RSS

Friday, February 20, 2009

Terkenang semasa dulu...

Apabila Cik Rose (Rose Harissa) memberitahu dia dari Felda Chini, ingatan saya mengimbau masa kecil saya. Saya juga dibesarkan di Felda.. beberapa buah Felda sebenarnya. Ayah saya sebelum bersara, pernah bekerja dengan Perbadanan Kilang Felda. Bidang kerjanya membawa kami sekeluarga merantau ke beberapa buah Felda.

Bermula pada tahun 1970, ayah ditempatkan di kilang Felda Bukit Besar, Kulai, Johor. Dua tahun di Felda tersebut, namun ingatan saya agak kabur kerana faktor usia. Sewaktu itu saya baru berusia 1 tahun dan kemudian apabila berusia hampir 3 tahun, berpindah pula ke Felda Bukit Goh, Kuantan.

Namun apa yang jelas di ingatan, tentang jiran kami yang sangat baik. Arwah Makcik Inah dan Arwah Pak Hussin. Makcik Inah orangnya berbadan gempal dan berkulit putih. Ada darah keturunan Cina. Pak Hussin pula ada darah mamak.. Anak-anak Makcik Inah ada lapan orang. Abg. Abas, Kak Eton, Kak Miah, Kak Tijah, Kak Tipah, Abg. Amid, Kak Shahrom dan Ghani.

Keluarga mereka memang baik, selalu menjadi tempat kami ditinggalkan kalau emak dan ayah ada urusan. Pendek kata, makan minum tidur baring di rumah mereka. Abg Amid ada membela burung gembala kerbau diberi nama Maiku. Pandai bercakap. Kalau nampak Abg Amid dia akan menjerit... Amid.. Amid..
Kak Tipah pula masa itu digelar mak alak.. sebab kuat melalak! Memang kelakar. Salah sikit suka menjerit dan melalak. Sebab itu keluarga menggelarnya begitu.

Tahun 1972, kami sekeluarga berpindah ke Felda Bukit Goh, di Kuantan. Teringat hari berpindah itu merupakan hari kematian Seniman Negara Tan Sri P. Ramlee. Saya masih ingat hari tersebut. Arwah mak menangis bersalaman dengan Makcik Inah. Makcik Inah berpesan pada saya.. Adik Yah jangan lupa Makcik Inah... Dan Makcik Inah tak pernah saya lupakan.

Pakcik Hussin meninggal dunia sewaktu saya berada dalam darjah enam. Arwah mak, saya dan ayah pergi menziarahinya. Itulah kali pertama bertemu selepas terpisah hampir sepuluh tahun. Saya sempat menziarahi arwah Makcik Inah sewaktu dia dimasukkan ke hospital kerana penyakit kencing manis sewaktu di tingkatan tiga. Dan sewaktu di tingkatan lima (kalau tidak silap) saya mendapat khabar Makcik Inah telah kembali ke rahmatullah.

Berada di Felda Bukit Goh, saya sudahpun memasuki alam persekolahan. Kawan-kawan sepermainan terdiri daripada budak-budak lelaki anak jiran. Masuk belukar keluar belukar, main pondok-pondok, bertumbuk, main pistol peluru terung pipit menjadi aktiviti harian. Sesuatu yang tidak dapat dinikmati oleh anak-anak saya pada hari ini.. Malah saya pernah dijahit kepala kerana jatuh tangga.

Ada satu aktiviti yang saya dan kakak cukup suka. Memerun dan membakar sampah. Bukannya kerja memerun atau membakar sampah itu yang menarik perhatian kami, tetapi aktiviti 'sampingannya' iaitu membakar ubi kayu.

Arwah mak banyak menanam ubi kayu di hadapan rumah. Biasanya kalau mula membakar rumput, lalang atau kayu-kayu, kami pun akan menggali ubi. Ubi itu kemudian kami campak dalam api tersebut. Sementara menunggu ubi masak, kami akan bermain di laman.

Apabila sudah masak, ayah akan memanggil kami. Biasanya kayu yang panjang digunakan untuk mengais keluar ubi yang sudah kehitaman kulitnya. Setelah agak sejuk, kamipun apa lagi.. serangggg!!!. Aroma daripada ubi bakar itu sememangnya membangkitkan selera. Apatah lagi budak-budak macam kami yang sering saja 'kebulur'. Bukan tak cukup makan tapi sengaja mencari benda untuk dimakan.

Dan sewaktu dalam darjah dua (1977), ayah saya diarahkan bertukar ke kilang sawit Felda Chini 3. Oleh sebab cuti persekolahan penggal ketiga tidak lama lagi, maka ayah mengambil keputusan meninggalkan kami sementara waktu di Bukit Goh. Saya ingat setiap hujung minggu ayah akan balik menziarahi kami.

