RSS

Friday, January 30, 2009

Jentik Minda

Dunia kembali dilanda masalah ekonomi!
Khamis (29 Jan) mencatatkan Indeks Nikkei jatuh sebanyak 287.08 atau 3.5% ke paras 7,964.16, kejatuhan yang disifatkan sebagai satu rekod sehingga mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran.
Indeks Dow Jones turut goyah, dengan indeks industri susut 2.7% kepada 8149.01 manakala Indeks komposit Nasdaq merudum 3.24% kepada 1,507.84
Indeks Hang Seng (Hong Kong) dan Kospi (Korea selatan) masing-masing jatuh sebanyak 0.5%. KLSE dan STE turut mengalami ketidaktentuan.
Ekonomi US dilaporkan mengalami penyusutan yang membimbangkan. Penyusutan sebanyak 5.4% pada Oktober-Disember lalu hampir setanding dengan kemelesetan yang dialami pada suku pertama 1982, yang menyaksikan negara Uncle Sam mengalami kemelesetan yang teruk
Ramai pakar ekonomi US menyifatkan keadaan sekarang umpama 'bermandi darah' dan bersedia untuk menghadapi "cold blast" akibat kesan kejatuhan ekonomi yang serius ini.
Situasi yang dihadapi kini sedikit sebanyak mengusik minda kita bahawa apakah kini tiba masanya ekonomi Islam kembali menguasai dunia? Kejatuhan ekonomi US tidak menampakkan tanda-tanda untuk pulih dalam waktu terdekat. Bahkan sebahagian penganalisis berpendapat, tidak mungkin akan pulih. Peristiwa Great Depression 1930 berlaku akibat perang; keadaan yang sama turut berlaku apabila kemelesatan yang dialami kini juga berpunca dari dua buah peperangan besar US - berperang dengan Afghanistan dan Iraq.
Apakah sudah tiba masanya akan turun Mujaddid kurun ke-21 yang bakal mengubah senario dunia? Ekonomi ciptaan Yahudi kini mengalami kejatuhan, di awal kurun kita sudah menghadapi gerhana matahari dan minggu lalu banyak emel yang diterima mengatakan pakar kajibumi Rusia mendengar cakaran dari perut bumi yang kemudiannya disifatkan ulama kemungkinan Yakjuj Makjuj sedang mencari jalan untuk keluar! Benar atau tidak, wallahu a'lam.
Namun yang pasti perkara tersebut telahpun diberitahu oleh Allah dan Rasul-Nya. Tidak perlu kita curiga kerana kita tahu di mana pengakhiran hidup kita serta kesudahan bagi alam ini...
Usah putus asa, kita masih lagi punya masa untuk berubah. Bahkan pesan Nabi s.a.w, andai kamu melihat kiamat di hadapanmu sedang di tanganmu ada benih tumbuhan, maka lakukan tugasmu untuk menanam benih tersebut tanpa perasaan putus asa.
Wallahu a'lam

Thursday, January 29, 2009

Hobi

Bercerita mengenai hobi, saya sebenarnya sangat suka memelihara ikan. Dalam keluarga kami, bukan saya seorang sahaja yang meminati hobi tersebut malah kakak-kakak dan abang saya juga mempunyai hobi yang serupa.

Mungkin disebabkan kami berketurunan nelayan. Arwah moyang dan datuk saya sebelah ibu merupakan nelayan. Ayah saya juga, di waktu awal perkahwinan dengan arwah mak pernah mengikut arwah datuk ke laut. Tapi ayah saya tak tahan daulat (hehehe, mabuk laut), jadi terpaksala tukar profesyen. Jadilah dia seorang foreman di kilang sawit Felda.

Apa yang menarik, ayah pernah bercerita sewaktu mengikut aki (panggil kepada datuk saya) ke laut, dia telah bertemu dengan apa yang diceritakan dalam al-Quran. Bagaimana laut boleh terbahagi dua (sebenarnya di muara sungai). Sebelah airnya masin, manakala sebelah lagi airnya tawar. Kata ayah memang macam ada dinding yang membahagikan. Itulah kuasa Allah yang Maha Bijaksana.

Berbalik kepada hobi saya, ramai juga yang bertanya tak susah ke bela ikan? Macam mana kalau nak tinggal berjalan? Ada sorang kawan bagitau, habis ikannya mati sewaktu dia bercuti balik kampung.

