah kita?

Mungkin lebih molek kalau kita tukar, “Mujurlah Allah hantar awak...alhamdulillah, syukur sangat-sangat”.

Itu baru satu contoh kecil. Banyak lagi perkara yang sebenarnya membuatkan kita berada di jurang syirik.

“Kalau tak undi parti ni jangan mimpilah nak maju, banyak peluang kerja, senang dapat makan!”

Allah..Allah. Tak kisahlah anda nak mengundi siapa, parti mana - itu hak masing-masing dan saya tidak bercakap tentang politik..tapi perhati apa yang kita lafaz di mulut dan iktikad kita. Sebab beza iman dan kufur itu sangat tipis garisannya!

Begitu juga, berhati-hatilah apabila bercakap tentang hukum disyariatkan oleh Allah dalam Quran. Jangan sebab nafsu, mulut kita bercakap sekehendaknya. Dan natijahnya badan kita yang merana, iman kita yang binasa.

“Pada hari ini Kami kuncikan mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), serta kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan .” (surah Yasin: 65)

Wednesday, December 7, 2011

Perjalanan terakhir…


Tiada kata sebenarnya yang mampu mengungkap perasaan kehilangan ayahanda yang sangat dikasihi, memang sangat tak disangka. Namun, segalanya telah tersurat.

Ayahanda saya memang mengalami masalah kencing manis dan jantung. Namun keadaanya terkawal. Hinggalah dua minggu sebelum pemergiannya, dia kurang berselera makan dan mengalami demam.

Pada subuh 19 November, ayah terbangun dari tidur, muntah-muntah, sakit perut, menggigil dan sakit dada. Lalu kakak kedua yang tinggal bersama ayah terus membawanya ke hospital.

Setelah dilakukan pemeriksaan, ayah disyaki mengalami masalah apendiks. Lalu ayah dimasukkan ke wad. Pada hari ketiga, menurut kakak sulung saya, ayah mengalami sakit perut yang serius. Setelah dijalankan pemeriksaan teliti, doktor mendapati apendiks ayah telah pecah.

Memang sukar untuk dijalankan pembedahan membuang apendiks tersebut, disebabkan masalah jantung dan kencing manisnya. Lalu doktor membuat keputusan untuk melakukan rawatan secara konservatif iaitu melalui suntikan antibiotik dan berharap lemak-lemak akan menutup apendiks yang pecah itu.

Alhamdulillah, dari 19 hingga 28 November, kesihatan ayah semakin positif. Ubat antibiotik yang diberikan membantunya. Saya sempat balik menjaga arwah pada 24 November hingga 27 November, menggantikan kakak dan abang yang telah menjaga ayah sebelum ini.

Ayah sudah boleh makan makanan lembut dan minum susu. Setiap setengah jam, ayah akan minta minum air. Memang sukar juga, sebab ayah cuma boleh minum satu liter sehari. Terpaksa juga mencatu minuman untuknya walaupun kasihan melihat dia kehausan. Untuk mengurangkan rasa haus, ayah minta ditambah ais dalam minumannya, alhamdulillah dengan itu dapatlah mengikut apa saranan doktor.

Pada hari ketiga menjaga ayah, sewaktu membantu menukar lampin pakai buangnya, hati saya tersentuh melihat najisnya yang kehitaman. Terdetik rasa tidak sedap hati, tapi saya pendam rasa itu. Tambahan pula ayah kelihatan semakin sihat, wajahnya juga tampak kemerahan berbanding kali pertama saya menjengahnya - pucat dan sangat uzur.

Hari Ahad, saya terpaksa kembali semula ke Kuala Lumpur untuk menyiapkan tugas. Lalu pada ayah saya katakan saya terpaksa balik dahulu dan kembali menjaganya semula Jumaat nanti (2 Dis ’11). Dan ternyata kesihatan ayah semakin baik malah diberitahu akan dibenarkan pulang sehari dua lagi. Namun ternyata perancangan Allah mendahului perancangan manusia.

Selepas solat Subuh pagi Khamis 1 Disember, suami saya mengajak balik ke kampung menjenguk ayah. Katanya, dia balik sekejap dan tinggalkan saya terus sehingga Ahad. Kebetulan dia juga tidak sempat lagi menjenguk ayah disebabkan urusan kerja dan mengalami demam.

Sewaktu jam menunjukkan angka 9 pagi, tiba-tiba kakak keempat saya menelefon memberitahu keadaan ayah yang semakin tenat. Saya yang waktu itu sedang bersiap-siap untuk ke pejabat benar-benar terkejut dan tak terkata apa-apa. Setengah jam kemudian kakak kedua menelefon memberitahu ayah nazak dan tepat jam 10.30 dia menelefon lagi memberitahu ayah sudah kembali ke rahmatullah.

Gelap terasa dunia sekejap. Dalam tempoh tak sampai dua jam segalanya terjadi ibarat sekelip mata. Terasa umpama mimpi… tak percaya dan sedih yang sukar digambarkan. Ya, saya kehilangan seorang ayah yang sangat saya kasihi…

Bergegas saya pulang ke kampung dan setibanya di rumah jenazah ayah masih belum tiba dari hospital. Ayah siap dimandikan dan dikafankan di hospital dan selepas zohor sekitar jam 2.30 barulah jenazah ayah tiba di rumah…

Demi dibuka kain kafan yang menutupi wajah ayah tercinta, berderai air mata saya. Tampak tenang seraut wajah tua ayah. Umpama dalam tidur. Jenazah ayah saya kucup perlahan..sejuk umpama ais..ye benar ayah saya sudah tiada.. pergi yang takkan kembali lagi….

Alhamdullillah tepat jam 4 petang jenazah ayah selamat dikebumikan dan sebagai anak saya sempat melakukan sumbangan terakhir menyolati jenazahnya.

Sungguh saya berasa separuh semangat saya terbang…saya kehilangan seorang insan yang sentiasa menjadi pendengar setia cerita-cerita saya. Tiada lagi kelihatan seorang tua yang duduk di kerusi rehat tepi pintu berehat sementara menunggu masuk waktu solat atau setia mendengar celotehan anak cucunya.

Terlalu banyak kenangan bersama ayah..paling tak dilupakan kesungguhannya membantu saya menghafaz surah Sajadah. Malah terngiang katanya, “ulang baca 40 kali, insyaAllah boleh ingat.” Dan pasti saja air mata terus berderai tatkala menghadap al-Quran, sebab teringat tegurannya kalau bacaan yang dibaca kurang sempurna.

Moga Allah mengurniakan maghfirah, rahmat dan menjadikan tempat rehat ayah sebagai taman syurga.



Tuesday, November 8, 2011

Tahu, Mahu dan Mampu…

Kita baru sahaja selesai menjalani hari raya korban dan masih berbaki sehari lagi bagi yang ingin menunaikan ibadah korban.

Bagi yang berkemampuan, sudah pasti tidak melepaskan peluang untuk menunaikan ibadah tersebut. Bagi yang kurang berkemampuan, berdoalah moga dimurahkan rezeki dan diberi kesempatan untuk melaksanakannya di tahun mendatang, insyaAllah.

Bercerita tentang pengorbanan, teringat tazkirah dalam rancangan Semanis Kurma tentang pengajaran di sebalik peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail. Betapa kalau dilihat pengorbanan Siti Hajar sebagai seorang isteri dan ibu, terpaksa berkorban perasaan apabila dicemburui madunya. Kemudian ditinggalkan bersama anak yang masih kecil di padang pasir gersang dan terakhirnya terpaksa berkorban lagi kerana anak kesayangan akan disembelih.

Memang segala pengorbanan tersebut sudah tersurat menatijah sesuatu yang baik untuk seluruh umat manusia, namun dilihat dari sudut pandangan seorang wanita, ia bukan suatu yang mudah dilaksanakan seandainya tidak diiringi dengan keimanan yang kental.

Bak kata Ustaz Dato’ Zawawi, erti kasih sayang atau pengorbanan itu ialah sentiasa menjadi orang yang memberi dan bukan hanya mengharap untuk menerima. Bagaimana boleh bersabar menjadi orang yang sentiasa memberi? Sebab mereka melihat ganjaran yang telah disediakan Allah di akhirat nanti. Dengan kata lain mata mereka cuma nampak dan fokus akhirat. Sebagaimana kata Prof. Dr. Muhaya Muhammad – pencen kubur (mencari redha Allah dan bukannya mencari redha manusia).

Memang bukan mudah bagi kita insan yang biasa ini untuk menjadi orang yang sentiasa memberi tanpa mengharap balasan, tanpa mujahadah. Paling tidak kita tetap mengharap sebaris ucapan terima kasih. Tidak salah sebenarnya mengharapkan penghargaan kerana penghargaan meninggikan esteem kendiri.

Namun jangan sampai jika tidak mendapat penghargaan kita hilang keikhlasan, hilang motivasi dan terus ‘putus angin’ untuk berbuat kebaikan.

Jadikan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah di ‘sana’ nanti sebagai motivasi untuk terus memberi. Kalau kita percaya janji manusia, mengapa kita ragu-ragu dengan janji Allah – Tuhan yang Mencipta manusia?

Memang sebagai manusia, kita TAHU dan kita MAHU kebaikan..tapi kita seringkali TIDAK MAMPU, disebabkan nafsu yang mencengkam. Memang benar, TAHU, MAHU dan MAMPU, tiga perkara yang berbeza..tapi boleh disatukan dengan mujahadah – peperangan antara iman, nafsu dan akal dengan bersungguh-sungguh agar nafsu yang sering mengajak ke arah kejahatan itu kalah.

Sewajarnya pesanan Saidina Ali kita pegang – iaitu meletakkan dunia di bawah dagu dan akhirat di depan kita. Dunia kalau kita kejar ia semakin menjauh tapi kalau kita meletakkan di sisi ia akan ‘datang’ kepada kita.

Moga kita mampu menjadi insan yang sentiasa memberi dan berasa bahagia apabila dapat memberi. Memang sukar tapi tidak mustahil ditambah jika kita meletakkan akhirat sebagai fokus kita. Mudah-mudahan kita termasuk di dalam golongan yang mendapat redha dan rahmat Allah selalu.

Tuesday, October 25, 2011

Tullis..jangan tak tulis!

Dunia penulisan, apatah lagi dunia penulisan kreatif, sangat menarik sebenarnya. Ia adalah dunia yang tersendiri. Di situ, segala macam watak boleh diisi. Pendek kata penulislah yang menentukan nasib dan 'takdir' watak. Suka duka, bahagia derita dan hidup mati watak, penulislah penentunya. Penulis boleh masuk ke dalam watak untuk menghidupkannya atau menjadikan watak kering tanpa perasaan.

Ya dunia penulisan sangat unik. Jika kena gayanya ia boleh menjadikan si penulis kaya raya dengan hasil tulisannya. Sebut sahaja nama penulis, pasti sudah tersohor dan karyanya laris umpama pisang goreng panas. Justeru, tidak hairanlah jika ramai yang begitu ghairah mahu menjadi penulis sebab mereka merasakan ia kerja mudah untuk mendapat imbuhan.

Tapi ada juga yang tak kaya-kaya biarpun puluhan tahun menghambakan diri kepada bidang penulisan. Lebih malang lagi tulisannya ibarat syok sendiri sahaja.

Sebenarnya saya bukan nak sentuh tentang laku atau tidak novel yang dihasilkan. Saya sendiri pun bukanlah seorang penulis kreatif. Tapi saya sangat berminat membaca novel. Dan kebetulan saya mempunyai sedikit ilmu tentang proses editing.

Ramai yang bertanya saya bagaimana nak menulis novel. Sekali lagi saya tegaskan saya bukanlah seorang penulis kreatif. Ada tak ada, saya pernah menulis sebuah cerpen dan satu manuskrip yang terbengkalai di bab 8. Dah hampir 2 tahun diperam.

Cuma sebagai penulis (di majalah) saya selalu memegang prinsip tulislah sesuatu yang bermanfaat untuk dibaca dan diamalkan. Walaupun bukan untuk orang lain baca dan amalkan, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri.

