RSS

Tuesday, March 31, 2009

Yang sedih dan gembira

Semalam dan hari ini, ada dua perkara yang menggembirakan dan menyedihkan saya. Biarlah saya kisahkan perkara yang sedih dahulu. Pukul 11 malam tadi, saya terima mesej daripada kakak saya memberitahu keadaan ibu mertuanya yang semakin tenat.

Beliau bertanya saya surah apakah yang elok dibacakan kepada orang yang nazak selain surah Yasiin. Saya teringat ada ustaz memberitahu elok juga dibacakan surah ar-Ra'd untuk memudahkan roh keluar.

Saya sempat bertanya kepada kakak bagaimanakah keadaan ibu mertuanya. Katanya, cuping telinganya sudah jatuh, begitu juga peluh mula membasahi badannya. Saya menyuruh kakak menggosok permukaan kulit lengan atau kaki ibu mertuanya. Kalau sudah kesat dan tidak lagi mengeluarkan bunyi geseran, maknanya tanda kematian sudah hampir (berdasarkan apa yang saya dengar dan pengalaman menghadap arwah ibu mertua meninggal dunia). Sempat juga saya meninggalkan pesanan supaya jangan dibiarkan ibu mertuanya keseorangan.

Arwah meninggal dalam usia 84 tahun kerana sakit tua. Arwah juga mempunyai penyakit kencing manis tapi tidak begitu serius. Tiga minggu lepas, beliau terjatuh di bilik air. Bermula dari situ beliau terlantar. Namun keadaannya agak pulih tetapi tidak boleh lagi bangkit berjalan. Minggu terakhir ini, beliau kembali uzur sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir sejurus sebelum Subuh pagi tadi.

Sewaktu sakit, saya tidak berkesempatan untuk menziarahinya dan setelah diberitahu kematiannya, saya bergegas ke rumahnya selepas menghantar anak ke sekolah. Saya sempat membantu menguruskan jenazah beliau. Inilah kali ketiga saya menolong memandikan jenazah; pertama kali ibu saya, kali kedua ibu mertua dan kini ibu mertua kakak saya. Semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.

Cerita gembira pula, saya telah menerima kiriman novel daripada Kak Noorhalijah atau mesra dipanggil KakNoor. Novel bertajuk Rindunya Kian Membara karya Noor Suraya. Dengan sedikit kreativiti (wartawanlah katakan..) saya telah berjaya menghubungi KakNoor. Seronok bersembang dengan KakNoor. Habis disebutnya nama kawan-kawannya, sebelum saya memperkenalkan diri.

Kata KakNoor, sedapnya suara (hahaha.. jangan KakNoor! Nanti Siti Nurhaliza tak boleh cari makan)! Tu, belum dengar gelak besar lagi... Nanti pengsan KakNoor. KakNoor pun, suaranya macam orang muda. Kata KakNoor dia dah tua tapi selalu rasa muda. Takper KakNoor, janji bahgia hehe.

Sempat juga kami berjanji untuk bertemu di pesta buku nanti. Apa pun, semoga hasrat tersebut diizinkan Allah. Hmm... sebut pesta buku, tak sabar rasanya nak 'berlonggok' dengan geng tingkap hehehe!

Sunday, March 29, 2009

Wajar atau tidak?

Teringat saya perbincangan dengan Prof. Madya Dr. Raihanah Abdullah berkenaan poligami. Katanya dalam sistem perundangan syariah di negara kita, seorang isteri tidak boleh menuntut cerai kerana alasan suaminya berpoligami. Sekiranya isteri ingin juga bercerai, dia terpaksa memberi alasan lain seperti suami tidak menjalankan tanggungjawab dan sebagainya.

Dek kerana perkara inilah, maka banyak suara sumbang yang mengambil kesempatan mengkritik sehebatnya golongan ulama dan institusi perundangan Islam di Malaysia. Disebabkan kerenah birokrasi dan dolak-dalik pihak suami, ramai isteri yang berasa diri mereka teraniaya.

Saya agak tertarik hati dengan perbincangan tersebut, biarpun ia mungkin menimbulkan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak. Walau bagaimanapun, saya tetap ingin berkongsi maklumat dengan para pembaca.

Sememangnya poligami merupakan satu perkara yang sangat sensitif bagi kaum wanita. Apatah lagi jika suami mengambil sikap menipu dan cuba menyorokkan perkara tersebut daripada pengetahuan isteri. Dalam kes sebeginilah menurut Dr. Raihanah, pertimbangan perlu diberikan kepada isteri. Sekiranya beliau redha dengan perkahwinan kedua suaminya, masalah tidak timbul. Jika sebaliknya, maka beliau harus diberikan pilihan.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan, namun hujah yang diberikan beliau wajar untuk kita pertimbangkan. Dalam kes poligami yang tidak diketahui isteri, biasanya calon isteri kedua dan pihak suami masing-masing sedar dan tahu bahawa pilihan yang dibuat itu akan melibat orang ketiga iaitu isteri pertama. Calon isteri kedua tahu yang dia akan bermadu dan suami pula tahu dia akan 'memadukan' dua orang wanita. Dengan kata lain mereka ada pilihan.

Berbeza dengan isteri pertama, dia tidak tahu yang suaminya berkahwin lain tetapi apabila pecah khabar, dia 'dipaksa' untuk menerima perkahwinan tersebut dan mungkin mendedahkan dirinya kepada risiko jangkitan penyakit dan sebagainya. Sekiranya dia enggan, maka dia akan dituduh mengharamkan perkara yang halal - poligami. Tidak lagi timbul soal dirinya tidak diberitahu yang suaminya akan berkahwin lagi atas alasan poligami tidak memerlukan izin isteri.

Sememangnya tidak dinafikan, ramai isteri yang merasakan dirinya tertipu atau kecewa apabila mengetahui suami telah berkahwin lagi. Ada yang berasa diri mereka tidak lagi dihargai, malah ada yang berasa hilang keikhlasan untuk berbakti kepada suami. Sekiranya perasaan tersebut tidak lagi boleh dipujuk dan setelah ditimbang semasak-masaknya (dengan akal yang waras dan juga pertimbangan keimanan), maka tidak seharusnya isteri terus terbelenggu dalam perkahwinan yang tidak membahagiakannya.

Kita jangan lupa, jika poligami itu dibenarkan oleh Islam, begitu juga dengan talak. Biarpun ia perkara halal yang tidak disukai Allah, namun ia tetap dibolehkan. Teringat satu kisah yang pernah saya baca berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. Rasullah telah mengahwinkan Zaid bin Harithah dengan seorang wanita bernama Zainab (kalau tidak silap saya). Bagaimanapun perkahwinan tersebut tidak begitu disenangi oleh Zainab. Setelah beberapa lama, Zainab menghadap Rasulullah, memohon untuk dirinya dilepaskan daripada perkahwinan tersebut. Alasannya, dia tidak ada rasa kasih terhadap suami dan perkara tersebut menghalangnya untuk berbakti kepada suaminya. Setelah dipertimbangkan, akhirnya Rasulllah s.a.w mengarahkannya bercerai dengan kaedah khulu'.