Sebenarnya bela ikan lebih senang berbanding binatang lain. Cuma kena tahu 'tricknya' saja. Jangan terlampau lebih makan. Pastikan makanan yang diberi, boleh dihabiskan one shot je. Kemudian gantikan air seminggu atau dua minggu sekali. Bergantung kepada keadaan air. Kalau nak tahan lama, gunakan karbon yang diletak dalam penapis, (ala macam arang tapi dia bungkus cantik-cantik dalam uncang). Harganya yang kecik dalam 6-8 ringgit, bergantung kedai manalah.

Kalau nak tinggal balik kampung, belilah palet ikan yang keras. Ada dijual di kedai ikan peliharaan. Kalau ikan banyak belilah 2 3 ketul.. ala man-man lah! Ikan biasanya tak mati kalau tak makan, tapi mati kalau terlebih makan! Tapi yang penting jangan sampai kita menyiksa binatang. Berdosa!



(Ini ikan mas saya. Manja...terlebih makan matilah dia)

Seperkara lagi, ikan pun macam orang jugak. Boleh kena penyakit. Ikan kap saya contohnya, daripada 15 ekor tinggal 9 ekor sahaja (sedey,sedey). Kesnya, saya tak perasan dan tak tahu ikan saya sakit! Cuma tengok di bawah sisiknya ada tanda merah, macam kepam darah. Ikan saya tak mahu makan dan akhirnya...qalu innalillah...


(Ini kolam ikan kap saya, daripada 15 ekor dah tinggal 9 ekor! Huhuhu.)

Setelah bertanya kawan dan owner kedai ikan, rupanya ikan saya kena sakit... ada kata fingersla.. tah apa-apa lagi lar.. Cara mengubatinya? Kenala beli satu ubat, warna hijau... isk! Lupa pula apa nama dia.. BOS kalau tak silap. Bubuh dalam akuarium atau kolam masa ganti air ikan, campur juga dengan garam khas anti bakteria.. (ada bakteria atau asid sebab kena hujan rupanya).

Begitulah sedikit ilmu yang boleh dikongsi bersama. Apapun pesan saya sekali lagi, jangan menyiksa binatang. Allah marah!.


(Ini anak saya Efa. Masih sempat lagi bergaya walaupun tengah merajuk)

Wednesday, January 28, 2009

Mereka sangat Istimewa

Sebagai manusia, kita sering kali berkeluh kesah apabila ditimpa ujian. Tidak menghairankan kerana begitulah sikap manusia yang lemah dan sentiasa mengharapkan ihsan Allah.

Ditakdirkan menjaga orang yang kurang upaya sememangnya satu dugaan yang cukup menguji kesabaran. Hanya dengan bersabar dan menyakini bahawa ada hikmah yang tidak nampak sahaja, yang mampu membuatkan mereka yang mengalaminya boleh bertahan.

Semalam saya sempat ke pasar raya untuk membeli sedikit barang dapur. Sewaktu di situ, saya melihat seorang anak gadis istimewa yang terbaring di atas stroller, menangis-nangis memanggil seseorang. Butir bicaranya tidak dapat difahami tetapi mungkin dia tidak selesa. Setelah memasuki pasar raya tersebut, saya berjumpa lagi dengan seorang remaja lelaki istimewa juga disorong di atas stroller.

Perkara itu sedikit sebanyak menyedarkan saya, bahawa saya masih lagi beruntung kerana walaupun terpaksa menjaga kakak ipar yang tidak berapa sihat, dia masih boleh mengurus dirinya sendiri.

Kakak ipar saya mengalami masalah skizofrenia. Pada asalnya, dia seorang yang sihat walafiat. Sewaktu usianya mencecah 21 tahun, dia telah ditimpa penyakit tersebut. Puas dibawa berubat ke sana sini oleh arwah ibu dan ayah mertua saya. Ramai yang mengatakan dia terkena buatan orang. Pernah dibawa ke hospital tetapi tiada perubahan.

Saya sebenarnya amat mengkagumi arwah ibu mertua yang begitu sabar menjaga kakak ipar saya. Ke mana sahaja dia pergi, mesti kakak dibawa bersama. Tiada rasa malu atau segan. Doanya tidak putus supaya kakak sihat seperti sedia kala. Kakak merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarga. Sungguhpun dia sakit (bercakap sendirian, tidak mahu bercampur dengan orang lain, susah untuk disuruh mandi dan menukar pakaian), namun dia seorang yang sangat penyayang terhadap kanak-kanak. Menurut cerita arwah mak, kakak pernah menolong ibu saudaranya menjaga sepupu-sepupunya. Kakak tidak ganas atau mencederakan orang lain. Sewaktu sihat, kakak juga pernah menjadi guru Quran. Bacaan al-Qurannya memang sangat baik.

