Saya masih ingat sewaktu kecil dulu. Untuk membeli sesuatu yang diingini, kena menabung terlebih dahulu. Paling tidak, mesti sudah ada sedikit duit, selebihnya barulah minta mak tambahkan. Tapi apabila tinggal dengan nenek (sebab ayah saya satu ketika tinggal di kawasan baru yang tiada sekolah), kalau teringin sesuatu memang kena berjimat. Tak mahu susahkan nenek, tapi dalam masa yang sama tak sabar tunggu cuti sekolah.
Ada satu ketika, teringin untuk membeli dompet duit. Lalu berjimatlah. Waktu itu dompet jenis berbulu yang comel berwarna-warni menjadi kegilaan. Harganya kalau tak silap dalam 60 sen. Akhirnya setelah berhempas pulas menyimpan, cukuplah duit untuk membelinya. Lalu pergilah ke kedai tersebut untuk membelinya. Yang lucunya, setelah beli baru lah sedar, saya sudah tak ada duit untuk disimpan dalam dompet comel itu. Ringkasnya, beli dompet takde duit, sedangkan tujuan beli dompet untuk letak duit di dalamnya.
Kisah "beli dompet takde duit" ini turut dikongsi oleh kakak saya. Malah saya rasa sebilangan besar daripada kita pernah mengalaminya. Dan bila bercerita kembali, ia terasa lucu dan jadi bahan ketawa. Tapi ia menjadi pengalaman yang cukup berharga betapa kita pernah mengalami zaman tiada!
Perisitwa tersebut sebenarnya turut membentuk sikap saya hari ini, saya tidak pandai untuk berbelanja terutama membeli handbag atau purse yang mahal. Takut pengalaman ada dompet takde duit itu berulang lagi.
Justeru apabila melihat iklan beg tangan atau dompet mahal yang dimuat naik di fb atau daripada syarikat-syarikat tertentu, selalu juga ingatan lalu ini menerjah minda dan membuahkan pertanyaan nakal, "beli bag mahal-mahal ada duit ke nak letak dalamnya???" hehehe..