RSS

Wednesday, February 18, 2009

Mudahkah berpoligami?

"Akak dengar tak berita gempar terkini?" demikian pertanyaan sahabat saya menerusi YM. "Berita apa?" tanya saya. "Kisah YB kena tangkap khalwat ke?"
"Bukanlah.. itu jelas fitnah," jawab sahabat saya pula.
"Hmm apa kisahnya?"
"Kisah lama berulang kembali!" jawab sahabat saya
Hhuu??? Apa pula? Saya tertanya-tanya sendiri.

"Kak.. kawan kita yang di tutttt ada yang tambah cawangan dan bakal menambah cawangan!"
Owhh... itu kisahnya. Hmm... Oklah kut. Kalau mampu apa salahnya.
"Si dia tu kawin dengan rakan seofis juga. Anak dara," cerita sahabat saya lagi.

Saya termenung seketika mendengar cerita sahabat tadi. Terlayar di minda saya wajah insan yang dimaksudkan. Setahu saya isteri akhi tersebut seorang suri rumah sepenuh masa. Dapat saya bayangkan, kehidupan di KL ini kalau suami sahaja sebagai sole bread winner, agak sempit jadinya kalau suami 'membuka cawangan' baru.

"Kak, bukan akhi tu sorang. Ada sorang lagi kak."

Dengar sahaja nama yang disebutkan, saya terasa darah menyerbu ke muka. Apa tidaknya ,saya kenal benar dengan isterinya. Kalau benarlah bagai dikata, saya tumpang marah! Isteri tidak bekerja, tunggang-langgang mengambil upah mengasuh anak jiran dan menjahit pakaian untuk mencukupkan belanja rumah dan memenuhi keperluan anak seramai 6 orang itu.

Saya bukanlah anti poligami dan tidak juga pro poligami. Saya tahu dan amat sedar, ia dibolehkan oleh Islam. Kalau kita menentang, bermakna kita mengharamkan yang halal. Namun, saya seringkali merasakan orang lelaki tidak menggunakan pertimbangan kelebihan akal yang diberikan. Mereka suka mengambil jalan mudah, "alah kalau kawin tu adalah rezekinya". Pada saya itu adalah alasan yang sangat tidak bertanggungjawab. Justeru tidak hairanlah jika kita dengar suami tidak balik ke rumah, nafkah isteri dan anak terabai.

Bukan saya emosional, tapi saya banyak berhadapan dengan perkara sebegini. Sahabat baik saya sendiri pernah mengalami nasib yang sama. Menjadi isteri ketiga. Nama saja ada suami, tapi tak pernah nampak batang hidung. Kalau berhajat pada isteri, barulah nampak muka. Itu pun beberapa jam sahaja, setelah nafsu dilampiaskan, terus tidak nampak batang hidung. Duit belanja? Tak usah ceritalah! Mintak sepuluh ringgit kena khutbah panjang lebar... katanya baru saja semalam anak di universiti mintak dimasukkan duit seratus ringgit. Teringat kata sahabat saya itu, "dia buat aku macam perempuan di celah lorong sahaja!."

Namun saya tabik kesabaran sahabat saya. Tak pernah melawan atau berdendam. Sampailah satu masa ditinggalkan selama 4 bulan (setakat sebulan dua tu dah mangli). Kami yang mendengarnya naik radang... Akhirnya dia dapat juga membuat keputusan. Minta fasakh.

Setelah bercerai, sibuk pula suami gila talak. Namun sahabat saya ini sudah nekad, seperti katanya pada suami, "jangan sampai saya ambil keputusan ini.. saya tak akan berpatah balik". Yang menghairankan, pandai pula si suami memberi nafkah RM150 setahun, SAYA ULANG SETAHUN - BUKAN SEBULAN, kepada anak tunggalnya dengan sahabat saya ini.

Terasa lucu juga mengingatkan gurauan sahabat saya.."kalau aku tahu, lama dah aku minta cerai! Dapat juga aku duit RM13.50 sebulan!"

Alhamdulillah, berkat kesabarannya sahabat saya itu sudahpun bertemu jodoh dengan lelaki bujang dan kini berbahagia.

Seperti saya katakan tadi, saya bukanlah anti poligami. Teringat saya, satu hari pada tahun 1999 dahulu, pagi-pagi lagi saya menerima panggilan telefon daripada seorang doktor. Kebetulan waktu itu kami ada menulis artikel mengenai perceraian/poligami.