Menulis ini ada amanahnya. Setiap apa yang ditulis itu akan dipertanggungjawab di akhirat kelak. Jadi biarlah tulisan kita itu ada 'pengisian'. Pengisian yang boleh meningkatkan iman dan amal. Kalau tidak pun, ada informasi dan dapat dijadikan iktibar.

Saya kadang kala keliru juga, mengapa perlu ada pengkelasan karya Islami dan bukan Islami. Bukankan sebagai seorang yang mengaku Islam kita kena 'masuk ke dalam Islam secara keseluruhan'. (Firman Allah dalam Surah al Baqarah ayat 208 "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan memang musuh kamu yang nyata.")

Justeru, karya yang dihasilkan juga seharusnya mempunyai batas-batas syarak sebagaimana dalam kehidupan. Kalau di luar karya, kita dilarang bergaul bebas, perlu menutup aurat dan sebagainya, maka di dalam karya juga seharusnya begitu. Saya faham ada kalanya kita perlu memasukkan realiti di luar ke dalam novel. Lakukanlah, tapi mesti dikontra dengan 'nilai-nilai baik' (seharusnya beracuankan nilai Islam). Sebab kita pasti mahukan karya kita ada nilai baik.

Apapun yang paling penting, penulis sewajarnya menggunakan penulisan sebagai media untuk berdakwah. Berdakwah mengikut kemampuan diri. Berdakwah menyeru kepada perkara yang baik. Dan biarlah kebaikan itu berterusan..bukan tenggelam timbul mengikut selera pembaca!

Penulis sebenarnya sangat beruntung sebab pembaca memberikan perhatian 100% kepada apa yang ditulis tatkala mereka menatap karya penulis kesayangan mereka. Lalu mengapa tumpuan sebegitu tidak dimanipulasi dengan semaksimum mungkin untuk berdakwah. Anda tak perlu keluar ke kelas-kelas pengajian berpenat menyampaikan perkara baik sebagaimana yang dilakukan oleh segolongan ustaz/usatazah.

Sangat rugi bukan kalau peluang menjadi seorang daie/daiyyah dilepaskan begitu sahaja? Bertambah rugi jika sekadar membuai perasaan pembaca sehingga membuatkan mereka gila bayang dengan watak ciptaan anda. Takutlah dengan ancaman Allah, takut kita terjebak menjadi golongan as-syuara yang dilaknat kerana menjauhkan orang daripada mengingati Allah.

Sedikit renungan daripada novelis Norhayati Berahim dalam novel Menunggu Kereta Api. (maaf lebih kurang ye..kalau nak tahu baca!)
"Kau percaya dengan janji Allah?"
"Sudah tentu aku percaya. Kalau kita percaya janji manusia, sepatutnya kita lebih percaya janji Allah. Sebab Allah mencipta manusia."

Monday, October 24, 2011

Bertemu Ayu

Petang Jumaat lepas saya sempat menerima SMS daripada adik saya Ayu (pemilik blog love.life.hope). Katanya dia berada di Shah Alam dan berhajat untuk berjumpa dengan saya pada hari Sabtu. Kebetulan suami terpaksa masuk ofis hari Sabtu jadi saya menjemput Ayu ke rumah.

Sebenarnya terasa sangat bersalah menyuruh Ayu ke rumah. Keadaan Ayu semakin uzur sebenarnya berbanding kali terakhir saya berjumpa dengannya. Ayu merupakan penghidap penyakit Multiple Sclerosis (MS).

Sebelum Ramadan yang lalu, keadaan Ayu agak kurang baik dan kini penyakit tersebut menyebabkan penglihatan Ayu terjejas. Sewaktu Ayu menelefon saya bulan lalu memberitahu keadaan dirinya, suaranya kedengaran sangat perlahan dan lemah. Saya turut merasa sebak. Tak terluah rasanya untuk menyuruh dia bersabar, sebab saya dapat rasakan penderitaannya.

Namun saya sangat kagum dengan kesabaran yang ditunjukkannya. Begitu juga dengan suaminya Najib, yang tidak pernah jemu membawa Ayu berubat ke mana sahaja.

Pagi Sabtu Ayu menghantar SMS, katanya pagi tersebut dia kurang sihat..Insya-Allah sebelah petang kalau keadaannya baik, dia akan ke rumah saya. Saya sempat bertanya bila dia akan balik ke Perlis, takdirnya Ayu tidak dapat sampai ke rumah saya, saya bercadang untuk ke rumah mertuanya di Shah Alam.

Jam 4.30 petang, Ayu menelefon mengatakan dia dalam perjalanan ke rumah saya. Sedih sungguh rasanya kerana Ayu yang sakit pula bersusah payah menjenguk saya yang sihat. Lalu saya pun segera ke dapur menyiapkan apa yang patut. Alhamdulillah dalam sejam setengah saya sempat membuat laksam.

Ayu sampai di rumah saya jam 6.30 petang, bersama suaminya dan anak bujang comelnya Afif serta bibik. Terharu rasanya dapat berjumpa Ayu, cuma sedih mendengar bicara Ayu. "Dapat dengar suara je kak..tapi Ayu tak nampak akak". Bergenang air mata saya.
Begitu juga apabila anak-anak bersalaman dengannya.

Ayu tak dapat berlama di rumah saya, kebetulan kakak dan abang Najib ramai yang ingin berziarah melihat Ayu. Selepas azan Maghrib berkumandang, Ayu meminta diri untuk balik.

Saya kagum melihat layanan Najib pada Ayu, lemah lembut menyuap Ayu makan dan minum. Moga Allah terus menitipkan kesabaran buat mereka sekeluarga, juga kasih sayang buat Afif.

Gambar ni semasa saya berjumpa Ayu di Sg. Petani. Tak sempat nak bergambar dan tak sampai hati sebenarnya.

Friday, August 26, 2011

Bukankah solat itu ada KEAJAIBANNYA tersendiri?

Saya ada seorang sahabat non-muslim, yang sangat berminat dengan Islam. Saya pernah tanya mengapa dia suka Islam, katanya Islam ada peraturan hidup yg sgt indah..Kalau orang Islam bingung untuk membuat keputusan, mereka ada SOLAT ISTIKHARAH, kalau ingin rezeki lebih mereka ada SOLAT DHUHA, kalau mereka ada keinginan, mereka ada SOLAT HAJAT...Dan dia yakin solat memainkan peranan yg penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Namun ternyata hidayah masih belum miliknya. Selalu ditanya kepada saya kenapa org Islam tidak mengikut apa yg Islam ajar? Saya terkedu seketika, lalu saya katakan padanya..jangan lihat apa yg org Islam buat tp lihatlah pd apa yg Islam ajar, kerana BEING A MUSLIM dan A PRACTISING MUSLIM, adalah dua perkara yg berbeza. Nyata beliau akur dengan nasihat saya.

Sahabat saya ini sgt unik kerana biarpun blm menjadi seorang muslimah, beliau telah berpuasa semenjak tahun 1992 lagi. Jawapannya bila saya bertanya, "Saya lihat ramai org Islam yg tidak berpuasa, membuatkan saya tertanya2 susahkah berpuasa? Saya cuba berpuasa. Tahun pertama saya mampu berpuasa separuh hari shj. Thn kedua ada yg penuh dan ada yg separuh dan tahun ketiga, saya berjaya melaksanakannya hinggalah sekarang tanpa fail." Subhanallah..malulah umat Islam yg tak berpuasa!.

Saya sering berdoa semoga sahabat saya ini terpilih unt mendapat hidayah Allah. Kdg kala terbit perasaan malu dlm diri, saya yg dilahirkan Islam ini kdg kala tidak bersungguh2 mencari agama saya, tidak bersungguh2 mempelajari. Tp dia ini rajin bertanya, rajin mengkaji. Namun terselit rasa syukur apabila Allah pertemukan saya dgn dia, sbb dari pertanyaannya yg banyak itu membuatkan saya juga mencari dan mengulangkaji kembali apa yg pernah dipelajari dahulu.

Dan satu hari saya dikejutkan lagi oleh sahabat saya ini yg ingin bersolat. Memang sebelum ini, dia meminta saya menerangkan tentang rukun solat dan menulis bacaan2 dlm solat dari Subuh hingga Isyak. Walaupun saya sendiri ragu2, kerana dia blm syahadah, tapi entah mengapa saya terus memberi dia galakan unt melakukannya. Bila saya minta pendapat sahabat2 yg lain, ada yg marah kerana kata mereka dia wajib syahadah dulu..Tapi saya tetap dengan pendirian saya kerana saya sangat yakin dengan KEAJAIBAN SOLAT. Solat sebagaimana yg dijanjikan akan menjadi pendinding daripada melakukan perkara fasad. Malah kalau ingin meminta, kita juga disuruh bersabar dan bersolat. Dan saya sangat yakin keajaiban solat ini akan menatijahkan sesuatu yg baik untuk sahabat saya ini...HIDAYAH!.

Seminggu berlalu sahabat ini dengan ceria menelefon saya memberitahu dia sudah mengerjakan solat. Katanya solat tidaklah sesukar yg dia bayangkan sebelum ini. Malah dia juga cuba membuat solat2 sunat rawatib. Dan seminggu itu berlalu tanpa satu solat pun tertinggal.

Dalam dia ceria bercerita itu saya lontarkan soalan buatnya, membuatkan dia terkedu. "Siapakah yang kamu SEMBAH...mengapa kamu sembah Dia?'.. Terdiam dia seketika. Lalu akhirnya dgn perlahan dia menjawab ...SAYA SEMBAH ALLAH..sebab SAYA SAYANGKAN DIA..
Subhanallah.!!! Mengalir air mata saya mendengar jawapan yg terbit dari mulutnya.

Alhamdulillah kini sahabat saya itu sudah pun bergelar saudara baru....hanya setelah genap sebulan mengerja solat!..Mudah2an kekallah dia dlm hidayah Allah..

Bukankah solat itu ada KEAJAIBANNYA tersendiri?

Sunday, August 21, 2011

Ustaz Azizi dalam kenangan

(gambar dari fb Allayarham)

Saya sebenarnya agak terkejut mendengar berita kembalinya penulis tanah air Azizi Hj. Abdullah. Sudah lama saya tidak berhubung dengan beliau. Rasanya kali terakhir menelefon beliau semasa penerbitan buku Halal dan Haram terbitan CAP. Kemudian tidak lama selepas itu, saya ada berjumpa dengan beliau sewaktu pesta buku 2006 kalau tak silap. Adalah sesekali beliau menghantar emel kepada saya meminta disiarkan artikel oleh Presiden CAP.

Ketika sibuk pilihanraya kecil Kerdau saya mendapat khabar beliau dimasukkan ke hospital. Namun disebabkan kesibukan kerja saya tak sempat bertanya khabar dengan Saudara Ridhwan rakan setugas arwah di CAP. Hinggalah apabila mendapat khabar beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, pagi tadi.

Saya mengenali Allahyarham sewaktu bertugas dengan Dewan Muslimat Sdn. Berhad. Ketika itu saya baru sahaja menamatkan pengajian dan bertugas sebagai wartawan Muslimah. Beliau ketika itu menjadi penulis tamu dengan majalah Muslimah di ruangan “Azizi Abdullah Menulis”.

Kalau kebetulan beliau berada di Kuala Lumpur, beliau akan singgah di pejabat kami untuk bertanya khabar. Beliau lebih mesra dengan gelaran Ustaz Azizi.

Sepanjang mengenali beliau sempat juga beliau berkongsi tips menulis. Katanya kalau beliau ada sesuatu projek manuskrip yang ingin disiapkan, beliau akan menulis nota peringatan dan menampalnya di hadapan meja tulisnya. Katanya setiap kali beliau merenung nota tersebut beliau dapat merasakan seolah-olah nota tersebut mencabarnya agar terus menyiapkan tugasan tersebut.

Banyak tulisan beliau dalam majalah Muslimah tahun 90-an yang masih saya ingat. Antaranya tentang kisah anak murid darjah dua di sekolah tempat beliau mengajar yang dilihat beliau sering balik sekolah lewat petang. Sehingga satu hari beliau mengintai apa yang dibuat oleh dua orang kanak-kanak tersebut. Akhirnya, diketahui juga rupa-rupanya kedua-dua mereka berkejar untuk solat asar biarpun rakan yang lain bergegas pulang, kerana bimbang terlepas waktu asar.

