Tiba-tiba pagi tadi, suami saya membawa perkhabaran perihal isteri sahabatnya menyerang seorang ustazah! Nak kata tak terperanjat, macam terperanjat juga, nak kata terperanjat rasa macam dah expect benda ni akan jadi.
Sudah lama saya mendengar ura-ura sahabat suami saya (kita namakan dia A), ingin menikah lagi. A seorang peniaga, saya rasa pendapatannya agak oklah (kalau tak masakan nak buka cawangan baru…kan??). Isteri A, kak J ni lebih berumur daripada A.
Kata suami, kak J merupakan janda anak dua sewaktu A menikahinya. Setelah berkahwin dengan A, mereka dikurniakan 6 lagi cahayamata dan sudah remaja kesemuanya.
A seorang yang baik. Kak J juga begitu. Tapi satu perkara yang saya agak kureng, A sangat suka melawak untuk 'menambah cawangan'. Kalau tiap kali saya dan suami ke tempat dia berniaga untuk membeli barang keperluan, mesti dia akan mengusik saya supaya menjaga suami kerana katanya suami saya berhajat nak buka cawangan baru! Dan suami pula menyakatnya untuk buka cawangan baru.
Saya tahu, lelaki memang suka sangat bergurau perkara poligami. Malah kata suami, lelaki kalau tak ada angan-angan pasang dua tu, kira macam tak normal lah! Nak buat dengan tak buat sahaja yang membezakannya.
Cuma pada saya, perkara sebegitu tak usahlah selalu dibuat mainan. Bimbang kalau sekalipun tak berhajat, dek kerana selalu disebut-sebut di mulut, kelak jadi doa pula. Terbuka pintu langit, tak ke haru jadinya. Kalau benar-benar mampu tak mengapalah, tapi kalau sudah isteri pergi menyerang orang, bukankah itu menjatuhkan maruah suami!
Saya bukanlah anti poligami, tapi tidak juga menyokong. Saya tahu suka atau tidak, Islam membolehkan perkara tersebut. Ada sebab Allah membenarkannya. Justeru, sebagai hamba-Nya, tiada hak untuk kita mempersoalkannya. Namun perlu juga diingat, perkara tersebut hukumnya pada dasarnya adalah harus. Justeru, ia harus dibuat tapi kalau tidak dilaksanakan pun tak ada salahnya.
Teringat kata-kata Dr. Mashitah Mahmud dalam rancangan Halaqah di tv 9. Wanita yang berkahwin ini umpama tawanan perang. Dia hilang kebebasan dan perlu berkhidmat dalam rumah tangga. Gerak-gerinya perlu mendapat izin suami. Silap langkah, dirinya terjerumus kepada nusyuz.
Justeru apalah salahnya jika suami ‘bersimpati’ sedikit dengan nasib seorang isteri. Apa salahnya ‘memandang’ sedikit jasa wanita yang bergelar isteri itu, yang telah berkhidmat sekian lama; bersusah-senang bersama, melahirkan zuriat untuknya, menyediakan makan pakai dan mendidik anak-anaknya.
Kalau dulu, tiada siapapun yang memaksa dia menikahi isteri tersebut. Terlebih terkurang, sendiri yang memilih. Maka usah dipandang kekurangan yang terlihat, kerana itu pilihan sendiri. Apabila isteri sudah tidak lagi ‘bergetah’ atau terasa sudah jemu, apakah semudah itu juga pilihan lain dibuat. Sedangkan isteri, walau suami terkedang sakit dan dia terpaksa membanting tulang membantu ekonomi keluarga, tetap juga bertahan!
Memang lelaki berhak untuk berkahwin dua, tiga atau empat. Tapi tak salah jugakan merendahkan sedikit ego dan bersifat rahmah atau belas kasihan terhadap isteri! Fikir-fikirkanlah…
Istighasah, boleh ke tak?
1 day ago