Bukan bermakna jika kita memberikan ruang kepada wanita untuk menuntut cerai atas faktor suami berkahwin lain, kita menggalakkan penceraian. Namun, ia sebagai jalan penyelesaian kepada konflik yang berlaku. Perkahwinan bertujuan untuk melahirkan sakinah, mawaddah dan rahmah. Andai maksud tersebut tidak tercapai maka Islam masih ada jalan keluar, iaitu menerusi talak. Bukan terus dengan talak tiga, tapi ikutlah kaedah yang betul. Mungkin perceraian kali pertama itu akan membawa lebih persefahaman dan kebahagiaan di belakang hari. Siapa tahu!

Thursday, March 26, 2009

Selagi jemari masih berbisa...

Semalam saya pergi menziarahi 'rumah' cik Rose..(Cik Rose.. nama awak naik lagi hehe). Baca entry sinopsis TLT. Kata cik Rose, kali ini tulisan dia lain daripada selalu (wonder whether dia guna panggilan 'abang' ker untuk suami.. sebab cik Rose memang alergik @ jaki dengan panggilan abang heheh...)

Kata cik Rose, hasil kerjanya banyak bermain dengan emosi dan air mata. Hmm... kalau membaca karya cik Rose sebelum ini, pasti ramai yang bersetuju ia serba sedikit membayangkan tuan punya badan..agak kelakar, gila-gila dan bersahaja. Bila tengok blog empunya diri, lagi mentashihkan tanggapan tersebut (pada saya memang kena dengan identiti orang seni macam cik Rose). Apapun saya yakin, TLT akan menyerlahkan sisi cik Rose yang berbeza.

Tujuan saya menulis ini bukan nak bodek cik Rose untuk dapat novel free (hahah). Sebenarnya apa yang saya ingin katakan ialah bukan senang untuk mengubah genre penulisan.

Tahun ini merupakan tahun ke-16 saya masuk ke bidang kewartawanan. Sepanjang masa tersebut, saya cuma sempat membuat dua buah majalah iaitu Muslimah dan Dian. Kedua-duanya hampir serupa tapi tak sama. Serupa kerana genrenya majalah Islamik tetapi tak sama kerana satu majalah wanita dan satu lagi majalah ilmiah.

Bukan senang pada awalnya untuk mengendalikan majalah ilmiah kerana pengisiannya agak berat. Apatah lagi apabila saya terpaksa menyambung tugas seorang yang ketokohannya tidak boleh dipertikaikan lagi, Almarhum Datuk Yusoff Zaky, pemikir persuratan Islam. Siapalah saya untuk menghasilkan ruangan editorial sehebat ruangan mikroskop Dian kendalian beliau. Memang tugas yang sangat mencabar buat orang baru seperti saya. Biarpun kini majalah Dian terpaksa dihentikan penerbitannya atas sebab-sebab tertentu, namun ia tetap memberikan saya kenangan manis yang tersendiri.

Mengendalikannya, menuntut saya menajamkan lagi akal dan menambah pembacaan. Mengajar saya supaya lebih berfikiran kritis. Menemukan saya dengan lebih ramai cendekiawan. Saya berasa sangat beruntung kerana berpeluang menambah ilmu biarpun tidak bergelar mahasiswa. Mengingatkan saya kepada seseorang yang pernah ditemubual..katanya "dunia ini universiti saya!" Benar sekali. Tidak hadir ke dewan kuliah bukan bererti kita tidak boleh menambah ilmu. Pengalaman orang, kepandaian orang boleh kita manfaatkan.

Bidang penulisan menemukan saya dengan ramai orang. Ramai orang bererti banyak ragamnya. Tapi yang pasti, menerusi bidang ini saya menjadi seorang yang lebih cuba memahami. Meletakkan diri dalam situasi orang. Mengajar saya untuk melihat sesuatu dari sisi berbeza.

Bidang kewartawanan ini juga mengenalkan saya sifat manusia yang ada kalanya tak masuk dek akal. Penipu, pendendam, pengugut dan segala yang buruk-buruk. Malah menjadikan saya kadang kala takut mendepani telatah manusia yang begitu berani membelakangkan hukum Tuhan.

Bidang yang saya ceburi ini juga pernah menyaksikan saya diugut, dihentam dan diperlekeh. Tak kurang juga yang memuji dan menyanjung. Namun selagi jemari masih bisa mengetuk kekunci komputer dan akal masih boleh berfikir, kecintaan saya akan tetap setia di sini.

Alhamdulillah, bidang ini juga mengajar saya untuk menilai hasil tulisan yang baik atau sebaliknya. Namun ia tidak bermakna saya boleh menghasilkan lebih baik lagi, kerana sebagai manusia saya juga banyak kelemahan. Sebab itulah agaknya, sehingga kini saya masih tidak berjaya menghasilkan sebuah novel. Sebab saya tidak pandai berkhayal untuk memenuhi tuntutan bidang penulisan kreatif! Namun doakan saya supaya berhasil melahirkan novel sendiri walaupun sebuah cuma.

Wednesday, March 25, 2009

Cerita tentang ikan...

(credit to Wikimedia Commons)

Saya sangat suka memelihara ikan. Terasa satu kepuasan yang tidak terhingga kalau dapat melihat ikan berenang-renang dalam akuarium atau kolam. Saya juga boleh duduk melangut depan akuarium menghadap ikan-ikan berenang. Tidak terasa bosan, malah memberikan ketenangan pada saya.

Di rumah, saya ada sebuah kolam ikan berukuran satu setengah kaki tinggi, 4 kaki panjang dan 2 kaki lebar. Harganya RM75. Tambah dengan filter dan beberapa ekor ikan, harganya menjadi RM120.00.

Mula-mula di dalamnya ada 15 ekor ikan kap (koi), tapi mati 6 ekor kerana penyakit. Tinggal 9. Sekarang sudah ada 14 ekor. 10 ikan koi dan 4 ekor ikan mas besar (macam spesis koi juga). Dan beberapa ekor ikan mas yang saya keluarkan dari akuarium di dalam rumah. Akuarium tersebut saya sudah isi dengan ikan guppy pula. Ada 28 ekor (asal 30 ekor tapi mati 2 ekor). Tak taular pulak kalau dah beranak-pinak lagi dalam akuarium tu. Tak sempat nak chek!

Koi peliharaan saya kalau dibandingkan dengan apa yang saya lihat di laman web rasanya dari jenis Yamabuki, Sanke dan Hikariutsuri. Tapi bukan truly Japanese, Malaysian breed. Kalau Japanese breed lagi cantik dan mahal harganya.