Begitu juga coretannya bertajuk “Menangguh Kiamat”. Penulisannya mengupas tentang tanda-tanda kiamat yang semakin banyak berlaku dan kalau tanda-tanda tersebut dielakkan oleh manusia mungkin sahaja Kiamat dapat ditangguhkan. Penulisan satira sebenarnya!

Sepanjang mengenali beliau, ternyata beliau seorang penulis yang sangat jujur dalam penulisannya. Dan banyak tulisannya berkisar kisah kehidupan yang dilaluinya. Mungkin sudah sifat penulis, latar yang mewarnai kehidupan akan mempengaruhi penulisan.

Ternyata bakat yang dianugerah Ilahi tidak dipersia malah bakat tersebut turut mendapat pengiktirafan. Novel beliau Seorang Tua Di Kaki Gunung, bukan sahaja dijadikan teks sastera sekolah malah pernah dijadikan drama TV. Novel beliau Kahwin-kahwin juga menerima hadiah utama Anugerah Sako. Saya sempat menghadiri majlis penyampaian hadiah tersebut yang diadakan di Hotel Istana. Malah banyak lagi deretan karya beliau yang mendapat anugerah sastera.

Kehilangan beliau merupakan satu kehilangan besar dalam bidang penulisan. Semoga segala hasil tulisan beliau dipandang oleh Allah SWT sebagai satu usaha dakwah beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat dan memasukkan beliau ke dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman. Al-Fatihah.

Saturday, August 20, 2011

Macam-macam hal...

Petang Jumaat 12 Ogos lalu, dalam jam 4 petang, saya mendapat panggilan telefon dari sebuah bank. Saya yang waktu itu sedang sibuk mengejar deadline, agak terkejut apabila pegawai khidmat pelanggan bank tersebut bertanya benarkah saya ada membuat permohonan untuk menambah credit limit untuk kad kredit saya.

Saya tercengang seketika sebab saya tidak memiliki sebarang kad kredit lagi dan tidak pernah berurusan dengan bank tersebut atas apa-apa urusan. Sudah lebih tiga bulan saya menamatkan penggunaan kad kredit dan menyerahkan kepada pihak institusi kewangan. Apabila saya mengatakan yang saya tidak pernah berurusan dengan bank terbabit, pegawai khidmat pelanggan itu pun terus bertanya benarkah begitu sebab katanya saya telah membuat permohonan bertarikh 13 Jun dan permohonan tersebut telah diluluskan pada 30 Jun dengan nilai kredit RM10K.

Lebih mengejutkan, saya dikatakan telah menggunakan kad tersebut di Singapura sebanyak RM9760. Sedangkan saya tidak pernah ke luar negara dalam tempoh yang disebutkan. Malah saya tidak memiliki passport antarabangsa!!

Apabila saya meminta beliau sebutkan nama dan nombor kad pengenalan, ternyata ia memang kepunyaan saya, cuma alamat yang diberikan di Kelantan. Memang sangat mengejutkan. Ternyata ada orang telah menggunakan details saya untuk memohon kad kredit.

Mendengar penafian saya, pengawai khidmat pelanggan tersebut meminta saya mencatit segala data dan kemudian memberitahu saya agar bersedia kerana pihaknya akan melaporkan kepada pihak Bank Negara dan pegawai dari Bank Negara akan melakukan siasatan dan sekiranya benar butiran yang diberikan, mereka akan membantu untuk melindungi saya daripada membuat bayaran yang telah dibelanjakan.

Setelah lebih kurang setengah jam berlalu, seorang pegawai dari Bank Negara menghubungi saya dan mengambil laporan daripada saya. Kepadanya saya ceritakan segala kronologi berhubung perkara tersebut. Beliau kemudian bertanya pernahkan saya kehilangan sebarang kad bank. Baru saya teringat yang saya pernah kehilangan salah satu kad kredit saya.

Beliau kemudiannya menyatakan berkemungkinan besar perkara tersebut dilakukan oleh ‘orang dalam’ bank. Justeru, saya diminta agar merahsiakan perkara ini dalam tempoh tiga hari sepanjang penyiasatan segera yang dijalankan oleh pihak Bank Negara. Dan dalam tempoh tersebut juga saya dilarang menggunakan kad ATM, untuk memudahkan pihak Bank Negara mengesan sebarang transaksi yang melibatkan nama saya.

Setelah bertanya sama ada saya perlu membuat laporan polis atau sebaliknya, saya diberitahu tidak perlu berbuat demikian kerana perkara tersebut telah dilakukan oleh pihak Bank Negara sendiri. Saya cuma perlu menunggu panggilan daripada pihak Bank
Negara dan juga pihak polis.

Kejadian ini memang mengejutkan bagi saya walaupun perkara seperti ini banyak dilaporkan berlaku. Cuma bila berlaku pada diri sendiri, memang terkejut dibuatnya. Apapun saya bersyukur kerana saya tidak memiliki passport antarabangsa yang boleh membuktikan bahawa saya memang tidak berada di Singapura sebagaimana yang didakwa.

Sehingga kini saya masih menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Bank Negara dan pihak polis. Kepada pemilik kad kredit, charge card dan yang ‘sewaktu dengannya’ berhati-hatilah.

Thursday, August 4, 2011

Bersedekahlah..jangan takut miskin!

Alhamdulillah Ramadhan tiba lagi dan kita masih diberikan kesempatan oleh-Nya untuk meraikan kehadiran bulan yang mulia ini. Sebagai bulan yang penuh dengan tawaran-tawaran hebat (lebih hebat daripada mega sale dan tawaran durian runtuh), maka sudah pastinya kita juga tidak mahu ketinggalan mendapatkan ganjaran-ganjaran yang dijanjikan oleh Allah.

Kita semua tahu, apa-apa sahaja amalan soleh di bulan ini akan digandakan oleh Allah SWT. Maka tidak hairanlah jika ramai yang mengambil kesempatan di bulan penuh keberkatan ini untuk bersedekah dan sebagainya.

Bercerita mengenai sedekah ini, sememangnya Allah Taala telah menjanjikan pahala yang besar bagi mereka yang bersedekah dan dijamin tidak akan miskin biarpun banyak bersedekah. Malah Allah SWT juga menunjukkan ‘jual beli’ yang jauh lebih untung kepada mereka yang menginfak di jalan Allah melebihi transaksi lain di muka bumi ini.

Banyak kisah kita dengar perihal orang yang bersedekah dengan ikhlas menerima kembali ganjaran daripada Allah atas sedekah yang diberikannya. Saya teringat kisah yang pernah diceritakan dalam satu majlis ilmu. Kisahnya seorang lelaki yang sangat suka bersedekah. Perangai suka bersedekah ini terbawa-bawa hinggalah dia mengerjakan ibadat haji di Makkah.

Suatu hari sewaktu di Masjidil Haram, dia telah didatangi oleh seorang lelaki yang menghulurkan tangan kepadanya. Lalu tanpa sebarang kata, dia segera menghulurkan sedikit wang kepada lelaki tadi. Kemudian dia keluar dari masjid untuk kembali ke hotel penginapannya. Dalam perjalanan dia bertemu lagi dengan lelaki yang sama menghulur tangan memohon simpati. Tanpa bertanya dia menghulurkan lagi sedikit wang kepada lelaki berkenaan dan meneruskan perjalanannya.

Namun sekali lagi dia bertemu dengan lelaki yang sama juga meminta simpati, dan sekali lagi dia terus memberi wang kepada lelaki tu. Sebaik sahaja tiba di hotel penginapannya, sekali lagi dia terserempak dengan lelaki yang sama. Kali ini dia benar-benar terkejut, kerana lelaki tadi sudah menunggunya dengan senyuman manis. Lelaki tadi memberi tahunya bahawa dia ingin memulangkan semula semua duit yang diberikan tadi, kerana memang ternyata dia ikhlas dalam bersedekah dan lulus dalam ‘ujian’ yang diberikan. Tidak ada yang mustahil apatah lagi di bumi barakah.

Baru-baru ini, Along bercerita ada dua orang makcik di dalam LRT yang dinaikinya memberi duit RM2.00 kepadanya. Saya tanya kenapa? Kata Along, dua orang makcik tu tersalah naik tren. Mereka berdua hendak ke PWTC tetapi silap mengambil tren, hingga sesat ke Ampang. Kebetulan Along memang menaiki tren dari Ampang untuk ke pejabat saya, stesen selepas PWTC. Lalu kata Along makcik-makcik tersebut memintanya menunjukkan tempat berhenti yang betul. Sebaik sahaja sampai ke stesen PWTC, sebelum melangkah keluar salah seorang makcik tersebut menghulur duit kepada Along. Walaupun Along menolak, kedua-dua mereka hendak berikan juga. Kata mereka rezeki Along.

Saya kata, “takpelah Long, rezeki kamu..bukan kamu minta..”

Namun,jawapan Along membuat saya terdiam…”Hmmm….Allah bayar cash umi. Semalam waktu kat pasar malam, Along ada sedekah duit RM2.00 pada pakcik yang minta sedekah. Hari ni Allah ‘bayar balik’. Sapa kata bersedekah menjadikan kita papa?”

Subhanallah!

Selamat berpuasa…

Tuesday, July 19, 2011

Perginya seorang mujahidah.


kullunafsinzaa iqatul maut..setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati..

Tanggal 15 Syaaban bersamaan 17 Julai 2011, menyaksikan perginya seorang mujahidah, YB Dr. Lo'Lo Ghazali, setelah lebih kurang 3 tahun bertarung dengan kanser.

Saya sempat mengenali beliau sewaktu bekerja di Dewan Muslimat Sdn. Bhd. Beliau juga pernah menjadi penulis yang mengendali ruangan kesihatan di dalam Majalah Muslimah. Saya sempat menyelaraskan ruangan beliau walapun tidak lama kerana beliau kemudian melanjutkan pengajian.

Banyak kali juga saya sempat menemubual beliau, antaranya tentang bagaimana menyambut kehadiran bayi dalam Islam, tentang isu wanita menjadi keldai dadah. Dan kali terakhir, beliau sempat meminta saya menulis tentang isu pilihanraya sebelum berlangsungnya PRU 12 kalau tak silap saya. Alhamdulillah saya dapat tunaikan permintaan beliau walaupun sekadar menemubual beliau menerusi telefon.

Setiap yang hidup pasti akan kembali ke hadrat Ilahi. Beliau telah pun selesai dengan tugasnya sebagai khalifah di bumi Allah ini. Melihat kesungguhan, ketegasan dan jerih beliau menyumbang untuk Islam, membuatkan saya bermuhasabah sendiri, apakah pula sumbangan saya untuk dibawa ke hadapan Allah nanti...?? Astaghfirullah... hamba-Mu ini tiada apa yang dapat dipersembahkan! Hanya benar-benar mengharap rahmat dan belas ehsan-Mu!

Al-Fatihah...

Tuesday, July 5, 2011

Kita cuma ada 2 pilihan...

Dalam hidup ini sama ada kita sedar atau tidak, kita cuma ada dua pilihan sahaja. Sama ada untuk hidup dengan redha Allah atau murka Allah. Sama ada ingin mengumpul dosa atau pahala.

Kita yang memilih untuk menjadikan kubur kita nanti sama ada taman-taman syurga atau lubang-lubang neraka.

Kita juga memilih nanti, sama ada untuk berada di bawah bayangan arasy Allah atau berada dalam kepanasan matahari yang sejengkal dari kepala. Dan kita juga yang memilih sama ada ingin ke syurga atau ke neraka.

Tiada istilah 'atas pagar'. Kalau kita memilih redha Allah maka kena tinggal apa yang Allah murka kerana Allah tidak berkompromi - menyembahNya tapi dalam masa yang sama mensyirikkanNya.

Hidup kita mudah sebenarnya, sebab kita cuma ada dua pilihan sahaja. Tapi, kitalah yang sengaja menyukarkan pilihan yang mudah.

Monday, June 20, 2011

Thumbs up!



