Apa yang boleh saya ceritakan mengenai seorang lelaki bernama Nik Hussin Nik Kadir? Dia merupakan ayah yang sangat saya kasihi.
Ayah saya seorang yang pendiam, tak banyak cakap. Sangat kontra dengan arwah mak, yang peramah. Masa kecil, ayah garang dengan kami adik beradik. Tapi seingat saya jarang sekali dia menjatuhkan tangan ke badan kami.
Ayah pandai menjahit. Semua baju kami adik beradik dan baju mak ayah yang jahitkan. Memang ramai yang pelik bila saya katakan baju ini ayah saya jahit. Dan terus bertanya, habis mak awak tak jahit baju kah? Tidak, kerana ayah saya yang jahitkan untuk kami!
Satu perkara, kalau dia menjahit amat pantang baginya kalau anak-anak duduk bertenggek di tepi. Memang sah kami akan kena ketuk dengan pembaris panjang yang digunakannya. Tapi kelakarnya, apabila cucunya yang bukan sahaja bertenggek malah duduk atas kain yang dibentang, dia cuma akan kata, "tepi, ayah nak gunting ni..nanti ayah ketuk." Hehe.. itulah yang dikatakan sayang cucu barangkali!
Sebagai seorang pekerja (ayah saya bekerja sebagai foreman di beberapa kilang sawit Felda), ayah seorang pekerja yang sangat dedikasi, bertanggungjawab dan amanah. Saya ingat pernah satu masa, lalat memproses buah sawit di kilang sawit di Felda Padang Piol, Jerantut, rosak. Ayah dipanggil oleh anak-anak buahnya untuk masuk ke kilang. Waktu tu dalam jam 8.30 malam. Selepas makan malam dan solat Isyak, ayah terus masuk semula ke kilang, walaupun dia baru balik kerja jam 5.30 petang sebelumnya. Dia hanya balik apabila subuh hampir menjelang dan masuk semula bekerja jam 8.30 pagi.
Dia juga sering dijadikan rujukan dan menjadi penasihat kepada anak-anak buahnya yang bergaduh. Alhamdulillah sepanjang 18 tahun dia bertugas, dia pernah dipilih sebagai pekerja terbaik dan dihantar oleh pihak Felda untuk menunaikan ibadah umrah. Malah berita mengenainya pernah tersiar di akhbar Utusan Malaysia.
Ayah saya bukan seorang yang kaya raya tetapi hidupnya sangat terancang. Sehingga sekarang, dia tidak pernah membeli kereta. Malah di kalangan rakan-rakan bergelar foreman di kilang-kilang Felda berhampiran, hanya dia seorang sahaja yang tidak berkereta. Bila ditanya kenapa, katanya biarlah anak-anaknya dapat makan dan belajar dengan sempurna. Kalau pakai kereta nanti duit banyak dihabiskan kepada kereta. Lagipun kenderaan awam banyak. Ada tak ada pun, ayah hanya membeli motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja dan ke surau.
Teringat sewaktu saya ingin melanjutkan pelajaran di ITM, dia telahpun berhenti kerja (dia minta bersara awal kerana keadaan kesihatan tidak berapa baik). Dia menjual sebidang tanah yang dibeli daripada adiknya sebagai persediaan buat saya. Katanya tanah tersebut tidak diperlukan kerana tiada siapa yang akan duduk di situ (tanah tersebut di Jerteh). Biarpun saya tahu, dia memang berhajat untuk menjual tanah itu sebelum ini, tetapi ia tetap membuat saya terharu. Dan sepanjang pengajian, hanya di semester akhir sahaja saya memohon pinjaman. Itupun kerana sengaja mencuba nasib dan alhamdulillah dapat. Tetapi dia tetap menghulurkan duit seribu ringgit setiap awal semester.
Sebenarnya, budaya sambutan hari bapa bukan sesuatu yang kami raikan. Sebagaimana pernah saya ceritakan dalam entri untuk hari ibu, saya juga tidak pernah melafazkan ucap selamat untuk ayah. Namun saya tidak mahu terkilan lagi, biarpun dalam doa saya tidak pernah putus dipanjatkan agar ayah sentiasa diampunkan dosa dan diberi rahmat oleh-Nya.
Dan kali pertama saya ucapkannya ialah pada tahun 2007, sewaktu dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk urusan kerja (kebetulan jatuh pada hari tersebut). Saya benar-benar tidak menyangka, ayah sangat gembira mendengar ucapan saya dari anaknya.
Kali kedua di tahun lepas dan insya-Allah, tahun ini buat kali yang ketiga, juga sewaktu saya akan berada di Kota Bharu kerana tugas (sekejap lagi saya akan berangkat dan doakan saya selamat pergi dan kembali, hehe..)
Untuk ayah yang sangat saya kasihi, Selamat Hari Bapa, semoga ayah selalu dirahmati dan dalam peliharaan Allah selalu hendaknya. (Hmm.. kenapa airmata saya mengalir nih..!!) Biarpun saya tidak selalu dapat bersama ayah, tapi dalam setiap doa saya, tidak pernah saya lupakan AYAH.
ps: saya tidak menyimpan gambar ayah, tapi kata orang wajah saya ada iras AYAH. Insya-Allah kalau saya dapat daripada kakak saya, akan saya uploadkan gambar ayah.
Childfree, tak nak anak sebab takut miskin?
2 months ago