RSS

Wednesday, December 29, 2010

Susahnya nak kawan!

Sudah lama saya tidak menonton tv. Pertamanya, disebabkan kekangan masa dan keduanya, channel tv asyik kelabu asap saja. Kebetulan malam tadi kakak saya Cikna berkunjung ke rumah. Anak keduanya si Haikal rajin menggudik dan selalunya ‘gudikannya’ menjadi. Daripada 4 channel tv yang suram-suram, akhirnya semua channel dapat dilihat (walaupun masih suram jugak). Kata Haikal, Cukyah kena buat medan electromagnet baru pada aerial tv tu!.. Belasah je lah Haikal.

Lalu malam tadi sambil-sambil berehat setelah kakak saya sekeluarga balik, saya terbuka satu channel (8tv kot, saya pun tak perasan). Terpandanglah siaran Paris Hilton mencari BFF, lalu saya luangkan masa sekejap mengadap tv. Sambil menonton fikiran saya turut berjalan. Terfikir, alangkah susahnya kalau dah kaya, sehinggakan nak mencari kawan pun kena buat rancangan realiti. Memanglah banyak motifnya. Ia juga mungkin sebagai gimik.

Banyak perkara yang menerjah minda saya sebenarnya apabila melihat rancangan tersebut. Keikhlasan, mengambil kesempatan, keegoan dan perbezaan status ‘antara dua darjat’. Malah tak mustahil juga si kaya sebenarnya kesunyian kerana kekayaan yang dimiliki tetap tidak mampu membeli kebahagian dan kawan sejati (belum lagi soal iman dan sebagainya).

Kekayaan yang selalu dikejar-kejar, menjadi satu bala juga akhirnya. Perasaan curiga akan menerpa, terutama apabila melibatkan soal keikhlasan. Belum lagi soal keselamatan dan sebagainya. Justeru sewajarnyalah, tapisan yang ketat terpaksa dibuat untuk memilih seorang yang bernama sahabat.

Sememangnya dalam Islam sendiri, kita digalakkan memilih sahabat yang baik, kerana peribadi kita akan dikenali menerusi sahabat-sahabat kita. Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kalau tidak dapat minyaknya sekalipun, kita masih tetap dapat mencium wanginya. Bersahabat dengan tukang besi, kalau tak terkena api, bahang panasnya tetap terasa. Begitulah pentingnya peranan sahabat. Tersalah pilih lingkungan sahabat, kita akan terjerumus ke lembah dosa dan neraka. Malah kalau ingin berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan, kita digalakkan berhijrah daripada lingkungan sahabat-sahabat yang buruk akhlak kepada yang baik akhlaknya.

Hmm…siapakah sahabat kita dan sahabat anak-anak kita?

Monday, December 27, 2010

Jejak yang semakin ditinggalkan.

Sudah lama rasanya saya tidak menulis sesuatu di sini. Memang susah kalau banyak sangat vitamin M ..! Apapun, sedar tak sedar, diam tak diam, kita sudah pun semakin meninggalkan tahun 2010. Dua tiga hari lagi tahun 2011 bakal menjenguk.

Sesuatu yang pasti, apabila masuk tahun baru masihi ramai orang akan bercakap mengenai azam baru. Hmm..memang satu perkara biasa dan lumrah. Tahun baru masihi menjadi penanda aras permulaan yang baru. Masih sukar untuk mengubah tradisi tersebut, biarpun kita seharusnya menjadikan tahun baru hijriah sebagai pemula. Mungkin juga disebabkan sistem pengiraan kalendar rasmi kita masih mengikut masihi, menyebabkan kita terikat dengannya. Agaknya bilakah perkara ini dapat diubah ye?

Tak mengapalah…teringat kata ustaz yang pernah saya interview, orang Islam bukan hanya berazam apabila tahun baru, tetapi azam harus diperbaharui setiap hari. Sebab itu ada hadis yang mengatakan orang mukmin yang baik, hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan mukmin yang baik.

Bercerita mengenai azam, tidak ada salahnya kita menanam azam supaya kehidupan menjadi lebih baik dan amalan kita juga menjadi bertambah baik. Dunia ini ibarat kapal yang berlabuh, sementara mencari bekalan. Dan kehidupan itu ibarat lautan luas dan dalam yang penuh dengan pelbagai cabaran; ombak, ribut dan pelbagai bahaya. Justeru kita selaku penumpang kapal harus bersiap sedia mengumpulkan segala bekalan yang perlu buat mengharungi perjalanan yang sangat jauh dan beronak untuk menuju ke destinasi yang kekal abadi.

Tidak salah berusaha untuk membina kehidupan di dunia. Malah ada hadis menyebut, andai di tanganmu ada benih yang ingin ditanam, sedangkan di hadapanmu kiamat akan muncul, teruskan menaman benih tersebut. Namun demikian dalam mencari kehidupan, jangan sekali-kali kita lupa bahawa kehidupan di dunia ini sangat singkat. Tidak salah mencari rezeki tetapi kita juga diingatkan agar tidak panjang angan-angan.

Kita perlukan dunia kerana di sinilah kelangsungan hidup kita, tetapi biarlah kehidupan dunia ini dipagari dengan agama kerana agama akan menjadi pengawal segala urusan. Barulah datangnya keberkatan dalam hidup. Hidup yang pendek ini biarlah mendapat keredhaan-Nya, kerana kita semua akan kembali ke akhirat…tempat kehidupan yang kekal abadi.

Moga kita tidak dijangkiti penyakit wahan..penyakit yang disebut oleh Nabi saw yang melanda umat akhir zaman… penyakit cintakan dunia dan takut mati! Mati itu pasti – suka, kita akan mati…tak sukapun kita tetap akan mati. Justeru, cukuplah mati itu sebagai nasihat dan mati sebagai peringatan.

Semoga tahun baru yang bakal mendatang ini akan menjadikan kita insan yang lebih berwaspada dan bersedia, kerana setiap hari kita semakin menghampiri destinasi kekal kita dan jejak kehidupan semakin kita tinggalkan..!

