Lebih kurang tiga minggu dari sekarang, kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadan. Ramadan bererti kita akan menjalani ibadah puasa. Baru-baru ini saya berkesempatan menemubual Dr. Johari Mat, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra atau KIAS.
Pada entry kali ini saya ingin berkongsi ilmu bersama sahabat semua. Semoga dengannya nanti diharapkan Ramadan kita pada kali ini lebih bererti dan lebih baik daripada sebelumnya, insya-Allah.
Semua kita sedia maklum, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkannya bermula daripada terbit fajar saddiq hinggalah terbenamnya matahari.
Tapi rupa-rupanya bagi saya yang tak tahu ini, Ramadan itu sendiri ada maknanya. Ramadh bermaksud terbakar. Justeru dengan kata lain, Ramadan bermaksud bulan di mana Allah membakar dosa hamba-Nya yang mukmin. Hmm...mendengar sahaja maksud tersebut, terasa betapa Maha Pengasihnya Allah terhadap hamba-Nya, kan...?
Selalunya apabila tibanya Ramadan, kita akan mempersiapkan diri untuk berpuasa. Lazimnya, di bulan Rejab dan Syaaban kita berpuasa sunat atau di waktu itu baru sibuk mengganti puasa yang tertinggal! Hmm..fenomena biasalah tu.
Menurut kata Dr. Johari, ada 2 perkara penting yang perlu kita titikberatkan sewaktu untuk menyambut Ramadan, iaitu takhliyah wa tahliyah.
Takhliyah bermaksud kita membersihkan diri daripada segala dosa-dosa sebelum melaksanakan ibadah puasa, manakala tahliyah pula ialah kita membanyakkan amalan yang soleh sebelum ketibaan Ramadan. Dengan kata lain Ramadan adalah kemuncak bagi segala amalan soleh.
Sebab itu dalam satu hadis riwayat Abu Daud menyatakan, Rasulullah banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban. Malah Aisyah juga menceritakan bahawa Rasullah tidak pernah berpuasa sebanyak baginda berpuasa di bulan Syaaban.
Justeru, kalau sebelum ini kita tidak tahu mengenai perkara ini, rasanya masih belum terlambat untuk kita memulakannya sekarang.
Seperti kebanyakan kita tahu, di bulan Ramadan segala amalan soleh yang dilakukan akan dilipatgandakan. Namun antara perkara penting yang perlu dititikberatkan ialah solat fardhu secara berjemaah, membanyakkan sedekah, membaca, mentadabbur (memahami) al-Quran serta mengamalkan dan menyebarkannya.
Solat fardhu jika dapat dilakukan secara berjemaah selama 30 hari di bulan Ramadan dan ditambah sebanyak 10 hari lagi menjadikannya 40 hari (khasnya bagi orang lelaki) maka Allah menjanjikan perlepasan dua perkara iaitu perlepasan daripada azab neraka dan terlepas dari sifat nifaq (sifat munafik).
Mengenai membanyakkan membaca Quran, sebenarnya kedatangan Ramadan membawa signifikan yang cukup besar iaitu Allah telah menginstitusikan Ramadan sebagai bulan membaca. Ini kerana di bulan inilah turunnya al-Quran yang sememangnya untuk dibaca, difahami dan diamalkan dan turunnya ayat pertama dengan lafaz 'bacalah..' Mungkin perkara ini tidak begitu kita sedari selama ini.
Selain itu sedar atau tidak, Ramadan yang kita sambut setiap tahun, merupakan kem latihan bagi kita untuk melatih nafsu ke arah kebaikan supaya ia kekal baik di bulan-bulan yang lain. Amatlah tidak wajar, jika kita masuk pusat latihan tentera tetapi kita keluar sebagai seorang biasa! Begitulah analogi di bulan Ramadan, nafsu kita 'disekolahkan' namun ia tetap tidak 'menjadi' untuk memimpin kita di bulan-bulan lain. Jika mengumpat itu haram di bulan Ramadan maka ia tetap haram di bulan lain. Tetapi, malangnya setelah berakhir Ramadan semua itu turut hancur. Malah 'kehancuran' itu bermula sebaik sahaja kita menyambut hari raya. Malangnya kerana kita tidak merasakan hari raya itu juga ibadah sebagaimana kita merasakan puasa itu ibadah.
Semoga dengan sedikit perkongsian ilmu ini, akan menjadikan puasa kita lebih bermakna daripada ibadah puasa kita sebelum ini, insya-Allah..
2 comments:
salam kak nik,
selamat menyambut ramadhan al-mubarak. tak sabar nak berterawih..
salam nik...
sama2lah kita melaksanakan apa yang terbaik dan termampu oleh kita semoga sentiasa diberikan kesihatan yang baik bagi mengerjakan suruhanNya...insyaAllah. Amin.
selamat menyambut ramadhan al-mubarak...semoga lebih baik dari tahun yang sebelumnya.
Post a Comment