RSS

Thursday, October 31, 2013

Hidung vs belalai??

Kuliah tafsir  bersama Dr Fatma Zahrah surah al-Qalam ayat 1-17

Dalam mukaddimahnya ustazah menyebut bahawa al-Quran adalah untuk umat seluruh alam. Al-Quran menjadi sumber rujukan bagi orang yang isitiqamah melakukan kebaikan dan inginkan balasan syurga. Allah memberi teguran kepada orang Islam dalam surah al-Hujurat, "jangan kamu guna sumber maklumat selain daripada al-Quran".


Awal surah Al-Qallam ini merupakan pujian Allah terhadap Nabi Muhammad saw. Ia juga sebagai menjawab tuduhan daripada kaum Quraisy bahawa Nabi seorang gila, memfitnah, jahat, buruk perangai dan sebagainya. Allah memuji Nabi dengan mengatakan "bahawa kamu Muhammad mempunyai budi pekerti/akhlak yang agung."

Asbab turun ayat ini juga sebenarnya ialah untuk menjawab tuduhan daripada seorang musyrikin Al-Walid bin Mughirah yang sering memfitnah Nabi dengan mengatakan Nabi ini suka mengadakan cerita.

Dalam ayat 8-16 ini, Allah menempelak kepada Al-Walid bahawa dia seorang yang melampaui batas, suka bersumpah hina, suka mencela, banyak dosa, berperangai kasar dan terkenal dengan kejahatannya dan telah diberitahu kepada Nabi oleh Allah Al-Walid yang ramai anak ini adalah anak zina. (Dia ni ada 10 anak lelaki dan budaya Arab ni ramai anak lelaki orang puji dan mudah dapat pengikut)

Apabila dia mendengar Rasulullah mengatakan dia anak zina, dia berasa pelik. Kalau Muhammad kata jahat, memang dia mengaku dia jahat, memang dia suka bersumpah, suka mencela tapi bagaimana Muhammad tahu yang dia anak zina?

Lalu dia bertemu dengan ibunya sambil bawa pedang dan ugut supaya ibunya bercerita. Lalu ibunya mengakui bahawa benar dia anak hasil hubungan ibunya dengan tukang kebun ayah dia.

Satu lagi sifat al-Walid bin Mughirah (dan musyrikin Quraisy yg lain) apabila dengar ayat Quran, mereka akan berkata ini adalah dongengan org dulu kala. Lalu dalam ayat 16 Allah memberitahu Allah akan beri petanda di 'belalai'nya.

Istilah belalai ini sebenarnya merujuk kepada hidung. Tapi Allah tak guna perkataan 'anfun' (hidung) tetapi Allah guna 'Khurthum' (belalai) untuk menghina.  Kisahnya..budaya orang Arab ni bangga dengan hidung mereka yang besar tinggi mancung tu. Kalau tgk hidung org pesek ni tak main lah! (hehe). Lalu dalam perang Badar, hidung si al-Walid ni telah dipotong oleh tentera Islam..Menjadi kehinaanlah bagi dia..

Friday, February 15, 2013

Rindu

Maha suci Allah yang mengurniakan perasaan kepada manusia. Setiap perasaan itu, ada kegunaannya buat manusia walau sesekali mungkin kita akan bertanya perlukah ada perasaan sebegitu.

Sebagai contoh, perasaan marah; walaupun ada hadis Nabi saw yang mewasiatkan seorang lelaki yang ingin menjaga kesejahteraan hatinya dengan pesanan "Laa Taghdab" atau "Jangan kamu marah"..Memang perasaan marah ini tidak disukai agama. Apatah lagi kalau diiringi dengan sifat panas baran. Tapi ada masa ia perlu kerana dengan adanya perasaan marah dan benci ini, barulah nahi mungkar dapat dilaksanakan (dengan cara yang berhikmah semestinya).

Begitu juga perasaan benci, iri hati dan sebagainya..walaupun kedengaran negatif tetapi dalam situasi yang tertentu ia diperlukan demi melahirkan sesuatu yang positif.