Friday, December 10, 2010

Dunia dikelek, akhirat dijunjung

Manusia ini sifatnya tamak… bahkan ketamakan manusia ini kata Allah, kalau diberi segunung atau selembah emas, dia tetap mahukan dua tiga gunung dan lembah lagi. Manusia juga selalu lalai..waktu susah doanya merintih tangis mohon belas kasihan Allah, tapi bila terlepas daripada kesusahan dan kesempitan, doanya ala kadar sahaja. Masanya disibukkan dengan perkara lain. Waktu susah cakapnya merendah bila dah senang cakapnya tinggi melangit..Itulah yang dinamakan manusia. Sedikit amat yang benar-benar menyedari segalanya hanya sementara.

Bagaikan si Qarun, yang miskin kemudian dikurniakan kekayaan, tapi akhirnya tertipu dengan kekayaannya lalu ditelan bumi.

Qarun adalah sepupu Nabi Musa, iaitu anak kepada adik ayah Nabi Musa. Qarun, hidup dalam kesusahan, anaknya ramai. Dia selalu berjumpa dengan Nabi Musa, meminta agar didoakan kepadanya supaya dikurniakan kesenangan. Nabi Musa selalu menasihatinya agar bersabar melalui kesusahan. Namun Qarun tetap memohon Nabi Musa mendoakannya setiap kali bertemu baginda. Malah katanya, kalau ditakdirkan dia senang, dia akan membelanjakan hartanya membantu orang lain yang susah sebab dia tahu bagaimana rasanya kesusahan.

Lalu Nabi Musapun mendoakannya, dan dengan izin Allah jadilah Qarun seorang yang kaya raya. Kekayaan Qarun ini tiada tolok bandingnya, Dia memiliki ribuan gudang harta melimpah ruah, penuh berisikan emas dan perak. Dek telampau kayanya Qarun, hinggakan kunci-kunci harta bendanya terpaksa dipikul oleh beberapa orang sebab terlalu berat untuk dibawa seorang.

Tapi sifat manusia itu, apabila sudah kaya maka timbullah perasaan sombong, bongkak dan tamak. Si Qarun ini menjadi lupa diri. Malah apabila ada yang meminta bantuan, dia enggan memberi kerana merasakan harta itu milik mutlaknya yang diusahakannya dengan tangannya sendiri. Sedangkan dia lupa bagaimana rintih tangisnya waktu menempuh kesukaran. Akhirnya disebabkan keingakaran Qarun ini, biarpun telah dinasihati oleh Nabi Musa, Allah menurunkan azab kepadanya. Dia akhirnya tertimbus bersama harta-hartanya,sebagai balasan keingkarannya.

Ramai merasakan apabila melalui kehidupan yang sukar itu, Allah menguji mereka. Tetapi ramai yang lupa kekayaan dan kemewahan itu juga satu ujian. Ujian kesukaran itu sebenarnya lebih mudah dilalui kerana menjadi sifat manusia, kalau susah, rintih tangisnya akan selalu kedengaran di tikar solat. Tapi kemewahan, selalu dirasakan sebagai nikmat yang mudah disalahgunakan. Lalu jadilah kemewahan itu istidraj.

Tentu kita maklum orang kaya itu lebih lama dihisab berbanding orang miskin di akhirat kelak, malah ada kisah yang menceritakan seorang sahabat yang miskin lebih dahulu masuk syurga 500 tahun berbanding sahabatnya kerana sahabatnya itu mempunyai sehelai pakaian yang jarang digunakan (dengan kata lain, pembaziran).

Bukan bermakna kita tidak boleh berharap dimewahkan rezeki. Malah Nabi turut berpesan agar umatnya bekerja umpama akan hidup seribu tahun dan beramal seolah-olah akan mati esoknya. Namun Nabi sendiri tidak meninggalkan kekayaan kepada anak cucunya. Justeru biarlah dunia kita kelek manakala akhirat kita junjung. Biarlah seiring dengan kemurahan rezeki yang diberikan Allah itu, sifat dermawan kita juga ibarat air yang mengalir. Malah lebih penting lagi kita dikurniai dengan sifat qanaah.

Ya Allah andainya kekayaan itu menjadikan kami melupakan Engkau, berilah rasa kecukupan dalam ketidakmampuan kami ini…dan jadikan kami hamba-Mu yang sentiasa bersyukur.

Thursday, December 9, 2010

Kisah pensel dan pemadam

Pencil: I'm sorry....
Eraser: For what? You didn't do anything wrong.
Pencil: I'm sorry cause you get hurt because of me. Whenever I made a mistake, you're always there to erase it. But as you make my mistakes vanish, you lose a part of yourself. You get smaller and smaller each time.
Eraser: That's true. But I don't really mind. You see, I was made to do this. I was made to help you whenever you do something wrong. Even though one day, I know I'll be gone and you'll replace me with a new one, I'm actually happy with my job. So please, stop worrying. I hate seeing you sad. :)

I found this conversation between the pencil and the eraser very inspirational. Parents are like the eraser whereas their children are the pencil. They're always there for their children, cleaning up their mistakes. Sometimes along the way... they get hurt, and become smaller (older, and eventually pass on). Though their children will eventually find someone new (spouse), but parents are still happy with what they do for their children, and will always hate seeing their precious ones worrying, or sad.

Indahnya kasih sayang kerana ia membuatkan seseorang sanggup berkorban apa sahaja demi insan yang dikasihi. Biarpun yang dikasihi itu mungkin tidak pernah mengambil peduli namun pengorbanan tersebut tetap memberikan kepuasan.

Kalau kita rasa ibu bapa kasihkan kita..sebenar Allah itu lebih-lebih lagi mengasihi hamba-Nya. Sebab itu dalam pada kita engkar suruhan-Nya, Dia tetap tidak pernah lupa memberikan kita rezeki. Masih memberikan kita udara untuk dihirup dan memberi kita sebuah kehidupan agar kita berpeluang membaiki setiap kesalahan yang dilakukan…

Dia menciptakan syurga agar kita berusaha meraihnya. Dia menciptakan neraka, tetapi Dia telah memberitahu kita perkara-perkara menjerumuskan kita ke situ serta cara mengelakkannya. Dan satu perkara yang memalukan Allah andainya hamba-Nya menadah tangan tetapi Dia membiarkannya kosong. Cuma kita manusia yang selalu tidak sabar dan selalu nak cepat. Sedangkan Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

Wallahu a’lam

Wednesday, December 8, 2010

Bila Dia Meminta Kembali...

Ada seorang ulama bani Israel yang kematian isteri kesayangannya. Beliau sangat sayang kepada si isteri dan merasakan kehilangan tersebut sukar dicari ganti. Malah kerana kehilangan tersebut, beliau tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai seorang ulama. Beliau diselubungi kesedihan yang teramat sehingga tidak lagi bertemu dengan orang ramai.

Ramai yang cuba menasihatinya tetapi gagal. Ulama ini tetap memencilkan dirinya. Hinggalah suatu hari seorang wanita mendengar kisah kesedihan ulama tersebut. Wanita ini berasa sangat kasihan kepada ulama tersebut dan berhasrat ingin membantunya.

Lalu wanita ini pergi bertemu dengan ulama tersebut. Pada mulanya ulama tersebut enggan untuk bertemu wanita itu, tapi setelah bersungguh-sungguh wanita tersebut memujuk dan menyatakan tujuan kedatangannya, akhirnya ulama itu pun keluar menerima tetamunya itu.

Wanita tersebut menyatakan permasalahannya kepada ulama itu. Katanya, “tuan, saya telah meminjam satu barang daripada sahabat saya lama dahulu. Barang tersebut sudah seolah-olah menjadi milik saya. Tiba-tiba sahabat saya ini meminta barangnya kembali. Apa yang perlu saya buat? Perlukah saya pulangkan kembali sedangkan saya sudah lama menyimpannya?”

Jawab ulama itu, “sudah tentu kamu perlu memulangkannya kembali kerana ia bukan milik kamu dan ikhlaskanlah hati untuk memberinya kembali.”

Maka, wanita itu kemudiannya menjawab, “ jika aku harus memulangkan semula barang yang bukan milikku seikhlasnya, maka kamu juga harus berbuat begitu. Bukankah isteri kamu itu dipinjamkan Allah seketika untuk kamu dan bila Dia mengambilnya kembali maka kamu juga harus menyerahkannya dengan seikhlas hati. Kamu tidak boleh terus bersedih dan mengasingkan diri begini.”

Teguran wanita itu telah menyedarkan ulama tersebut tentang hakikat yang isterinya itu hanyalah pinjaman sementara Allah kepadanya. Dan seharusnya dia redha dengan pemergian isterinya itu.

Begitulah dalam kehidupan ini kadang kala kita selalu merasakan apa yang kita miliki adalah hak mutlak kita. Sedangkan kita lupa apa sahaja yang kita ada, pinjaman semata-mata dari-Nya. Keluarga, harta benda, kesihatan dan kekayaan, malah persahabatan juga, adalah pinjam-pinjaman dari-Nya.

Ada kalanya kita terasa alangkah kejamnya keadaan apabila apa yang kita hajati tak kesampaian. Terpaksa berpisah dengan orang yang kita sayang; umpamanya terpaksa berjauhan dengan suami/isteri disebabkan urusan kerja atau sebagainya yang tidak dapat dielakkan, seharusnyak kita bersyukur kerana banyak bentuk komunikasi yang boleh kita gunakan di zaman canggih ini untuk bertanya khabar.

Sekurang-kurangnya kita masih boleh berbicara dengan insan yang kita kasihi, biarpun dalam keterbatasan. Bayangkanlah, jika kita dipisahkan dengan kematian, tentunya lebih memeritkan. Namun, kalau terpisah kerana kematian sekalipun, kita seharusnya bersyukur kerana kita masih punya kenangan yang akan terus kekal.

Tapi kita sebagai manusia, ada kalanya sifat tamak menguasai diri, sering berasa tidak cukup dan lupa untuk bersyukur! Moga Allah terus mengasihi kita.

Monday, December 6, 2010

Renungan...

Hidup ini merupakan satu perjalanan. Perjalanan yang sangat panjang...namun setiap hari ia bakal menemukan noktahnya. Sejak dari saat kelahiran, hidup insan ini sebenarnya menuju kematian.

Setiap detik berlalu, setiap ulang tahun kelahiran yang disambut...kita sebenarnya menuju ke titik noktah kehidupan - iaitu KEMATIAN.

Sesungguhnya kehidupan adalah ibarat kapal yang berlayar. Dan dunia ibarat lautan luas yang sangat dalam dan penuh onak cabaran. Tentunya para pelayar perlu menyiapkan bekalan yang secukupnya dan seampuhnya demi untuk membelah lautan luas yang tak bertepi..

Persiapkan diri untuk melalui sebuah pelayaran kehidupan yang fana ke alam yang kekal abadi.

Monday, November 29, 2010

Sekali, bukan selamanya…

Memang benarlah, apa yang kita miliki di dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata. Tak kekal..kerana apa yang kita ada bukan hak mutlak kita. Anak-anak, pasangan, harta kekayaan ..apa sahaja yang kita ada, adalah milik Allah yang dipinjamkan-Nya kepada kita. Apa yang kita ada, Allah sudah sediakannya. Kita hanya mentadbirnya.

Justeru kalau tiba-tiba apa yang kita miliki ditarik balik, segeralah kita sedar, sudah sampai masanya tempoh pinjaman itu ditarik balik. Ibarat meminjam sesuatu daripada orang lain, bila cukup tempohnya, pasti tuan punya akan meminta balik haknya dan kita sebagai orang yang meminjam suka atau tidak kena pulangkan semula, sebab bukan milik kita.

Tapi sebagai manusia, apabila diuji, kenapa mulut kita mudah sangat mengungkap kata, “mengapa” sebelum akal dapat berfikir dan hati dapat menerima, bahawa itulah ujian Allah. Akal terasa hendak pecah berfikir dan dada terasa ibarat hendak meletup menahan perasaan dukacita…sebelum akhirnya kita sedar..bila ujian itu Allah timpakan, kita sebenarnya tidak ada daya untuk menghalang dan terpaksa akur dengan takdir-Nya.

Begitulah lemahnya iman kita, umat di akhir zaman ini. Sudah terhantuk baru hendak terngadah. Baru diuji perasaan sedikit kita sudah tak tentu arah. Baru diuji dengan sedikit kesulitan, kita sudah menggelabah. Belumpun diuji sebagaimana keluarga Yassir atau Bilal… entah bagaimana kita agaknya.

Itulah kelemahan kita.. yang merasakan sekali kita memiliki sesuatu, kita harus sentiasa memilikinya. Kita gembira apabila apa yang kita hajati terlaksana atau bila kita rasa apa yang kita minta semua dikabulkan Allah. Tapi apabila sedikit ujian diberikan – apabila takdir tidak lagi berpihak kepada kita – kita terus mempersoalkan mengapa? Kita lupa bahawa kita ini milik-Nya dan kita di bawah tadbiran-Nya.