Baru-baru ini saya sempat ke sebuah kedai dan showroom ikan (betul ke?) di Shah Alam. Saya pun tak perasan sangat. Tapi nama dia kalau tak silap Akuarium je (tak sempat nak perhati beriya sebab sibuk duk kejar si Efa yang tak sabar nak tengok ikan besar dalam kolam). Lokasinya di sebelah Water World dekat Taman Tasik Shah Alam. Orang Shah Alam mesti tahu punya.
Ruginya…saya tak bawak kamera. Macam-macam ikan ada. Tapi of coz, tumpuan saya mesti pada ikan koi. Geramnya tengok, daripada yang kecil sampailah yang besar. Jinak pulak tu… makan di tangan. Kalau lah saya dapat..(hmmm…).

Saya suka bertanya dengan tuan punya kedai ikan kalau ke sana, macam mana nak jaga ikan dan sebagainya. Saya diberitahu ikan koi, susah nak membesar kalau dalam kolam yang kecil…(huh! Tu buat saya bengang). Kolam yang saya ada dikira kecil lagi. Kalau boleh saya nak tengok ikan saya membesar sehingga 2 kaki macam ikan yang selalu masuk Koi Championship tu..(fuh berangan lar tuh).

Saya melayari internet dan saya seronok sebab jumpa satu video ni.. Dapat juga idea.. kalau nak membesarkan kolam ikan saya.

http://www.youtube.com/watch?v=GspWgT4hGHo
http://www.youtube.com/watch?v=_Q09lqASY8M

Masalahnya ada ke kawasan? Dan apa jaminan anak-anakku tidak turut sama berendam dengan ikan peliharaan umi dia heheh!

Monday, March 23, 2009

Apasal lar susah sangat!!!


Sudah lama saya tidak menimbang berat badan. Kali terakhir hampir enam bulan yang lepas. Biasanya berat saya di antara 55kg hingga 60kg. Ada sekali tu terbabas sehingga 62kg. Kali terakhir saya timbang berat saya lebih kurang 58kg.

Sejak sebulan yang lepas saya terperasan baju-baju saya terasa agak (saya ulangi agak) sendat. Tumit juga terasa macam sakit-sakit. Tapi biasalah, kerana keluarga saya ada penyakit gout. Saya juga biasa bengkak urat keting. Bahkan kalau bengkak sendi jari jemari tu dikira biasa. Tapi dalam hati terfikir jugak, agaknya berat badan aku ni makin bertambah kut..heheh.

Jumaat lepas kami sekeluarga keluar makan malam. Selepas makan, anak sulung mengajak ke Carrefour kerana ingin membeli buku latihan tambahan untuk mata pelajaran mathnya. Selepas keluar dari kedai buku dan menghala turun untuk balik, saya terjumpa sebuah penimbang. Apalagi, bergegas menukar syiling (huh mahal giler sampai 40 sen dichargenya) dan pling... duit masuk. Dalam 5 6 saat keluarlah amaun timbangannya..Huh!!! Macam tak percaya (ek eleh tak caya lak konon) berat saya 64kg!!! Mak datuk!! Tak pernah dalam sejarah. Tambah menyakitkan hati keluar pulak suara makcik dari mesin timbang tu..you're overweight blablabla..(yer la dengan ketinggian 152cm memang overweight la). Tapi takler se sadis satu mesin timbang di Central Market.. bila masuk duit dalam 5 saat makcik tu dengan sadis memberitahu, "anda gemuk". Sudahlah tu kuat pulak suaranya... Kalau orang lalu tepi memang toleh dua kali. Sungguh keji 'perempuan" itu hahahah!

Teruk saya diusik oleh anak-anak dan suami. Saya kata mana ada... mesin tu salah tu! Esoknya kami keluar pula ke Jalan TAR. Singgah di Kompleks Pertama. Saya jumpa penimbang free. Apalagi lompat naik..huhu turun sekilo..Hehe! Sah penimbang salah (just nak sedapkan hati).

Hakikatnya saya tahu berat badan saya memang naik. Saya perasan sendiri yang saya semakin berselera untuk makan. Tengok nasi sedap saja.. hehe. Makanan lain pun saya pulun.

Nampaknya saya kena turunkan berat badan saya untuk kesihatan. Maklumla keluarga saya majoritinya 'kilang gula' (kencing manis). Saya sendiri pun sewaktu mengandung memang mendapatnya. Cuma nasib baik selepas melahirkan anak ia kembali normal.

Teringat nasihat kakak kedua saya yang memang pakar bab pemakanan (sister di hospital lah katakan). Katanya nak diet bukan bermakna tak makan, tapi kurangkan kuantiti pengambilan makanan. Waktu makan tetap macam biasa (tiga atau lima kali sehari). Cuma kuantitinya dikurangkan. Sebagai contoh, sarapan cukup dengan sekeping roti, sebiji telur dan segelas milo. Atau secawan bihun yang dicampur secawan sayur. Kalau masih kenyang, elakkan mengambil tea break (esp kalau sarapan berat macam mee/bihun). Tapi kalau terasa lapar, cukup dengan sekeping biskut tawar dan segelas air sejuk.

Tengahari pula, secawan nasi (jangan padatkan dalam cawan.. tak aci kalau tekan-tekan bagi padat), secawan sayur (kalau lebih pun tak apa), daging@ayam@ikan yang saiznya sebesar kotak mancis (huh boleh ker), sepotong buah dan air sejuk. Minum air dulu sebelum makan (nak kenyangkanla tuh).

Makan malam pula mesti awal (sebelum Maghrib). Menunya sikit lebih kurang macam tengahari. Atau makan karbohidrat lain seperti mee, bihun dan yang sewaktu dengannya. Dan sebelum tidur (dalam pukul sembilan) kalau perut terasa lapar bolehlah mengambil biskut sekeping atau sepotong buah-buahan.

Bunyinya memang macam senang.. tapi nak buatnya? Huh! Seksa... Saya pernah mencubanya tapi seringkali kecundang. Esp. kalau masak singgang, cicah dengan sambal belacan lawan dengan ulam. Hancur diet saya!!. Tu belum lagi masak tempoyak ke, asam pedas ke atau yang seangkatan dengannya. Pendek kata memang memerlukan daya tahan yang tinggi. Ya, daya tahan untuk tidak tergoda dengan masakan yang sendiri bikin!!

Teringat satu artikel yang ditulis oleh Dr. Tuah Iskandar. Katanya, tak susah nak kurus. Kurangkan makan, buat exercise. Sepatutnya begitu... tapi kenapalah susah sangat nak buat??? Tolong jawab sket!!!

Makanan paling mahal dalam dunia

Semalam saya ke pasar raya untuk beli stok lauk-pauk. Ternampak ikan sardin yang segar, lalu saya beli sekilo. Biasanya ikan ini saya buat masak goreng saja. Masa memilih ikan tersebut, terfikir juga, mana tahu kalau-kalau rajin nanti boleh buat laksa.

Singgah di tempat sayur, saya ambil timun 4 batang. Dalam hati masih terfikir, mana tahu kalau-kalau nanti buat laksa, sudah ada ulamnya.

Setelah selesai membeli barang keperluan, saya dan suami terus pulang. Dalam kereta, suami tanya nak masak apa? Mulanya, ingat nak masak lemak ketam (memang ada beli ketam sebab anak kedua saya sudah sibuk mintak nak makan ketam). Terlintas pula soalan saya, ok tak kalau hari ini kita makan laksa. Sebab sudah lama tak buat laksa. Suami terus kata ok.