Doktor tersebut sempat bercerita, dia berpendapatan lima angka. Isterinya juga berpelajaran tinggi tetapi tidak bekerja. Dia berhasrat untuk menambah isteri dan katanya dia mampu. Malah dia juga mempunyai contoh teladan yang baik.. iaitu ayahnya sendiri yang beristeri dua. Katanya, ayahnya sehingga ke hujung usianya masih lagi naik bas berulang alik antara rumah isteri tua dan isteri muda berselang hari. Dan dia yakin dirinya juga boleh mencontohi si ayah.
Katanya dia mampu dari segi zahir dan batin. Mengapa isterinya sukar untuk memahaminya?

Saya katakan kalau doktor yakin benar-benar mampu, baik dari segi zahir, batin dan agama, teruskanlah niat tersebut. Tak perlu minta izin isteri, lagipun perkara itu halal. Cuma kata saya, kalau ditanya pada wanita, memanglah sukar untuk memberi izin. Bukan wanita hari ini. Malah, Saidatina Fatimah pun sewaktu Ali menyuarakan hasrat ingin berkahwin turut membantah secara simbolik. Mengikut riwayat (saya tidak pasti hadis dhaif atau sahih), beliau mengambil segenggam jerami gandum yang kering lalu diramasnya. Kemudian beliau berkata, sebagaimana hancurnya jerami tersebut begitulah hancurnya hati beliau dengan permintaan Ali. Wallahu a'lam.

Teringat saya kata Tok Guru Nik Aziz, melihatkan orang sekarang berpoligami, beliau takut untuk berpoligami. Apa taknya, nak berkahwin ikut sunnah Nabi, tapi bab yang lain tak pula ikut sunnah. Malah menentang lagi ada!

Cuma cuba bayangkan.. katalah anda berpoligami. Anda mempunyai amalan yang baik sehingga terpilih untuk memasuki syurga. Namun sebaik ingin melangkah masuk, tiba-tiba dari kiri datang isteri pertama menuntut haknya yang anda abaikan selama di dunia. Dari kanan datang isteri kedua menuntut haknya yang juga anda abaikan. Dari depan dan belakang datang pula anak-anak dari kedua-dua belah isteri menuntut hak mereka yang diabaikan anda. Elok-elok dapat masuk syurga, anda terheret ke neraka.. Itu kata ustaz yang saya sempat ikut kuliahnya!

Jangan marah!

3 comments:

zara aluwi said...

Acapkali kita terdengar kisah suami yang berpoligami tetapi tidak berlaku adil terhadap isteri-isteri terutama keluarga isteri pertama. Sebelum berlangsungnya perkahwinan poligami, pelbagai janji manis dituturkan namun akhirnya janji-janji tersebut tidak dikotakan.
Ini berlawanan sekali dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya menunaikan sebarang janji yang telah dibuat. Ini dapat dilihat melalui Surah al-Maidah ayat 1: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”
Tambah menyedihkan lagi ialah apabila hal ini terjadi, wanita dan anak-anaklah yang sering menjadi mangsa.
Orang ramai biasanya menganggap bahawa mahkamah syariah mengeluarkan perintah mengarahkan suami membuat bayaran nafkah kepada isteri dan anak-anaknya dalam kes cerai sahaja.
Sebenarnya, seorang isteri juga boleh memohon kepada mahkamah syariah supaya memerintahkan suaminya membayar nafkah untuk dirinya serta anak-anaknya sepanjang tempoh perkahwinan. Ini berdasarkan pada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Dari itu para isteri-isteri dituntut untuk mengetahui hak mereka.

NIk Fauziah Nik Hussin said...

Hmm.. betul kak zara..kadang kala orang perempuan ni tak tahu hak mereka.
Masyarakat juga kadang kala memandang serong apabila wanita turun naik mahkamah minta nafkah anak atau nafkah eddah yang tertunggak. Konon mereka ni mata duitan.
Teringat kata Ustaz Wan Akashah, tuntutlah sbb itu hak wanita.
Dan satu perkara lagi Ustaz Wan kata cukup jaga poligami.. bergurau nak kawin lain pun tak pernah dengan Ustazah Dato' Siti dia. Hehee.. patut dicontohi tu!

♡ Eibu June's ♡ said...

salam nik...
nak ikan ye..kay ibu bagi link
http://abowman.com/google-modules/
byk kat ctu, pilih je mane ske...
cuba yek!!!