Alhamdulillah, hari ini saya masih diberi peluang oleh-Nya untuk bernafas menghirup udara yang sudah tidak sesegar mana dek kerana pencemaran. Syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana saya masih lagi boleh menguruskan anak-anak ke sekolah.
Agak kelam kabut juga pagi ini kerana terlambat bangun....sedar-sedar jam sudah menunjukkan pukul 6.20 pagi. Macam lipas kudung dibuatnya. Anak sulung saya, Huda, muncungnya panjang sedepa. Geramlah agaknya kerana disuruh cepat bersiap. Dia memang kami gelar 'makngot'. Mandi, kalau tidak setengah jam dalam bilik air, bukan Kaklonglah namanya.
Dia memang pantang kalau 'dikejan' (hmm.. digesa). Boleh merah mata hidung (menangislah tu). Saya dan suami memang kadang kala geram juga dengan perangainya, sebab kalau dia lambat ke sekolah, nanti adiknya juga akan terlewat. Suami saya terpaksa menghantar dia dahulu sebelum adiknya kerana faktor jarak. Tambahan pula, ada anak sahabat yang turut menumpang dia ke sekolah. Sudahnya dengan mata merah kerana dileteri, dia ke sekolah.
Si adik, Iman, seperti biasa memang jenis yang cool. Relaks memanjang! Di bilik air, tak sampai 5 minit (kadangkala lupa berus gigi!!), berpakaian juga tak sampai 10 minit. Begitulah kontranya dua beradik seperut seibu sebapa.
Disebabkan kakaknya terlewat ke sekolah, saya mengambil keputusan untuk menghantarnya ke sekolah menaiki basikal... Berpeluh juga dibuatnya. Alhamdulillah, dia tiba di sekolah sebagaimana biasa. Mujurlah waktu persekolahan bermula jam 8.00, tidaklah terkocoh-kocoh sangat... Nasib baik juga kedua-dua mereka bukan bersekolah kerajaan. Kalau tidak pasti sudah didenda.
Teringat saya sewaktu di zaman persekolahan. Saya dan kakak akan keluar rumah seawal jam 6.50 pagi dan kemudian berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya lebih kurang satu kilometer. Walau berat macam manapun, beg tetap disandang. Anak-anak sekarang beg berat suruh mak ayah bawakan... dan kita kerana rasa kasihan tolong juga bawakan. Duit saku cuma 20 sen.. tapi anak-anak hari ini, paling kurang RM2.00 seorang. Kalau si kakak pula saya beri RM7.00 (duit makan dan tambang bas untuk balik di sebelah petang).
Begitulah berubahnya zaman. Namun syukur kerana anak-anak kita hari ini masih lagi mampu menikmati alam kanak-kanak dan alam persekolahan. Biarpun cabarannya tidak sama dengan zaman kita menjadi pelajar. Sedangkan anak-anak di bumi Palestine, Afghanistan, Iraq dan bumi yang bergolak, tidak berkeupayaan untuk menikmati keindahan tersebut...
Sayu dan pilunya hati saya mengenangkan mereka... kerana bak kata Yvonne Ridley (wartawan yang akhirnya memeluk Islam setelah ditawan tentera Taliban di Afghanistan) "mereka membunuh, menyiksa dan menyerang anak-anak saya, adik-adik saya, abang-abang saya, kakak-kakak saya, ibu-ibu dan bapa-bapa saya..."
Bilakah kekejaman terhadap saudara kita di bumi Palestine akan berakhir? Berdoalah untuk saudara kita di sana...!
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
1 week ago
0 comments:
Post a Comment