Tidak mudah sebenarnya untuk mendidik hati agar akur dengan ketentuan-Nya, tetapi sebagaimana setiap kali solat kita mengungkap “..akan Dikau kami sembah dan akan Dikau kami minta pertolongan” , maka mintalah dari-Nya agar kita sentiasa berlapang dada dalam menghadapi ujian dari-Nya. Bukankah Dia juga memberi jaminan…”Serulah (berdoalah) Aku, nescaya Aku sambut (perkenankan) seruanmu..” jadi mintalah…

Friday, November 12, 2010

Sikit tak cukup, banyak tak pada?

Ibnu Abas menceritakan bahawa pada suatu hari Nabi Muhammad saw bertanya kepada para sahabat-sahabatnya dari kaum Ansar : “Siapakah kamu ini?” Mereka menjawab: “Kami ini semua adalah orang yang beriman”. Kemudian Nabi bertanya lagi: “Apakah tandanya jika kalian ini semua orang yang beriman?” Semua sahabat Ansar tadi menjawab: “Kami ini semua selalu bersyukur dengan nikmat yang didapat, juga selalu bersabar dengan segala musibah yang diterima, dan hati kami redha menerima segala takdir dan ketentuan yang ditetapkan oleh Tuhan keatas keadaan diri kami.” Rasulullah saw menjawab : “Demi Tuhan yang memiliki Ka’bah, kamu ini semua benar-benar telah beriman” ( Hadis riwayat Thabrani ).

Bagi kita yang berpendapatan sederhana, memang perbelanjaan perlu dikawal sungguh-sungguh agar tidak melebihi kemampuan. Kata orang, perancangan memang penting dalam kehidupan supaya tindakan kita lebih terkawal. Gagal untuk merancang bermakna kita merancang untuk gagal.

Begitu juga dengan perancangan perbelanjaan atau bajet. Bajet perlu dibuat supaya kita tidak kelam kabut dan juga untuk memastikan tidak berlaku pembaziran. Tetapi pernahkah dalam merancang perbelanjaan tiba-tiba didapati selalu terjadi defisit? Rasanya itu perkara biasa terutama bagi yang berpendapatan sederhana.

Sewa rumah, hutang kereta, duit sekolah anak, bil-bil utiliti, duit dapur dan macam-macam lagi. Setelah dihitung kesemuanya, ternyata tidak cukup dengan pendapatan yang diperolehi. Tentunya kalau dilihat apa yang tercatat di atas kertas dengan apa yang dimiliki di tangan, kita akan jadi gelabah. Terus kepala akan bersimpang siur, bagaimana nak mencukupkan belanja. Pastinya pening!

Namun sedar atau tidak, sehingga ke hujung bulan, kita dapat juga melaluinya. Sedar atau tidak, rezeki kita dicukupkan juga oleh-Nya. Memang manusia tidak dapat lari dari berkeluh-kesah dan berperasaan bimbang, namun kalau difikirkan kembali, adakah keluh kesah, merungut dan sebagainya itu dapat menyelesaikan masalah? Tentunya tidak kan? Adakah dengan kita merungut takde duit atau sakit atau sebagainya, duit akan jatuh dari langit atau kesihatan akan pulih sekelip mata? Tentu tidak!

Sebenarnya banyak atau sedikit rezeki itu, kecukupan yang dirasai adalah kerana keberkatannya. Rezeki yang sedikit akan terasa cukup kalau ianya berkat, sebaliknya yang banyak tetap terasa kurangnya kalau hilang keberkatannya.

Bagaimana nak mendapat berkat itu…pastikan ianya dari sumber yang halal, dikerjakan secara halal dan dibelanjakan di jalan yang halal. Serta sentiasa mengamalkan sedekah kerana bersedekah itu mensucikan harta, jangan takut miskin kerana bersedekah dan jangan takut untuk bersedekah kerana miskin.

Yang penting sentiasa bersyukur dengan apa yang diperolehi serta berasa cukup (qanaah) dengan kurniaan-Nya. Di samping berikhtiar dan berdoa, bertawakallah kepada Dia – Ar-Razak - Tuhan yang mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya. Semoga kita termasuk di kalangan orang yang beriman..Amin!!!

Wednesday, November 10, 2010

Suatu masa dulu…

gambar dari fb kak Ami

(sumber internet: blog fazlisyam.com)

Pernah dengar tak buah kriang dot? Kalau di Pantai Timur dipanggil jambu arang. Ada juga yang memanggilnya buah muyu. Sudah lama tak berjumpa dengan buah ni. Buah jambu arang warnanya unggu kehitaman.

Buah hutan yang rasanya masam-masam manis sedap dicicah dengan kicap bercampur gula dan garam. Letak belacan sikit dan picit cili api. Memang meleleh air liur dibuatnya. Lepas makan gigi pun nampak unggu. Ngeee!

Saya terlihat gambar buah jambu arang atau kriang dot ini dalam fb sahabat saya Dr. Aminah Hashim, beberapa bulan lepas. Bila ditanya, kata kak Ami gambar tersebut diambil sewaktu beliau ke Kedah. Tak lama kemudian saya terlihat pula dalam blog fazlisyam.com (segalanya tentang tumbuhan), di bawah kategori buah-buahan nadir.

Teringat waktu kecil, kalau balik ke kampung arwah mak di Terengganu, selalu sangat kami merayau di atas pulau milik arwah datuk saudara saya. Macam-macam buah-buahan hutan yang kami pungut. Buah sentul (setoi/setia), jambu arang, kemunting, nipah, leletup dan macam-macam lagi.

Yang seronoknya, saya akan ikut bapa saudara sepupu berjalan keliling pulau tersebut. Kemudian paksu saya itu akan panjat pokok dan kami akan tunggu di bawah.. kemudian buah-buah letaklah di dalam kendung baju. Habislah segala getah melekat di baju.