Terpaksalah singgah di kedai berhampiran rumah untuk membeli laksa, daun salad, daun kesum dan bunga kantan. Nasib baik kesemua barang yang diperlukan ada. Cuma yang kelakarnya, terpaksa dua kali masuk ke kedai sebab terlupa beli laksa. Padahal menu yang nak dimasak ialah laksa!!!

Bercerita mengenai laksa, ada orang pernah beri saya teka-teki. Makanan apa paling mahal dalam dunia? Jawabnya laksa... sebab laksa bermaksud puluh ribu.

Laksa juga banyak versi bikinannya. Ada laksa kuah lemak yang biasa dibuat oleh orang Pantai Timur, laksa Johor yang dimakan dengan spaggeti dan laksa Utara. Ada juga laksa yang dimakan dengan kuah nasi dagang. Ulamnya timun dan taugeh sahaja (arwah mak selalu buat).

Laksa Utara ini pula macam-macam versinya. Bahan asasnya ikan, cili kering, belacan, asam keping, bawang merah, daun kesum, bunga kantan. Ada yang mencampurkan ikan kering yang dibakar, ada yang menambah serai. Ada juga yang dimakan dengan sambal kelapa (laksa Pak Din Teluk Kechai.. memang sedap).

Penggunaan ulam juga pelbagai versi. Yang biasa timun, salad, daun selom. Ada juga yang menjadikan kubis, pucuk putat, pucuk gajus, kacang panjang, bungan kantan, nanas dan ulam raja sebagai ulam.

Ada juga yang menggunakan ikan sardin dalam tin. Cili kering dan bawang dikisar kemudian ditumis dan dibubuh air. Kalau nak senang guna pes asam pedas segera ADABI atau MAGGI. Kemudian ikan sardin yang dihancurkan dengan garfu (tak hancur sangat, sosnya dibuang atau diambil) dimasukkan ke dalam tumisan tadi. Selain asam keping, daun kesum dan bunga kantan turut dimasukkan. Ulamnya pula nanas, timun, bawang dan cili padi. Selalunya dipanggil laksa nyonya atau laksa Cina. Teringat waktu sekolah dahulu, ada dijual di kantin.


Ini laksa Utara versi saya. Mudah saja membuatnya. Bahannya, ikan, cili padi, cili kering, bawang, asam gelugor, belacan, garam dan gula secukup rasa. Tambah daun kesum, bunga kantan dan serai. Ulamnya timun, bawang besar, cili padi dan salad. Habuan kami sekeluarga untuk makan tengahari. Sampai ke malam boleh makan dan tak perlu masak nasi.

Friday, March 20, 2009

Kita perlu modul baru!

Akademi Fantasia bakal masuk konsert minggu kedua. Dalam banyak komen tentang ianya tidak lagi releven untuk diadakan, ternyata pihak Astro mengambil langkah proaktif untuk memberi pembaharuan terhadap program tersebut, yang menyaksikan ianya tampil dengan lebih baik.

Dengan tagline, Tranformasi akan berlaku (correct me if I'm wrong), ternyata para peserta yang dipilih lebih berkualiti berbanding sebelumnya. Seawal konsert pertama, para peserta telah menampilkan persembahan yang tidak mengecewakan.

Saya sempat juga menyaksikan program ini. Adakala jika berkesempatan, saya ikut menonton diari AF. Saya tidak menafikan sememangnya pengisian program tersebut sangat menarik perhatian. Keseronokan inilah sebenarnya yang menarik minat para remaja dan juga golongan bukan remaja untuk menonton, malah menyertai AF.

Saya suka melihat modul yang disediakan. Bagaimana motivasi, kesungguhan, kasih sayang dan pelajaran diberikan kepada para peserta. Di sinilah kita lihat kelebihan modul yang diterapkan.

Bagi saya, modul sebegini seharusnya dipelajari oleh gerakan Islah/Islam dalam mentarbiyah ahli. Ramai di kalangan kita yang biasa terlibat dengan usrah. Tapi cuba kita lihat pengisian usrah yang diadakan? Kenapa ia gagal menarik minat golongan remaja untuk ikut serta.

Pada saya tidak salah kita mencontohi apa yang dibuat dalam AF. Bagaimana hubungan erat dijalinkan, bagaimana kita lihat faktor sentuhan, belaian dan kesediaan mendengar diaplikasikan. Manusia memerlukan sentuhan dan belaian, mereka juga perlukan perhatian dan pemahaman daripada orang lain. Perkara ini boleh kita aplikasikan dalam usrah kita. Tapi masih dalam batas syariat. Bukannya berpelukan, bersalam lelaki perempuan bukan mahram.

Saya tidak kata AF itu satu program yang terbaik atau terbagus. Memang menyedihkan kerana yang terlibat hampir ke semuanya anak Melayu Islam. Namun tak salah jika kita cuba menerapkan nilai baik yang ada untuk program kita, dalam acuan kita agar ia juga lebih menarik dan mampu menarik lebih ramai golongan muda menyertainya. Sedar atau tidak kita perlu bersaing untuk menyebarkan kebaikan. Tak salahkan???

Wednesday, March 18, 2009

Penyelesaiannya ada.. Jadi???

Alhamdulillah, setelah berhempas pulas selama seminggu ini, akhirnya berjaya juga saya melepasi minggu deadline (memang boleh putus nyawa, hahah)!

Seminggu berlalu, 'rumah' saya sudah mula menunjukkan tanda-tanda bersawang. Bukan tak menjenguk cuma tak sempat nak ‘menyapu’ dan ‘menghias’. Apa-apapun… ‘rumahku, aku telah kembaliii!!!!

Saya ingin berkongsi sedikit info bersama pembaca kali ini. Dalam tempoh seminggu ‘bertapa’ saya berkesempatan pergi menuntut ilmu dengan beberapa orang pensyarah (iya lah tu??).

Isu yang dibincangkan ialah berkenaan beberapa hukum dalam Quran yang sering dipertikai oleh golongan feminis seperti pembahagian harta pusaka dan perbezaan darjat antara lelaki dan wanita (rujuk surah an-Nisa’ ayat 11 dan surah al-Baqarah ayat 228). Kalau sebelum ini, saya sering juga terfikir bagaimana untuk menjawab persoalan ini - selain daripada hujah biasa bahawa ia telah jelas di dalam al-Quran dan lelaki mempunyai lebih tanggungan berbanding perempuan.

Namun, mahu atau tidak, lontaran pandangan oleh golongan feminis ini tidak boleh kita ambil mudah. Kadang kala apa yang diperkatakan mereka ada benarnya. Tapi bagaimanakah kita melontarkan pandangan balas?