Ajal..tak siapa yg tahu,
siap tak siap dia tak tunggu..
kalau ready alhamdulillah..
kalau tak ready pun.. ia takkan berpatah.
So..beringat selalu!

Wednesday, June 8, 2011

Solat khusyuk…selalu, kadang-kadang@jarang-jarang?



Sebut tentang solat ni, memang tak dinafikan ramai yang akan kata, “saya selalu solat”. Kalau itu ayatnya, baguslah…daripada “saya solat tapi jarang-jarang” atau “saya tak solat…”.

Kemudian ada pula yang berkata, “saya solat, tapi naper ye benda-benda tak elok saya buat jugak!” Hmm…iye jugak kan? Sebab, dalam al-Quran kata… “sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar..”

Kenapa agaknya kita bersolat tapi masih melakukan perkara yang tidak elok? Banyak faktor penyebabnya? Betul. Nafsu dan pengaruh persekitaran merangsang keinginan? Betul. Sebab syaitan sentiasa menggoda kita dan kita sebagai manusia imannya senipis kulit bawang? Pun betul.

Mungkin kita perlu teliti kembali kualiti solat kita! Cuba buat senarai semak:
1. Wuduk – checked
2. Solat awal waktu – checked
3. Bacaan dalam solat – checked
4. Tama’ninah dalam solat – checked.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah SWT dan jauh dari Allah."

Hassan ra berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."

Bagaimana untuk mendapat solat yang khuysuk agar diterima Allah SWT dan menjadi pendinding diri daripada segala perbuatan yang mungkar?

Antara yang dikongsikan dalam buku Khusyuk Dalam Solat oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, ialah:
1. Menghadirkan diri dalam solat iaitu dilakukan bersungguh-sungguh dan melupakan urusan lain (untuk itu cuba selesaikan apa yang boleh diselesaikan agar fikiran kita tenang dalam solat sebab lazimnya kita mudah teringat perkara tak settle dalam solat).
2. Merasakan bahawa solat yang kita lakukan ini adalah solat terakhir dalam hidup kita dan kita tidak lagi berpeluang melakukannya.
3. Menanamkan dalam hati bahawa kita berhadapan dengan Zat yang Agung, justeru kita tidak boleh membuat lewa.
4. Cuba memahami makna setiap bacaan

Dalam satu kisah, seorang abid bernama Isam bin Yusuf, yang terkenal dengan warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Dalam satu majlis ilmu dengan seorang abid bernama Hatim, Al-Isam dan bertanya: "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?” Lalu jawab Hatim, “Apabila masuk waktu solat aku berwuduk zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wuduk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
1. bertaubat
2. menyesali dosa yang dilakukan
3. tidak tergila-gilakan dunia
4. tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
5. tinggalkan sifat berbangga
6. tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat ku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk, aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Hmm..ngerinya andai solat kita tak diterima Allah, apa bekalan kita untuk melayakkan kita menempah tempat di jannah-NYA? Sedangkan solat itu perkara pertama yang akan ditanya..andai beres barulah yang lain akan beres! Kalau sangkut macam mana??? Nauzubilllahiminzaalik!

Wednesday, June 1, 2011

Terbaik - bukan terbaik untukmu!

Hari ini sudah pun masuk suku kedua tahun 2011. Pejam celik pejam celik, kita sudahpun berada di pertengahan tahun. Alangkah cepatnya masa berlalu. Sedar tak sedar sudah lama blog saya ni bersawang! Kadang kala tak ada idea nak tulis, kadang tu pulak bila ada idea kesuntukan masa..(alasan standard..ngeee!)

Apapun, mungkin agaknya belum terlambat untuk mengucapkan selamat hari ibu (Alah tak sampai sebulan lagi pun!) . Tahun ini saya dapat ucapan daripada anak-anak, juga kraftangan daripada anak kedua saya Iman. Si Efa juga tidak mahu ketinggalan, memberi saya hasil ‘keras tangannya’ (saya duk wonder..apalah bendanya!..terima jelah lipat-lipat si Efa).

ini Iman punya.

hadiah dari Efa

Kalau bercerita tentang kasih seorang ibu ini, memang semua sudah maklum tiada seorang ibu pun yang tidak kasihkan anaknya jika dia seorang ibu yang bertanggungjawab. Ibu mana yang ingin melihat anak-anak menderita, malah kalau boleh hanya yang terbaik sahaja mahu disajikan kepada anak. Tapi seorang ibu yang solehah, bukan sekadar mendoakan yang terbaik tetapi lebih penting ialah apa yang terbaik untuk anaknya!

Saya ingin berkongsi cerita mengenai seorang ibu solehah – seorang saudara baru – yang patut kita teladani bersama. Beliau merupakan seorang ibu kepada empat orang anak – seorang perempuan, sulung dan 3 lelaki yang sedang meningkat remaja.

Alhamdulillah, beliau dikurniakan anak-anak yang bijak dan baik akhlaknya. Anak sulung beliau ini memang bijak, straight A’s. Dari peperiksaan UPSR mendapat 5A, PMR 8A dan SPM 9A (6A+3A). Anak ini juga sangat berdikari.

Melihat kepada pencapaian SPMnya, dia sangat yakin akan ditawarkan melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang yang diminatinya. Sehingga nyaris sahaja dia tidak mahu memohon tempat di universiti tempatan. Namun setelah dinasihati ibunya dia pun memilih juga sebuah universiti awam.
Namun sudah tersurat, dia gagal melanjutkan pengajian di luar negara dan agak malang juga kerana universiti awam yang menerimanya itu tidak menawarkan kursus yang diminatinya. Maka kecohlah pada hari pendaftaran.

Mungkin sudah terbiasa apa yang dihajati tercapai, anak ini berasa sangat kecewa, sehingga dia tidak mahu masuk ke universiti tersebut. Urusan yang sepatutnya memakan masa sehari berlarutan hingga ke tiga hari.

Si ibu dan ayah, tetap berusaha untuk memohon agar si anak dibenarkan membuat pertukaran universiti namun ternyata nasib tidak menyebelahi mereka.

Akhirnya dalam keadaan yang terdesak, si ibu akhirnya membuat kata putus yang tegas supaya anaknya itu bersiap dan akan dihantar juga ke universiti yang telah memberikannya tempat.

Apa yang menarik ialah perbualan ibu dan anaknya tadi.. si anak berkata pada ibunya, “mummy tak doakan agaknya supaya saya dapat melanjutkan pelajaran di luar negara.”

Jawab ibunya, “mummy tak doakan awak dapat atau tak dapat. Tapi mummy selalu doakan supaya Allah beri apa yang terbaik untuk awak. Bukan terbaik sahaja tapi terbaik untuk awak. Awak sudah tengok mummy dan ayah usahakan segalanya tapi ini jugak habuan awak. Mummy yakin inilah yang terbaik untuk awak. Awak kena yakin Allah tu Maha Adil. Itukan sifat Allah. Dia tahu apa yang terbaik untuk awak. Mummy tak kisah apa yang awak nak buat, tapi mummy nak awak fikir tiga perkara sahaja. Buatlah apa yang awak rasa betul kalau awak rasa awak tidak memudaratkan diri awak, awak boleh bagi alasan pada mummy dan ayah dan tidak memalukan mummy dan ayah. Dan yang paling penting awak boleh jawab depan Allah nanti,”

Benarlah kadang kala kita selalu meminta yang terbaik untuk anak-anak, sebagaimana yang terbaik kita lihat pada anak-anak orang lain..tapi adakah yang terbaik itu terbaik bagi anak kita? Fikir-fikirkanlah.

Wednesday, April 13, 2011

Isyarat

Semua orang tahu, kematian itu boleh menjengah tanpa diundang... bak lirik lagu menanti di barzakh,

"ajal yang datang dimuka pintu,
tiada siapa yang memberitahu,
tiada siapa pun dapat hindari,
tiada siapa yang terkecuali.."


Memang kematian itu suatu yang pasti. Bersedia atau tidak, suka atau tidak, kita tetap akan melalui kematian. Namun sebagai seorang hamba Allah, kita boleh berdoa meminta agar dimatikan dalam keadaan beriman dan seluruh kehidupan kita mendapat redha-Nya.

Rasulullah saw bersabda, bahawa orang yang bijak itu ialah orang yang mengingati kematian dan bersedia untuk kehidupan sesudah mati. Namun berapa kerat sangat manusia yang mengambil ingatan daripada pesanan Baginda saw ini. Kalau dilihat kepada gaya hidup masyarakat Islam hari ini, ramai yang menjalani hidup seolah-olah mereka akan kekal di atas dunia. Sebab itulah agaknya maksiat semakin berleluasa dilakukan tanpa segan silu. Sedih dan pedih melihatnya..tapi itulah hakikat yang berlaku.

Ramai yang beranggapan, tubuh badan yang sihat tanpa penyakit maka ajal pun seolah-olah lambat menjenguk. Mungkin ada benarnya, selalunya penyakit dan kematian saling berkaitan. Sesuatu yang lazim bila mana berlaku kematian orang akan bertanya apa sakit si polan...dan menjadi satu kejutan kalau dikhabarkan.."takde sakit apa2". Padahal kesakitan itu cuma penyebab sahaja. Ramai yang lupa mati juga tak perlukan penyebab kerana nyawa ini pinjaman Allah semata-mata.

Sebenarnya, kesakitan merupakan satu 'anugerah' kerana sedikit sebanyak ia akan mengingatkan kita kepada kematian. Apatah lagi kalau penyakit yang dihidapi itu kanser, buah pinggang, jantung atau penyakit yang melibatkan vital organ atau penyakit-penyakit yang dianggap serius.

Bayangkanlah kalau anda tiba-tiba didiagnose oleh doktor menghidap penyakit kanser, tak kiralah tahap 2,3 atau 4 (kerana bila sebut saja kanser mmg semua tahu sukar dirawat), sudah pasti yang terbayang difikirkan adalah kematian. Hanya semangat dan ajal yang tersurat di luhmahfuz sahaja menjadi penentunya.

Tak dinafikan proses untuk menerima hakikat itu satu fasa yang sukar; bayangkan dalam keadaan sihat wal afiat, tiba-tiba dikhabarkan diri menghidap penyakit yang membunuh. Sudah pasti terasa seakan dunia berhenti putarannya. Hanya yang merasainya sahaja yg tahu.

Yang pasti, penyakit itu akan menjadi 'pencetus' untuk mempersiap diri demi menghadap-Nya. Bukankah ia anugerah kerana menjadikan diri lebih 'bersedia' untuk kembali ke alam baqa'. Memang tidak mudah menerima hakikat itu tetapi sekurang2nya mereka beruntung kerana 'sudah tahu' jangka waktu hidup mereka kerana isyarat sudah diberikan! Amat rugilah jika isyarat yang diberikan itu dipersia-siakan tanpa diambil kesempatan sewajarnya.

Untuk adik saya Apple, kuatkan semangat melalui ujian ini. Kalau belum tiba saatnya, pasti adik akan sembuh, biarpun penyakit itu namanya KANSER. Moga diberi kekuatan oleh-Nya untuk menghadapi ujian tersebut dan dapat terus beribadah.

Sunday, April 10, 2011

Makin tua makin perasa

Entah kenapa saya rasa sejak usia semakin meningkat, perasaan jugak mudah tersentuh. Kalau dulu-dulu, waktu interview kalau dengar kisah sedih, saya boleh menahan sebak walaupun sedih mendengar responden berkongsi cerita. Tapi semakin usia meningkat, apabila mendengar kisah sedih, saya akan turut mengalirkan air mata. Memang agak kurang profesional, tapi memang tak terbendung perasaan.

Semalam saya terbaca tulisan di blog anak buah saya, yang meluahkan bila dia sedih dia akan teringatkan orang yg disayanginya..mamanya.

Tadi saya sempat chatting dgn dia di fb, bertanya khabar. Lalu sempatlah bertanya kenapa dia sedih. Katanya teringatkan mamanya. Alahai macamlah tak pernah berpisah dengan mama, kata saya. Tergelak dia diusik begitu. Katanya, dia bayangkan kalau arwah abahnya masih hidup. Tentu masa graduation nanti dia berasa sangat gembira. Majlis konvokesyennya akan dihadiri oleh mama dan abahnya.

