Teringat saya perbincangan dengan Prof. Madya Dr. Raihanah Abdullah berkenaan poligami. Katanya dalam sistem perundangan syariah di negara kita, seorang isteri tidak boleh menuntut cerai kerana alasan suaminya berpoligami. Sekiranya isteri ingin juga bercerai, dia terpaksa memberi alasan lain seperti suami tidak menjalankan tanggungjawab dan sebagainya.
Dek kerana perkara inilah, maka banyak suara sumbang yang mengambil kesempatan mengkritik sehebatnya golongan ulama dan institusi perundangan Islam di Malaysia. Disebabkan kerenah birokrasi dan dolak-dalik pihak suami, ramai isteri yang berasa diri mereka teraniaya.
Saya agak tertarik hati dengan perbincangan tersebut, biarpun ia mungkin menimbulkan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak. Walau bagaimanapun, saya tetap ingin berkongsi maklumat dengan para pembaca.
Sememangnya poligami merupakan satu perkara yang sangat sensitif bagi kaum wanita. Apatah lagi jika suami mengambil sikap menipu dan cuba menyorokkan perkara tersebut daripada pengetahuan isteri. Dalam kes sebeginilah menurut Dr. Raihanah, pertimbangan perlu diberikan kepada isteri. Sekiranya beliau redha dengan perkahwinan kedua suaminya, masalah tidak timbul. Jika sebaliknya, maka beliau harus diberikan pilihan.
Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan, namun hujah yang diberikan beliau wajar untuk kita pertimbangkan. Dalam kes poligami yang tidak diketahui isteri, biasanya calon isteri kedua dan pihak suami masing-masing sedar dan tahu bahawa pilihan yang dibuat itu akan melibat orang ketiga iaitu isteri pertama. Calon isteri kedua tahu yang dia akan bermadu dan suami pula tahu dia akan 'memadukan' dua orang wanita. Dengan kata lain mereka ada pilihan.
Berbeza dengan isteri pertama, dia tidak tahu yang suaminya berkahwin lain tetapi apabila pecah khabar, dia 'dipaksa' untuk menerima perkahwinan tersebut dan mungkin mendedahkan dirinya kepada risiko jangkitan penyakit dan sebagainya. Sekiranya dia enggan, maka dia akan dituduh mengharamkan perkara yang halal - poligami. Tidak lagi timbul soal dirinya tidak diberitahu yang suaminya akan berkahwin lagi atas alasan poligami tidak memerlukan izin isteri.
Sememangnya tidak dinafikan, ramai isteri yang merasakan dirinya tertipu atau kecewa apabila mengetahui suami telah berkahwin lagi. Ada yang berasa diri mereka tidak lagi dihargai, malah ada yang berasa hilang keikhlasan untuk berbakti kepada suami. Sekiranya perasaan tersebut tidak lagi boleh dipujuk dan setelah ditimbang semasak-masaknya (dengan akal yang waras dan juga pertimbangan keimanan), maka tidak seharusnya isteri terus terbelenggu dalam perkahwinan yang tidak membahagiakannya.
Kita jangan lupa, jika poligami itu dibenarkan oleh Islam, begitu juga dengan talak. Biarpun ia perkara halal yang tidak disukai Allah, namun ia tetap dibolehkan. Teringat satu kisah yang pernah saya baca berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. Rasullah telah mengahwinkan Zaid bin Harithah dengan seorang wanita bernama Zainab (kalau tidak silap saya). Bagaimanapun perkahwinan tersebut tidak begitu disenangi oleh Zainab. Setelah beberapa lama, Zainab menghadap Rasulullah, memohon untuk dirinya dilepaskan daripada perkahwinan tersebut. Alasannya, dia tidak ada rasa kasih terhadap suami dan perkara tersebut menghalangnya untuk berbakti kepada suaminya. Setelah dipertimbangkan, akhirnya Rasulllah s.a.w mengarahkannya bercerai dengan kaedah khulu'.
Bukan bermakna jika kita memberikan ruang kepada wanita untuk menuntut cerai atas faktor suami berkahwin lain, kita menggalakkan penceraian. Namun, ia sebagai jalan penyelesaian kepada konflik yang berlaku. Perkahwinan bertujuan untuk melahirkan sakinah, mawaddah dan rahmah. Andai maksud tersebut tidak tercapai maka Islam masih ada jalan keluar, iaitu menerusi talak. Bukan terus dengan talak tiga, tapi ikutlah kaedah yang betul. Mungkin perceraian kali pertama itu akan membawa lebih persefahaman dan kebahagiaan di belakang hari. Siapa tahu!
Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam
4 days ago
3 comments:
isu ini sgt sensitif. Mana2 wanita bila dpt tahu dimadukan tentu akan mengamuk. Ini ransangan normal. payah gak le klu ada yg tersenyum bila dpt tahu laki kawin lain. Tetapi selepas itu, kita kena byk memaksa hati untuk melihat kebaikan/hikmahnya. jika tetap x boleh menerima, bercerai je le. dari jiwa terseksa kan. but seblm tu kikis le habis2an.hahahaaa.
Poligami merupakan isu fikah yang kontroversi dan tidak kurang pula yang menentangnya. Poligami pada hakikatnya, merupakan bentuk pengunggulan kaum laki-laki.
Ditegaskan bahawa fungsi isteri dalam perkawinan adalah hanya untuk melayani suami. Alasan-alasan seperti isteri cacat badan, tidak dapat menjalankan kewajibannya sebagai isteri dan tidak dapat melahirkan keturunan yang digunapakai oleh Hakim untuk memberi keizinan kepada suami melakukan poligami.
Menghadapi suami yang berniat poligami adalah sangat berat. Selapang mana hati menerima kenyataan, anda perlu menghadapi kemungkinan suami tidak lagi memberikan perhatian dan kasih sayang yang penuh.
Menyebut saja perkataan Poligami, ada wanita yang sudah kecut perut. Bukan mudah seorang isteri membenarkan suaminya berkahwin lain. Apatah lagi sekiranya tiada alasan kukuh utk berpoligami. Ayat2 seperti sudah jodoh, takdir tuhan dan sebagainya sebenarnya sudah tidak boleh diterima pakai dalam zaman ini.
shelly ada pengalaman yang nak dikongsi. Abg ipar shelly ada yang berpoligami. Alasannya mahukan anak lelaki. Ini kerana dia telah mempunyai 3 orang anak perempuan dengan isteri pertama. Awal2 masa nak nikah tu, semua menantikan dengan sabar jawapan dari isteri pertama abg ipar shelly. Bila sahaja isteri pertama kata ok, semua terkedu. Bukan apa, bagi kami tiada alasan sebenarnya untuk membenarkan abang ipar shelly tu berkahwin lain. Alasan mahukan anak lelaki tu bagi shelly alasan lapuk. Sekarang dah hampir setahun beristeri dua, kedua-dua isteri tak boleh bertemu. Kalau tak ungkit mengungkit, pasti ada yang tidak kena. Anak lelaki yang diharapkan langsung tak ada. Dengarnya abang ipar shelly tu nak ceraikan isteri no 2 nya. Itupun selepas isteri no 2 tu dibebani hutang bank. Siapa lagi yang menghabiskan kalau bukan abang ipar shelly. Yang serik dan merana tentunya kaum wanita.
Poligami memang dibolehkan. Namun ada sebilangan kaum lelaki yang mengambil peluang berpoligami hanya untuk alasan2 yang tidak boleh diterima akal. Tetapi sekiranya sudah ditakdirkan kita sebagai kaum wanita dimadukan, muhasabah diri dan perbaiki lagi kekurangan diri kita. Dan yang penting doa byk2 agar dibukakan pintu hati untuk menerima segalanya dgn redha. Andai Talak jalan terakhir, terimalah sampai disitu saja jodoh kita.
Post a Comment