Rindu juga perasaan unik yang dianugerahkan Allah SWT untuk insan. Adanya rasa rindu makhluk yang taat akan berusaha bersungguh-sungguh beribadat kerana ingin bertemu dengan Khaliknya. Adanya rasa rindu kepada Nabi saw maka umat akan bersungguh-sungguh mengamalkan sunnah baginda agar di sana nanti mendapat syafaat dan bersama-sama baginda di jannah.

Dan sebagai manusia biasa, kita juga akan dilanda perasaan rindu apabila berpisah dengan orang yang kita sayang. Tidak kira perpisahan abadi atau perpisahan sementara. Dan sebagai manusia alangkah indahnya jika masa yang berlalu dapat diputar semula walaupun mustahil kerana kita ingin kembali melalui saat-saat yang dirasakan indah dalam hidup. Bagi yang sudah merasai kehilangan pasti kalau boleh ingin kembali ke masa lalu kan???

Rindunya saya pada arwah mak, arwah ayah dan sahabat saya Ayu...Allahumaghfirlahum warhamhum wa'afihim wa'fuanhum. Dan rindu juga pada seorang kakak yang telah lama tak bersua..kita dekat tapi jauh, moga doa sentiasa mengikat hati kita.

Thursday, February 14, 2013

Dekat tapi jauh....

Hubungan sesama manusia sangat unik. Kalau disingkap kisah para sahabat, pasti terlihat betapa unik, rapat dan mesra hubungan silaturrahim yang terjalin antara mereka dengan Rasulullah dan sesama mereka. Mereka bukan bersaudara dalam ertikata punya pertalian darah. Tetapi persaudaraan yang terikat atas ukhuwah Islamiyah membuatkan mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi sebuah silaturrahim.

Bukan perkara pelik kalau kita baca kisah seorang sahabat yang setiap pagi mesti singgah di hadapan rumah Rasulullah saw semata-mata untuk melihat kelibat Baginda sebelum keluar bekerja dan apabila pulang akan singgah lagi di hadapan rumah Baginda atas tujuan yang sama. Sehinggalah beliau ditanya oleh Baginda mengapa setiap hari tingkahnya begitu. Lalu dijawabnya, beliau sangat merindui Baginda dan takut kalau-kalau tidak dapat lagi melihat Baginda satu hari nanti. Kepada sahabat ini, Baginda saw memberi khabar gembira, kerana kecintaannya beliau akan dapat melihat Baginda di akhirat kelak..subhanallah. 

Demikianlah satu contoh, biarpun tiada pertalian darah namun disebabkan ukhuwah yang terjalin, yang jauh terasa dekat. Bukan sahaja hubungan antara pesuruh Allah dan umatnya malah banyak kisah antara sahabat yang sanggup menggalang ganti diri mereka demi sahabat seakidah.

Namun suasana kehidupan manusia hari ini, sangat berbeza. Ikatan ukhuwah kian longgar. Usahkan yang tiada pertalian darah, yang lahir seperut ibu yang sama pun bertelagah. Masing-masing nafsu-nafsi. Material dijadikan ukuran. Kalau ada yang mengambil berat, dituduh menjaga tepi kain atau mahu menumpang senang.

Dan sahabat yang suatu masa berkongsi segalanya juga akhirnya seperti sudah hilang rasa. Tidak lagi berkongsi bahasa yang sama, terasa seperti ada jurang yang sangat dalam. Lalu yang dekat terasa jauh, yang mesra terasa asing. Di manakah salahnya..adakah kerana kesibukan, urusan kerja, keluarga atau perbezaan taraf hidup akhirnya membuatkan ukhuwah juga terlerai? Lalu bagaimanakah mahu mengaplikasi hadis Junjungan Besar saw.."Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"? Oh..dunia sudah semakin tua dan semakin tiba ke penghujungnya!