Tergerit perasaan sayu saya membaca ayat yg ditulisnya. Memang dia kehilangan abahnya sejak usianya 13 tahun. Lalu saya katakan tak salah kalau dia mengingati arwah dan berasa sedih. Tu normal..saya jugak masih teringat-ingat arwah mak yang pergi 4 bulan sebelum kematian abahnya. Tapi yakinlah setiap yang tersurat itu ada hikmahnya. Kehilangan arwah abahnya menjadikan dia cepat matang dan sedar tanggungjawabnya sebagai anak sulung. Alhamdulillah, dia telah berjaya ke menara gading dan bakal menamatkan pengajian.

Hmm...betullah kata orang semakin kita tua (ok,ok terimalah hakikat perkataan tua tu) kita akan menjadi semakin 'perasa'. Sebab itu agaknya orang kata, org tua ni perangainya macam budak-budak, mudah merajuk.. Atau ia mungkin disebabkan pengalaman yang kita lalui menjadikan kita lebih bersifat empathy dan lebih memahami. Semoga kita lebih memahami dan difahami oleh anak cucu kita nanti!

Thursday, April 7, 2011

Klinik gigi..Efa and dentist part 2




Setelah seminggu berlalu...dapat panggilan daripada Zaidi, minta bawa Efa ke fakulti pergigian untuk follow-up seterusnya. Jadi semalam tepat jam 2 ptg., saya pun bawalah si Efa. Memang gembira sangatlah si Efa sebab giginya akan cantik (beauty conscious sungguh budak sorang nih!).

Dalam berani tu takut jugak dia. Sewaktu naik lif ke tingkat dua fakulti, dada Efa berdegup kencang. Sebaik masuk ke tempat rawatan, belum apa-apa dah nak terkencing. Lucu sungguh. Tapi apa pun si kecik ni memang excited.

Setelah diperiksa oleh Dr Laila, pakar pergigian dari Hospital Seremban, yang menyelia Zaidi dan sahabatnya Ahmad Fahmi (Efa panggil doktor baru..hehe), prosedur dimulakan.

Sejam yang pertama, Efa boleh lagi duduk agak diam (walaupun banyak bergerak-gerak dan menyukarkan tugas Zaidi). Masuk sejam seterusnya dia mula buat perangai.. letih, tak nak nganga, nak tengok cermin dan macam-macam. Mungkin prosedur agak renyah serta dia mula terasa ngilu, maka mula banyak kerenah.

Bila turn Fahmi buat sebatang lagi gigi, Efa dah mula tak duduk diam. Jenuh jugaklah. (Yang lucu, mulut Efa sempat berbunyi "abang ni wangilah" bila Fahmi ambil alih. Tergelak dua-dua pelatih dibuatnya!) Mujurlah akhir dapat disiapkan, walau Dr Laila terpaksa masuk campur hehehe...Akhirnya setelah dapat dua hadiah daripada abang-abang bakal doktor barulah siap.. Efa dapat keychain dan berus gigi oral B..Kalau 10 orang berperangai macam Efa..mau kopak doktor-doktor gigi kat Malaysia. ha. ha. ha.

Hmm.. memang tak mudah melayan kerenah budak.. terbayang, cabaran yang akan dilalui oleh bakal-bakal doktor gigi ini nanti. Mulut memang kena banyak cakap sambil tangan pantas buat kerja. Mudah-mudahan mereka akan keluar sebagai doktor yang berjaya nanti.

~~ usik Efa, kata giginya mcm rabbit, dia kata takpelah, rabbit kan comel..sabo jelah! Tak abes2 perasan ~~

Tuesday, March 29, 2011

Klinik gigi

Pagi semalam, dalam bersiap-siap nak ke ofis dan kejutkan Efa ke tadika, tiba-tiba dapat panggilan daripada Zaidi, student final year dentistry UKM. Dia tanya free tak pagi ni, sebab nak mintak tolong 'pinjamkan' Efa jadi patient dia. Kebetulan dia memerlukan pesakit kanak-kanak dan patient yang sepatutnya ada appointment dengannya tiba-tiba menarik diri.

Fakulti pergigian UKM sememangnya menyediakan khidmat pergigian kepada masyakarat di sekitar KL. Setiap Isnin hingga Jumaat, 8-10 am.

Memang Zaidi pernah memberitahu saya, kalau ingin mendapatkan khidmat rawatan pergigian dengan student dentistry, bolehlah berkunjung ke situ. Tapi disebabkan kesibukan, saya pun hampir terlupa mengenainya.

Lalu pagi semalam, saya 'pontengkan' Efa dari sekolahnya. Oleh sebab diberitahu agak lewat, pukul 9 am, barulah saya tiba di sana.

Tak banyak yang dapat dibuat dalam masa sejam, tetapi banyak informasi yang diperolehi. Penjagaan gigi untuk si kecil, buat x-ray untuk melihat sturuktur gigi kekal Efa dan bentuk rawatan yang boleh dibuat. Efa cukup suka apabila diberitahu oleh 'doktor giginya' yang gigi hitamnya boleh diputihkan semula.. tp Dr kata, kena datang semula sebab masa tak cukup!.

Layan gambar si Efa...

posing sebelum mula...

Efa and Dr. Zaidi

Zaidi dan Yeo - at work

Monday, March 21, 2011

Jom baca...


Dalam sibuk menyiapkan bahan-bahan untuk majalah bulan April, saya sempat membelek-belek sebuah buku. Chicken Soup for the Soul - Mother and Daughter. (gambar dari cik google)

Sebenarnya saya tak perasan pun kewujudan buku ini, entah macam mana kebetulan sambil-sambil mengemas rak buku Efa yang bersepah, tiba-tiba terpandang buku tersebut. Saya tanya Along dari mana dia dapat buku tersebut (Along memang suka beli buku-buku motivasi), katanya dia pinjam dari Ciknanya.

Bukunya tidak begitu tebal, dalam 400 mukasurat sahaja. Lalu dalam duk tension dan stuck buat kerja, saya capai buku tersebut dan mula membaca. Hmm... memang sukar untuk dilepaskan! Memang banyak inspiring stories di dalamnya. Kerap kali juga air mata saya bergenang membacanya. Kisah ibu dan anak merakamkan kenangan sudah pasti menyentuh hati.

Saya baru sahaja menghabiskan 135 mukasurat. Ada satu kisah yang agak menyentuh hati saya..tajuknya Things I Never Told My Mother di halaman 75. Memang dalam kehidupan, kita sering ambil mudah atau take things for granted. Atau kita rasa tak perlu disebut kerana ia sudah difahami atau kita mengelak untuk menyebutnya sebab kita rasa tanpa menyebutnya ia takkan berlaku.

Contohnya mengungkap kata sayang kepada ibu - kita rasa tak perlu sebab kita beranggapan perkara tersebut sudah diketahui. Atau kita sudah pamerkan melalui perbuatan. Tapi sebenarnya kita tak sedar apabila diungkapkan, ia menjadi lebih bermakna. Dan setelah ketiadaan orang yang kita sayang baru lah kita sedar, kita tak akan mampu lagi menyatakan kepadanya. Hmmm...begitulah, bila kita tersedar kita sudah tak mampu lagi nak mengungkap kata-kata "emak, saya sayang mak sangat2".. Sedihkan??

Kalau anda berkelapangan, boleh lah baca buku ini... pada saya it's a must read book. Banyak pengajaran yang boleh dikutip.

Saturday, March 19, 2011

Selamat hari lahir Iman...


Hari ini, 11 tahun yg lepas tepat jam 5.32 pagi, lahir anak kedua saya Nuruliman Aufa. Mengandungkan Iman, saya mengalami alahan teruk. Tak lalu makan dan hanya boleh minum air bergas sahaja. Makanan yang tekak boleh terima waktu tu cuma pizza (tak hairanlah Iman sangat minat western food).

Melahirkan Iman juga menjadi pengalaman pertama saya bersalin tanpa kehadiran emak untuk menjadi peneman. Emak saya telah kembali ke rahmatullah hampir dua tahun sebelum kelahiran Iman.

Iman lahir dalam bulan Zulhijjah, iaitu tanggal 13 Zulhijjah. Masih dalam suasana hari raya haji. Waktu itu saya bertugas di Kelantan. Jam 11.30 malam tanda-tanda bersalin sudah ada, tapi saya masih sempat mengemas bilik untuk saya berpantang. Tepat jam 12 malam saya menelefon doktor di klinik memberitahu saya sudah sampai masa untuk bersalin. Jam 1.30 pagi doktor menelefon menyuruh segera ke klinik..

Sebaik sampai di klinik saya masih sempat berbual-bual dengan Doktor Raden Siti Nour Rochemah di klinik bersalin Annur di Kubang Kerian. Jam 4.30am baru lah terasa benar-benar sakit dan tepat jam 5.32, sebelum berkumandang azan Subuh lahirlah Iman.

Inilah pengalaman pertama saya berpantang tanpa dibantu emak. Memang terasa sedih tetapi saya tetap cekalkan hati, belajar menjaga diri sendiri. Segala ubat-ubat untuk bersalin saya cari dan sediakan sendiri. Untung juga kerana sewaktu kakak-kakak bersalin saya banyak membantu arwah mak menyediakan ubat-ubat dan makanan mereka. Jadi untuk diri sendiri mudah untuk saya buat.

Alhamdulillah, tanpa ditemani orang tua, saya tetap lalui tempoh berpantang sebagaimana sepatutnya. Dan setelah 11 tahun berlalu, kini anak kedua saya telah pun menjadi anak dara sunti.

Untuk Dikman..semoga kekal menjadi anak Umi yg manis dan solehah serta beriman..seperti maksud namamu.. Cahaya Keimanan Yang Setia.

Friday, March 18, 2011

Ingat dua lupa dua

Ada dua sahabat berjalan bersama-sama, entah bagaimana tiba-tiba mereka bergaduh. Lalu sahabat A ini menumbuk si B tapi B tidak membalasnya. B lalu menulis di atas pasir, “sahabat saya A telah menumbuk saya”. Kemudian mereka berbaik semula dan menyambung perjalanan. Mereka berdua tiba berhampiran sebuah tasik, lalu kedua-duanya mengambil keputusan untuk mandi. Entah apalah malangnya si B, tiba-tiba lemas. Lalu si A berusaha menyelamatkannya. Sebaik sahaja diselamatkan si B lalu memahat pada batu, “sahabat saya A telah menyelamatkan saya daripada lemas”.

Dalam kehidupan seharian mudahkah untuk kita melupakan perkara buruk yang terjadi pada diri kita? Lebih spesifik lagi apabila keburukan itu dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita, tentunya sukar sekali. Sebab itu ramai yang akan mengatakan, 'susah aku nak lupa apa dia buat kat aku'. Atau, 'saya boleh maafkan awak, tapi takkan lupakan apa yang awak buat' (sebenarnya bermaksud susah saya nak maafkan awak).

Luqmanul Hakim dalam pesanan kepada anaknya menyebut..ingat dua perkara, lupakan dua perkara.

Pertama, ingat segala perbuatan baik orang terhadap kamu dan lupakan semua kebaikan kamu kepada orang.

Kedua lupakan kejahatan orang pada kamu tetapi ingat segala perbuatan buruk kamu pada orang.

Kalau difikirkan kembali memang sukar untuk dilaksanakan kerana memang sifat manusia suka membangga-banggakan apa kebaikan yang dibuatnya. Dan seboleh mungkin segala perkara buruk pula akan cuba disorokkan. Sebab itu timbul peribahasa berlindung di sebalik lalang sehelai atau menutup bangkai gajah dengan nyiru.

Sebenarnya ada hikmah yang besar menuruti nasihat Luqman tersebut. Ia mengelakkan kita daripada berasa riyak dengan segala kebaikan yang dilaksanakan. Malah ia mengurangkan expectation atau harapan kita menjadi tinggi bila berbuat baik.

Sifat manusia biasanya akan mengharapkan kebaikannya diingati apatah lagi oleh yang menerima kebaikan itu. Paling tidakpun, cukup sekadar menyebutnya. Ditakdirkan orang tersebut terlupa, maka ringan sahaja mulut untuk mengungkit. Justeru, hikmah menuruti nasihat Luqman ini ialah agar kita tidak mengungkit kebaikan tersebut.