Anak-anak hari ini sudah tidak kenal lagi buah-buah hutan sebegini. Jangan kata mereka, yang seusia dengan sayapun mungkin juga tidak kenal. Bukan sahaja namanya asing di pendengaran mereka, tetapi nak lihat pokok dan buahnya pun sudah sukar. Saya sendiri pun kalau terjumpa hari ini, belum tentu boleh mengecamnya. Maklumlah sudah lama tidak melihatnya. Hanya bayangan di waktu kecil. (Tapi saya masih lagi berjumpa dengan buah kemunting sewaktu ke rumah bapa saudara saya di Pasir Mas. Dia sengaja menanamnya untuk dilihat oleh anak cucunya. Pokok kemunting ini ada iras senduduk tetapi buahnya besar sedikit dan rasanya manis)

Begitulah masa beredar.. bak kata iklan, dunia semakin maju zaman dah berubah. Entah tertelan lagi atau tidak kalau berjumpa buah tersebut hari ini. Maklumlah selera kita juga turut berbeza. Kalau waktu kecil segala benda yang boleh dimakan habis dibedal. Tak pernah terfikir sedap atau tidak, segalanya ingin dicuba. Itu sebab agaknya kita menjadi lasak dan tak mudah sakit!

Apapun zaman kanak-kanak tetap meninggalkan kenangan manis dan menjadi nostalgia hingga ke hari ini.

Tuesday, November 9, 2010

Ingat-ingat lupa?

Daya ingatan manusia ini sangat unik. Ada orang boleh mengingati sesuatu biarpun hanya dilihat atau diberitahu sekali lalu. Ada orang jenuh menghafaz sesuatu tapi tak jugak ingat-ingat. Kajian menunjukkan daya ingatan manusia boleh dikelaskan sebagai short-term memory dan long-term memory.

Yang pasti kalau sesuatu perkara itu sering diulang-ulang maka ia akan melekat kuat di ingatan. Bak kata ayah saya "kalau nak menghafaz ayat Quran, lancarkan dulu ayatnya dan ulang 40 kali. Kalau masih tak ingat tu, teruklah sangatlah daya ingatan kamu!"

Kanak-kanak mudah mengingati jika dibandingkan orang dewasa. Mungkin sel otaknya lebih produktif atau dirinya belum tercemar dengan perkara-perkara lain. Sebab itulah orang tua-tua suka membuat kiasan, mengajar anak-anak umpama mengukir di atas batu, sedangkan mengajar orang tua ibarat menulis di atas pasir di pantai..datang ombak habis terpadam.

Teringat kisah pembelajaran Imam Shafie, sewaktu mendengar guru mengajar, beliau mencatat apa yang didengar di telapak tangannya dengan air liur. Dan bila ditanya gurunya dia boleh mengingati kembali apa yang dipelajari. Hmm..agaknya kalau kita catat dengan air liur di tangan, apa yang dapat kita ‘recall’.. bau sahaja gamaknya!!

Mungkin kita biasa mendengar petua-petua yang diberikan ustaz dari kelas-kelas pengajian tentang cara-cara menajamkan ingatan. Antaranya:
1. Jangan makan benda masam
2. Jangan makan kepala ikan
3. Elakkan tidur di waktu matahari terbit (imsak) kerana ia mewarisi sifat bebal
4. Makan badam dan kismis.
5. Ada juga yang melarang membaca nama-nama pada batu nisan kerana ia boleh menyebabkan tumpul daya ingatan (saya tidak pasti ada nas atau tidak mengenai perkara ini, mungkin ada yang boleh berkongsi maklumat).

Memang banyak petua yang diberikan oleh alim ulama agar kita tidak mudah lupa dan dihinggapi penyakit nyanyuk. Malah penyakit nyanyuk kata ustaz ada kaitan dengan amalan yang dilakukan. Orang yang rajin membaca Quran dan menjadikan amalan lazim insya-Allah tidak akan dihinggapi penyakit nyanyuk. Tapi ada juga yang mengatakan kalau kita terlupa ayat-ayat atau doa-doa yang sering diamalkan, itu petanda ajal sudah hampir menjelma, sejauh mana kebenarannya? Wallahu a’lam!

Bercerita tentang makan kepala ikan, teringat kisah lucu anak kecil saya yang banyak cakap itu. Siapa lagi kalau bukan si Efa. Waktu tersebut kami sedang makan malam. Kebetulan saya masak ikan tilapia goreng berlada. Tiba-tiba sahaja si Efa bersuara, “kak long tak boleh makan kepala ikan. Nanti hilang kawalan.” Tersentak kami mendengarnya sebelum melepaskan tawa.

Tanya si along, kenapa pula hilang kawalan? Kata si kecil, iyelah nanti apa yang nak dibuat semua lupa. Lalu disampuk oleh kakngahnya, itu bukan hilang kawalan tapi hilang ingatan.. pulak dah! Macam-macam kerenah anak-anak..

Bercerita mengenai daya ingatan ini juga, saya teringat satu temubual yang pernah kami buat lebih 10 tahun lalu dengan seorang ahli akademik dan juga pendakwah terkenal, Saudara Ann Wan Seng. Temubual tersebut mengenai kemampuan otak manusia dalam mengingat dan juga tentang fenomena genius.

Entah macam mana ketika ingin mendengar kembali hasil temubual tersebut tiba-tiba kami dapati pita rakaman tersebut gagal merakam sebarang hasil. Memang menggelabah dibuatnya. Mujurlah kebetulan waktu itu saudara Ann Wan Seng menjadi kolumnis dengan akhbar Harakah dan Majalah Muslimah waktu itu berkongsi bangunan dengan Harakah, maka mudahlah kami untuk bertemu dan meminta untuk menemuramah beliau sekali lagi. Dan sungguh mengkagumkan kerana beliau mampu mengulangi hampir 100% apa yang diberikan sebelumnya dalam ayat yang sama. Ibarat kami mendengar semula pita rakaman. Sesungguhnya tiada yang mustahil kalau Allah mengizinkannya berlaku.

Monday, November 8, 2010

Kalaulah..

Kalau disebut sejarah hidup Rasulullah, pasti semua perkara basic mengenai kehidupan Rasulullah walaupun sedikit, kita tahu. Contohnya di mana Baginda saw dilahirkan, ibu dan ayahnya, sejarah penyusuan Baginda dan kehidupan Baginda selepas kawafatan ayah bonda dan juga datuk Baginda Abdul Mutalib.

Kita tentu maklum, tentang perihal Baginda yang dibesarkan dan dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib, dengan penuh kasih sayang. Malah kasih sayang Abu Talib terhadap Baginda melebihi kasih sayangnya kepada anaknya sendiri.