Memang tidak dapat dinafikan, wanita hari ini menjadi penyumbang yang aktif kepada ekonomi keluarga. Bahkan anak-anak perempuan hari ini, turut dibebankan dengan penjagaan orang tua mereka, sama ada mereka rela atau terpaksa atas alasan mereka tidak berkahwin, mereka berpendapatan lebih dan sebagainya. Lebih malang lagi anak-anak lelaki kadang kala bersikap lepas tangan terhadap tanggungjawab yang sepatutnya terpikul di pundak mereka. Peri perlakuan sebeginilah yang sering menimbulkan ketidak puasan hati di kalangan ramai wanita.

Ayat daripada surah an-Nisa' tersebut menyatakan bahawa harta pusaka bagi anak lelaki bersamaan dua bahagian anak perempuan. Kita semua maklum tentang itu. Manakala penghujung bagi ayat 228 daripada surah al-Baqarah itu pula bermaksud lelaki (suami) melebihi satu darjat daripada perempuan (isteri).

Dalam perbincangan bersama Prof. Madya Dr. Raihanah Abdullah (UM), beliau mengajak kita terlebih dahulu memahami tafsiran ayat daripada kedua-dua surah yang saya sebutkan. Menurut beliau masalah tidak akan timbul jika tafsiran dibuat secara kontekstual. Di sinilah terserlahnya keindahan al-Quran kerana ia membuka ruang untuk manusia memahaminya dan bersesuaian dalam konteks mana yang difahami.

Bukan senang sebenarnya untuk seorang lelaki mendapat pengiktirafan kelebihan darjat sebagaimana yang disebut dalam Quran. Sebagai ketua keluarga, dia perlu memastikan terlebih dahulu peranannya dari segi nilai dan legal benar-benar dipenuhi. Aspek nilai yang dimaksudkan - menjaga kesejahteraan keluarganya dari sudut sakinah, mawaddah dan rahmah, manakala dari sudut legalnya makan pakai, tempat tinggal, pendidikan, nafkah serta menjaga agar tidak berlaku penderaan dan sebagainya. Aspek legal ini, andai tidak dipenuhi akan menjadi beban hutang dan beban dosa buatnya. Berbeza dengan orang perempuan, sumbangannya terhadap rumah tangganya (dalam aspek legal ini) kalau tidak dibuat, tidak apa kerana ia sekadar satu bentuk sumbangan sukarela.

Tapi masalahnya sekarang, telah berlaku kecelaruan fungsi. Wanita mengambil alih tugas tersebut, yang sebenarnya milik mutlak lelaki. Justeru, apakah layak kita meminta keistimewaan (padahal wanita ini Allah telah jadikan dengan penuh keistimewaan yang tidak ada pada lelaki) setanding lelaki hanya kerana kita menyumbang kepada keluarga? Konsep inilah yang perlu diperbetul dalam masyarakat kita, agar wanita tidak terbeban dengan beban yang bukan miliknya.

Seterusnya dalam isu pembahagian pusaka, memang sering kedengaran orang mempertikaikan mengapa lelaki dapat dua bahagian, perempuan satu bahagian. Pusaka ialah harta yang dibahagikan setelah berlaku kematian. Pembahagian yang dibuat secara faraid. Bagaimana penyelesaian yang boleh diambil kalau timbul isu tidak puas hati?

Kita sudah tahu pusaka ialah harta yang dibahagikan selepas kematian dengan kaedah faraid yang telah ditentukan Allah. Tapi tak salah, kalau masa hidup ibu bapa memberikan harta tersebut kepada anak-anak. Anak kita, suka hati kitalah. Tiada hukum yang boleh melarang kita memberi kepada anak kita sendiri. Berapa jumlahnya? Terpulang, sama rata atau lebih. Yang menjadi masalah apabila tidak dibahagikan semasa hidup, bila mati faraid akan masuk. Hukum Allah yang akan mengambil alih. Cuma yang perlu diingat, ibu bapa jangan berlaku tidak adil terhadap anak. Itu pesan Nabi dan Quran. Masih tak puas hati lagi??

Kalaulah kata sewaktu hidup ibu bapa tidak begitu banyak harta dan pembahagian hanya dibuat setelah kematian, masih ada mekanisme lain yang boleh digunakan. Katakanlah anak perempuan yang banyak menyumbang kepada ibu bapa, menjaga dan segala macam, sedangkan anak lelaki lepas tangan. Bagaimana menyelesaikannya? Pertama adakan musyawarah - minta saudara lelaki melepaskan haknya untuk dibahagikan sama rata. Kedua, anak perempuan boleh membawa kes ke mahkamah untuk menuntut supaya harta tersebut ditolak dahulu bahagian yang dikira haknya menjaga orang tua, sebelum difaraid.

Kalau wanita hari ini sudah boleh menuntut hak harta sepencarian, maka dia juga boleh menuntut bahagian yang dirasakan perlu dibayar kepadanya kerana menjaga orang tuanya. Gamak tak gamak soal kedua. Pokoknya ia boleh dilakukan kerana menuntut hak. Lambat atau cepat, janji dapat.

Ia juga jawapan kepada golongan yang merasa tertindas dengan hukum faraid. Jangan kata Islam tak ada penyelesaian. Padahal, apa yang berlaku adalah maklumat yang diperolehi kurang tepat dan cara pemahamannya juga salah. Dan juga sebagai peringatan kepada kaum lelaki yang tidak bertanggungjawab - dua bahagian harta bermaksud tanggungjawab juga dua bahagian!

Masih tak puas hati lagi??? Tepuk dada tanya iman - adakah kita inginkan penyelesaian? Atau kita sekadar ingin mengubah interpretasi yang akhirnya akan menimbulkan kecelaruan!

Thursday, March 12, 2009

Dalam Quran ada Jawa???

Dalam kesibukan mengejar deadline, saya tiba-tiba teringat tarikh hari ini. Dua orang anak buah saya iaitu Najwa Arifah dan Nik Ridhwan menyambut hari lahir mereka. Semalam ulangtahun hari lahir suami, hari ini ulangtahun anak saudara saya. Manakala esok pula ulangtahun hari lahir abang saya.

Najwa Arifah dipanggil kakak oleh mamanya (saya panggil Ipah atau Kak Ipah..kawan dia panggil Wawa..hmm..nama glamor la tuh). Dia merupakan anak saudara yang paling rapat dengan saya (yang lain pun rapat jugak). Rapat kerana mungkin masa kecilnya banyak dihabiskan dengan saya. Dia merupakan anak sulung daripada 5 beradik.

Dia dilahirkan sewaktu saya berada di tingkatan 5. Sewaktu saya menunggu keputusan SPM, saya banyak menghabiskan masa menjaga dia. Kadang kala mamanya meninggalkan dia di rumah ayah dan dia berada dalam jagaan saya. Dia juga lebih rasi dengan saya mungkin sebab rupa saya lebih kurang sama dengan rupa mamanya (kakak kedua saya). Ada juga orang ingat dia adik saya kerana kata mereka rupa parasnya yang sikit lebih kurang macam muka Cukyahnya!

Ipah kehilangan abahnya sewaktu dia berusia 13 tahun. Arwah abahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada hari raya ketiga tahun 1999, empat bulan selepas kematian arwah ibu saya.

