RSS

Tuesday, April 20, 2010

Setiap 30 minit…!

Cuba bayangkan.. apakah yang boleh berlaku dalam 30 minit? Atau apa yang anda boleh kerjakan dalam 30 minit atau berselang 30 minit? 30 minit, bagi sebuah penantian terasa sangat lama. Tetapi bagi yang sibuk mengerjakan sesuatu, 30 minit terasa sangat cepat berlalu.

Tapi kalau ada fakta menyebut bahawa setiap 30 minit lahir seorang anak luar nikah, sudah tentu ia memberi kejutan yang tidak terhingga bukan? Tentu mata kita ‘jegil beliak’ sekejap. Pasti kita akan tertanya-tanya benarkah begitu? Atau pasti kita mengucap panjang!

Sedar atau tidak, itulah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Angka 17,303 yang direkodkan oleh Jabatan pendaftaran bagi kelahiran anak luar nikah tahun 2009, jika kita membuat perkiraan secara purata, ia memberikan satu hasil yang memeranjatkan. Secara mudah, berlaku 1,442 kes kelahiran anak luar nikah sebulan atau 47 kes sehari. Maka kalau ditukar pula ke kiraan jam, secara purata bagi setiap 30 minit, berlaku satu kelahiran. Mengerikan bukan?

Kalau dinilai daripada angka tersebut, tentu kita dapat bayangkan betapa tenatnya gejala sosial yang melanda generasi muda kita hari ini. Dan kalau dilihat kepada statistik yang semakin meningkat saban tahun (16,541 kes – 2008 dan 16,000 kes - 2007), tidak mustahil tahun-tahun mendatang juga bakal mencatat peningkatan jika tidak diambil langkah pro-aktif untuk membendungnya. Tidak mustahil kita akan dapati, setiap 15 minit atau 10 minit atau 5 minit, anak luar nikah akan lahir!

Islam sangat menitikberatkan penjagaan nasab. Malah kalau dalam al-Quran, ayat berkenaan zina akan bermula dengan “jangan kamu menghampiri zina” bukannya “jangan kamu berzina”. Tidak seperti larangan kes jenayah lain seperti membunuh, mencuri dan sebagainya, larangan tersebut menunjukkan bahawa begitu berat sekali. Bukan disuruh jangan berzina tetapi menghampirinya juga dilarang sama sekali!

Zina bukan terus terjadi begitu sahaja. Ia ada ‘mukadimahnya’. Sebab itulah larangan mengenainya dimulai dengan jangan dihampiri!. Penyubur utama perlakuan zina ialah pergaulan bebas. Pemangkin kepada pergaulan bebas pula ialah hiburan! Berhibur sudah pasti memerlu teman dan teman berlawanan jantina ‘lebih menyeronokkan’ bagi sesetengah orang.

Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa hiburan terlampau menjadi salah satu penyumbang bercambahnya gejala sosial. Menurut kaji selidik yang dilakukan oleh The Nielsen Company di Kuala Lumpur, yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tabloid 8 Januari tahun lalu, Malaysia berada dalam senarai 10 teratas dari 52 negara yang rakyatnya amat sukakan hiburan.

Malah, rakyat Malaysia mencatat jumlah tertinggi memiliki serta menggunakan teknologi hiburan digital serta paling ramai melayari internet untuk hiburan langsung. Itu belum lagi ditambah dengan program-program realiti tv yang semakin rancak mengajak anak muda menjadi penghibur.

Sememangnya berhibur itu tidak salah, malah ia menjadi fitrah manusia. Namun, jika sudah terlampau atau berlebihan ia akan memudaratkan. Ubat yang baik sekalipun, kalau diambil secara berlebihan sudah tentu boleh membunuh. Begitu juga dengan hiburan, apatah lagi jika tidak dilandaskan kepada syarak.

Apapun, sebagai umat Islam yang prihatin dengan permasalahan ummah, isu anak luar nikah ini sudah pasti meruntun perasaan kita. Dan sebagai orang yang peka, kita sangat-sangat mendambakan satu penyelesaian kepada permasalahan ini. Sudah pasti peranan kerajaan selaku pihak yang memerintah dan menjaga kebajikan rakyat, sangat diharapkan untuk menangani masalah ini. Bukan sekadar menunding jari ke arah ibu bapa agar menjaga anak-anak tetapi persekitaran yang menyuburkan iman juga perlu disediakan oleh pihak pemerintah kepada rakyatnya. Sesungguhnya tidak berzina seseorang itu di saat dirinya dikawal imannya!

4 comments:

luahan said...

serius topik ni.
salah siapa?
anak2, atau lelaki yg semakin tidak tahu bertanggungjawab?
atau ibubapa yg semakin sibuk mencari nafkah yg kononnya utk anak2?
hehe..sori nik, emo sikit.
apa2 pun, thanx atas n3 yg menyentuh perasaan kak sofi ini.

sofi.

Nik Fauziah said...

Kak Sofi..
tgk angka tu rasa takut sungguh. Rasanya kita kena serius cari jalan pencegahan...
Tuding menuding tak selesaikan masalah!

Marzalina said...

kak..intan rasa peranan ibu bapa paling penting dalam menangani perkara ni dengan serius..kena memantau anak2 dan jangan biarkan pergaulan bebas ni menjadi perkara yg biasa..kesian sebenarnya pada kanak2 yg tak berdosa tu apabila mereka dilahirkan sebagai anak tidak sah taraf...memang menyedihkan apabila zina menjadi perkara normal kpd orang islam sekarang. sebenarnya perkara ni baru jer berlaku disekitar tempat intan..kawen bulan 1..bersalin bulan 4..salah siapa? aduhai..kesian juga pada ibubapa yg terpaksa menanggung malu..semoga Allah memberikan taufik dan hidayah buat mereka.

NIk Fauziah Nik Hussin said...

Intan..
tak dinafikan ibu bapa sgt berperanan. tapi kita jgk perlukan suasana kondusif dlm masyarakat dan negara.. kdg kala yang terlibat bukan ibu bapa tak beri didikan tapi pergaruh dengan suasana..
Semoga kita semua sentiasa dlm peliharaan Allah.