Begitu juga kita digalakkan melupakan keburukan orang kepada kita sebaliknya mengingat keburukan kita kepada orang. Dengan ini akan dapat mengelakkan kita daripada berasa dendam dan sakit hati terhadap orang lain. Sebaliknya dengan mengingati keburukan kita pada orang, kita akan berusaha memohon kemaafan dan berbuat baik serta menjalinkan silaturrahim.

Memang tidak mudah melupakan sesuatu yang menyakitkan hati tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh mencuba. Dan seharusnya perkara yang membuatkan kita rasa terluka itu ditutup dengan mengingati kebaikan yang pernah dicurahkan kepada kita. Takkanlah kerana satu dua perkara buruk yang dilakukan, maka kita melupakan sembilan kebaikan yang pernah dihulurkan kepada kita!

Wednesday, March 16, 2011

Sakit mata, sakit tutt....

Semalam sewaktu berada di ofis, tiba-tiba dapat panggilan telefon dari along.

"Umi..Iman ni ha, dia kata sakit mata.." Dalam hati saya apa hal pulak si Iman nih. Iman ni kalau bab sakit, memang kuat sikit autanya. Tak tau dia sakit betul atau main-main.

Kelmarin, dia mengadu sakit kepala. Memang dia ada migraine dan matanya perlu pakai cermin mata. Tapi kalau tengok tv, suka sangat mengadap dekat-dekat dan kalau dibiarkan berjam-jam depan komputer. Mahunya tak sakit kepala.

Saya panggil Iman dan bertanya dengan dia, sakit macama mana. Kata Iman mata dia merah, gatal dan pedih. Hmmm...mungkin dapat sakit mata lah tu..

Bila saya balik dari kerja petang semalam, memang mata Iman sudah kelihatan merah. Hmm.. memang betul sakit matalah tu..

"Sakit lah umi mata adik, rasa gatal sangat..!"
"Alah, biasalah tu.. dah nama sakit mata.."

Teringat orang tua-tua suka pesan..kalau jumpa orang sakit mata dan dia kata sakit mata, kita balas sakit bontot hehehe.. Kononnya untuk mengelakkan daripada berjangkit. Entahlah, betul ke tidak petua tu.

Tapi ada satu petua yang boleh digunakan.. Caranya, ambil segelas air (air paip pun takpe). Bacakan al-Fatihah sekali, selawat atas nabi 3 kali dan baca "Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali". Basuh muka dengan air tersebut dengan meratakan ke bahagian mata.
InsyaAllah dapat mengurangkan sikit sakit. Wallahua'lam.

Saturday, March 12, 2011

Jom makan laksam!


Hari ni terlebih rajin sket. Sebenarnya dah lama teringin nak buat laksam, tapi hujung minggu sentiasa sibuk. Resipi ni diberi oleh sahabat saya Liz Mashod, yang menetap di US (org jauh lagi terer masak masakan tradisi).

Selalunya kalau buat laksam saya cuma bancuh tepung beras dengan air hangat (bukan mendidih). Kemudian kukuslah. Buatlah adjustment, kalau masa gulung pecah, tu tandanya bancuhan keras..tambah air. Tapi resipi Liz ni dia campurkan tepung jagung, bancuh dengan air paip biasa je.

Buat laksam ni agak renyah dan memakan masa tapi kalau nak cuba apa salahnya.. boleh dimakan dengan kuah lemak atau kalau suka boleh juga makan dengan kuah yong taufu.

Resipinya
3 cawan tepung beras (saya guna sepeket)
6 sudu besar tepung jagung (saya lebihkan sesudu tp saya rasa kena lebihkan lagi sbb texture saya punya kurang menarik)
6 cawan air (saya kena lebihkan dalam 9 cawan mcm tu sbb adunan pertama pecah tak boleh gulung)
sedikit garam
campur sedikit minyak
satukan semua bahan dan kacau jadi batter.

caranya
panaskan pengukus dan lenserkan sedikit minyak pada tutup periuk yang dijadikan acuan.
masukkan tutup periuk dlm pengukus dan tuangkan sesenduk adunan ke atas tutup periuk.
tutup pengukus dan biarkan selama 5 minit atau adunan membeku dan masak.
keluarkan tutup periuk dan gunakan pisau untuk melekangkan adunan dari tutup periuk sambil menggulung perlahan-lahan. Buatlah hingga selesai


Untuk kuahnya
1 labu bawang besar
20 biji lada hitam
2 ekor ikan kembung besar
belacan sebesar ibu tangan
2 keping asam gelugur
4 gelas santan (tidak terlalu pekat)
garam dan gula secukup rasa.

caranya
kukus ikan kembung dan ambil isi.
kisar lada hitam,bawang besar dan isi ikan hingga lumat
satukan semua bahan dalam periuk dan didihkan.
rasa dan kemudian bolehlah dihidang

ulam-ulam - taugeh, timun kacang panjang, daun kesum dan bunga kantan dihiris halus (saya tak gunakan kesum dan kantan sbb takde stok).

Ni lah habuan makan tengahari merangkap petang dan malam saya sekeluarga hehehe.

Friday, March 11, 2011

44 tahun lepas...


Tarikh ini 44 tahun yg lepas, di hospital Alor Setar lahirlah sorang baby boy.. mak dia letak nama Mohamad Sukri bin Hj. Abdullah. Dan terus membesarlah dia...pegi sekolah dari darjah 1 sampailah form 5. Lepas form 5 terus merantau bawak diri cari rezeki, sambil sambung belajar.

Dan sewaktu umur masuk 27 tahun, dia pun ditemukan jodoh (dengan sayalah tu)..dan setahun setengah lepas kahwin dapat sorang anak....(kaklong ler tu).

Dia bukanlah lelaki yg sempurna, tetapi ketidak sempurnaan itulah yg menyempurnakan kekurangan diri saya. Dia bukanlah ayah yang terbaik tapi dia sentiasa berusaha menjadi seorang ayah yang terbaik untuk anak2nya.

Dia tegas dan suka kata tidak..tapi akan kalah juga dengan isteri dia sebab di hatinya sentiasa ada belas ehsan.

Dia seorang anak yang baik sebab dia sanggup menjaga arwah maknya yang uzur. Mandikan, cebokkan, cempung mak (rumah masa tu kat tingkat 4). Dia selalu kata biarlah dia jaga mak, isterinya cuma tolong masakkan bubur saja. Biar dia yang suapkan. Dan sepanjang menjaga arwah mak, memang dapat dilihat keberkatannya. Apa sahaja yang dibuatnya menjadi.

Dia juga seorang adik yg baik, sebab sanggup menjaga kakak yg kurang sempurna akalnya kerana baginya itu amanah buatnya.. Paling tidak dia hanya akan berkata, "takpelah, kita jaga ahli syurga.. mudah2an Allah pandang amalan kecik ni sebagai penyebab nak masuk syurga."

Memang tidak dinafikan perkahwinan bukan selalu dilimpahi dengan kemanisan dan keseronokan, ada ujian dan pahitnya. Tapi selalu sahaja kesabaran menjadi benteng dan sentiasa saling faham memahami. Alhamdulillah, tahun ini sudah masuk tahun ke-18 (kalendar Islam),semoga akan terus kekal hingga di'sana'.

Dan hari ini, buat Inche' HB tersayang..selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke 44...(tau! mmg mana ada rasulullah sambut besday.. tp tak kira! nak ucap gak...hehehe). Dengan ucapan..Allah selamatkan kamu, Allah selamatkan kamu, Allah selamatkan Inche' hbku... Allah selamatkan kamu...

"Semoga kita sama-sama berubah ke arah kebaikan dan dalam peliharaan Allah selalu."

Thursday, March 10, 2011

Pilihanraya macam hari raya!

6 Mac lalu, telah berlangsung pilihanraya kecil di DUN Kerdau, Pahang dan di DUN Merlimau, Melaka. Saya salah seorang yang daripada ribuan pengundi yang termasuk dalam senarai, tak ketinggalan keluar mengundi.

Memang seronok bila tiba pilihanraya ni. Bak kata suami saya, pilihanraya ni macam hari raya jugaklah! Macam-macam gelagat manusia boleh kita lihat sewaktu berkempen untuk meraih undi. Begitu jugak pada hari pengudian, macam-macam kelaku manusia boleh kita perhati.

Malam minggu saya dan suami sempat keluar meninjau-ninjau ke pekan Kerdau. Seronok melihat banyak bendera, poster dan kain rentang parti-parti bertanding. Oleh sebab pertanding di Kerdau pertandingan dua penjuru sahaja, maka hanya warna biru dan hijau saja yang menyerlah.

Di Kerdau banyak gerai-gerai didirikan..Wah! Untung peniaga setempat. Ada jugak peniaga yg datang dari Lipis dan Sg. Petani!. Meriah suasana di tapak pekan sehari Kerdau.

Dari situ kami balik ke Desa Murni, tak jauh dari rumah ayah saya. Di situ juga ada orang berjualan. Ada dua khemah didirikan. Satu khemah PAS, satu khemah BN. Waktu saya sampai, di khemah PAS sedang bersiap-siap untuk sesi ceramah bersama YB Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam. 100 meter dari khemah PAS, di khemah BN pula sudah terdengar lagu Bersatu UMNO dan seketika kemudian terdengar ceramah BN bermula.


Sementara menunggu burger yang pesan siap dimasak (sebenarnya kami ke Desa Murni nak cari burger. Kebetulan gerai burger berhampiran dengan khemah PAS), suami saya pergi ke khemah BN. Dan seketika kemudian dia datang semula. Katanya takde orang pun bagi ceramah. Cuma daripada pita rakaman sahaja. Lah! Gitu pulakkkk hehehe.

Sambil menunggu sempat jugak lah ambil gambar dan mendengar ceramah PAS. Lucu bila pengerusi majlis kata..takpelah malam ni kita lawan ceramah dengan mesin!

Memang lama jugak menunggu burger masak, maklumlah ordernya berderet. Tapi untung adik yang berniaga malam itu. Itulah… pilihanraya pun macam hari raya jugak, meriah!.

6 Mac, saya bersama ayah, kakak dan anak perempuannya membuang undi di Sek. Men. Keb. Kerdau. Ayah yang tak boleh nak berjalan jauh pun tetap bersemangat menjalankan tanggungjawabnya mengundi. Terima kasih kepada abag SPR yang sudi menolak kerusi roda ayah.

Balik mengundi, saya tetap sempat buat assignment untuk Muslimah. Buat story tentang penternakan ikan patin/tilapia. Temerloh memang terkenal dengan ikan patin, malah mendapat jolokan Bandar Ikan Patin.

Mujurlah ada kawan kakak yang membuat sangkar ikan patin di Peragap. Walaupun dihubungi last minute, beliau sudi melayan. Kami ke sangkarnya di Sungai Pahang, selepas solat asar. Ada 13 sangkar semuanya yang terdiri daripada sangkar patin dan tilapia. Seronok melihat gelagat ikan-ikan apabila diberi makan. Ada satu sangkar yang mengandungi ikan sungai. Kata Mejar (B) Zainuddin, ikan tersebut ada yang dipancing dan dilepaskan ke dalam sangkar ataupun anak-anak ikan yang masuk ke dalam sangkar tetapi tidak boleh keluar lagi.


Along, Efa dan anak buah saya CheYam beriya-iya nak ikut. Kata CheYam nak tengok macam mana wartwawan at work. Konon-konon diapun minat nak jadi wartawan jugak. Sempat lagi budak-budak ni main air sungai.

Betullah kot.. pilihanraya macam hari raya, sempat berziarah dan sempat bercuti.

Wednesday, March 2, 2011

Just to share...


Sekadar nak berkongsi dengan semua sahabat. Majalah Muslimah terbaru sudah boleh didapati di pasaran. Covernya Nur Heliza Helmi atau Heliza. Seperti biasa, ruangan citra wajah atau cover Muslimah, saya yang 'mengerjakannya.' Sebab...staf yang lain part timer..so bila appointment dalam waktu pejabat, masing-masing surrender lah.