Masih saya ingat lagi, waktu itu dia berada di tingkatan satu dan bersekolah di Kota Bharu. Saya yang waktu itu bertugas di sana, secara tidak langsung menjadi penjaganya walaupun dia tinggal di asrama. Bahkan kemasukannya ke sekolah yang terkenal di sana itu juga, saya yang usahakan. Saya melakukannya kerana kesungguhan arwah abahnya yang ingin menyekolahkan anak-anak di sekolah aliran agama dan dia sendiri juga berminat.

Walau bagaimanapun, saya tidak sempat berlama di Kota Bharu kerana dipindahkan semula ke KL. Dia terpaksa saya tinggalkan menjalani kehidupan sendirian di sana. Tapi ternyata dia seorang yang tabah. Dan saya bertambah yakin ujian yang diterimanya, iaitu kehilangan ayah sewaktu usianya baru mencecah 13 tahun itu ada hikmahnya. Ternyata Allah tahu yang dia mampu menghadapinya. Saya selalu meniupkan semangat kepadanya bahawa dia boleh menempah kejayaan. Saya katakan padanya, Nabi juga anak yatim, tetapi lihatlah Allah jadikan baginda seorang Rasul. Usah rasa sedih kerana dirinya menjadi yatim.

Ipah semasa kecilnya agak kelakar. Suka bergaduh dengan saya dan kakak saya, Cikna-nya yang pernah menjaganya sementara mendapat kerja. Kalau bergaduh dia mesti akan menjerit, "Cikna ada kambing, Cikna ada lembu" untuk menunjukkan darjah kemarahannya.

Dia sangat suka menyanyi lagu "Kawan" oleh Ruhil Amani, tetapi yang lucunya setiap kali lagu itu dinyanyikan dalam kereta, dia akan tertidur, tak sempatpun sampai ke bahagian korusnya.

Satu perkara yang cukup menggelikan hati, masa kecil dia sangat marah kalau dikatakan anak orang Jawa (ayahnya berketurunan Jawa. Arwah abahnya bernama Tusiman b. Basiron). Sampai keluar urat merihnya bertekak mengatakan dia anak orang Kelantan (heheh). Yang kelakarnya, pada suatu hari, sedang dia belajar mengaji muqaddam (usianya lima tahun), iaitu ayat ke-16 dalam surah al-Takwir yang berbunyi "aljawa ril kunnas", dia tiba-tiba berhenti. "Eh! Dalam Quran pun ada Jawa yer?". Macam nak pecah perut kami ketawa. Tapi bermula dari situ dia tidak lagi marah kalau dikatakan Jawa.

(Inilah Ipah...dah besarpun!)
Sekarang Ipah sudahpun berada di tahun dua di UIA dalam bidang pentadbiran perniagaan. Doa saya masih sentiasa mengiringinya. Dia masih lagi rapat dengan saya dan sering berkongsi rahsia. Berapa 'balaks' yang dia ada dan juga sebagainya (huhu jangan marah yer?) Katanya sayalah mak selala (makciknya) yang paling sporting. Hmmm??? (Ipah bodek Cukyah ek?? Huh! Sia-sia!!!)

Kepada Ipah.. Selamat Ulangtahun yang ke-23. (Hmmm...dah tua Ipah!) Semoga sentiasa berada di bawah lindungan Allah selalu hendaknya.

Wednesday, March 11, 2009

Happy birthday dear hubby!!


Hari ini, genaplah ulang tahun kelahiran suami saya yang ke-42. Doa saya semoga dia diberi kesihatan, diberkatkan umur, dimurahkan rezeki, ditingkatkan iman dan terus mengasihi saya dan anak-anak.

Suami saya, Mohammad Sukri Abdullah, dilahirkan di Alor Star, Kedah, pada 11 Mac 1967 (tarikh lahir saya 11 April 1969.. don't forget my birthday ek friends..heheh). Orangnya boleh jadi agak talkative kalau kena 'gu' nya. Suka melawak dengan anak-anak (sampai tension saya). Sangat sampoi orangnya.

Suka makan kari (for sure orang Utara) tapi kena paksa makan singgang bila kahwin dengan orang Pantai Timur. Tapi saya kena mengalah jugak.. kena masakkan kari seminggu sekali untuk dia (berkorbanla katakan).

Dia suka:

1. Tengok sukan esp: badminton (dulu bekas pemain badminton sekolah hingga ke peringkat negeri, tak dan nak wakil negeri kalah dengan Soo Beng Kiang, bekas pemain negara)dan tennis (tak tahan betul bila berebut channel tv ngan anak-anak - anak terpaksa mengalah).

2. Tengok berita - peka perkembangan semasa lah konon esp. politik.

3. Menyakat anak - sampai budak terjerit-jerit... isk sakit telinga.

4. Menyakat saya - katanya "yang abang ni macam guni perut hijau (guni padi)" - melampaulah tuh! (taular kita ni kiut heheh)

Dia juga tidak romantik - (apa romantik-romantik.. romantaik ada...tu kata dia!!)

Dia agak kasar - tipikal orang Utara kot (dia kata: apa lembut lembai macam daghai dusun a.k.a pondan!!)

Tapi dalam segala kelemahan dia itu, saya tahu dia seorang yang baik dan penyabar.. ya sabar dengan kekurangan diri saya!

Kawin Muda...Ok Tak?

Sebelum saya keluar assignment ke UM petang semalam, saya ditanya oleh seorang adik dari UMP melalui YM. “Kaknik, nak tanya.. apa pendapat akak kalau berkahwin sewaktu masih belajar.”

Saya rasa nak tergelak pun ada… bukan apa, kebetulan pagi sebelum memulakan kerja, saya singgah di ‘rumah’ kak Mimie, cerita pasal anak kawannya berkahwin muda, baru 21 tahun umur kedua-duanya, kalau tak silap saya.

Kemudian, Dayah rakan wartawan, memberi artikel ruangan Generasiku untuk diedit, yang tajuknya Kahwin muda bukan penghalang, berkisar isu kahwin muda atau dalam waktu belajar juga.

Tiba-tiba di sebelah petangnya pula saya dihujani soalan yang sama, kahwin sewaktu masih dalam belajar, memang tergelak saya dibuatnya. Macam berpakat pula dan memberi idea untuk saya menulis.

Kalau ditanya sewaktu saya menjadi pelajar, jawapan saya TAK PAYAH. Habiskan dulu belajar. Pada saya biarlah kita buat satu kerja pada satu masa. Tumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Lagipun, waktu alam kampus sebenarnya waktu yang sangat seronok untuk kita menimba ilmu dan pengalaman. Jadi, seharusnya ia digunakan sebaik mungkin.

Namun apabila saya bergelar seorang ibu, jawapan yang akan saya berikan ialah BOLEH DIPERTIMBANGKAN. Alasannya:

1. Kalau rasa ia memberi lebih kebaikan dan boleh menghalang daripada berlaku maksiat, apa salahnya. Itu lebih mendatangkan keberkatan.