Sewaktu arwah mak ada, agak sukar juga untuk memujuknya membawa kakak berubat secara moden. Saya tidak salahkan mak kerana banyak cerita negatif yang didengarnya tentang perubatan moden. Tambahan pula, kakak pernah dibawa berubat di hospital, tetapi tidak ada sebarang perubahan. Puas juga saya memberikan penjelasan, sehingga satu tahap saya terpaksa membuat artikel khusus mengenai penyakit skizofrenia, semata-mata untuk mendapatkan informasi daripada doktor pakar mengenai penyakit tersebut.

Setelah berbincang, akhirnya persetujuan diperolehi daripada mak untuk mengubati kakak dengan rawatan moden. Malangnya dalam tempoh tersebut, mak jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia dalam usia 74 tahun.

Kebajikan kakak terserah sepenuhnya kepada suami saya dan abangnya. Setelah berbincang baik buruknya, suami saya telah membawa kakak berjumpa dengan pakar psikiatri. Menurut doktor, kakak mempunyai IQ yang rendah. Disebabkan tekanan atau faktor persekitaran, ia mudah mendapat penyakit mental.

Setelah dibekalkan ubat-ubatan, alhamdulillah, keadaan kakak berubah. Dia lebih sedar keadaan sekeliling, sudah boleh bersolat, tidak lagi malas mandi dan sudah boleh diajak berkomunikasi. Cuma tahap pemikirannya seumpama kanak-kanak. Masih boleh melompat kalau disuruh melompat oleh anak-anak saudara.

Ujian menjaganya? Kadang kala memang teruji rasanya. Seumpama kita melayan anak-anak. Ada kalanya kita marah dengan kerenah mereka. Tapi yang pasti, anak-anak saya sayang dengan maklang mereka. Maklanglah yang meneman mereka ke dapur atau ke bilik air kalau berasa takut, maklanglah cebukkan adik, maklanglah kawan untuk diajak bermain badminton atau ke taman permainan, maklanglah yang menjemur dan mengutip pakaian di ampaian. Bukan saya yang menyuruhnya, tapi atas kerelaannya sendiri. Dan yang pasti, dia gembira untuk turut membantu.

Justeru, bukankah beruntung saya? Nasib saya lebih baik berbanding ibu bapa anak gadis dan remaja lelaki yang saya temui di pasar raya. Jauh lebih baik sebenarnya, hanya perlu bersabar. Ya... bersabar!

Teringat saya pesan seorang sahabat, "kamu menjaga ahli syurga, jadi kamu perlu sabar." Begitu juga pesan seorang kakak kenalan saya yang turut mempunyai anak istimewa, "sebenarnya Nik, Allah nak bagi kita pahala." Malah lebih mengesankan lagi, pesan seorang abang yang dikurniakan dua anak istimewa..."mereka ini namanya pun istimewa, itulah keistimewaan yang Allah beri pada kita."

Mampukah saya menjadi seistimewa mereka? Wallahu a'lam. Semoga saya terus diberi kesabaran dan sentiasa mempunyai sifat ihsan.

Thursday, January 22, 2009

Yang Halal itu jelas, Yang haram juga jelas...

