Alam kampus telah lebih 15 tahun saya tinggalkan. Sepanjang tempoh itu, saya masih dapat menghubungi beberapa orang kawan. Salah seorang daripadanya sahabat baik saya Elly Zarina, begitu juga dengan Aishah, Fizzy dan Nurfadhli. Mereka di antara yang rapat dengan saya.
Setahun dua kebelakangan ini pula, saya terjumpa lagi beberapa orang kawan sekelas dan sekursus. Daripada mereka dapat 'dikorek' berita kawan-kawan yang lain.
Saya masih ingat, kelas saya amat unik. Kami terdiri daripada 21 orang. Dan yang lebih menariknya, kesemuanya pelajar perempuan.
Teringat saya reaksi terkejut setiap lecturer yang masuk ke kelas kami... Wah semuanya perempuan ye! Maka kami dengan selamba menjawab...ada, encik sorang lelaki. Pastinya meletuslah ketawa kami sekelas.
Senario ramainya pelajar wanita di kampus, sememangnya dapat dilihat sejak dahulu lagi. Batch pengajian saya umpamanya, daripada 78 orang hanya 12 orang sahaja pelajar lelaki (kalau tak silap saya). Entah di mana agaknya golongan lelaki waktu itu? (Ada, tapi kalau disebut di mana mereka, nanti ada yang kecil hati dan marah dengan saya hehehe).
Sebenarnya bukan itu yang saya ingin sentuh...! Setelah sekian lama graduate, baru-baru ini saya telah menerima 'pelawaan' daripada seorang kawan untuk memasuki laman web bekas pelajar.
Agak teruja pertama kali memasukinya. Manakan tidak, saya dapat melihat anggota 'perkampungan' tersebut terdiri daripada super duper senior yang pernah dikenali dan langsung tidak pernah dikenali. Malah ada beberapa 'public figure' yang menghiasi kaca tv hari ini, merupakan bekas pelajar. Meriah sungguh 'perkampungan' tersebut.
Aktiviti yang dijalankan juga pelbagai. Ruangan untuk mencurahkan pendapat serta berkongsi idea juga sangat menarik. Pendek kata sungguh mengujakan. Ruangan 'sembang kedai kopinya' juga membuatkan kita tak kering gusi.
Melalui laman web tersebut, saya dapat bertemu kembali dengan beberapa rakan yang terpisah dan juga dapat berkenalan dengan bekas-bekas pelajar serta dapat bertukar-tukar fikiran.
Namun dalam banyak kebaikan yang berpeluang dikongsi itu, ada juga beberapa aktiviti dan perkara yang bagi saya sangat tidak menyenangkan. Bahasa yang digunakan oleh sesetengah senior amat kasar, bahkan hingga ke tahap mencarut. Malah ada juga budaya mengajak ahli melepak di kedai mamak @ coffee house, berkaraoke dan sebagainya.
Bagi saya kalau di waktu bergelar pelajar, mungkin budaya tersebut boleh diterima. Tetapi setelah kita bergelar ibu dan bapa rasanya tidak lagi sesuai. Apatah lagi jika yang keluar itu suami orang atau isteri orang.
Saya sesekali terfikir, alangkah sportingnya suami mereka kerana membiarkan isteri bersama-sama kawan-kawan sehingga jauh malam. Namun bila difikirkan lagi... apakah mereka ini mengalami masalah rumah tangga sehingga terpaksa keluar mencari 'hiburan' secara begini?
Apa yang saya lihat dan perhatikan, ia sebenarnya menyuburkan budaya tidak sihat. Bimbang saya memikirkan kesannya. Bukan kita mendoakan yang tidak baik berlaku, tapi hakikatnya sudah banyak perkara yang tidak baik berlaku. Apatah lagi yang melibatkan hubungan suami dengan isteri orang.
Saya sekadar meluahkan kebimbangan, tidak kisahlah kalau ada yang menganggap saya ini berfikiran kebelakang, tidak moderate atau sebagainya. Sebab bagi diri saya, walau bagaimana moderate sekali pun kita, kita tetap tidak dapat lari daripada hukum Tuhan. Selagi kita ini hamba-Nya, memakan rezeki-Nya, menumpang hidup di bumi-Nya, menghirup udara milik-Nya, suka atau tidak, mahu atau tidak, kita mesti patuh hanya pada DIA.
Dan atas dasar itu, maka saya menarik diri daripada menjadi ahli bekas pelajar. Saya tidak kuat untuk mengubah situasi yang ada. Prinsip saya mudah... if you can't either beat them or join them, leave them. Al halalu baiyinun, wal haramu baiyinun...
Saya tinggalkan tugas kepada mereka yang berkemampuan!
Istighasah, boleh ke tak?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment