Sebagai manusia, kita sering kali berkeluh kesah apabila ditimpa ujian. Tidak menghairankan kerana begitulah sikap manusia yang lemah dan sentiasa mengharapkan ihsan Allah.
Ditakdirkan menjaga orang yang kurang upaya sememangnya satu dugaan yang cukup menguji kesabaran. Hanya dengan bersabar dan menyakini bahawa ada hikmah yang tidak nampak sahaja, yang mampu membuatkan mereka yang mengalaminya boleh bertahan.
Semalam saya sempat ke pasar raya untuk membeli sedikit barang dapur. Sewaktu di situ, saya melihat seorang anak gadis istimewa yang terbaring di atas stroller, menangis-nangis memanggil seseorang. Butir bicaranya tidak dapat difahami tetapi mungkin dia tidak selesa. Setelah memasuki pasar raya tersebut, saya berjumpa lagi dengan seorang remaja lelaki istimewa juga disorong di atas stroller.
Perkara itu sedikit sebanyak menyedarkan saya, bahawa saya masih lagi beruntung kerana walaupun terpaksa menjaga kakak ipar yang tidak berapa sihat, dia masih boleh mengurus dirinya sendiri.
Kakak ipar saya mengalami masalah skizofrenia. Pada asalnya, dia seorang yang sihat walafiat. Sewaktu usianya mencecah 21 tahun, dia telah ditimpa penyakit tersebut. Puas dibawa berubat ke sana sini oleh arwah ibu dan ayah mertua saya. Ramai yang mengatakan dia terkena buatan orang. Pernah dibawa ke hospital tetapi tiada perubahan.
Saya sebenarnya amat mengkagumi arwah ibu mertua yang begitu sabar menjaga kakak ipar saya. Ke mana sahaja dia pergi, mesti kakak dibawa bersama. Tiada rasa malu atau segan. Doanya tidak putus supaya kakak sihat seperti sedia kala. Kakak merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarga. Sungguhpun dia sakit (bercakap sendirian, tidak mahu bercampur dengan orang lain, susah untuk disuruh mandi dan menukar pakaian), namun dia seorang yang sangat penyayang terhadap kanak-kanak. Menurut cerita arwah mak, kakak pernah menolong ibu saudaranya menjaga sepupu-sepupunya. Kakak tidak ganas atau mencederakan orang lain. Sewaktu sihat, kakak juga pernah menjadi guru Quran. Bacaan al-Qurannya memang sangat baik.
Sewaktu arwah mak ada, agak sukar juga untuk memujuknya membawa kakak berubat secara moden. Saya tidak salahkan mak kerana banyak cerita negatif yang didengarnya tentang perubatan moden. Tambahan pula, kakak pernah dibawa berubat di hospital, tetapi tidak ada sebarang perubahan. Puas juga saya memberikan penjelasan, sehingga satu tahap saya terpaksa membuat artikel khusus mengenai penyakit skizofrenia, semata-mata untuk mendapatkan informasi daripada doktor pakar mengenai penyakit tersebut.
Setelah berbincang, akhirnya persetujuan diperolehi daripada mak untuk mengubati kakak dengan rawatan moden. Malangnya dalam tempoh tersebut, mak jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia dalam usia 74 tahun.
Kebajikan kakak terserah sepenuhnya kepada suami saya dan abangnya. Setelah berbincang baik buruknya, suami saya telah membawa kakak berjumpa dengan pakar psikiatri. Menurut doktor, kakak mempunyai IQ yang rendah. Disebabkan tekanan atau faktor persekitaran, ia mudah mendapat penyakit mental.
Setelah dibekalkan ubat-ubatan, alhamdulillah, keadaan kakak berubah. Dia lebih sedar keadaan sekeliling, sudah boleh bersolat, tidak lagi malas mandi dan sudah boleh diajak berkomunikasi. Cuma tahap pemikirannya seumpama kanak-kanak. Masih boleh melompat kalau disuruh melompat oleh anak-anak saudara.
Ujian menjaganya? Kadang kala memang teruji rasanya. Seumpama kita melayan anak-anak. Ada kalanya kita marah dengan kerenah mereka. Tapi yang pasti, anak-anak saya sayang dengan maklang mereka. Maklanglah yang meneman mereka ke dapur atau ke bilik air kalau berasa takut, maklanglah cebukkan adik, maklanglah kawan untuk diajak bermain badminton atau ke taman permainan, maklanglah yang menjemur dan mengutip pakaian di ampaian. Bukan saya yang menyuruhnya, tapi atas kerelaannya sendiri. Dan yang pasti, dia gembira untuk turut membantu.
Justeru, bukankah beruntung saya? Nasib saya lebih baik berbanding ibu bapa anak gadis dan remaja lelaki yang saya temui di pasar raya. Jauh lebih baik sebenarnya, hanya perlu bersabar. Ya... bersabar!
Teringat saya pesan seorang sahabat, "kamu menjaga ahli syurga, jadi kamu perlu sabar." Begitu juga pesan seorang kakak kenalan saya yang turut mempunyai anak istimewa, "sebenarnya Nik, Allah nak bagi kita pahala." Malah lebih mengesankan lagi, pesan seorang abang yang dikurniakan dua anak istimewa..."mereka ini namanya pun istimewa, itulah keistimewaan yang Allah beri pada kita."
Mampukah saya menjadi seistimewa mereka? Wallahu a'lam. Semoga saya terus diberi kesabaran dan sentiasa mempunyai sifat ihsan.
Istighasah, boleh ke tak?
1 day ago
0 comments:
Post a Comment