Pernah ketika kecilnya, kaum Quraisy mempertikai mengapa Rasulullah tidak pernah dibawa ke upacara keagamaan mereka, lalu Abu Talib membela dengan menceritakan setiap kali beliau membawa Nabi saw, Nabi akan tertidur dari awal hingga akhir, lalu sejak itu Abu Talib tidak pernah lagi membawa Nabi kerana dirasakan anak saudaranya itu lain daripada yang lain.

Setelah Nabi meningkat dewasa, diajarnya pula ilmu untuk berniaga sehingga Nabi saw menjadi pedagang yang cekap dan dipercayai. Dan setelah kerasulan pula, beliaulah yang menjadi pelindung Baginda daripada diisakiti oleh kaum Quraisy yang mula tidak senang dengan dakwah Rasulullah.

Dua individu penting dalam kehidupan Rasulullah, Abu Talib dan Khadijah, merupakan tulang belakang yang menyokong perjuangan Baginda menyebarkan agama Allah. Dan kewafatan kedua-dua insan ini menjadi kesedihan yang berpanjangan bagi Baginda sehingga tahun tersebut digelarkan tahun kesedihan. Dua tulang belakang Baginda..malangnya seorang kembali ke alam abadi tanpa melafazkan syahadah!

Kita semua tentu maklum perihal kesedihan Baginda, apabila bapa saudara yang sangat dikasihi itu enggan melafaz syahadah biarpun sepanjang kehidupan bersama, beliaulah pendorong dan menjadi pembela kepada Baginda dan umat Islam lain. Puas Baginda merayu kepada bapa saudaranya itu agar menerima Allah sebagai Rabb, namun ternyata permintaan Baginda ditolak. Sehingga akhirnya turunlah ayat yang maksudnya, “Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayah iaitu petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya iaitu menurut undang-undang peraturannya dan Dia jualah yang lebih mengetahui siapakah orang-orang yang ada persediaan untuk mendapat petunjuk memeluk Islam.”

Tentulah dapat dibayangkan betapa kesedihan Baginda dengan penolakan bapa saudaranya itu. Begitu jugalah rasanya perasaan yang dialami oleh sebilangan besar saudara-saudara baru yang terpilih menerima hidayah Allah, sedangkan keluarga atau orang yang disayangi masih kekal di dalam agama asal. Kalaulah hidayah itu bukan milik-Nya, sudah tentu mereka akan pastikan orang-orang yang disayangi itu turut bersama mereka.

Namun hidayah itu tetap milik-Nya jua dan kepada siapa yang ingin diberikan, itu HAK-NYA. Sesungguhnya Iman dan Islam itu sangat mahal harganya. Hanya yang terpilih sahaja yang layak memilikinya. Tapi kita masih ada senjata yang ampuh untuk meminta...DOA...jadi mintalah bersungguh-sungguh.

Dan kalaulah ada kemampuan, tentu saja saya turut ingin agar Didi juga terpilih untuk menjadi umat Nabi Muhammad, namun hidayah itu hanya milik-Nya jua... moga saya tidak akan berputus asa untuk terus berdoa!

Saturday, October 16, 2010

Fikir Zikir

Semalam (Jumaat, 7 Zulkaedah) saya sempat mengikuti kuliah mingguan di JKR. Sebenarnya sudah agak lama tertinggal kelas di situ. Itulah susahnya bila terpaksa bergantung kepada orang untuk menghantar dan mengambil, hehehe..

Alhamdulillah, kelas dikendalikan oleh Ustazah Dato’ Siti Norbaayah Mahmod, mengupas tajuk daripada buku beliau, 26 terminal menuju syurga dan neraka (kalau tak silap begitulah tajuknya). Antara intipati kuliah, disebutkan pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya yang wajar diambil iktibar untuk memandu kita mendapat rahmat Allah SWT dan seterusnya memasuki syurga-Nya.

Pesan Luqman, “orang yang menyayangi akan disayangi”. Sifat pengasih, penyayang dan lemah lembut adalah sifat-sifat ahli syurga. Jadi kata ustazah, seharusnya kasih sayang dihulurkan dengan penuh ikhlas dan elakkan daripada bermusuhan. Dan jelasnya lagi untuk mengelak permusuhan, perkara paling penting ialah menjaga lidah.

Hmm..kalau difikirkan kembali, memang lidah (kata-kata) sering menjadi punca pertelingkahan. Sebab itu peribahasa Melayu pun ada menyebut, “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”. Justeru wajar kita mengambil iktibar daripada pesanan Nabi Nuh, apabila ditanya oleh seorang lelaki bagaimana caranya untuk dia masuk syurga. Lalu dijawab oleh baginda, jangan kamu bercakap. Kemudian apabila lelaki tersebut berkata dia tidak mampu untuk melaksanakannya, tetapi dia tetap ingin masuk syurga, lalu Baginda menjawab, “usah kamu bercakap kecuali perkara yang berfaedah.”

Dalam era siber, bentuk komunikasi bukan lagi secara lisan. Malah berbagai wadah boleh digunakan sama ada untuk menyampaikan kebaikan atau keburukan. Justeru berhati-hatilah dengan penggunaan facebook, myspace, chatting, blog dan seumpamanya kerana ia juga boleh menjadi penyebab kita mendapat laknat Allah. Perlu diingat, kata usatazah, laknat bukan sekadar kemurkaan Allah tetapi lebih lagi degree nya. Malah orang yang dilaknat, hidup mereka tidak ada keberkatan dan sering ditimpa musibah serta keburukan. Nauzubillahiminzalik!.

Pesanan seterusnya daripada Luqman kepada anaknya ialah, “dekatilah orang yang alim dan berilmu, kerana kata-kata nasihatnya akan menyejukan hati yang mendengarnya. Kata-kata nasihatnya akan menghidupkan hati, umpama tanah yang subur disirami hujan.”

Mendekati orang yang alim, berilmu dan mengamalkan ilmunya, memanglah akan sentiasa memberi keinsafan pada diri kita. Orang yang dipelihara Allah agamanya pasti suka dan sentiasa ingin mendengar nasihat-nasihat yang baik. Hanya mereka yang hatinya berpenyakit sahaja tidak suka mendengar perkara yang baik.