Bertemu muka dengan cover girl Muslimah bulan Mac ini, pandangan pertama saya - beliau kelihatan serius. Tapi siapa sangka, Heliza seorang sangat lucu. Sepanjang sesi temubual tak kering gusi dengan lawak selambanya. Tergelak saya apabila mendengar komennya... "saya memang selalu masuk pertandingan menyanyi dan selalu kalah"..

Biarpun orangnya kelihatan kecik comey.. tapi awas, jangan tak tau..Heliza ini ada tali pinggang hitam dalam taekwondo, so jangan berani nak rapat-rapat takut ada yg kena lipat!.

Apa yang dapat saya simpulkan Heliza seorang anak gadis yang sopan dan berwawasan. Tidak hairanlah, jika dia begitu berani mengambil langkah membuka perniagaan sendiri biarpun waktu itu dia masih lagi berada di semester akhir pengajian.

Seperkara lagi yang dapat saya perhatikan, sepanjang berbual dengan beliau, tak putus keluar dari mulutnya tentang penghargaannya kepada kedua ibu bapanya. Malah apa yang diusahakannya hari ini sebagai langkah persediaan untuk ayahnya selepas pencen dan untuk adik-adiknya.

Melihat kesungguhannya, tak mustahil hasratnya untuk menjadi seorang pakar motivasi akan tercapai. Kata Heliza dia ingin tampil seperti idolanya Ustazah Dato' Siti Norba'yah Mahmud dan Dato' Dr Fadhilah Kamsah.

Saturday, February 26, 2011

Rahsia yang bukan rahsia

Tahun ini sudah masuk 16 kali pilihanraya kecil terpaksa diadakan kerana kematian wakil rakyatnya. Memang break recordlah. Terbaru, rakyat di Merlimau dan Kerdau akan membuang undi pada 6 Mac nanti bagi menggantikan wakil rakyat mereka yang kembali ke rahmatullah. Hmmmm.. berapa banyaklah belanja yang terpaksa dikeluarkan? Duit untuk melaksanakan proses pilihanraya, duit untuk buat pembangunan bagi kawasan terbabit dan duit untuk beli hati pengundi(???)...

Saya salah seorang yang bakal membuang undi di Kerdau. Sebenarnya saya sudah membuat permohonan untuk menukar tempat mengundi setelah tamat pilihanraya umum ke-12. Saya membuat pertukaran tersebut di PWTC di satu kaunter SPR yang dibuka ketika itu.

Bagaimanapun ketika pengumuman tentang pilihanraya kecil akan diadakan, saya tergerak hati untuk menyemak kembali daftar pengundi. Nampaknya nama saya masih tersenarai untuk mengundi di Dun Kerdau. Takpelah rezeki nak merasa mengundi lagi..bukan semua seorang 'terpilih' untuk mengundi dua kali.. terpaksa tunggu PRU.

Sebagai seorang rakyat yang 'bertanggungjawab' memang peluang mengundi takkan dilepaskan. Undi tu hak kita. Hak yang tak boleh dicabut oleh orang lain. Hak yang tak boleh dipertikaikan oleh orang lain. Undi adalah rahsia...kan?

Tapi saya agak terkejut, apabila pada petang Khamis, lebih kurang sekitar pukul 3 ptg, 24 Februari 2011 saya menerima panggilan dari satu private numbre. Sebaik sahaja dijawab kedengaran suara dari mesin perakam.."Ini adalah satu kaji selidik, dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau yang bakal berlangsung, parti manakah yang akan ada pilih..a)parti.. b)..". Saya sangat terkejut dan terus mematikan talian.

Dalam hati saya terus terlintas, kerja siapakah ini? Mengapa mesti diadakan kaji selidik untuk mengorek rahsia? Bukankah undi tu hak pengundi dan undi adalah rahsia? Kalau diberitahu siapa yang bakal kita undi baik tak payah dibuat pilihanraya! Memang terasa ia satu bentuk harassment atau pencabulan hak. Kalau diberitahu, sudah tentu yang rahsia tidak menjadi rahsia lagi..kan?

Sunday, February 20, 2011

Tak ikut syariat?

Malam kelmarin selepas selesai makan malam, saya duduk berehat di hadapan tv. Sebenarnya sudah lama saya tidak berkesempatan menonton tv. Macam-macam drama yang ditayangkan di pelbagai saluran tv. Begitu juga bermacam rancangan hiburan lain turut di paparkan.

Sebaik duduk bersama anak-anak, baru saya terperasan rupanya rancangan tersebut ialah rancangan Galaksi (apabila terpandang wartawan perempuan yang sedang menginterview seorang artis, sebab saya pernah bersua dan bersembang dengan beliau di satu majlis).

Apabila mendengar perbualan di tv, along yang kebetulan sedang menghadap komputer riba di sebelah saya bersuara, “tak suka betul kaklong tengok rancangan macam ni. Apalah yang dorang ni tanya."

Saya tersenyum dan menjawab, inilah realiti masyarakat kita hari ni, kadang kala berguna juga untuk kita tahu sebagai teladan dan sempadan.

Tiba-tiba ada suara kecil Efa menyampuk.. “tak baguslah macam ni, tak ikut syariat Islam langsung”. Terkejut saya yang mendengar. Apa yang tak ikut syariatnya, tanya saya sekadar mahu menguji apakah dia faham apa yang disebutnya.

“Ala tak pakai tudung, pakai cekci-cekci, tu tak ikut syariat Islam lah tu (efa mmg susah nak sebut perkataan seksi, mesti jd cekci. tak tahu kenapa hehehe)..”

Saya dan along tergelak mendengar kata-kata Efa. Nyatalah dia faham. Kata along pulak..dah tu adik tu kenalah pakai tudung kalau keluar rumah..kalau tak, tak ikut syariat Islamlah tu.. Jawab si adik pulak, lepas ni umi buanglah baju-baju cekci adik (ada ke baju cekci dia…owh baju gaunnya yg takde lenganlah tu kot!) . “Pakai dalam rumah takpe dik…jangan pakai di luar” balas along. Budak-budak, yang pasti pemerhatiannya tajam..!

Saturday, February 12, 2011

Sudahkah kita mencapai matlamat?

Lama sungguh menyepi rasanya dan alasan standard, bz. Hehehe..tapi memang betul bz pun. Tapi ramai orang lain yang lagi sibuk, siap boleh menulis novel lagi. Contoh macam sahabat saya Lily Haslina. Novel, skrip, tulis artikel di majalah dan macam-macam perkara dia buat. Fuh..! Tabik. Berbalik kepada soal pengurusan masa sebenarnya.

Bercerita tentang masa dan pengisiannya, tentu kita semua tahu tujuan kita dijadikan. Ya, tak lain tak bukan untuk beribadat kepada Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Az-zariyat: 56, “Tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepada-Ku”.

Kalau kita renung-renungkan kembali kehidupan kita, adakah sudah terisi matlamat kejadian kita itu iaitu untuk beribadat kepada Allah azzawajalla?

Saya yakin ramai di kalangan sahabat pernah menerima emel yang saya namakan kalkulator amalan. Saya pernah mendapat emel ini lama dahulu dan saya terjumpa sekali lagi sewaktu membaca novel Tuhan Masih Mencintaiku yang dihadiahkan oleh sahabat saya Lily. Saya ingin kongsikan bersama sahabat di ruangan ini, mudah-mudahan kita sama-sama dapat bermuhasabah.

Kita tahu tanggungjawab kita di dunia ini ialah untuk beribadat kepada Allah. Justeru mari kita muhasabah bersama apakah kita sudah memenuhi tanggungjawab tersebut. Kita kira jumlah solat sahaja dulu.. kerana seperti kita maklum, solat merupakan perkara pertama yang akan ditanya Allah nanti.

Berapa usia kita sekarang? Katakanlah umur kita 40 tahun. Sekarang mari kita sama-sama ambil kalkulator.

Berapa umur ketika baligh – 13 tahun?
Ok.. 13 tahun, adakah kita telah mengerjakan solat tanpa ada yang tercicir? Jika Ya – Alhamdulillah.. Tidak? Hmmm… serius kena muhasabah kembali.!

Katakanlah di usia 16 tahun baru kita betul-betul bersolat.
40-16=24 tahun @ 8736 hari
Berapa lama kita solat sehari? 5 minit? 10 minit?
12 minit x 5 kali = 60 minit @ 1 jam sehari x 8736 hari/364 = 2 tahun


Bayangkan daripada 40 tahun kita hidup, cuma 2 tahun sahaja kita solat (ibadat). Apakah sudah cukup memenuhi matlamat kita dijadikan untuk beribadah? Adakah andai kita diambil nyawa oleh Allah di ketika ini, kita mampu berkata, Ya, Allah aku sudahpun memenuhi tujuan aku dijadikan, iaitu untuk beribadat kepada Engkau… tentu malu kita, kalau hendak dibandingkan dengan apa yang kita terima setiap hari daripada Allah SWT. Justeru layakkah kita meminta untuk dimasukkan ke dalam syurga?

Bagaimana pula kalau solat kita itu cerlang-cerlup, masa rajin solat, masa susah solat, masa mengharapkan sesuatu dari Allah solat, tapi masa gembira, senang kita tak solat. Atau kita solat tetapi tak khusyuk, solat ibarat ayam patuk padi – sekadar ambil nama solat sahaja. Cukupkah? Apakah solat kita itu memenuhi piawaian Allah atau tidak? Layakkah kita untuk masuk syurga?

Mungkin kita sedar ibadat bukan sahaja puasa, solat, zakat, haji, menutup aurat. Belajar satu ibadat, bekerja juga satu ibadah. Benar.. tapi adakah kita benar-benar belajar kerana ibadat. Atau belajar kerana ingin mendapat jawatan yang baik yang menjamin kita memperoleh kerja yang bagus dan duit yang banyak? Bekerja satu ibadat – juga benar. Tapi adakah pekerjaan yang kita lakukan itu menepati kehendak syariat, menjaga batas pergaulan. Apakah dalam bekerja kita benar-benar menepati masa, tidak curi tulang, tidak menggunakan peralatan pejabat atau masa bekerja untuk sesuatu yang tidak bersangkutan dengan hal kerja. Atau dengan kata lain kita amanah terhadap kerja?

Lalu apakah kita sudah menepati matlamat kejadian kita – untuk beribadat kepada Allah? Moga Allah akan mengampuni dosa-dosa dan kelalaian kita. Astagfirullah…

Friday, February 4, 2011

Ingatan buat yang mahu mengambil iktibar


Baru-baru ini saya berkesempatan mengikut kelas ‘understanding Islam’ anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), menemani Didi (mudah-mudahan Allah segera membuka pintu hidayah-Nya untuk Didi). Kelas tersebut dikendalikan oleh Ustaz Ann Wan Seng. Bagi pembaca Muslimah bilangan 288, pasti telah membaca kisah mengenai beliau.

Sebenarnya terselit juga perasaan malu dan kagum dengan beliau. Baru memasuki tahun ke-15 menjadi seorang Muslim, beliau telahpun bergelar ustaz dan mengajar saudara-saudara baru lain (dan mereka yang berminat mendalami Islam) . Sedangkan kita yang telah lahir Islam ini masih lagi terkial-kial!

Kelas yang bermula jam 6.30 petang itu dijalankan di bangunan Perkim berhampiran Balai Polis Sentul, yang juga menempatkan pejabat MACMA. Ramai juga saudara baru yang menghadirinya, rata-rata mereka adalah orang Filipina. Ada seorang warga Afrika dan seorang berbangsa Cina.

Memang terasa lucu juga apabila kelas tersebut sudah bertukar ibarat kelas bahasa Tagalog. Kata Didi sambil melawak, kita ni kat Filipino Street agaknya! Rata-rata mereka ini adalah pendatang yang mencari rezeki di Malaysia. Alhamdulillah, sepanjang berada di bumi Malaysia ini mencari rezeki, mereka juga bertemu dengan hidayah Allah.

