RSS

Friday, January 2, 2009

Tahun Baru Petanda Baru

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya ada blog sendiri! Walaupun masih terkial-kial untuk menghiasnya. Terima kasih untuk adinda Dayah yang menolong menjadikan ruang ini satu kenyataan.
Kita kini berada pada tahun baru hijrah 1430 dan tahun masehi 2009. Sudah tua rupa-rupanya dunia kita ini. Agaknya sebab itulah ia sudah semakin 'nyanyuk'... kalau dahulu musim tengkujuh di negeri Pantai Timur dari penghujung November hingga awal Januari dan di Pantai Barat dari pula biasanya antara April hingga Ogos. Kini tengkujuh turut dirasai di Kuala Lumpur tatkala negeri Pantai Timur dilanda banjir. Begitu juga buah-buahan, sekarang ini tidak lagi bermusim... boleh didapati sepanjang tahun...hmm.. murah sungguh rezeki kita.
Apapun yang pastinya, beralih ke tahun yang baru bermakna usia kita juga semakin bertambah. Kematangan juga seharusnya semakin bertambah. Uban di kepala juga ikut bertambah..(hmm?). Begitulah hukum alam.
Namun sedar atau tidak, bertambahnya usia bererti kita semakin menghampiri penghujung kehidupan. Setiap hari yang dilalui bererti semakin dekat panggilan Izrail akan mendatang. Apakah persediaan kita untuk kembali menghadap-Nya? Apa kata jika detik ini kita tiba-tiba terbaring meraba-raba hujung kain kafan? Ngerikah kita memikirkannya?
Sememangnya apabila disebut kematian, terdetik rasa gerun, insaf dan sedih. Namun sebagai manusia, kita seringkali lalai daripada mengingati kematian. Biarpun kita diberitahu bahawa orang yang bijak itu ialah orang yang mengingati mati. Sedangkan, kalau boleh kita ingin dipanjangkan umur untuk terus menongkat langit. Itulah kita, insan lemah yang tertipu dengan kehidupan dunia. Insan yang cintakan dunia hingga takut kepada kematian.
Sedangkan dunia ini ibarat sepohon pokok tempat berteduh, melepaskan lelah seketika sebelum menyambung kembali perjalanan yang panjang... !
Apakah kita sudah mempersiap diri dan bekalan untuk perjalanan panjang yang penuh onak dan dugaan?

0 comments: