RSS

Wednesday, April 28, 2010

Allah menyembuhkan…

Biasalah, kalau sakit kita mesti cari ubat. Cari ubat sebagai ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit. Sakit makan ubat, sakit sapu ubat. Pendek kata, bila sakit cari ubat. Sesuailah dengan hadis, “setiap penyakit ada ubatnya, kecuali tua dan mati.”

Namun kita lupa ubat sebagai asbab untuk sembuh. Ada juga penyakit yang tak payah makan ubat pun sembuh. Contohnya selesema, dibiarkan beberapa hari akhirnya sembuh juga. Tak payah pun makan ubat. Kenapa? Sebab ubat itu sebagai asbab sahaja kerana yang menyembuhkan adalah Allah SWT!

Kita mungkin terlupa hakikat tersebut sebab bila sakit kita segera mencari ubat. Seolah-olah ubat itu penyembuh. Kita sebagai manusia biasa memang tidak dapat lari daripada sifat lupa ini.

Malah saya pernah terbaca kisah Nabi Musa yang ditegur oleh Allah SWT. Kisahnya, suatu hari Nabi Musa mengalami sakit gigi, berbagai ubat telah dicuba namun tidak sembuh juga sehingga beliau berdoa agar disembuhkan sakitnya. Maka turunlah malaikat yang memberi khabar bahawa sakit giginya boleh disembuhkan dengan suatu jenis rumput tifani. Maka Nabi Musa pun melakukan perintah malaikat, sehingga sakit giginya sembuh. Pada ketika yang lain, baginda mengalami sakit gigi lagi. Disebabkan sudah sudah tahu ubatnya, maka baginda terus mendapatkannya. Namun kali ini sakit giginya bertambah parah. Maka Nabi Musa as kembali memohon pertolongan Allah SWT.

Allah SWT berfirman, “Wahai Musa! Aku adalah yang menyembuhkan dan menyihatkan. Aku adalah yang memberikan bahaya dan manfaat. Pada waktu pertama, engkau melakukannya kerana Aku, sehingga Kuhilangkan penyakitmu. Sedangkan sekarang engkau melakukannya bukan kerana Aku, melainkan rumput tifani itu.”

Justeru, jelaslah bahawa ubat hanyalah asbab yang dengan izin Allah, maka sembuhlah penyakit. Dan hal ini juga menjadi ‘teguran’ buat diri saya! Terasa ‘tebal domoi’ dengan si kecil saya, Efa. Waktu kaklongnya merungut sakit kepala (kaklong memang selalu dapat migraine), saya bisingkan kaklongnya. “Dah sakit, makanlah ubat. Kalau dibiarkan nanti melarat pula.”

Lalu sekecil itu pun menyampuk.. “a'ah.. nanti ALLAH YANG MENYEMBUHKAN, kan ummi..!”.

Masya-Allah, sungguhlah! Kadang kala dalam percakapan kita, terlupa hakikat sebenarnya, Allahlah yang menyembuhkan! Mujurlah adanya ‘pengingat kecil’ yang petah bercakap itu!

Tuesday, April 20, 2010

Setiap 30 minit…!

Cuba bayangkan.. apakah yang boleh berlaku dalam 30 minit? Atau apa yang anda boleh kerjakan dalam 30 minit atau berselang 30 minit? 30 minit, bagi sebuah penantian terasa sangat lama. Tetapi bagi yang sibuk mengerjakan sesuatu, 30 minit terasa sangat cepat berlalu.

Tapi kalau ada fakta menyebut bahawa setiap 30 minit lahir seorang anak luar nikah, sudah tentu ia memberi kejutan yang tidak terhingga bukan? Tentu mata kita ‘jegil beliak’ sekejap. Pasti kita akan tertanya-tanya benarkah begitu? Atau pasti kita mengucap panjang!

Sedar atau tidak, itulah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Angka 17,303 yang direkodkan oleh Jabatan pendaftaran bagi kelahiran anak luar nikah tahun 2009, jika kita membuat perkiraan secara purata, ia memberikan satu hasil yang memeranjatkan. Secara mudah, berlaku 1,442 kes kelahiran anak luar nikah sebulan atau 47 kes sehari. Maka kalau ditukar pula ke kiraan jam, secara purata bagi setiap 30 minit, berlaku satu kelahiran. Mengerikan bukan?

Kalau dinilai daripada angka tersebut, tentu kita dapat bayangkan betapa tenatnya gejala sosial yang melanda generasi muda kita hari ini. Dan kalau dilihat kepada statistik yang semakin meningkat saban tahun (16,541 kes – 2008 dan 16,000 kes - 2007), tidak mustahil tahun-tahun mendatang juga bakal mencatat peningkatan jika tidak diambil langkah pro-aktif untuk membendungnya. Tidak mustahil kita akan dapati, setiap 15 minit atau 10 minit atau 5 minit, anak luar nikah akan lahir!

Islam sangat menitikberatkan penjagaan nasab. Malah kalau dalam al-Quran, ayat berkenaan zina akan bermula dengan “jangan kamu menghampiri zina” bukannya “jangan kamu berzina”. Tidak seperti larangan kes jenayah lain seperti membunuh, mencuri dan sebagainya, larangan tersebut menunjukkan bahawa begitu berat sekali. Bukan disuruh jangan berzina tetapi menghampirinya juga dilarang sama sekali!

Zina bukan terus terjadi begitu sahaja. Ia ada ‘mukadimahnya’. Sebab itulah larangan mengenainya dimulai dengan jangan dihampiri!. Penyubur utama perlakuan zina ialah pergaulan bebas. Pemangkin kepada pergaulan bebas pula ialah hiburan! Berhibur sudah pasti memerlu teman dan teman berlawanan jantina ‘lebih menyeronokkan’ bagi sesetengah orang.

Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa hiburan terlampau menjadi salah satu penyumbang bercambahnya gejala sosial. Menurut kaji selidik yang dilakukan oleh The Nielsen Company di Kuala Lumpur, yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tabloid 8 Januari tahun lalu, Malaysia berada dalam senarai 10 teratas dari 52 negara yang rakyatnya amat sukakan hiburan.

Malah, rakyat Malaysia mencatat jumlah tertinggi memiliki serta menggunakan teknologi hiburan digital serta paling ramai melayari internet untuk hiburan langsung. Itu belum lagi ditambah dengan program-program realiti tv yang semakin rancak mengajak anak muda menjadi penghibur.

Sememangnya berhibur itu tidak salah, malah ia menjadi fitrah manusia. Namun, jika sudah terlampau atau berlebihan ia akan memudaratkan. Ubat yang baik sekalipun, kalau diambil secara berlebihan sudah tentu boleh membunuh. Begitu juga dengan hiburan, apatah lagi jika tidak dilandaskan kepada syarak.

Apapun, sebagai umat Islam yang prihatin dengan permasalahan ummah, isu anak luar nikah ini sudah pasti meruntun perasaan kita. Dan sebagai orang yang peka, kita sangat-sangat mendambakan satu penyelesaian kepada permasalahan ini. Sudah pasti peranan kerajaan selaku pihak yang memerintah dan menjaga kebajikan rakyat, sangat diharapkan untuk menangani masalah ini. Bukan sekadar menunding jari ke arah ibu bapa agar menjaga anak-anak tetapi persekitaran yang menyuburkan iman juga perlu disediakan oleh pihak pemerintah kepada rakyatnya. Sesungguhnya tidak berzina seseorang itu di saat dirinya dikawal imannya!

Wednesday, April 14, 2010

Sakit kepala…sakit otak?


Keletah anak-anak memang menghiburkan. Tapi tak kurang juga membuat telinga berasap. Menguji kesabaran? Memang! Meletihkan? Sangattt! Menerbitkan perasaan gembira dan kasih sayang? Tepat sekali!!!.

Anak-anak, nalurinya inginkan keseronokan, kegembiraan. Banyak bertanya kerana perasaan ingin tahu mereka cukup tinggi. Apatah lagi dalam usia peringkat awal kanak-kanak. Mereka belum boleh membaca dan akan bertanya apa yang terlintas di fikiran.

Efa, memang banyak cakapnya (macam uminya juga!!!). Letih melayan dan mendengar ocehannya. Kalau di waktu pagi sebelum ke sekolah, memang boleh angin satu badan melayan kerenahnya.

Tetapi kadang kala pertanyaan yang muncul dari mulutnya membuat kita terpaksa memerah otak memikirkan jawapannya, agar mudah dicerna sesuai dengan usianya.

Pernah suatu hari, dalam perjalanan untuk menghantar majalah kepada client yang membuat iklan di Bt. Caves, sebaik melintasi kawasan kuil Bt. Caves dia bertanya. “Umi kenapa kita tak nampak Allah?”

Aduh! Terkesima juga sebentar untuk memikirkan jawapannya. Salah jawapan, lain pula jadinya. Rosak akidah anak. Lalu saya nyatakan, Allah sangat istimewa. Kalau kita boleh nampak Allah dan Allah tu serupa dengan benda-benda atau serupa manusia, itu bukan Allah. Allah Tuhan kita, mesti Dia sangat istimewa. Kalau nak tengok dan jumpa Allah kenalah ikut segala perintah Allah. Mujurlah, dia tidak bertanya lagi tentang Allah selepas itu.

Mungkin jawapan saya tidaklah sebaik mana, lantaran kekurangan diri sendiri. Tapi susah juga kalau nak diceritakan zat Allah itu tidak sama dengan zat manusia! Entah-entah dia pun tak faham dengan zat!.

Tiba-tiba, dia bertanya soalan lain. Kenapa kita tak nampak syaitan? Hmm..syaitan pulak! Nak dijawab “memang tak nampak syaitan, tapi perangai syaitan berlambak..” bimbang dia tak faham. Akhirnya saya jawab, “nanti kalau adik nampak syaitan mesti adik takut. Perangai jahat, rupanya tak elok. Contohnya hantu, semua orang tak nak tengok hantu.”

Sebenarnya, bukan senang menjadi ibu bapa hari ini. Anak-anak semakin bijak. Justeru, ibu bapa perlu menjadi lebih bijak daripada anak-anak. Guru-guru juga perlu menjadi lebih bijak daripada anak murid. Memang sukar, tapi kita kena juga ikhtiarkan. Perlu melengkapkan diri dengan ilmu.

Namun, dalam melayani kerenah anak, saya sebenarnya terfikir bagaimanalah guru-guru di tadika melayan kerenah anak-anak yang masih hijau ini. Melayan segala pertanyaan dan melayan keletah mereka. Sudah pasti memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.
Tapi tidak terasa lucukah kalau menerima aduan sebagaimana yang diberitahu Efa kepada saya. “Umi nak tahu, tadikan Ain kan dia cakap ngan cikgu.. Cikgu, Ain sakit otak! Lepas tu cikgu suruh tidur!”. Sambil bercerita dia meletakkan tangannya di ubun-ubun.

Ha?? Tak terkejut kita mendengar konotasi ayat tersebut? Lain benar maksudnya tu…sakit kepala dan sakit otak! Memang ketawa besar saya mendengarnya. Lalu saya membayangkan guru yang mendengar aduan murid tersebut. Agaknya kalau saya menghadap budak-budak tersebut mahu saya gelak guling-guling!.

Monday, April 12, 2010

I'm 18 with 23 years experience....!!!


Alhamdulillah, 11 April muncul lagi. Syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk menghirup udara milik-Nya.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat-sahabat yang sudi menghulurkan ucapan di Facebook.

Sebenarnya orang pertama yang mengucapkan selamat hari lahir ialah Kak Yati Berahim iaitu pada 1 April (dia tertinggal satu lagi nombor 1). Ingatkan sudah terkena April fool!. Diikuti oleh sahabat yang jauh di Sarawak, Liza Bujang. Kemudian, Lily Haslina dan Che Rose, Kak Haiza, Kak Zie Kiera, kak Ina Kl, antara yang terawal memberi ucapan, dua hari sebelum tarikh sebenar! Hmmm...in advance gitu!

Daripada ucapan-ucapan yang diterima, saya begitu tertarik hati dengan ucapan yang diberikan oleh kakak saya, kak Fakhiroh a.k.a kak Packy, “you are not 41 but 18 years old with 23 years of experience..”