Kata ustazah, orang yang sombong sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis soheh, bukanlah yang berpakaian bagus (ada kisah sahabat yang kaya raya tetapi memakai pakaian bertampal kerana mereka zuhud dan takut dikatakan sombong. Lalu Nabi saw menegur bahawa zuhud itu ialah mengambil dunia sekadar keperluan dan berpakaian bagus itu bukan sifat sombong, malah mempamerkan nikmat yang Allah kurniakan tanpa berlebih-lebihan) tetapi sombong ialah apabila seseorang itu menolak kebenaran dan memperlekehkan orang lain.

Pesan Luqman lagi kepada anaknya, “Jangan kamu tendang dunia ke bakul sampah kerana kamu akan menjadi pengemis yang akan membebankan orang lain.”

Dalam konteks ini, rasanya kita boleh faham bahawa, dalam mengejar kehidupan akhirat yang merupakan tempat kembali yang kekal, kita tidak sama sekali boleh meninggalkan dunia. Dengan kata lain, kita mesti bekerja untuk kelangsungan hidup di dunia. Tapi kehidupan dunia tidak seharusnya melalaikan kita daripada menyiapkan bekalan menuju ke negeri yang kekal abadi.

Kata ustazah, banyak hadis yang melarang umat Islam dari meminta-minta, tambahan kalau mereka itu sihat tubuh badannya. Malangnya di akhir zaman ini, bukan sekadar ada yang meminta-minta (mengemis), malah ada sindikit pula yang menjadikan kanak-kanak sebagai pengemis!

Dan pesanan terakhir Luqman kepada anaknya, “Ambillah dunia sekadarnya dan nafkahlah selebihnya serta jangan kamu hirup airnya berhabisan. Sesungguhnya apa yang kamu makan dan pakai adalah tanah.”

Hmm..dalam maknanya kalau kita renungkan. Kata ustazah, tak salah kita berusaha mencari kehidupan dunia. Namun kita perlu sedar, dalam setiap rezeki yang kita perolehi, ia bukan milik mutlak kita. Di dalamnya ada bahagian orang lain yang perlu kita berikan, dengan kata lain, perlu kita zakatkan.

Begitulah sedikit perkongsian ilmu yang sempat dicatatkan di blog kali ini.

“Ya Allah, Ya Tuhanku! Perbaikilah agamaku yang merupakan pengawal urusankanku. Perbaikilah duniaku yang merupakan tempat hidupku. Perbaikilah akhiratku yang merupakan tempat kembaliku; dan jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai istirahat bagiku daripada segala kejahatan.”

Wednesday, October 6, 2010

Bukan tolak rezeki!

Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Begitulah lazimnya dalam budaya kita. Ada orang cukup murah rezekinya, ada sahaja pemberian yang diterima. Syukurlah kiranya kita tergolong dalam kategori tersebut. Dan sekiranya menerima pemberian, kita digalakkan melafazkan kesyukuran. Ada benarnya sebagaimana firman Allah, “barang siapa yang bersyukur akan Aku tambah nikmat-Ku, dan barang siapa yang kufur sesungguhnya azab-Ku amat pedih”.

Namun bagaimana agaknya jika pemberian tersebut bukan sesuatu yang kita gunakan atau perlukan? Adakah pemberian tersebut perlu kita terima demi menjaga hati orang yang memberi? Tidakkah ia menjadi satu pembaziran? Bukankah lebih baik jika ia diberikan kepada yang lebih berhak menerimanya? Dan sekiranya kita mengambil sikap menolak, adakah kita dianggap tidak bersyukur atau menolak rezeki?

Memang dalam budaya masyarakat Melayu khasnya, sukar untuk berterus-terang atau menyatakan ‘tidak’. Contoh mudah, kalau tuan rumah bertanya nak minum air apa, biasanya kita teragak-agak untuk memberitahu. Bimbang dikatakan ‘demand’ atau dirasakan kurang sopan ataupun bimbang kita akan menyusahkan tuan rumah.

Begitu juga dalam hal menerima pemberian orang. Kita kadang kala tidak sampai hati untuk menolak kerana bimbang mengecilkan hati orang yang memberi, sedangkan pemberian tersebut tidak kita perlukan atas sebab kita tidak menggunakannya. Bimbang dikatakan menyombong atau menolak rezeki. Tapi wajarkah kalau kita menerima kemudian memberinya kepada orang lain pula? Tentunya kalau terlihat dek orang yang memberi, terasa hati jugak dia sudahnya. Mungkin juga wajar sebab secara tidak langsung kita memanjangkan sedekah?

Kadang kala saya pun terasa serba salah juga menerima apa yang saya tidak gunakan. Saya seorang yang sangat sempoi (pinjam bahasa yang anak saya gunakan) dan bukan jenis melawa. Apabila ada yang memberi jubah atau tudung yang fancy, serba salah saya dibuatnya. Jubah yang saya pakai sangat simple dan warnanya tidak terlalu terang (Kak NB selalu tegur..ko ni nik asyik hitam je hahaha! Oppsss..uniform tu kak!). Tudung pula, kalau yang fancy dan singkat (tudung saya dari jenis kain kasebo yang tak mahal dan dibuat sendiri ..hehehe… dengan labuhnya mengikut cita rasa sendiri…), memang tak tergamak saya memakainya. Maka salahkah kalau saya terpaksa menolak pemberian tersebut?

Saya rasa daripada saya tidak memakainya atau terpaksa memberinya kepada orang lain, lebih baik saya menolaknya awal-awal. Bukan menolak rezeki tetapi menjaga agar tidak berlaku pembaziran. Sebab saya rasa tidak tergamak untuk melanggar cara berpakaian yang sejak dahulu saya amalkan.

Mungkin dalam hal ini, orang yang memberi perlu peka dengan selera orang yang menerima. Bukannya si penerima tidak bersyukur atau demanding, tetapi bimbang menjadi pembaziran atau apa yang diberi itu menjadi hiasan almari sahaja. Terasa rugi pula kalau itu yang terjadi!

(ps: kak yatie..kain pasang yang akak hadiahkan tu tak sempat nak buat baju raya.…semua tukang jahit dah tak nak terima sebab dah nak raya. Baru duk terkial2 cari tailor hahaha…)

Thursday, September 23, 2010

Alahai anak…

efa dengan kakak sepupunya najla

Kata orang, lain anak lain kerenahnya. Kalau sepuluh orang anak, biarpun lahir dari perut ibu yang satu, tetap berlainan tingkah laku mereka. Sepuluh orang sepuluh jenis kerenah. Memang setiap satunya menguji kesabaran ibu bapa.