Alam kampus telah lebih 15 tahun saya tinggalkan. Sepanjang tempoh itu, saya masih dapat menghubungi beberapa orang kawan. Salah seorang daripadanya sahabat baik saya Elly Zarina, begitu juga dengan Aishah, Fizzy dan Nurfadhli. Mereka di antara yang rapat dengan saya.
Setahun dua kebelakangan ini pula, saya terjumpa lagi beberapa orang kawan sekelas dan sekursus. Daripada mereka dapat 'dikorek' berita kawan-kawan yang lain.
Saya masih ingat, kelas saya amat unik. Kami terdiri daripada 21 orang. Dan yang lebih menariknya, kesemuanya pelajar perempuan.
Teringat saya reaksi terkejut setiap lecturer yang masuk ke kelas kami... Wah semuanya perempuan ye! Maka kami dengan selamba menjawab...ada, encik sorang lelaki. Pastinya meletuslah ketawa kami sekelas.
Senario ramainya pelajar wanita di kampus, sememangnya dapat dilihat sejak dahulu lagi. Batch pengajian saya umpamanya, daripada 78 orang hanya 12 orang sahaja pelajar lelaki (kalau tak silap saya). Entah di mana agaknya golongan lelaki waktu itu? (Ada, tapi kalau disebut di mana mereka, nanti ada yang kecil hati dan marah dengan saya hehehe).
Sebenarnya bukan itu yang saya ingin sentuh...! Setelah sekian lama graduate, baru-baru ini saya telah menerima 'pelawaan' daripada seorang kawan untuk memasuki laman web bekas pelajar.
Agak teruja pertama kali memasukinya. Manakan tidak, saya dapat melihat anggota 'perkampungan' tersebut terdiri daripada super duper senior yang pernah dikenali dan langsung tidak pernah dikenali. Malah ada beberapa 'public figure' yang menghiasi kaca tv hari ini, merupakan bekas pelajar. Meriah sungguh 'perkampungan' tersebut.
Aktiviti yang dijalankan juga pelbagai. Ruangan untuk mencurahkan pendapat serta berkongsi idea juga sangat menarik. Pendek kata sungguh mengujakan. Ruangan 'sembang kedai kopinya' juga membuatkan kita tak kering gusi.
Melalui laman web tersebut, saya dapat bertemu kembali dengan beberapa rakan yang terpisah dan juga dapat berkenalan dengan bekas-bekas pelajar serta dapat bertukar-tukar fikiran.
Namun dalam banyak kebaikan yang berpeluang dikongsi itu, ada juga beberapa aktiviti dan perkara yang bagi saya sangat tidak menyenangkan. Bahasa yang digunakan oleh sesetengah senior amat kasar, bahkan hingga ke tahap mencarut. Malah ada juga budaya mengajak ahli melepak di kedai mamak @ coffee house, berkaraoke dan sebagainya.
Bagi saya kalau di waktu bergelar pelajar, mungkin budaya tersebut boleh diterima. Tetapi setelah kita bergelar ibu dan bapa rasanya tidak lagi sesuai. Apatah lagi jika yang keluar itu suami orang atau isteri orang.
Saya sesekali terfikir, alangkah sportingnya suami mereka kerana membiarkan isteri bersama-sama kawan-kawan sehingga jauh malam. Namun bila difikirkan lagi... apakah mereka ini mengalami masalah rumah tangga sehingga terpaksa keluar mencari 'hiburan' secara begini?
Apa yang saya lihat dan perhatikan, ia sebenarnya menyuburkan budaya tidak sihat. Bimbang saya memikirkan kesannya. Bukan kita mendoakan yang tidak baik berlaku, tapi hakikatnya sudah banyak perkara yang tidak baik berlaku. Apatah lagi yang melibatkan hubungan suami dengan isteri orang.
Saya sekadar meluahkan kebimbangan, tidak kisahlah kalau ada yang menganggap saya ini berfikiran kebelakang, tidak moderate atau sebagainya. Sebab bagi diri saya, walau bagaimana moderate sekali pun kita, kita tetap tidak dapat lari daripada hukum Tuhan. Selagi kita ini hamba-Nya, memakan rezeki-Nya, menumpang hidup di bumi-Nya, menghirup udara milik-Nya, suka atau tidak, mahu atau tidak, kita mesti patuh hanya pada DIA.
Dan atas dasar itu, maka saya menarik diri daripada menjadi ahli bekas pelajar. Saya tidak kuat untuk mengubah situasi yang ada. Prinsip saya mudah... if you can't either beat them or join them, leave them. Al halalu baiyinun, wal haramu baiyinun...
Saya tinggalkan tugas kepada mereka yang berkemampuan!

