Hari ini hari jadi adik Efa. Sedar tak sedar dah genap empat tahun umur dia. Dan semalam, 23 Februari, hari pertama dia masuk sekolah tadika - Raudhah Ibn Kathir.
Sebenarnya, saya tidaklah berhajat untuk memasukkan dia ke sekolah seawal ini. Tapi dia banyak kali menyebut ingin bersekolah. Pada awalnya saya tidak mengambil kisah sangat. Kata saya tunggu umur adik lima tahun. Ok, jawab dia.
Tapi sejak dua minggu lalu, dia semakin buat onar tak mahu ke rumah Opah yang mengasuhnya. Tambahan pula, terlalu banyak cuti bersambung dengan hujung minggu membuatkan dia semakin liat. Kebetulan pula suami saya selalu outstation, memaksa saya mengambil cuti untuk menguruskan banyak hal. Sementelah cuti tahun lepas berbaki dua tiga hari lagi.
Setelah berbincang dengan suami, akhirnya kami mengambil keputusan untuk memasukkan dia ke sekolah. Itupun saya terpaksa merayu guru sekolah tersebut kerana katanya pihak sekolah hanya mengambil 10 orang sahaja kanak-kanak berumur 4 tahun, itupun anak kakitangan di situ atau sekolah rendah Ibn Kathir saja.
Namun kerana tidak sampai hati untuk menghampakan, pengetuanya meminta saya membawa anak ke sekolah. Katanya bawalah, kita tengok macam mana. Kalau tak menangis dan sudah pandai menguruskan diri bolehlah bersekolah.
Puas kami bertanya Efa sama ada dia betul-betul ingin bersekolah atau tidak. Kata saya kalau adik nangis nanti tak boleh sekolah. Naper? Tanya dia. Sebab nanti susah cikgu nak ajar kalau adik nangis. Macam mana nak baca ABC, nak mengaji dan menyanyi kalau adik nangis. Adik tak nangis la ummi... jawabnya yakin.
Lalu semalam saya bawa dia mendaftar di sekolah. Alhamdulillah, dia tidak menangis walaupun mukanya agak suspen. Kebetulan Cikgu Wan yang menyambutnya pula agak ramah. Kata Kak Wan, besar orangnya walaupun umur empat tahun.
Sewaktu saya menyarungkan uniform sekolahnya, sempat Efa berbisik di telinga saya.."ramainya budak, Ummi". "Iya..semua itu ada budak lima dan enam tahun... kelas adik kat atas," kata saya. Kebetulan waktu tersebut kanak-kanak tersebut sedang diajar mengaji oleh seorang guru.
Setelah siap menyarungkan baju, seluar dan tudung, saya rasa sungguh terharu. Apa tidaknya, terasa dia sudah besar kerana sudah pun memulakan alam persekolah. Bangga bersulam sayu rasanya. Terasa betapa cepatnya masa berlalu.
Balik dari sekolah becok dia bercerita... "Adik suka sekolah. Dapat kawan nama Aisyah. Tadi cikgu ajar baca ABC, ajar nyanyi lagu bapakku pulang dari kota..Tapikan budak-budak tak nak kawan adik." di hujung keriangan bercerita, saya terdengar keluhan sedihnya.
Ayat "budak-budak tak nak kawan adik" diulang-ulang beberapa kali. Sayu pula saya mendengarnya. Saya katakan pada dia, "bukan tak nak berkawan tapi dia orang tak tahu nama adik".
Mujurlah apabila ditanya sama ada dia ingin ke sekolah atau tidak esok, dia segera mengangguk. Malah sibuk menyuruh saya menggosok bajunya yang berkedut.
Apapun saya sudah menyiapkan diri. Tak tahu sampai bila dia boleh bertahan. Takut pula selepas seminggu, dia bertukar fikiran.
Pagi tadi, sewaktu bersiap untuk ke sekolah dia mula buat perangai. Tapi setelah dipujuk dia kembali ceria. Malah, siap melambaikan tangan kepada saya. Saya ingin merakamkan gambarnya berbaju sekolah, tambahan pula hari ini hari jadinya yang keempat. Tapi dia membantah, katanya biar abahnya mengambil gambarnya di sekolah.
Sekembalinya suami dari menghantar Efa, dia memberitahu, "Efa menangis tadi. Waktu dia sampai Cikgu Wan tak ada. Nasib baik Cikgu Wan perasan dan terus pujuk dia. Cikgu Wan kata tak apa, biasalah budak-budak peringkat awal. Tak jadilah ambil gambar dia"
Hmmm... mampukah dia bertahan? Harapnya begitulah!
Selamat ulang tahun hari lahir NURUL IEFFAH
Perginya Ibu Tercinta
2 weeks ago
1 comments:
heh...
da besa si efa tu...
nak pulak die pegi skolah...
kalo time kecik2 dulu..
pantang org pegang...
melalak...
Post a Comment