Sempat dia bercerita tentang kawasan Felda yang baru dibuka. Jalan yang menghubungi kawasan tersebut cuma jalan lori balak. Rumah kakitangan kilang masih dalam pembinaan, yang ada cuma rumah berek. Sekolah juga belum didirikan. Kali pertama ayah ke sana, tin minyak tanah yang dibawanya pecah akibat teruknya jalan yang terpaksa dilalui.

Ayah mengambil keputusan menghantar saya dan kakak pulang ke kampung untuk meneruskan persekolahan. Tinggallah saya dan kakak dengan nenek dan ibu saudara di Pasir Mas Kelantan.

Saya tidak sempat ikut berpindah ke Felda Chini 3, tapi apabila cuti sekolah kami akan balik bercuti di sana. Pada mulanya memang agak membosankan kerana tiada bekalan elektrik dan air. Sebelah malam, cepat sahaja kena tidur kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan.

Bagaimanapun waktu mandi cukup menyeronokkan. Kami akan ke rumah jiran yang mengusahakan kedai makan untuk pembalak. Di tepi rumah disediakan bilik air. Apa yang menariknya, airnya adalah anak sungai. Bilik air itu dibina di atas anak sungai.

Saya dan kakak kerap bermain di anak sungai itu untuk menangkap ikan. Memang seronok pengalaman tersebut. Hinggakan suatu hari kerana terlampau asyik mengejar ikan, saya dan kakak masuk jauh ke hutan dan terserempak dengan babi hutan. Apa lagi, lintang pukang kami lari. Nasib baik babi tersebut terkejut melihat kami dan cabut lari. Kalau tidak, entahlah apa yang akan terjadi. Teruk kami dimarahi arwah mak!

Kami sekeluarga selalu juga masuk ke hutan. Sekadar untuk beriadah. Memang menarik pemandangan kawasan yang belum terusik oleh pembangunan. Sayangnya, saya tidak ada menyimpan gambar-gambar kenangan. Kalau tak silap, ada di rumah ayah. Saya sendiri sebenarnya tidak berapa suka bergambar atau menyimpan gambar. Entah mengapa! Kata orang rugi, kerana sekeping gambar membawa seribu makna. Tapi pada saya segala kenangan itu tetap terakam dalam minda dan menjadi kenangan yang terindah dalam hidup saya.

7 comments:

dhan said...

salam kak nik....
felda bkt besar tuh dekat sgt ngan tempat saya...
kalau one fine day dtg mengimbau kenangan kat kulai... singgahlah k.. muahhs

shelly Yusop said...

salam...
setiap orang mempunyai pengalaman yang berbeza. seperti saya yang tidak dapat langsung merasai kehidupan kg spt yang kak nik rasai di zaman kecil. sejak kecil saya melalui satu demi satu fasa yang berbeza. akibatnya zaman remaja saya diselebungi dengan kesedihan dan air mata. walaupun segalanya sudah berlalu namun seperti kata kak nik, kenangan yang terakam walau tanpa gambar akan tetap terimbas sekali sekala.Pengalaman juga yang mengajar saya agar terus tabah dan kuat menempuh hidup ini....

Nik Fauziah Nik Hussin said...

Han... tak tau lar bila akan ke sana. Insya-Allah kalau dihantar ole-Nya, sampailah. hehe

Shelly... apa saja yang kita lalui itu telah tersurat sejak azali. Namun yakinlah, Allah tidak akan menguji apa yang tidak mampu kita tanggung. Sedih, suka, duka, gembira asam garam kehidupan yang singkat ini.

Rose Harissa (NORA) said...

Salam Nik...
hoho.. terpampang nama saya kat blog nik ye, jadi pengimbau kenangan ye... kekeke
saya orang Felda Chini 2 nik... dekat2 je ngan chini 3 tu...
dulu2 kat felda memang susah nik... ingat lagi main air tong drum belakang umah... umah kecik macam kotak mancis...
hahaha... sekang masing2 umah bagak mengalahkan banglo!

MIMIE AFINIE said...

Salam nik...
Memang seronok bila kita kenang kembali kisah dulu-dulu. Akak walaupun tak pernah tinggal di felda tapi tetap ada kenangan manis dan pahit yang tentunya akan diingat sampai bila-bila.

Kesian anak-anak... tak merasa apa yang pernah kita rasa...

Nik Fauziah Nik Hussin said...

Iyolah che rose. Ingat masa tu, makan ikan kering je.. sbb nak dapat ikan basah ni payah melainkan ikan paya.. tapi arwah mak tak makan plak.. sayur plak pucuk2 hutan..esp pucuk paku. Wat kerabu best giler..
Nyamuk pun spesis anak gajah hahaha.. tapi tu lar bestnya mahal pengalaman tuh..

Nik Fauziah Nik Hussin said...

Mmg kak mimie.. anak2 hari ni lahir dah senang. Tp diorang takdan lah merasa main dalam paya, meranduk sawah, masuk belukar main buah gurah.. isk3 Thrrrilllll you!