Sihat selepas sakit

Alhamdulillah...
Akhirnya dapat juga saya kembali menulis untuk blog saya. Sebaik sahaja menyiapkan majalah, saya telah diserang demam panas. Tiga hari saya terlantar - sakit segala sendi, sakit kepala, lemah badan. Pendek kata saya benar-benar dalam keuzuran.
Saya tidak pula ke klinik, sebaliknya hanya makan ubat homeopati. Walaupun agak lambat kesannya, namun alhamdulillah, dengan izin-Nya kesihatan saya bertambah baik. Biarpun masih agak lemah, namun dapat juga saya kembali bertugas.
Sepanjang ditimpa sakit, saya sering terkenang benarlah betapa besar dan bermaknanya nikmat kesihatan. Baru sedikit sahaja kesakitan yang dirasai, sudah membuatkan banyak perkara tergendala. Rumah tak dapat dikemas, kain baju tak dapat dilipat. Makan juga tidak dapat disediakan. Pendek kata, banyak perkara terabai.
Anak-anak juga kurang ceria kerana umi mereka tidak sihat. Anak kedua saya yang mulutnya agak 'laser' juga turut memberi komen. Tak bestla umi sakit. Takdela umi nak marah-marah adik. Cepatlah umi sihat, nanti mesti umi suruh adik sembahyang... baca buku.. Rupa-rupanya dia rindukan leteran saya!
Si kecik Efa yang berusia empat tahun pula, cukup seronok saya demam kerana saya ada di rumah bersamanya. Saya bercuti bermakna dia juga dapat bercuti daripada ditinggalkan di rumah Opah pengasuhnya... Kalau tidak, setiap hari dia menunggu tibanya hari Sabtu (dia tahu kalau Sabtu adik cuti katanya). Begitulah rahmatnya kesakitan kepada anak sekecil Efa.
Apa pun saya bersyukur kerana setelah kesihatan saya terjejas seketika, kini saya kembali pulih. Saya masih lagi diberi peluang oleh-Nya untuk menikmati kehidupan. Kesakitan yang dialami ini masih belum menjadi penyebab terpisah nyawa dari badan. Saya bersyukur kerana masih lagi berpeluang menyediakan makanan untuk anak-anak, membantu mereka menyiapkan kerja sekolah, mengajar mereka mengaji, melihat mereka ke sekolah.
Doa saya, semoga saya dipanjangkan umur untuk melihat mereka membesar, mendapat segulung ijazah dan menjadi anak-anak yang solehah...
Semoga doa saya dimakbulkan Ilahi.

Wednesday, January 7, 2009

Tepu, tepu, tepu...

Deadline... uiks! Sepatutnya minggu ini minggu deadline.. tapi tak tahulah mengapa saya betul-betul berasa tepu. Ada lagi dua temubual yang perlu ditranskrip... temubual dengan Waheeda untuk mengisi ruangan Citra Wajah dan temubual dengan Kak Mar untuk ruangan Meniti Hidup.
Sememangnya setiap kali temubual diadakan, kita akan berasa seronok jika responden dapat mengulas panjang lebar isu atau persoalan yang diutarakan...(mengapa yer kita guna perkataan utara.. tak selatan ke, timur ke, heheh).
Tapi yang lecehnya, apabila proses transkrip. Berasap telinga mendengar semula perbualan yang dirakamkan... Bayangkan kalau 2 jam interview dibuat, bermakna kena dengar semula selama 2 jam (dah jadi 4 jam tuh). Kalau dengar tak habis rasa sayang pulak.
Lalu apa yang boleh dibuat... bak kata kawan saya, "ambik je mana yang penting." Adus!! Sebenarnya saya ketiadaan mood dan berada pada tahap tepu yang melampau.
Agaknya usia yang sudah mencecah ke angka 40 ini menuntut diri saya untuk berubah... tapi ke arah manakah perubahan itu? Harapnya biarlah menjadi lebih baik...walaupun tidaklah yang terbaik dari kalangan yang baik-baik. Namun saya tetap mengharapkan diri menjadi yang terbaik..
Apakah motif di sebalik penulisan ini? Sebenarnya saya ingin berkongsi rasa bahawa, menjadi penulis bukanlah sesuatu yang mudah. Semudah orang menghunus kata, mengkritik hasil karya orang lain. Apatah lagi jika penulisan itu rutin yang harus dikejar setiap bulan. Memang penulis seperti kami yang sentiasa mengejar deadline ini, adakalanya ketandusan idea, tepu, tidak bermaya dan segala kelemahan yang ada. Penulis, bak kata Ustaz Wan Akasyah, adalah insan yang berada di antara rating teratas senarai orang yang stress.
Namun sebagai penulis media Islam, mungkin keadaannya agak berbeza, kerana kita tahu apa misi dan visi di sebalik kerjaya yang diceburi. Sebab itulah saya tidak pernah ralat walaupun telah berkecimpung dalam bidang ini hampir 15 tahun...!
Semoga Allah terus memberikan saya kekuatan untuk berada dalam bidang ini 15 tahun lagi, sebagai medan kecil untuk saya berdakwah!

