RSS

Tuesday, February 3, 2009

Putihnya Sekeping Hati...


"Umi,... tadi masa kat sekolah, kita orang tengok video pasal perang Palestine! Umi tahu tak kita tak boleh beli barang Nestle, air coke, pepsi, cadbury, Mc Donald's, KFC, Pizza pun tak boleh. Tu semua orang Yahudi punya. Ustaz kata kalau kita beli macam kita beri duit suruh bunuh orang Islam Palestine. Umi tahu tak, ustaz kata kat Gaza tu, ada dinding tinggi. Orang Yahudi buat untuk sekat orang Palestine masuk. Kawasan orang Palestine jadi kecik aje. Itu pun Yahudi serang lagi nak rampas tanah tu...Betulkan umi?" kata anak kedua saya Nuruliman Aufa yang belajar di darjah 3, petang Jumaat lalu sewaktu saya sampai di rumah dari tempat kerja.
Dia begitu teruja untuk bercerita pengalamannya seharian di sekolah. Sememangnya setiap hari Jumaat, dalam jadual persekolahannya terdapat satu sesi yang dinamakan 'mentor-mentee'. Ia sebenarnya sesi usrah, guru-guru sebagai naqib dan naqibah, dan murid-murid sebagai anak usrah.
Pengisiannya antara lain, guru akan bercerita kisah para Rasul, sesi praktikal pelajaran fekah, pengisian tauhid dan juga tayangan video.
"Memang betul, negara Palestine dah jadi kecil sebab tanahnya dirampas Yahudi. Dalam tv kan ada tunjuk. Itulah umi suruh tengok berita, adik tak nak...," kata saya. Gelihati pun ada juga melihat dia begitu beriya-iya bercerita, sedangkan hampir setiap malam berita mengenai Palestine terpampang di kaca tv, hingga membuatkan air mata uminya mengalir setiap kali mendengarnya!

Saya sebenarnya tidak menyangka rupa-rupanya apa yang ditonton dan diberitahu gurunya di sekolah benar-benar menyentuh hatinya. Sewaktu dia mengikut saya dan suami ke pasar raya, mulutnya tidak putus-putus mengingatkan saya agar tidak membeli barangan Nestle dan cadbury. Dia juga tidak lagi meminta dibelikan makanan dari Mc Donald's atau KFC seperti sebelum ini. Kalau tidak jenuh kami mengingatkan.
Maghrib semalam, dia tiba-tiba bertanya saya, "Umi, dalam surah al-Baqarah tu.. ada cerita pasal Yahudi yer. Macam mana adik nak tahu kisah dia?"
Saya katakan pada dia, cari dalam Quran tafsir. Saya tidak mengambil kisah sangat kerana sebelum ini ada juga saya ceritakan padanya kisah golongan bani Israel yang banyak bertanya apabila disuruh melakukan sesuatu. Sambil itu, saya suka mengusiknya yang memang gemar beralasan kalau disuruh atau diberitahu sesuatu. Ayat yang paling disukainya, "ye ker? ada ke macam tu?"
Insiden ini mengingatkan saya kekecohan mengenai isu tayangan video sajak kematian yang akhirnya diharamkan penayangannya di sekolah. Benarlah, jiwa anak-anak umpama kain putih. Apa yang kita corakkan itulah yang akan terhasil. Anak saya ini juga sempat menonton video tersebut di sekolahnya. Apabila ditanya, katanya ramai kawan-kawan yang berasa insaf setelah melihat video tersebut.
Anak kawan saya yang sama bersekolah di situ juga memberitahu uminya, "Umi, ramai kawan abang menangis melihat video tersebut. Kita orang rasa insaf, takut sangat kenangkan dosa yang dilakukan!" Itu komentar anak darjah lima.
Justeru, saya jadi tidak faham, mengapa kita sangat takut anak berasa sedikit gerun kerana melihat perkara yang sebenarnya bakal terjadi, tetapi kita tidak bimbang membiarkan anak melihat pelbagai perkara yang boleh merosakkan akhlak dan akidah mereka.
Berbalik pada Iman, rupa-rupanya dia sangat serius ingin mengetahui kisah tersebut. Dan Magrib itu dia menelaah Quran tafsir semata-mata ingin mengetahui kisah Yahudi yang telah membelasah umat Islam Palestine!

0 comments: