Alhamdulillah, setelah berhempas pulas selama seminggu ini, akhirnya berjaya juga saya melepasi minggu deadline (memang boleh putus nyawa, hahah)!
Seminggu berlalu, 'rumah' saya sudah mula menunjukkan tanda-tanda bersawang. Bukan tak menjenguk cuma tak sempat nak ‘menyapu’ dan ‘menghias’. Apa-apapun… ‘rumahku, aku telah kembaliii!!!!
Saya ingin berkongsi sedikit info bersama pembaca kali ini. Dalam tempoh seminggu ‘bertapa’ saya berkesempatan pergi menuntut ilmu dengan beberapa orang pensyarah (iya lah tu??).
Isu yang dibincangkan ialah berkenaan beberapa hukum dalam Quran yang sering dipertikai oleh golongan feminis seperti pembahagian harta pusaka dan perbezaan darjat antara lelaki dan wanita (rujuk surah an-Nisa’ ayat 11 dan surah al-Baqarah ayat 228). Kalau sebelum ini, saya sering juga terfikir bagaimana untuk menjawab persoalan ini - selain daripada hujah biasa bahawa ia telah jelas di dalam al-Quran dan lelaki mempunyai lebih tanggungan berbanding perempuan.
Namun, mahu atau tidak, lontaran pandangan oleh golongan feminis ini tidak boleh kita ambil mudah. Kadang kala apa yang diperkatakan mereka ada benarnya. Tapi bagaimanakah kita melontarkan pandangan balas?
Memang tidak dapat dinafikan, wanita hari ini menjadi penyumbang yang aktif kepada ekonomi keluarga. Bahkan anak-anak perempuan hari ini, turut dibebankan dengan penjagaan orang tua mereka, sama ada mereka rela atau terpaksa atas alasan mereka tidak berkahwin, mereka berpendapatan lebih dan sebagainya. Lebih malang lagi anak-anak lelaki kadang kala bersikap lepas tangan terhadap tanggungjawab yang sepatutnya terpikul di pundak mereka. Peri perlakuan sebeginilah yang sering menimbulkan ketidak puasan hati di kalangan ramai wanita.
Ayat daripada surah an-Nisa' tersebut menyatakan bahawa harta pusaka bagi anak lelaki bersamaan dua bahagian anak perempuan. Kita semua maklum tentang itu. Manakala penghujung bagi ayat 228 daripada surah al-Baqarah itu pula bermaksud lelaki (suami) melebihi satu darjat daripada perempuan (isteri).
Dalam perbincangan bersama Prof. Madya Dr. Raihanah Abdullah (UM), beliau mengajak kita terlebih dahulu memahami tafsiran ayat daripada kedua-dua surah yang saya sebutkan. Menurut beliau masalah tidak akan timbul jika tafsiran dibuat secara kontekstual. Di sinilah terserlahnya keindahan al-Quran kerana ia membuka ruang untuk manusia memahaminya dan bersesuaian dalam konteks mana yang difahami.
Bukan senang sebenarnya untuk seorang lelaki mendapat pengiktirafan kelebihan darjat sebagaimana yang disebut dalam Quran. Sebagai ketua keluarga, dia perlu memastikan terlebih dahulu peranannya dari segi nilai dan legal benar-benar dipenuhi. Aspek nilai yang dimaksudkan - menjaga kesejahteraan keluarganya dari sudut sakinah, mawaddah dan rahmah, manakala dari sudut legalnya makan pakai, tempat tinggal, pendidikan, nafkah serta menjaga agar tidak berlaku penderaan dan sebagainya. Aspek legal ini, andai tidak dipenuhi akan menjadi beban hutang dan beban dosa buatnya. Berbeza dengan orang perempuan, sumbangannya terhadap rumah tangganya (dalam aspek legal ini) kalau tidak dibuat, tidak apa kerana ia sekadar satu bentuk sumbangan sukarela.
Tapi masalahnya sekarang, telah berlaku kecelaruan fungsi. Wanita mengambil alih tugas tersebut, yang sebenarnya milik mutlak lelaki. Justeru, apakah layak kita meminta keistimewaan (padahal wanita ini Allah telah jadikan dengan penuh keistimewaan yang tidak ada pada lelaki) setanding lelaki hanya kerana kita menyumbang kepada keluarga? Konsep inilah yang perlu diperbetul dalam masyarakat kita, agar wanita tidak terbeban dengan beban yang bukan miliknya.