Doakan Mereka

Alhamdulillah, hari ini saya masih diberi peluang oleh-Nya untuk bernafas menghirup udara yang sudah tidak sesegar mana dek kerana pencemaran. Syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana saya masih lagi boleh menguruskan anak-anak ke sekolah.
Agak kelam kabut juga pagi ini kerana terlambat bangun....sedar-sedar jam sudah menunjukkan pukul 6.20 pagi. Macam lipas kudung dibuatnya. Anak sulung saya, Huda, muncungnya panjang sedepa. Geramlah agaknya kerana disuruh cepat bersiap. Dia memang kami gelar 'makngot'. Mandi, kalau tidak setengah jam dalam bilik air, bukan Kaklonglah namanya.
Dia memang pantang kalau 'dikejan' (hmm.. digesa). Boleh merah mata hidung (menangislah tu). Saya dan suami memang kadang kala geram juga dengan perangainya, sebab kalau dia lambat ke sekolah, nanti adiknya juga akan terlewat. Suami saya terpaksa menghantar dia dahulu sebelum adiknya kerana faktor jarak. Tambahan pula, ada anak sahabat yang turut menumpang dia ke sekolah. Sudahnya dengan mata merah kerana dileteri, dia ke sekolah.
Si adik, Iman, seperti biasa memang jenis yang cool. Relaks memanjang! Di bilik air, tak sampai 5 minit (kadangkala lupa berus gigi!!), berpakaian juga tak sampai 10 minit. Begitulah kontranya dua beradik seperut seibu sebapa.
Disebabkan kakaknya terlewat ke sekolah, saya mengambil keputusan untuk menghantarnya ke sekolah menaiki basikal... Berpeluh juga dibuatnya. Alhamdulillah, dia tiba di sekolah sebagaimana biasa. Mujurlah waktu persekolahan bermula jam 8.00, tidaklah terkocoh-kocoh sangat... Nasib baik juga kedua-dua mereka bukan bersekolah kerajaan. Kalau tidak pasti sudah didenda.
Teringat saya sewaktu di zaman persekolahan. Saya dan kakak akan keluar rumah seawal jam 6.50 pagi dan kemudian berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya lebih kurang satu kilometer. Walau berat macam manapun, beg tetap disandang. Anak-anak sekarang beg berat suruh mak ayah bawakan... dan kita kerana rasa kasihan tolong juga bawakan. Duit saku cuma 20 sen.. tapi anak-anak hari ini, paling kurang RM2.00 seorang. Kalau si kakak pula saya beri RM7.00 (duit makan dan tambang bas untuk balik di sebelah petang).
Begitulah berubahnya zaman. Namun syukur kerana anak-anak kita hari ini masih lagi mampu menikmati alam kanak-kanak dan alam persekolahan. Biarpun cabarannya tidak sama dengan zaman kita menjadi pelajar. Sedangkan anak-anak di bumi Palestine, Afghanistan, Iraq dan bumi yang bergolak, tidak berkeupayaan untuk menikmati keindahan tersebut...
Sayu dan pilunya hati saya mengenangkan mereka... kerana bak kata Yvonne Ridley (wartawan yang akhirnya memeluk Islam setelah ditawan tentera Taliban di Afghanistan) "mereka membunuh, menyiksa dan menyerang anak-anak saya, adik-adik saya, abang-abang saya, kakak-kakak saya, ibu-ibu dan bapa-bapa saya..."
Bilakah kekejaman terhadap saudara kita di bumi Palestine akan berakhir? Berdoalah untuk saudara kita di sana...!

Tuesday, January 6, 2009

Beruntungkah Kita?

Hari ini sudah genap sepuluh hari Israel membedil Palestine... Setiap kali menonton channel Al-Jazeera, air mata saya pasti menitis melihat kesengsaraan anak-anak, wanita, warga emas dan juga semua saudara saya di bumi berdarah tersebut.

Kesedihan begitu merobek tangkai hati... anak kecil terbujur kaku atau ada yang terbaring diselirati wayar dan tiub dalam keadaan kemudahan yang dhaif. Hospital dibom... bangunan runtuh, mayat bergelimpangan... hati seorang ibu sudah pasti tidak dapat lari daripada memikirkan bagaimana jika itu yang terpaksa dilalui oleh anak-anak saya.