Wah! Memang buat diri sentiasa rasa muda…

Kali ini, saya sekali lagi mendapat kejutan, daripada kakak kesayangan saya Cik Na. Datang ke rumah di petang Ahad, bersama sebiji kek! Pada Cik Na terima kasih atas kejutan yang manis (buat anak2 buah esp. Ipah, Che Yam, Nini dll…sowi, tayang gambar jelah ek hehehe)

Kepada yang sudi menyampaikan ucap selamat, doa saya semoga kalian juga sentiasa dalam rahmat Allah selalu hendak-Nya!

Thursday, April 1, 2010

Calon menantu anak luar nikah?

Sudah agak lama tidak meng update blog. Nampaknya macam dah nak bersawang dah. Nak kata sibuk, memanglah kesibukan itu lumrah. Tapi mood nak menulis sebenarnya rasa macam tenggelam timbul.

Apa pun, sekadar berkongsi pendapat dengan sahabat sekalian. Akhir-akhir ini, isu bayi dibuang dan didera kembali mengisi dada akhbar. Laporan akhbar yang merakamkan 17300 anak-anak luar nikah sedang menanti kelulusan pendaftaran di jabatan pendaftaran negara, sudah cukup membuktikan tenatnya masyarakat kita hari ini.

Terasa-rasa, betapa fenomena akhir zaman yang diceritakan dalam hadis sebelum ini semakin jelas di ruang mata. Kelahiran ramainya anak zina! Dan daripada sebilangan besar kelahiran tersebut, adalah dari rahim ibu yang bergelar Melayu-Islam.

Mungkin bagi sesetengah kita, isu anak luar nikah ini sudah dianggap lali. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, alah bisa tegal biasa. Dah tak pelik dah, normallah zaman sekarang! Adakah sebab sudah menjadi perkara biasa atau kerana iman kita sudah galir?

Namun bagi yang masih mampu berasa sensitif, isu ini menimbulkan cuak di hati. Apa tidaknya, apakah nasib kita agaknya? Dengan bermacam fenomena maksiat yang ada, kita sebenarnya mengundang bahaya yang sangat besar. Bahaya turunnya bala dari Allah SWT. Na’uzubillahiminzalik.

Isu anak luar nikah tak seharusnya kita pandang remeh. Jangan kita beranggapan, perkara ini tidak terjadi kepada kita. Hal orang lain, lantaklah. Masalah orang, tak payah kita campur!

Sedar atau tidak, anak-anak luar nikah ini sedang membesar dalam masyarakat. Dan merekalah juga nanti bakal menjadi menantu kita! Memanglah mereka tidak bersalah dan tidak seharusnya dipersalah akibat perbuatan maksiat ibu bapa mereka. Namun, tentu kita juga ingat pesan Nabi dalam mencari calon teman hidup. Keturunan juga menjadi faktor yang perlu diambil kira. Tidak ramai yang boleh berlapang dada andai diketahui calon itu lahir dari hubungan haram! Sudah begitu sifat manusia, walau jahat umpama makhluk bertanduk, namun untuk mencari teman hidup tetap mahukan yang umpama malaikat. Itu sunnatullah! Semua orang suka yang baik!.

Lalu apakah nasib anak-anak luar nikah ini? Dan apa nasib anak-anak kita kelak?

Sebenarnya kita semua ada peranan dan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. Sekurang-kurangnya, jagalah ahli keluarga kita daripada terjemurus ke lembah kehinaan. Lebih sedikit, jagalah juga jiran tetangga kita. Pemimpin wajib menjaga rakyatnya.

Ibarat manusia mencipta mesin, ada manualnya. Kalau rosak atau bermasalah, kita akan mencari manual untuk dirujuk. Begitu juga manusia. Allah ciptakan lengkap dengan manualnya. Andai ada masalah, kembalilah kepada manual yang Allah sudah sediakan. Kalau sudah manual tidak lagi mahu dijadikan panduan, apa lagi yang boleh membetulkan kesilapan yang terjadi? Kembalilah kepada ‘manual’ yang Allah telah berikan sejak dari awal. Ya, al-Quran, manual kita!