Kelas tersebut membicarakan tentang konsep asas Islam, iman dan ehsan. Perkara yang membatalkan iman, tentang dosa kecil dan dosa besar, termasuk khurafat dan syirik. Kelas tersebut dijalankan dalam bahasa Inggeris diselang seli dengan Bahasa Melayu, (terdapat juga kelas yang dianjurkan dalam bahasa Mandarin dan kelas mempelajari bahasa Arab)

Melihat kegigihan mereka mendalami Islam, memang memberikan kesedaran pada diri sendiri. Betapa mereka tekun mencari ilmu fardu ain dan memantapkan akidah. Sedangkan kita ini seringkali mengambil sikap ‘take thing for granted’.

Menurut MACMA, sememangnya kelas tersebut mendapat sambutan daripada kalangan bukan warganegara yang memeluk Islam. Jarang-jarang sekali ada warganengara yang ikut sama, apatah lagi dari kalangan umat Islam sendiri (Islam sejak lahir), walaupun ia terbuka untuk semua dan diadakan secara percuma (sumbangan boleh diberikan untuk membantu NGO ini).

Bersama-sama mengikuti kelas tersebut, menyedarkan diri saya - kita sebenarnya perlu menambah ilmu; bukan sahaja untuk diri kita tetapi lebih penting lagi sama ada kita sedar atau tidak, kita adalah pendakwah. Suka atau tidak, itulah hakikat yang perlu kita terima, kerana setiap perlakuan kita menjadi cerminan agama yang kita anuti.

Dalam keadaan Islam dilabel sebagai agama ekstrem, agama Barbarian, terrorist, menjadi tugas kita memberi penerangan yang benar tentang Islam. Memang orang akan kata segalanya tak boleh dalam Islam, segalanya ada balasan, namun ia sebenarnya mendidik umatnya agar menjauhi perkara yang menjerumuskan mereka kepada kehancuran. Ibarat sayangkan anak, pastinya kita akan mendisiplinkan mereka, menegur dan menghukum. Dan cantiknya, Islam telah menyatakan segala bentuk hukuman sejak kita masih hidup lagi agar kita menjauhi perbuatan buruk.

Ancaman dan ganjaran yang dinyatakan dalam al-Quran yang menjadi manual kehidupan manusia, merupakan peringatan bagi mereka yang mahu mengambil iktibar.

Tuesday, January 25, 2011

Cekal, tabah, pasrah


Menjadi isteri dan ibu, sememangnya perkara fitrah bagi seorang wanita. Andai ditakdirkan dipertemukan jodoh oleh Allah, pasti rumah tangga yang dibina diharapkan akan berkekalan hingga ke syurga.

Ada orang yang ditakdirkan cepat jodohnya, ada yang lewat malah ada yang tak berpeluang menikmati gelaran seorang isteri. Ada rumah tangga yang dibina kekal hingga mati, namun ada juga yang putus di tengah jalan – sama ada bercerai di usia muda, usia senja ataupun bercerai mati. Apa yang pasti setiap yang berlaku itu ada hikmah dan terbaik untuk manusia.

Berkesempatan berbual dengan Anne Ngasri baru-baru ini, jelas terlihat betapa cekal dan tabahnya hati wanita muda ini. Terserlah kematangannya berbicara, biarpun usianya belumpun menjejak angka 27. Ramai yang tahu dia mendirikan perkahwinan sewaktu berusia 21 tahun dan menjadi ibu belumpun berusia 23 tahun. Lima tahun lebih usia perkahwinannya, dia dikurniakan 3 cahayamata. Malangnya 5 tahun itu juga menyaksikan dirinya telah diceraikan 3 kali, terakhir sewaktu kandungan berusia 4 bulan!

Sebenarnya peluang bertemu muka dengan Anne terjadi secara tidak sengaja. Saya dijemput oleh JANDA Product Marketing untuk majlis pelancaran Duta KOPI JANDA, (JANDA tu sebenarnya akronim bagi Jaring Amanah Niaga Demi Addeen - kata Anne dia juga agak skeptikal pada mulanya, tapi setelah diberi penerangan, dia menganggap peluang tersebut rezeki buatnya dan anak-anak) yang menampilkan Anne sebagai duta barunya.

Selepas tamat majlis tersebut, saya cuba mendekati Anne dan bertanya bolehkah beliau meluangkan masa setengah jam untuk ditemubual, Alhamdulillah, dia tidak keberatan. Lalu berlangsunglah sesi temubual ‘bidang terjun’ kami (sebenarnya bagi golongan wartwan sesi bidang terjun atau sesi terjah ni suatu yang lumrah. Nasib baik dilayan baik nasib tak baik kita kena tahan telinga sajalah!)

Bergelar isteri, ibu dan kemudiannya, ibu tunggal, pada usia yang masih muda, bukanlah sesuatu yang mudah, namun ternyata Anne cekal menghadapinya. Dan kecekalan itu terbina, apabila kita mendekatkan diri kepada Allah.

“Bohonglah kalau saya katakan tak terkesan dengan apa yang terjadi kak. Apatah lagi ia berlaku dalam keadaan saya mengandung. Memang kalau tak kuat saya boleh meroyan. Namun saya menerimanya sebagai ketentuan Allah. Memang sukar tapi kita kena redha,” ujarnya yang kelihatan ceria sepanjang sesi temubual berlangsung.

Saya dapat membayangkan kecekalan Anne dan rasaya seakan tidak percaya melihat tranformasi dirinya, daripada zaman anak kecil, menjangkau remaja dan kini bergelar wanita dewasa – tetapi masih berwajah keanak-anakan. Teringat zaman kecilnya, saya sering terserempak beliau sekeluarga makan tengahari di restoran Haslam yang terletak berhampiran pejabat.


Ditanya bagaimana dia menyiapkan diri menghadapi situasi getir, dengan nada suara rendah, dia memberitahu, “solat kak…itu yang perkara yang Anne buat. Bukan sahaja yang wajib dijaga tapi Anne juga bangun solat malam mohon kekuatan. Anne sangat-sangat dapat merasakan yang tiada tempat lain kita boleh bergantung selain daripada Dia. Of cause, keluarga juga memberi support, tapi hanya pada Dialah sumber kekuatan sebenar. Dan Anne beruntung juga kak kerana Allah panggil Anne menjadi tetamuNya saat-saat genting tu. Anne sempat buat umrah selepas bercerai dan itu juga satu bentuk persiapan bagi Anne untuk menguatkan diri dan kembali menghadapi orang ramai dan kehidupan."

Benarlah sebagaimana janji-Nya sesungguhnya dengan mengingati Allah hati akan tenang.

Apapun yang terjadi hidup perlu diteruskan, dan Anne tetap tabah meneruskan kehidupan bersama tiga anak yang masih kecil, Abdul Warits 4, Abdul Wafri 2, dan Nazharah Afroza 3 bulan.

Pesan Anne bagi yang terpaksa menjadi ibu tunggal.. “Tidak dinafikan masing-masing ada masalah tersendiri dan punca penceraian itu juga pelbagai. Apa yang penting ialah kita kena redha dengan ketentuan Ilahi. Elakkan daripada menuduh sesama sendiri, memang dugaan akan datang tapi apabila kita tenang dan yakin semuanya sudah tersurat, insya-Allah akan ada jalan penyelesaiannya. Apa yang penting, kaum lelaki apabila bercerai, mereka perlu tahu tanggungjawab masing-masing. Alhamdulillah, walaupun kami bercerai Wafi melaksanakan tanggungjawabnya. Mudah-mudahan kami dapat kekal sebagai kawan dan dapat sama-sama melaksanakan tanggungjawab masing-masing terhadap anak-anak.”

Sunday, January 23, 2011

Bila hidayah mengetuk hati..


Sebenarnya kali ini saya ingin berkongsi cerita sewaktu mengadakan temubual dengan Catriona Ross. Bagi yang telah membaca majalah Muslimah bil 227, anda dapat mengikuti hasil temubual tersebut yang telah saya paparkan dalam ruangan Citra Wajah.

Bagaimanapun saya ingin berkongsi cerita sampingan ataupun peristiwa di belakang tabir sewaktu menemubual Cat. Sebenarnya saya terbaca kisah penggambaran beliau dalam drama terbitan Sheila Rusly di sebuah akhbar. Barulah saya tahu rupa-rupanya Cat telahpun bertudung.

Kebetulan untuk bulan tersebut, kami agak kelam kabut sedikit kerana ketiadaan personaliti untuk dijadikan cover majalah. Lalu apabila membaca berita tersebut, terlintas ingin mencuba mendapatkan beliau untuk mengisi ruang tersebut. Memang tindakan yang berisiko, kerana sudahlah tarikh deadline sudah sangat hampir, saya memang tiada contact number Cat. Justeru, saya hanya mampu bertawakal dan memohon dipermudahkan kerja saya.

Alhamdulillah dengan bantuan kak Zue, penulis sambilan Muslimah yang bekerja Utusan Media, akhirnya contact number Cat saya perolehi. Saya cuba mendail nombor tersebut tetapi masuk ke peti suara. Dua tiga kali mencuba masih juga sama keadaannya. Lalu saya pun nekad menghantar mesej kepada Cat menyatakan hajat dan meminta dia menelefon kembali. Selepas itu saya hanya berdoa agar dipermudahkan kerja saya.

Memang tidak disangka selepas solat Maghrib hari yang sama, saya menerima panggilan. Terkejut melihat di skrin telefon bimbit saya tertera nama Catriona Ross. Alhamdulillah mesej saya disambut baik oleh Cat dan beliau bersedia untuk ditemubual. Betapa leganya perasaan saya yang ketika itu sudah buntu mencari Cover Girl.

Sebagaimana yang dijanjikan, sesi temubual tersebut berlangsung di kediaman Kak Zaiton Alias, tauke butik Zaiton Alias Collections (ID Perempuan). Rumah Kak Ton yang sememangnya sering menjadi studio bagi banyak penerbitan, sekali lagi menjadi tempat shooting kami.

Alhamdulillah, temubual berjalan dengan lancar. Agak lucu juga kerana sepanjang sesi temubual itu Cat banyak bercakap loghat Kelantan – biasalah bak kat orang Kelantan kalau sudah bertemu ‘gu’ pasti bahasa ibunda menjadi pilihan. Terbayang watak lakonan Cat dalam drama Mek Salmah dari Scotland. Tambahan Kak Ton memang anak jati Kelantan yang pasti akan bercakap dialek tersebut kalau diketahui ada yang berasal dari sana. Saya yang separuh Kelantan ini pun sudah seperti ‘Siam bercakap Melayu’ dibuatnya..ngeee!

Dan seperkara yang tidak pernah menjadi ‘kejemuan’ saya ialah berkongsi kisah bagaimana terbukanya hati untuk melaksanakan suruhan bertudung.

Cat juga punya cerita yang menarik. Bukan peristiwa kemalangan lebih dua tahun lalu yang membuatkan beliau bertudung tetapi kerana bosan menunggu kawan dan ingin mencuba-cuba tudung akhirnya beliau nekad mengambil keputusan untuk bertudung.

“Cat menunggu kawan membeli tudung dan sudah lebih dua jam menunggu dia hingga Cat berasa bosan. Entah macam mana mata terpandang pada sehelai tudung yang dipakaikan pada mannequin, lalu Cat minta pembantu kedai itu ambil untuk dicuba. Sebaik menyarungkan tudung ke kepala, belum sempatpun Cat melihat cermin, tiba-tiba terasa umpama ada satu tiupan yang menusuk ke hati membuatkan bulu roma meremang. Cat terus menanggalkan tudung tersebut.”

Dan sekembalinya ke rumah bermulalah episode dirinya diselubungi perasaan sayu yang sukar digambarkan lalu di hati terselit yang dirinya ingin bertudung. Malah keesokan harinya beliau tidak terlangkah keluar rumah kerana tiada tudung yang boleh dipakai.

Segera dia menghubungi sahabat baiknya mengadu yang dia ingin keluar rumah tapi tak boleh berbuat demikian kerana tiada tudung. Apalagi, terkejut sahabat baiknya itu lalu dia disuruh bersiap kerana sahabatnya itu akan membawa dia ke butik yang dijengahnya semalam untuk membelikannya tudung.’

Begitulah, apabila hidayah mengetuk hati siapakah yang boleh berkata TIDAK?