Menjadi isteri dan ibu, sememangnya perkara fitrah bagi seorang wanita. Andai ditakdirkan dipertemukan jodoh oleh Allah, pasti rumah tangga yang dibina diharapkan akan berkekalan hingga ke syurga.
Ada orang yang ditakdirkan cepat jodohnya, ada yang lewat malah ada yang tak berpeluang menikmati gelaran seorang isteri. Ada rumah tangga yang dibina kekal hingga mati, namun ada juga yang putus di tengah jalan – sama ada bercerai di usia muda, usia senja ataupun bercerai mati. Apa yang pasti setiap yang berlaku itu ada hikmah dan terbaik untuk manusia.
Berkesempatan berbual dengan Anne Ngasri baru-baru ini, jelas terlihat betapa cekal dan tabahnya hati wanita muda ini. Terserlah kematangannya berbicara, biarpun usianya belumpun menjejak angka 27. Ramai yang tahu dia mendirikan perkahwinan sewaktu berusia 21 tahun dan menjadi ibu belumpun berusia 23 tahun. Lima tahun lebih usia perkahwinannya, dia dikurniakan 3 cahayamata. Malangnya 5 tahun itu juga menyaksikan dirinya telah diceraikan 3 kali, terakhir sewaktu kandungan berusia 4 bulan!
Sebenarnya peluang bertemu muka dengan Anne terjadi secara tidak sengaja. Saya dijemput oleh JANDA Product Marketing untuk majlis pelancaran Duta KOPI JANDA, (JANDA tu sebenarnya akronim bagi Jaring Amanah Niaga Demi Addeen - kata Anne dia juga agak skeptikal pada mulanya, tapi setelah diberi penerangan, dia menganggap peluang tersebut rezeki buatnya dan anak-anak) yang menampilkan Anne sebagai duta barunya.
Selepas tamat majlis tersebut, saya cuba mendekati Anne dan bertanya bolehkah beliau meluangkan masa setengah jam untuk ditemubual, Alhamdulillah, dia tidak keberatan. Lalu berlangsunglah sesi temubual ‘bidang terjun’ kami (sebenarnya bagi golongan wartwan sesi bidang terjun atau sesi terjah ni suatu yang lumrah. Nasib baik dilayan baik nasib tak baik kita kena tahan telinga sajalah!)
Bergelar isteri, ibu dan kemudiannya, ibu tunggal, pada usia yang masih muda, bukanlah sesuatu yang mudah, namun ternyata Anne cekal menghadapinya. Dan kecekalan itu terbina, apabila kita mendekatkan diri kepada Allah.
“Bohonglah kalau saya katakan tak terkesan dengan apa yang terjadi kak. Apatah lagi ia berlaku dalam keadaan saya mengandung. Memang kalau tak kuat saya boleh meroyan. Namun saya menerimanya sebagai ketentuan Allah. Memang sukar tapi kita kena redha,” ujarnya yang kelihatan ceria sepanjang sesi temubual berlangsung.
Saya dapat membayangkan kecekalan Anne dan rasaya seakan tidak percaya melihat tranformasi dirinya, daripada zaman anak kecil, menjangkau remaja dan kini bergelar wanita dewasa – tetapi masih berwajah keanak-anakan. Teringat zaman kecilnya, saya sering terserempak beliau sekeluarga makan tengahari di restoran Haslam yang terletak berhampiran pejabat.
Ditanya bagaimana dia menyiapkan diri menghadapi situasi getir, dengan nada suara rendah, dia memberitahu, “solat kak…itu yang perkara yang Anne buat. Bukan sahaja yang wajib dijaga tapi Anne juga bangun solat malam mohon kekuatan. Anne sangat-sangat dapat merasakan yang tiada tempat lain kita boleh bergantung selain daripada Dia.
Of cause, keluarga juga memberi
support, tapi hanya pada Dialah sumber kekuatan sebenar. Dan Anne beruntung juga kak kerana Allah panggil Anne menjadi tetamuNya saat-saat genting tu. Anne sempat buat umrah selepas bercerai dan itu juga satu bentuk persiapan bagi Anne untuk menguatkan diri dan kembali menghadapi orang ramai dan kehidupan."
Benarlah sebagaimana janji-Nya sesungguhnya dengan mengingati Allah hati akan tenang.
Apapun yang terjadi hidup perlu diteruskan, dan Anne tetap tabah meneruskan kehidupan bersama tiga anak yang masih kecil, Abdul Warits 4, Abdul Wafri 2, dan Nazharah Afroza 3 bulan.
Pesan Anne bagi yang terpaksa menjadi ibu tunggal.. “Tidak dinafikan masing-masing ada masalah tersendiri dan punca penceraian itu juga pelbagai. Apa yang penting ialah kita kena redha dengan ketentuan Ilahi. Elakkan daripada menuduh sesama sendiri, memang dugaan akan datang tapi apabila kita tenang dan yakin semuanya sudah tersurat, insya-Allah akan ada jalan penyelesaiannya. Apa yang penting, kaum lelaki apabila bercerai, mereka perlu tahu tanggungjawab masing-masing. Alhamdulillah, walaupun kami bercerai Wafi melaksanakan tanggungjawabnya. Mudah-mudahan kami dapat kekal sebagai kawan dan dapat sama-sama melaksanakan tanggungjawab masing-masing terhadap anak-anak.”
2 comments:
betul lah kak...
'solat'.. kalo tak kpdNya kita memohon kekuatan, pada siapa lagi kan..
terharu sungguh baca n3 ni..
Yong..mmg solat kefarduan yang banyak memberi kelegaan jiwa kita. Apabila selesai urusan solat kita, insyaAllah selesailah urusan hidup kita.
Post a Comment