Wednesday, February 13, 2013

KISAH PENGORBANAN YANG INDAH

Saya terbaca kisah ini di wall Datuk Dr. Maznah Hamid...memang benar kehidupan ini akan jadi indah jika kita berkongsi. Moga ia menjadi motivasi untuk diri yang sentiasa lupa ini. Ya Allah.. jadikanlah diri ini hamba yang sentiasa memberi dalam melalui kehidupan yang sementara ini.

Telah dua bulan musim hujan berlalu,  pepohonan nampak menghijau. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin.

"Apa khabar daun hijau," katanya.

Tersentak, daun hijau menoleh ke arah suara yang datang

"Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa?" tanya daun hijau.

"Aku hampir tidak mendapat dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?" kata ulat kecil.

"Tentu.. tentu.. dekatlah ke mari." Daun hijau berfikir, "Jika aku memberikan sedikit daripada tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Cuma aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi tak apalah."

"Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau.

Setelah makan dengan kenyang, ulat berterimakasih kepada daun hijau yang telah merelakan bahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat. Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana-sini, namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar.

Tidak lama berselang, ketika musim panas datang daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar.

Apakah moral kisah di atas?

Merelakan kesenangan dan kepentingan diri sendiri untuk orang lain memang tidak mudah, tetapi indah. Namun ketika berkorban diri menjadi seperti daun hijau yang berlubang, ia sebenarnya tidak mempengaruhi hidup kita, kita akan tetap hijau, Tuhan akan tetap memberkati dan memelihara kita.

Bagi "daun hijau", berkorban merupakan sesuatu perkara yang mengesankan dan terasa indah serta memuaskan. Dia bahagia melihat yang lain dapat tersenyum kerana pengorbanan yang ia lakukan. Ia juga melakukannya kerana menyedari bahawa ia tidak akan selamanya tinggal sebagai "daun hijau". Suatu hari ia akan kering dan jatuh.

Demikianlah kehidupan kita. Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Justeru, isilah hidup ini dengan perbuatan-perbuatan baik, kasih, pengorbanan, pengertian, kesetiaan, kesabaran dan kerendahan hati.

*** Berkorbanlah ketika 'ada' dan masih punya waktu untuk melakukannya. Hidup lebih indah jika memberi.***

Sunday, January 20, 2013

Second chance

~ Second chance..peluang kedua ~
Everybody deserves  a second chance. Semua orang berhak untuk mendapat peluang kedua. Benar. Malah apabila kita melakukan kesalahan atau dosa, kita masih diberi ruang untuk bertaubat.

Disebabkan ada peluang kedua ini, kita akan dapat memperbetul kembali kesilapan yang telah dilakukan. Mendapatkan kembali kasih sayang yang telah kita persiakan atau membina kembali kepercayaan yang telah dikhianati.

Namun mungkin tak semua juga yang layak atau berkeistimewaan untuk mendapat peluang kedua ini. Atau tidak daripada orang yang pernah dilukai, disakiti dan dikhianati. Kerana itulah harga yang perlu dibayar.

Benar...Allah menerima taubat hambaNya TAPI BERSYARAT:
~ meninggalkan
~ menyesali
~ mengganti

Rome was not build in one day. So is trust, what more on a second chance. Belajarlah menghargai dan mensyukuri.



Friday, January 18, 2013

Apa mahumu?

Manusia ini seleranya besar, mahunya banyak. Nafsunya berganda saiznya daripada jasadnya. Tapi Allah itu Maha Pemurah, Maha Pemberi. Malah manusia disuruh supaya meminta.

"Serulah (mintalah) Aku, nescaya Aku akan menyahut seruanmu (perkenankan)."

Pernahkah terfikir, apakah sebenarnya kemahuan kita? Kadang kala kita merintih memohon agar Allah mengurniakan apa yang kita hajati. Berdoa tanpa jemu dan menagih belas ihsan dari Allah. Malah ada ketika umpama mendesak agar diberikan apa yang kita hajati.

