Alhamdulillah...
Akhirnya dapat juga saya kembali menulis untuk blog saya. Sebaik sahaja menyiapkan majalah, saya telah diserang demam panas. Tiga hari saya terlantar - sakit segala sendi, sakit kepala, lemah badan. Pendek kata saya benar-benar dalam keuzuran.
Saya tidak pula ke klinik, sebaliknya hanya makan ubat homeopati. Walaupun agak lambat kesannya, namun alhamdulillah, dengan izin-Nya kesihatan saya bertambah baik. Biarpun masih agak lemah, namun dapat juga saya kembali bertugas.
Sepanjang ditimpa sakit, saya sering terkenang benarlah betapa besar dan bermaknanya nikmat kesihatan. Baru sedikit sahaja kesakitan yang dirasai, sudah membuatkan banyak perkara tergendala. Rumah tak dapat dikemas, kain baju tak dapat dilipat. Makan juga tidak dapat disediakan. Pendek kata, banyak perkara terabai.
Anak-anak juga kurang ceria kerana umi mereka tidak sihat. Anak kedua saya yang mulutnya agak 'laser' juga turut memberi komen. Tak bestla umi sakit. Takdela umi nak marah-marah adik. Cepatlah umi sihat, nanti mesti umi suruh adik sembahyang... baca buku.. Rupa-rupanya dia rindukan leteran saya!
Si kecik Efa yang berusia empat tahun pula, cukup seronok saya demam kerana saya ada di rumah bersamanya. Saya bercuti bermakna dia juga dapat bercuti daripada ditinggalkan di rumah Opah pengasuhnya... Kalau tidak, setiap hari dia menunggu tibanya hari Sabtu (dia tahu kalau Sabtu adik cuti katanya). Begitulah rahmatnya kesakitan kepada anak sekecil Efa.
Apa pun saya bersyukur kerana setelah kesihatan saya terjejas seketika, kini saya kembali pulih. Saya masih lagi diberi peluang oleh-Nya untuk menikmati kehidupan. Kesakitan yang dialami ini masih belum menjadi penyebab terpisah nyawa dari badan. Saya bersyukur kerana masih lagi berpeluang menyediakan makanan untuk anak-anak, membantu mereka menyiapkan kerja sekolah, mengajar mereka mengaji, melihat mereka ke sekolah.
Doa saya, semoga saya dipanjangkan umur untuk melihat mereka membesar, mendapat segulung ijazah dan menjadi anak-anak yang solehah...
Semoga doa saya dimakbulkan Ilahi.
Perginya Ibu Tercinta
2 weeks ago
0 comments:
Post a Comment