Seterusnya dalam isu pembahagian pusaka, memang sering kedengaran orang mempertikaikan mengapa lelaki dapat dua bahagian, perempuan satu bahagian. Pusaka ialah harta yang dibahagikan setelah berlaku kematian. Pembahagian yang dibuat secara faraid. Bagaimana penyelesaian yang boleh diambil kalau timbul isu tidak puas hati?
Kita sudah tahu pusaka ialah harta yang dibahagikan selepas kematian dengan kaedah faraid yang telah ditentukan Allah. Tapi tak salah, kalau masa hidup ibu bapa memberikan harta tersebut kepada anak-anak. Anak kita, suka hati kitalah. Tiada hukum yang boleh melarang kita memberi kepada anak kita sendiri. Berapa jumlahnya? Terpulang, sama rata atau lebih. Yang menjadi masalah apabila tidak dibahagikan semasa hidup, bila mati faraid akan masuk. Hukum Allah yang akan mengambil alih. Cuma yang perlu diingat, ibu bapa jangan berlaku tidak adil terhadap anak. Itu pesan Nabi dan Quran. Masih tak puas hati lagi??
Kalaulah kata sewaktu hidup ibu bapa tidak begitu banyak harta dan pembahagian hanya dibuat setelah kematian, masih ada mekanisme lain yang boleh digunakan. Katakanlah anak perempuan yang banyak menyumbang kepada ibu bapa, menjaga dan segala macam, sedangkan anak lelaki lepas tangan. Bagaimana menyelesaikannya? Pertama adakan musyawarah - minta saudara lelaki melepaskan haknya untuk dibahagikan sama rata. Kedua, anak perempuan boleh membawa kes ke mahkamah untuk menuntut supaya harta tersebut ditolak dahulu bahagian yang dikira haknya menjaga orang tua, sebelum difaraid.
Kalau wanita hari ini sudah boleh menuntut hak harta sepencarian, maka dia juga boleh menuntut bahagian yang dirasakan perlu dibayar kepadanya kerana menjaga orang tuanya. Gamak tak gamak soal kedua. Pokoknya ia boleh dilakukan kerana menuntut hak. Lambat atau cepat, janji dapat.
Ia juga jawapan kepada golongan yang merasa tertindas dengan hukum faraid. Jangan kata Islam tak ada penyelesaian. Padahal, apa yang berlaku adalah maklumat yang diperolehi kurang tepat dan cara pemahamannya juga salah. Dan juga sebagai peringatan kepada kaum lelaki yang tidak bertanggungjawab - dua bahagian harta bermaksud tanggungjawab juga dua bahagian!
Masih tak puas hati lagi??? Tepuk dada tanya iman - adakah kita inginkan penyelesaian? Atau kita sekadar ingin mengubah interpretasi yang akhirnya akan menimbulkan kecelaruan!
Istighasah, boleh ke tak?
1 day ago
5 comments:
salam ziarah..
maaf minta izin nak komen sikit.. kalo warna tulisan di en3 guna warna yg lebih gelap, boleh.. cth hijau yg lebih tua ker.. bukan apa, saya ni dah le mata 4, terendap2 depan skrin.. :)
Kak sokong kakyong... mata den pun ghiteww...
heheh...bisa diubah
salam..
ulang ziarah.. untuk baca semula en3 ni..
bagus posting ni.. membuka minda daku yg sebelum ni agak kaku bila sebut hal faraid/tgjwb anak perempuan,isteri. nampak nyer kini ada lah point2 utk berhujah.. dgn suami, adik2 lelaki & ayahnde.. hihi, terima kasih.
salam.. kakyong, t.kasih sbb ulang ziarah.
Tak dinafikan ramai di kalangan kita orang perempuan yang tak tahu hak kita sebagai orang perempuan. Malah orang lelakipun kadang kala taknak kita tahu sgt sbb yang susah nanti depa heheh.
Apapun, gembira dapat berkongsi ilmu.
Post a Comment