Beruntung kita berada di bumi yang aman damai.. namun setiap kali menyebut beruntung.. saya jadi tertanya sendiri, apakah kita sebenarnya beruntung?? Beruntungkah kita kerana paling kurang dapat makan 3 kali sehari? Beruntungkah kita kerana dapat keluar bekerja, membeli belah? Beruntungkah kita jika pagi kita keluar bekerja, petang kembali ke rumah berehat bersama keluarga?

Apakah beruntung kita kerana setiap kali di dada akhbar tertera kisah anak muda kita mempertaruh nyawa di jalan raya seolah-olah tiada harga, berlumba sesama sendiri? Beruntungkah kita kerana dalam keamanan yang dinikmati, anak gadis Melayu-Islam kini ramai bersedudukan sehingga melahirkan anak luar nikah? Atau beruntungkah kita kerana hari ini ramai di kalangan kita yang Islam warisan ini tanpa rasa bersalah mengisytiharkan diri murtad?

Disebabkan kita tidak pernah diuji maka kita semakin lalai, bersikap individualistik - ah... itu di sana, di sini aman - dan lebih menyedihkan kita bersikap menidakapakan hukum Tuhan... Ah! tak apa... lambat lagi nak mati. Ah! Tak apa...muda lagi bila masa nak enjoy, nanti tua barulah bertaubat...!

Begitulah kita, sentiasa panjang dengan angan-angan. Justeru tidak hairanlah jika di saat saudara kita di bumi Palestine 'dikendurikan' oleh Yahudi laknatullah, kita masih bergembira menyambut pesta tahun baru dan meriah menyambut kenduri Mawi. Di saat para remaja Palestine sibuk mengangkat senjata memerangi musuh agama dan negara, remaja kita sibuk dengan My Starz LG, Raja Lawak dan di saat anak kecil Palestine membaling batu dengan keyakinan kalau diizinkan Allah batu itu boleh membunuh musuh Allah itu, anak kecil kita bergembira dengan TOMTOMBAK.

Fikirkanlah... adakah kita benar-benar beruntung atau kita sebenarnya sedang dalam istidraj Allah...? Na'uzubillah!

Friday, January 2, 2009

Tahun Baru Petanda Baru

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya ada blog sendiri! Walaupun masih terkial-kial untuk menghiasnya. Terima kasih untuk adinda Dayah yang menolong menjadikan ruang ini satu kenyataan.
Kita kini berada pada tahun baru hijrah 1430 dan tahun masehi 2009. Sudah tua rupa-rupanya dunia kita ini. Agaknya sebab itulah ia sudah semakin 'nyanyuk'... kalau dahulu musim tengkujuh di negeri Pantai Timur dari penghujung November hingga awal Januari dan di Pantai Barat dari pula biasanya antara April hingga Ogos. Kini tengkujuh turut dirasai di Kuala Lumpur tatkala negeri Pantai Timur dilanda banjir. Begitu juga buah-buahan, sekarang ini tidak lagi bermusim... boleh didapati sepanjang tahun...hmm.. murah sungguh rezeki kita.
Apapun yang pastinya, beralih ke tahun yang baru bermakna usia kita juga semakin bertambah. Kematangan juga seharusnya semakin bertambah. Uban di kepala juga ikut bertambah..(hmm?). Begitulah hukum alam.
Namun sedar atau tidak, bertambahnya usia bererti kita semakin menghampiri penghujung kehidupan. Setiap hari yang dilalui bererti semakin dekat panggilan Izrail akan mendatang. Apakah persediaan kita untuk kembali menghadap-Nya? Apa kata jika detik ini kita tiba-tiba terbaring meraba-raba hujung kain kafan? Ngerikah kita memikirkannya?
Sememangnya apabila disebut kematian, terdetik rasa gerun, insaf dan sedih. Namun sebagai manusia, kita seringkali lalai daripada mengingati kematian. Biarpun kita diberitahu bahawa orang yang bijak itu ialah orang yang mengingati mati. Sedangkan, kalau boleh kita ingin dipanjangkan umur untuk terus menongkat langit. Itulah kita, insan lemah yang tertipu dengan kehidupan dunia. Insan yang cintakan dunia hingga takut kepada kematian.
Sedangkan dunia ini ibarat sepohon pokok tempat berteduh, melepaskan lelah seketika sebelum menyambung kembali perjalanan yang panjang... !
Apakah kita sudah mempersiap diri dan bekalan untuk perjalanan panjang yang penuh onak dan dugaan?