2. Kalau rasa sudah berkemampuan dari segi tanggungjawab sebagai suami, isteri dan juga pelajar, (dan mungkin juga nanti sebagai ibu dan bapa) ya, tak salah kalau ingin berkahwin.

3. Kalau berkemampuan dari segi kewangan tentu sahaja boleh berkahwin. Kemampuan dari segi kewangan bermaksud, ada sumber pendapatan sendiri (bekerja atau duit biasiswa) atau ada bantuan kewangan. Ini tentu sahaja memerlukan sokongan daripada ibu bapa kedua belah pihak. Pada saya tak salah kalau ibu bapa yang berkemampuan, sanggup membantu anak-anak mereka.

Jika ketiga-tiga syarat tersebut boleh dipenuhi, maka tak salah berkahwin sewaktu bergelar pelajar. Tentang majlis, buat sekadar kemampuan. Islam itu mudah, jangan dipayahkan. Insya-Allah, sebagaimana janji-Nya, Dia akan membuka pintu rezeki bagi umatnya yang mendirikan masjid.

Bagaimana pendapat anda??

Tuesday, March 10, 2009

Ke Sungai Tua Plakkk!


Cuti hujung minggu kali ini agak panjang, bersambung sempena Maulidur Rasul (salam maulidurrasul buat semua). Sebenarnya saya tidak merancang untuk ke mana-mana, sementelah rumah kelihatan macam kapal karam. Hajat hati ingin berkemas dan melipat sebakul kain yang tak sempat dijenguk sudah seminggu.

Namun pada hari Khamis malam Jumaat minggu lepas, Pak Andak (abang ipar) datang ke rumah untuk mengambil Maklang. Sudah agak lama Maklang di rumah saya. Kata Andak, dia nak bawa Maklang ke rumahnya pula. Kebetulan dengan kedatangannya, dia mengajak kami anak beranak berkelah pada hari Ahad.

Budak-budak saya apalagi, menjerit kesukaan. Kasihan pula melihatnya, apatah lagi Si Iman dan Efa. Kaklong tidak kisah sangat. Dia sekarang semakin malas untuk keluar rumah. Anak remaja katakan!

Setelah berbincang dengan suami, kami pun bersetuju untuk pergi berkelah. Mulanya hendak ke Ulu Yam, tapi mengenangkan ramai orang yang akan ke sana pada hujung minggu, kami bercadang beralih ke tempat lain. Kata suami, cuba pula ke kawasan perkelahan di Empangan Sungai Tua. Tempatnya sebelum sampai ke Ulu Yam. Ah! Boleh lah. Yang penting, anak-anak gembira.

Saya masak nasi, buat sambal tumis udang dan sotong, goreng sedikit sayur selada air dan ikan goreng serta telur dadar. Juga sedikit ayam masak halia. Cadangnya untuk makan dua keluarga. Tunggu punya tuggu, tak sampai-sampai juga Andak sekeluarga.


Setelah ditelefon, katanya ada kawan pinjam kereta. Dia akan lambat sedikit. Kami sepakat pergi dahulu. Bimbang pula hujan turun, tak sempat anak-anak nak mandi. Kami sampai ke tempat perkelahan jam 12.30. Anak-anak dan bapanya sekali terus terjun ke air. Tinggal saya dengan Kaklong, siapkan tempat dan bancuh air.
Sementara menunggu mereka mandi, saya makan tengahari dulu. Kaklong pula sibuk membaca novel Lagu Cinta Buatmu (Qaseh Qaisara terbitan Fajar Pakeer) yang baru saya beli hari Jumaat lalu. Hmm.. sudah dapat tabiat baru dia. Membaca novel-novel koleksi uminya!

Sesudah makan, rasa teringin pula nak masuk air. Walaupun tak mandi, sempat jugak berendam sekejap. Sementara menanti anak-anak siap, saya duduk atas batu sambil memerhatikan anak-anak ikan berenang. Terlihat juga, pencakar air yang sibuk menguakkan kakinya melawan arus. Sambil melihat, hati saya turut berkata-kata. Pencakar air ini memang berani dan berpendirian. Biarpun terpaksa melawan arus, tetap diusahakannya. Tidak rela membiarkan diri hanyut dibawa arus. Ada pendiriannya. Kalau kita manusia tak ada pendirian malulah dengan pencakar air, serangga kecil ini. Sebab itu agaknya ramai manusia hari ini boleh dibeli. Sebab mereka tiada pendirian dan tidak berani!

(sepatutnya ni gambar pencakar air, tapi blurla plak. Takper kira oreitt je la kan?)

Setelah puas mandi, anak saya yang berdua dan abahnya naik menjamu selera. Memang berselera mereka makan. Maklumlah penat bermandi-manda. Mandi selesai, makan pun sudah. Tapi Andak masih tak muncul-muncul. Nak menelefonnya tak ada coverage pula.

Anak-anak kembali menyambung mandi. Jam sudahpun menunjukkan pukul 2.00, mereka masih tak kunjung tiba. Akhirnya suami cuba naik semula ke tempat parkir, kalau-kalau ada coverage. Alhamdulillah, dapat juga menghubungi mereka. Rupa-rupanya mereka tak jadi datang! Kawan tersebut masih belum sempat menghantar kereta Andak. Dia membawa isteri ke hospital kerana sakit nak bersalin.

(Tak mandi pun tak apa, dapat berendam sekejap jadilah...)

Jadinya, kami sekeluarga sahajalah nampaknya yang berkelah hari itu. Apapun, hati tetap gembira kerana dapat menggembirakan anak-anak. Sesekali beralih angin memang menyeronokkan mereka. Dan seperti biasa, mereka akan berkata..."nanti kita datang lagi ye abah?" Hmm.. iyalah tu!

Friday, March 6, 2009

Pretty Ugly...

Semalam saya keluar untuk menyudahkan tugasan bagi ruangan fesyen. Sebagaimana yang dijanjikan, saya ke rumah Puan Zaiton Alias (Zaiton Alias Collection/ID Perempuan) di Bukit Damansara untuk sessi fotografi.

Telah menanti ketibaan saya, Shafnie dan Fathiyah sebagai model yang akan menggayakan busana Zaiton Alias Collection dan Kay Maria jurusolek merangkap sahabat baik Kak Ton. Alhamdulillah, sesi tersebut berjalan dengan lancar.

Pelbagai busana digayakan oleh kedua-dua residen model Kak Ton. Ternyata kedua-duanya kelihatan cantik menggayakan pakaian yang disediakan. Sewaktu Shafnie menggayakan busana office wear, tak putus-putus mulut Kak Ton memuji penampilan Shafnie. Dengan memakai tudung hitam yang dihiasi batuan Sworski, terserlah wajah Shafnie yang memiliki darah campuran Arab.



"Cantik betul Shafnie...masuk je apa yang dia pakai," kata Kak Ton pada saya.
"Memang kak... alah ingat tak uncle Mike kata.. what ever you wear.. if you're pretty, then you're pretty. If you're ugly, then you're ugly.." Kata-kata saya disambut dengan gelak oleh Kak Ton.