Namun..tanpa kita sedar kemahuan dan keperluan adalah dua perkara yang berbeza. Kadang kala kemahuan kita Allah tidak beri. Meskipun kita sangat-sangat menginginkannya. Kenapa? Sebab Dia yang menjadikan kita. Dia yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Belum tentu apa yang kita mahu kalau Dia memberinya kita mampu mengendalikannya.  Tapi Dia berikan apa yang kita perlukan. Dia tahu apa keperluan kita, bukannya kemahuan kita.

"..boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui" ~ al-Baqarah.




Thursday, January 17, 2013

Tarbiyah

Hidup itu ujian..
Ujian adalah tarbiyah ..mampukah kita tangani atau terkandas?
Sukarnya mencari hikmah di sebalik musibah
Payahnya memujuk diri tatkala diuji
Ujian datang dan pergi..
Dan kita tetap berdiri selagi masih berdenyut nadi.

Ya Allah jadikanlah kami hamba yang tegar dilambung ujian. Cukuplah tangis hamba di hamparan sejadah. Tunduk mengakui dengan pasrah bahawa kami hambaMu yang teramat lemah..

Wednesday, January 16, 2013

Istikharahlah....!

Ya Allah, andai dalam pengetahuanMu perkara ini baik bagiku, agamaku, masa depanku sekarang dan akan datang, maka kau dekatkanlah ia padaku dan dekatkanlah aku padanya. Tapi jika dalam pengetahuanMu ia buruk bagiku, agamaku, masa depanku sekarang dan akan datang, maka kau jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkan aku daripadanya. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui sedang aku tidak tahu. 

Itu adalah antara intipati doa istikharah. Apabila disebut istikharah maka, biasanya akan tergambarlah situasi membuat pilihan apabila sampai jodoh. Sama ada mencari jodoh, memilih calon yang sesuai daripada calon-calon yang ada dan segala yang bersangkutan dengan jodoh.

Sebenarnya fungsi istikharah ini bukan sahaja apabila hendak berkahwin. Ia sebenarnya lebih luas kontaksnya, iaitu apabila kita berdepan dengan kebuntuan untuk memilih atau membuat keputusan. Malah bagi orang yang teliti mencari keredhaan Allah, istikharah seringkali menjadi amalan. Sebagai penguat dan juga meminta restu dari Allah.

Kita manusia memang sangat terbatas pengetahuan apatah lagi melibatkan masa depan. Justeru dengan beristikharah, kita akan beroleh keyakinan. Jika gagal sekalipun selepas istikharah maka ia lebih memudahkan kita menerima takdir ketentuan Tuhan bahawa yang berlaku itu memang suratan untuk kita. Lalu tiada rasa penyesalan. Memang bukan mudah untuk mencari hikmah di sebalik musibah.Namun akhirnya kita akan sedar bahawa apa yang Allah kurniakan itu, adalah yang sebenarnya kita perlukan dan sesuai dengan diri kita, bukan kemahuan kita.

Ramai yang bertanya, apakah firasat yang biasa diperolehi daripada istikharah ini? Selalunya dikaitkan dengan mimpi. Sebenarnya petunjuk datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang beroleh mimpi, ada yang dapat merasai ketenangan hati, dipermudahkan laluan yang dipilih atau sebagainya yang boleh dirasai sendiri oleh yang melakukannya.

Mungkin tidak cukup dengan sekali melakukan solat, lebih baik diulang sekurang-kurangnya 3 malam berturut-turut. Afdhal dilakukan sebelum tidur. Kemudian setelah solat terus sahaja tidur dalam keadaan berwuduk dan tidak lagi bercakap-cakap.

Bagi mereka yang bertanya saya apa yang patut dibuat apabila perlu membuat keputusan atau memilih..inilah nasihat saya: Istikharahlah... minta 'pendapat' pemilik dan pencipta kita kerana DIA maha mengetahui. You'll never know the power of doa!