Setiap pagi saya pasti dapat melihat dia tekun menjalankan kerjanya. Tanpa menghiraukan orang sekeliling, tugas yang diamanahkan dilaksanakan sebaik mungkin. Kalau ada yang lalu di tepinya, dia akan berhenti seketika. Mungkin takut penyapunya terkena kaki orang yang lalu berhampiran. Ataupun sekadar untuk menghulur senyum bagi yang sudi menegurnya. Dia yang saya maksudkan seorang tukang sapu yang bekerja dengan Alam Flora.
Saya sempat berkenalan dengan dia. Namanya Muslimah. Orang seberang. Datang ke sini demi menyara hidup. Dengan pendapatan yang tak seberapa, cukup untuknya menyewa rumah kecil, makan minum dan dihantar sedikit ke kampung halaman. Memang ada kala perlu mengikat perut. Namun dia bersyukur, kerana dia tidak perlu menadah tangan memohon simpati orang lain.
Yang saya ingin singkap bukan kisah hidupnya, tapi perihal kehadirannya. Pernahkah kita semua terfikir, betapa pentingnya kehadiran seseorang seumpamanya. Atau golongan seumpamanya yang bekerja mencuci tandas awam atau mengutip sampah setiap hari dari setiap tong sampah di hadapan rumah kita?
Cuba bayangkan kalaulah tiada golongan seperti mereka ini, bagaimana agaknya kehidupan kita? Tentu tak lalu kita nak ‘menjenguk’ ke tandas awam. Atau kaki lima jalan (sekurang-kurangnya kaki lima Jalan Pahang Barat dekat pejabat saya) pasti berlumus dengan sampah atau daun-daun kayu yang gugur. Menyakitkan pandangan mata pastinya.
Benar mereka makan gaji, tapi kalau tiada orang seperti mereka, sudah pasti memberi kesan yang besar dalam kehidupan kita.
Mungkin ada yang tidak pernah terfikirpun mengenai golongan ini. Sebab kita tidak pernah merasa kewujudan mereka. Ibarat melukut di tepi gantang, ada tak menambah, tiada tak berkurang.
Mendekati kak Muslimah, saya sempat juga bertanya, tidak kisahkah dia dengan pandangan orang ramai terhadap kerjanya. Jawapannya, dia tidak kisah kerana baginya dia mencari rezeki yang halal. Dia bangga kerana tugasnya memastikan kebersihan kawasan yang diamanahkan kepadanya. Memang ada yang memandang serong, tapi ramai juga yang rajin menegur. Malah ada yang bermurah hati memberikan sebungkus air dan makanan.
Dari ceritanya, dapat saya rasakan kegembiraannya apabila ada yang sudi berhenti menegur atau bertanya khabar. Mudah kata, gembira kehadirannya disedari. Bukan meminta untuk dipuji atau diberi sedekah, cukup kalau ada yang menegur sebagai tanda ‘acknowledge’.
Teringat lebih 15 tahun yang lalu, sewaktu saya masih bergelar pelajar dan sedang menjalani praktikal. Setiap pagi saya akan lalu di tepi tong sampah besar di Jalan Hose. Dan setiap pagi saya akan terserempak dengan seorang pakcik yang dalam lingkungan usia 50-an, sedang menyapu sampah di kawasan tersebut. Pada mulanya teragak-agak juga untuk menegurnya. Sekadar lalu dan melemparkan senyuman sahaja. Namun satu hari, saya memberanikan diri menghulur salam dan bertanya khabar. Tersentuh hati saya melihat keceriaan yang terpancar di wajahnya. Gembira benar dia kerana ada orang sudi menegurnya. Langsung setiap pagi apabila ternampak saya, dia akan menghulurkan salam dan tersenyum manis.
Memang benar, dalam kita mendidik anak-anak, kita sering mengingatkan mereka agar rajin belajar dan mendapat keputusan yang baik. Kita ingin mereka menjawat jawatan yang baik atau menjadi golongan profesional, teknokrat, korporat. Namun bukan semua bernasib baik. Ada yang suatu hari nanti terpaksa menjadi ‘kuli’. Justeru, jangan lupa mengajar anak-anak kita menghormati golongan sebegini. Sebab di sebalik ‘lekehnya’ pekerjaan mereka, sumbangan mereka sangat besar.
Ramai yang bersungut, anak-anak remaja sekarang kurang adab. Tapi adakah salah mereka seratus peratus? Tidakkah orang dewasa yang mendidik mereka juga bersalah? Sejauh mana kita yang dewasa ini beradab, terutama dengan golongan yang dianggap ‘kuli’ ini?
Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Rugilah kita kalau tidak mengambil iktibar daripada setiap kejadian.
Teringat pesanan yang pernah diberikan oleh pengetua asrama semasa saya bersekolah menengah dahulu. Katanya, adik-adik kena berterima kasih dengan makcik-makcik tukang sapu yang memastikan persekitaran adik-adik bersih. Kena berterima kasih dengan pakcik-pakcik pemandu bas yang setiap hari menghantar/ambil adik-adik ke/dari sekolah. Adik-adik kena berterima kasih kepada kakak-kakak kantin yang memasak makanan untuk adik-adik tiga kali sehari. Kalau adik berjaya nanti, mereka juga penyumbang kepada kejayaan adik-adik!
Benar, berkat bantuan mereka, hari ini saya berada di mana saya berada sekarang. Dan tidak lupa juga, daripada seorang makcik tukang sapu saya sempat menimba ilmu menjahit sulam tulang belut, walaupun tak pernah lagi mencubanya kini!
Istighasah, boleh ke tak?
1 day ago
9 comments:
Salam kak Nik,
amalan menghargai org mmg perlu kita praktis jika ingin dihargai..
menghargai orang lain bukannya sesuatu yg rumitkan. tp tulah tak semua sedar. kadang2 ada juga yg suka pilih bulu.
betul kak...kadang2 orang alam flora angkut sampah jam 5 pagi camtu...time tu kita baru rileks2 bangkit dari katil tapi mereka dah bergelumang dengan kekotoran untuk memastikan keselesaan kita.
betul tu kak nik
kadang2 saya marah bila orang suka buat kotor dkt tandas atau buang sampah merata2
bila ditegur diorang akan kata dekat saya,"Habis tu apa guna ada cleaner?"
susah betul mentaliti diorang nih
salam,
Hamizah n ida..
btol, kita kena belajar menghargai org, baru diri kita dihargai.. dan mcm ida kata.. tak susahpun. Nak dgn tak je..
Nuar,
btol dorang subuh2 sapi'i dah bangun. Jalankan tgjwb mencari sesuap nasi.
hans,
akakpun sama geram jgk kalau ada yang jawab gitu. Lagi satu bila bayar 2,3 puluh sen..siap lagi kata aku bayar! tp adakah dengan nilai sebanyak tu kita boleh biadap atau sombong dengan orng lain? cukup tak berkenan!.
setuju ngan kak nik!! klu tiada org2 spt kak Muslimah. kita akan hidup dlm sampah dan kekotoran. Sbb tu kita mesti appreiate mereka ni dgn senyuman dn terima kasih!!!
salam kaknik..
betul tu kak. kena ajar anak supaya hormati org walau apa jua kerja yg org tu buat.
salam yong..
iye.. sbb Allah tak takdirkan satu2 perkara tu sia2
Post a Comment