Sebenarnya, saya amat mengingati kata-kata tersebut. Saya mengenali Kak Ton lebih sepuluh tahun yang lalu. Diperkenalkan oleh Datin Melorwati (Kak Melor), adik kepada penyanyi Jay Jay. Kak Ton dan Kak Melor merupakan sahabat baik. Kebetulan waktu itu Kak Ton menggayakan koleksi butik Kak Melor untuk sesi fotografi bagi majalah saya.

Uncle Mike atau nama sebenarnya Mikhail Iskandar Chan Abdullah, ialah suami kepada Kak Ton. Beliau merupakan seorang saudara baru. Saya sempat menemubual Uncle Mike, berkongsi cerita pengIslamannya. Menurut Uncle Mike, dia beroleh hidayah setelah kerap kali mendengar azan yang dilaungkan. Sehingga satu ketika, hampir setiap petang, beliau akan duduk-duduk di hadapan Masjid Jamek di KL sekadar untuk mendengar azan dilaungkan.

Setelah memeluk Islam dan berkahwin dengan Kak Ton, Uncle Mike bersungguh-sungguh mempelajari Islam. Kesungguhan yang ditunjukkan olehnya membuatkan Kak Ton juga turut terpanggil untuk menghayati kehidupan berlandaskan agama.

Teringat cerita Kak Ton, bagaimana dia boleh bertudung. Biarpun tidak pernah dipaksa oleh Uncle Mike, namun beliau selalu menyebut yang bertudung tuntutan agama. Kata Uncle Mike, If you're pretty, you wear tudung you will look pretty. If you're ugly, then you're ugly.

Uncle Mike juga seorang yang sangat menjaga solat. Sekiranya masuk waktu solat, dia akan segera menyuruh sesiapa yang bertandang ke rumahnya untuk bersolat. Begitu juga kalau ada sesi fotografi, dia akan memberitahu isterinya.. Ton, ask them to solat first.

Agak lama sebenarnya saya tidak berjumpa dengan Kak Ton dan Uncle Mike. Selepas mengadakan temubual tentang pengIslamannya pada tahun 2000, kami terputus hubungan. Sehinggalah satu hari pada bulan Februari tahun lepas, saya menghubungi nombor Kak
Ton yang diberi oleh Jamilah Aini, editor Muslimah, untuk bertanyakan tentang sesi fotografi fesyen. Waktu itu saya tidak tahu yang Kak Ton telah membuka butik. Malah nama Zaiton Alias itupun tidak memberi makna pada mulanya. Setelah berbual, masing-masing terasa seolah-olah pernah berjumpa sebelum ini. Apabila saya menyebut bahawa saya pernah menemubual seorang lelaki yang dipanggil Uncle Mike, kami sama-sama ketawa. Kiranya memang kami pernah kenal!

Setelah dibuat temujanji, akhirnya saya dapat bertemu semula dengan Kak Ton dan Uncle Mike. Namun Uncle Mike yang saya jumpa ketika itu sudah pun tidak mengenali saya kerana penyakit Alzheimer dan sudah berkerusi roda. Saya mendapat tahu rupa-rupanya Uncle Mike pernah mendapat stroke. Namun saya diberitahu Kak Ton, biarpun tidak lagi boleh bersolat, Uncle Mike masih lagi tidak lupa waktu solat dan akan menemaninya bersolat. Malah, masih juga menyuruh sesiapa bertandang ke rumah bersolat jika masuk waktu!

Saya juga mengkagumi kesabaran Kak Ton menjaga Uncle Mike. Kak Ton rela membuka butik di rumah dan membawa bersama Uncle Mike ke mana sahaja dia pergi.

Pertemuan saya dengan Uncle Mike hari tu rupa-rupanya pertemuan terakhir kami. Tidak sampai sebulan selepas itu, saya dikejutkan dengan berita yang Uncle Mike telahpun kembali ke rahmatullah. Tambah membuatkan saya terharu, saya diberitahu, arwah Uncle Mike sehingga ke akhir hayatnya masih mengulang ayat yang sama.

"Ton, I'm a staunch Muslim, I'm a good Muslim.. I want to die as a good Muslim"

Alhamdulillah, doanya dimakbulkan Allah biarpun sewaktu di penghujung usianya, ada orang-orang dari gereja yang cuba ingin mengembalikan dia kepada agama asalnya.

Uncle Mike kembali ke rahmatullah dalam usia 75 tahun, setelah mengalami sesak nafas. Sehingga ke akhir hayatnya beliau masih menyatakan yang dia ingin mati sebagai seorang Muslim dan sehingga nyawa di halkum, Allahyarham tidak putus-putus menyebut kalimah syahadah.

Semoga ruh arwah dicucuri rahmat...Al-Fatihah.

Tuesday, March 3, 2009

Biarkan mereka rasai pengalaman itu...

Hari Ahad lepas, sekitar jam 4 petang, hujan turun dengan lebatnya. Kebetulan petang tersebut kami sekeluarga tidak ke mana-mana. Sambil duduk-duduk di ruang tamu, mata saya melingas-lingas ke luar sliding door.

Tiba-tiba terlintas di fikiran saya, kalau masa saya kecil-kecil dahulu, waktu hujan begini memang saat yang saya tunggu. Lagi lebat hujan lagi saya suka. Lagi thrill! Masa untuk mandi. Ya, mandi hujan!!!

Biasanya dengan berseluar pendek, saya akan ke terjun ke halaman rumah. Sambil mandi hujan, sambil menyapu longkang. Atau berguling-guling dalam lopak air. Apa lagi, berkubanglah. Masa itu umur saya 7-8 tahun. Biasanya saya akan berkubang dengan kakak saya.

Arwah mak memang sporting. Kadang-kadang dia pun ikut sama. Waktu inilah dia akan membersihkan longkang di sekitar rumah atau menebas. Ada masa dalam hujan begini, kami akan mencabut ubi kayu untuk dibuat penganan. Ubi rebus cicah dengan kelapa yang digaul dengan gula. Minum dengan kopi panas. Uiks... kecur air liur!!

Emak tidak pernah melarang. Tak bimbang pun kena demam. Cuma kalau ada kilat atau petir, baru emak tegah. Kalau sekadar hujan sahaja, mandilah sampai kecut.

Dan kami pula tak pernah demam sebab mandi hujan. Mungkin udara waktu itu tidak tercemar. Maklumlah, kami tinggal di kawasan pedalaman.

Lalu hari Ahad itu, saya panggil anak saya Iman dan Effa. Saya suruh mereka mandi hujan. Saya ingin mereka rasa nikmatnya mandi air yang turun dari langit. Apa lagi, sukanya mereka berdua! Lihat saja aksi mereka!!!







Tak bimbangkah jika mereka demam?? Saya ingin sematkan pada mereka, sakit atau sihat, Allah yang tentukan. Mandi hujan itu penyebabnya sahaja. Andai Allah tidak izinkan, tak akan terjadi.

Alhamdulillah... mereka sihat. Sempat pula bertanya, boleh lagi tak nak mandi hujan???