RSS

Friday, February 27, 2009

Usah bakar kelambu kerana nyamuk!

Selasa lalu, sedang saya berteleku di meja, rakan sekerja menyuakan satu laporan akhbar.

"Cuba Kaknik tengok ini..," kata Dayah. Saya meneliti laporan tersebut. Laporan mengenai Persidangan Global Musawah Mengenai Tuntutan Kesaksamaan dan Keadilan dalam Keluarga Islam.

Teringat saya sewaktu sesi promo persidangan ini dibuat oleh pihak TV3, apabila disebutkan beberapa nama tokoh yang bakal membentangkan kertas kerja, hati saya berasa cuak. Apa tidaknya nama-nama tersebut sememang tidak asing lagi dan terkenal sebagai penyokong Islam Liberal. Saya masih ingat salah satu nama yang disebut ialah Dr. Musdah Mulia (bagaimanapun sewaktu persidangan diganti dengan Kamala Chandrakirana).

Mungkin ramai pembaca tidak kenal beliau. Namun di Indonesia, beliau memang tokoh terkenal yang memperjuangkan Islam Liberal. Beliaulah yang memimpin jawatankuasa, "Kelompok Kerja Pengarusutamaan Gender (PUG) Departmen Agama Republik Indonesia menghasilkan kertas kerja COUNTER LEGAL DRAFT ATAS KOMPILASI HUKUM ISLAM, yang menuntut persamaan hukum syarak antara lelaki dan wanita.

Antara isu-isu yang ditimbulkan ialah menyarankan poligami diharamkan, lelaki juga perlu beredah selama 130 hari sebelum boleh berkahwin semula selepas bercerai atau kematian isteri, membenarkan perkahwinan berlainan agama dan pembahagian faraid yang sama antara lelaki dan wanita.

Persidangan tertutup yang hanya boleh dihadiri oleh jemputan tertentu sahaja itu, telah mengundang kontroversi. Saya juga sebenarnya tertanya-tanya apakah motif sebenar di sebalik musawah (kesaksamaan) ini diadakan. Memetik apa yang dikatakan oleh Pengarah Projek Musawah... "perubahan undang-undang memang perkara yang sukar malah kami mendapat tentangan daripada pelbagai pihak menggunakan agama serta undang-undang partriaki bagi mencapai objektif mereka.."

Meneliti laporan akhbar tersebut, undang-undang yang dimaksudkan ialah undang-undang Islam yang dilaksanakan oleh negara-negara umat Islam. Menurut Pengarah Eksekutif Majlis Wanita Islam Kanada, Alia Hogben, Institut Keadilan Sivil Islam, iaitu sebuah badan penimbang tara bagi komuniti Islam yang menggunakan prinsip undang-undang Islam yang ditubuhkan di Ontario bagi mengendalikan hal keluarga (penceraian, penjagaan anak) dan pewarisan harta, dilihat mendiskriminasikan wanita - wanita tidak setaraf dengan lelaki.

Kenyataan yang dibuat tersebut membuatkan saya terfikir apakah sebenarnya yang ingin mereka tuntut. Jika dibuat telahan mudah, prinsip asas undang-undang Islam berkaitan harta, perkahwinan/penceraian, tentulah nisbah pembahagian harta iaitu wanita satu bahagian, lelaki dua bahagian. Manakala jika perkahwinan/penceraian pula ialah isu poligami (lelaki boleh berkahwin lebih daripada satu dalam satu masa - perempuan tidak boleh), eddah (lelaki tidak perlu bereddah - perempuan ada eddahnya) dan hak talak (ditangan suami - bukan pada isteri).

Jika bentuk kesaksamaan sebegitu yang ingin dituntut, wajarkah ia diberi laluan? Apakah kerana wanita menjadi penyumbang dalam ekonomi rumah tangga (pencari nafkah) dan pelindung keluarga maka garis panduan yang ditetapkan dalam al-Quran dipertikaikan?

Apakah kerana wanita mendapat satu bahagian, lelaki mendapat dua bahagian dalam hukum faraid, bermakna ia tidak berlaku adil kepada wanita.

Di sinilah takrifan 'adil' dari kacamata Islam tidak sama dengan takrifnya dengan akal manusia. Adil bermaksud "meletakkan sesuatu pada tempatnya" atau reasonable/moderate. Adil bukan bermaksud sama rata atau equal.

Memang benar wanita hari ini ramai yang menjadi penyumbang nafkah dalam keluarga. Tetapi andai kata dia bekerja dan tidak mahu menyumbang kepada keluarga (atau suami) maka tiada siapa boleh memaksanya. Malah haram bagi suami mengambil wang atau harta isteri tanpa izinnya. Sebaliknya bagi lelaki, berdosa dirinya jika tidak memberi nafkah kepada seisi keluarga tanggungannya. Bahkan isteri boleh 'mencuri' duit suami jika suami tidak memberi nafkah atau perbelanjaan kepada isteri.

Begitu juga dalam hukum faraid, dua bahagian kepada lelaki memerlukan dia memberi kepada tanggungannya, manakala satu bahagian untuk perempuan miliknya yang mutlak.

Memang tidak dinafikan, dalam sistem perundangan Islam yang diguna pakai ada kelemahan dalam pelaksanaannya. Tapi perkara yang asas atau hukum sudah jelas, tidak perlu dipertikaikan lagi. Jangan sebab kita tidak puas hati dengan pelaksanaannya, kita pinda perkara asas. Takkan marahkan cabang kita kerat batangnya?

Entahlah.. saya bimbang sebenarnya. Apakah dalam kita begitu teruja memperjuangkan hak kesaksamaan wanita, kita bertindak membabi buta mengikut nafsu. Jangan sampai dalam kita sibuk menyerang segala halangan, sampaikan rumah api yang menjadi pemandu perjalanan pun kita hentam... Marahkan nyamuk kelambu dibakar? Bagaimana kita akan sampai ke destinasi dengan selamat jika kita hilang penanda arah?

1 comments:

Wan said...

Salam Kak Nik.. lama sungguh tak bersua, sekarang masih kat Muslimah lagi? Dengar cerita Muslimah handle kat Kelate, ye ke? kirim salam sama Abe Yie dan anak-anak (lupa la nama anak Kak Nik yg baya ngan Asiah anak Kak Ma Harakah), maklum dah lama tinggalkan Harakah.. ni pun dapat jejak Kak Nik kat blog "keluargakusayang".