Baru-baru ini saya telah berkesempatan membaca sebuah blog peribadi seorang sahabat. Sahabat yang baru mendirikan rumah tangga. Luahan perihal kehidupan alam baru yang dijejakinya. Alam perkahwinan.
Sememangnya, apabila disebut ijab dan kabul, maka ia bukan sahaja melibatkan pasangan suami isteri. Perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua insan tapi ia turut menyatukan dua keluarga yang mempunyai nilai yang berbeza. Kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan tetapi juga dengan keluarganya. Maka sudah pasti ia memerlukan persefahaman, penyesuaian dan perkongsian serta sifat tolak ansur.
Apatah lagi jika pasangan tersebut hanya kita kenali setelah berkahwin, maka tempoh masa penyesuaian yang diperlukan lebih lama. Sebaik melangkah ke alam perkahwinan, barulah dapat saling bertaaruf dan menyemai perasaan cinta.
Itu baru sahaja dengan pasangan kita, belum lagi dengan mertua dan ipar duai. Sememangnya ia suatu fasa yang menguji perasaan jika tidak kena caranya. Apatah lagi dalam tempoh tersebut, terpaksa pula tinggal dengan keluarga mertua. Tentulah lebih mencabar. Bak serangkap pantun yang biasa kita dengar;
Sakit sungguh kena jelatang,
Sakit tak boleh kubawa mandi,
Sakit sungguh hidup menumpang,
Sakit tak boleh kehendak sendiri
Meneliti luahan perasaan tersebut, saya berasa amat simpati. Maklumlah sahabat saya tidak bekerja (beliau terpaksa berhenti kerana mengikut suami berhijrah) dan suaminya pula sedang mencari kerja baru sambil menyambung pengajian. Justeru, terpaksa bergantung dengan mertua di samping menggunakan baki simpanan yang ada.
Jika diikutkan, beliau dan suami mahu hidup sendiri, namun keluarga suaminya bertegas untuk menghulur bantuan. Malah menurut sahabat ini, ibu dan bapa mertua sangat baik terhadapnya.
Namun adatlah, bak peribahasa, jauh berbau bunga, dekat berbau tahi. Adakala perkara kecil seperti penggunaan alat elektrik menjadi isu apabila bil dikatakan melambung sejak mereka tinggal bersama. Begitu juga barang kegunaan harian yang diguna, ditanya sudah diganti balik atau belum.
Jika tidak kuat semangat, memang tertekan dibuatnya. Namun saya sangat kagum dengan kesabaran sahabat saya ini, walaupun seringkali beliau terpaksa berendam air mata. Katanya dia yakin setiap apa yang Allah uji ini ada kebaikan yang tak dapat dilihat sekarang.
“Saya yakin kak saya ada Allah. Insya-Allah segalanya akan baik. Dan saya tidak mahu sangat ambil peduli perkara yang menyentuh hati saya. Saya cuba memandang segala kebaikan yang diberikan pada saya. Contohnya, sewaktu saya ingin naik bas untuk balik ke kampung, saya lihat ibu mertua saya menadah tangan berdoa untuk keselamatan saya. Begitu juga ketika balik dari surau, tiba-tiba hujan turun, ibu mertua saya menyerkup kepala saya dengan telekungnya supaya saya tidak kebasahan dan demam. Saya tahu dia kasihkan saya. Kebaikannya ini yang saya pandang.”
Bagi saya yang membaca dan mendengar luahan bicaranya, isu yang saya lihat ialah masalah penyesuaian. Penyesuaian bukan memakan masa sehari atau seminggu dua. Malah ia satu proses yang panjang. Dan setiap fasa perkahwinan kita akan sering diuji.
Kalau ibu mertua tidak kasihkan kita, itu bukan perkara yang pelik dan harus kita berkecil hati atau berasa marah. Kerana dia tidak pernah mengandungkan kita dan berkorban untuk kita. Begitu juga kalau dalam hati kita tidak dapat menyanyangi mertua sebagaimana kita mengasihi ibu sendiri, juga tidak pelik. Kerana ibu mertua datang kemudian dan tidak pernah bersusah payah untuk kita sebelum ini. Namun ia tidak sesekali membuka ruang kepada kita untuk tidak menghormati dan menjunjung martabatnya kerana dia ibu pasangan kita. Ibu yang melahirkan, mendidik dan membesarkan pasangan kita sehingga akhirnya bertemu jodoh dengan kita!
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
1 week ago
8 comments:
Ya, pabila dah kawin ibu & bapa mertua (ibu bapa suami) lebih perlu diutamakan berbanding ibu bapa kita sendiri sebab bila kita dah kawin syurga kita di bawah tapak kaki suami & syurga suami di bawah tapak kaki ibunya.
Faham,sabar, cekal,tabah...macam2 yang perlu dididik dalam diri. Semoga beroleh keluarga bahagia dunia & akhirat.Amin..
Salam Kak,
Terfikir jugak..
"Cmanalah kalau dah kahwin nanti coz dik memang seorang yg susah nak sesuaikan diri.."
Salam ceria di hari selasa yg cerah dan terik ini :)
saya bersyukur kerana perkahwinan dn alam rumahtangga saya tidak pernah ada masalah baik dr pihak mertua atau ipar duai!!!
salam Ana.
Tolak ansur, faham, redha dan rela berkorban...tugas kita kan?
dear LoL,
kalau sayang kenalah berkorbankan? bila Tuhan dah tentukan jodoh kita, dia tahu apa yang terbaik untuk kita.
salam ain..
Alhamdulillah, itu rezeki yang Allah beri untuk kita kan?
kadang2 betul juga kata pepatah nih..
sebaik mana pun hubungan menantu dan mertua,jangan sesekali duduk dibawah satu bumbung
salam
betol hans.. klu berkeupayaan biarlah kita duduk sendiri membina keluarga kita, merasa susah payah nak hidup!
Susah2 pun asal hati senang..kan?
memang penyabar betul orangnya kawan kak nik ni yea. takpelah kita doakan yg baik2 ajelah utk dia. moga dia terus tabah mengharungi liku dan onak duri kehidupan....
Post a Comment