Anak saya cuma ada tiga sahaja.. tiga-tiga perempuan. Kata kawan saya, Charlie’s Angels. Ketiga-tiganya kerenah mereka berbeza. Yang bongsu Efa (setakat inilah), memang manja. Asyik nak menang saja dengan kakak-kakaknya. Banyak cakap dan boleh tahan juga loyar buruknya. Biarpun sudah masuk tahun ke dua bersekolah, tapi setiap pagi masih perlu dimandikan. Menangis dan buat perangai di waktu pagi memang suatu yang lumrah. Alasannya tak mahu pergi sekolah sebab penat. Tapi bila diugut untuk diberhentikan sekolah, menangis pula!

Yang tak tahannya, dalam pada melalak hendak ke sekolah dan jenuh berdukung serta minta dimandikan setiap pagi, dia termasuk dalam kategori nakal di sekolah. Ada saja aduannya bila saya balik dari kerja. “Umi hari ni adik kena rotan dengan cikgu”... tentu saja berderau darah saya mendengarnya. Terfikir juga apa salah anak saya yang baru berumur 5 tahun dirotan gurunya. Bila diselidik, rupa-rupanya dia nakal di kelasnya. Komen saya.. rasakan, itulah balasannya kalau tak nak dengar cakap cikgu! Sudahnya dia hanya tersengih.

Petang tadi sewaktu balik dari pasar malam, dia memberitahu lagi. Katanya tadi dia didenda berdiri di dalam kelas. Saya pun bertanya mengapa adik kena denda. “Tadi adik, Ain dan Aimuni, kita orang main lari sana lari sini dalam kelas. Lepas tu cikgu denda. Cikgu kata adik tak boleh duduk.”

Terasa lucu pun ada. Bukan apa, kedua-dua kawan Efa, Ain dan Aimuni juga sedikit sebanyak mempunyai ciri yang hampir sama. Mereka jenis yang buat perangai di pagi hari sebelum ke sekolah. Kalau Efa cuma ‘melalak’ di rumah setiap pagi. Tapi Aimuni pula siap berguling-guling mengamuk di hadapan pintu masuk sekolah! Memang lucu.. Tergelak saya dan suami melihatnya. Bukan apa, sangka kami, kami saja yang terpaksa menghadapi kerenah Efa yang suka menangis di pagi hari..tapi ada lagi yang lebih teruk bila anak dah berguling-guling di hadapan pintu pagar sekolah.

Ternyata dalam sifat cengeng mereka, bila sudah berkumpul atau istilah Efa, ‘geng adik’, terserlah juga kenalakan anak-anak kecil ini!

Monday, September 20, 2010

What say you??

Apabila sebut sahaja perkataan bermadu, pastinya ramai di kalangan wanita yang mula berasa jengkel. Madu manis bagi lelaki tapi pahit bak jadam bagi wanita. Saya sendiri apabila ditanya oleh sahabat dan juga teman-teman berlainan jantina, apa pandangan saya mengenai bermadu, jawapan saya berikan adalah ianya perkara yang dibolehkan oleh Allah SWT. Jadi apa hak kita untuk mengharamkannya. Namun sebagai wanita, saya benar-benar berharap agar tidak diuji dengan ujian perasaan ini, bimbang saya tidak punya kekuatan untuk menghadapinya.

Namun dalam pada itu, saya sering melontarkan pertanyaan apakah pendirian saya andainya saya dihadapkan dengan situasi tersebut, yang memerlukan pengorbanan. Katakanlah demi menyelamatkan akidah. Apakah mampu untuk saya mengorbankan ‘hak’ sebagai seorang isteri?

Andaikata situasi menuntut agar kita berkorban demi menyelamatkan akidah saudara seagama adakah di waktu itu kita mampu untuk mementingkan diri sendiri? Manakah lebih baik agaknya, membiarkan suami bernikah lagi dengan anak gadis yang lebih kurang sebaya/ tua sedikit daripada anak sendiri atau merelakan kita dimadukan demi menyelamatkan akidah seorang saudara seagama. Mungkin jika ditanya kepada nafsu, pasti jawapannya tidak bagi kedua-duanya, namun andai pengorbanan kita diperlukan waktu itu, tegakah kita untuk mengatakan tidak?

Apakah juga dengan menawarkan kepada suami untuk ‘membuka cawangan baru’ atas dasar menjaga akidah, ini bermakna kasih terhadap suami tidak kuat? Rasanya kalau kita sudah membuat keputusan tersebut, sudah pasti tidak begitu! Mungkin juga nanti akan menyedarkan kita bahawa suami bukanlah hak mutlak kita. Malah mungkin juga kita akan menemukan hakikat, bahawa suami dan institusi perkahwinan itu bukanlah matlamat utama kita tetapi alat untuk mencapai redha Allah. Benarkah begitu? Mungkinkah begitu? Mampukah begitu?

Saya benar-benar ‘angkat topi’ kepada sahabat-sahabat yang rela dirinya dimadukan atas apa juga alasan, malah mampu hidup rukun dan damai biarpun berpoligami. Memang bukan senang mendidik jiwa agar mampu menerima takdir Allah, namun bagi yang meletakkan Allah sebagai matlamat hidupnya, sudah pasti tiada yang mustahil dalam kehidupan.

Apa kata anda?

Monday, September 13, 2010

Raya


Alhamdulillah, kita telah dipanjangkan usia dan sempat menghabiskan berpuasa sebulan Ramadhan dan kini masih dalam mood berhari raya. Kepada semua sahabat-handai dan teman-teman blogger, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.

Tentunya, kita masih dalam mood beraya dan bercuti, malah terasa-rasa lagi suasana beraya di kampung. Tahun ini saya juga berkesempatan beraya di kampung halaman bersama ayahanda tercinta dan juga adik-beradik. Syukur tahun ini kami sekeluarga dapat berkumpul.

Saya bertolak balik ke kampung selepas solat hari raya. Bak kata kawan ofis, musafir di Aidil Fitri (ahaks!). Sebelum tu, sempatlah berposing sempena hari raya. Sebenarnya inilah gambar pertama sepanjang berhariraya bersama suami. Saya bukanlah seorang yang suka bergambar, begitu juga dengan suami. Kiranya tahun ni break record bergambar di hari raya! Seronok pulak melihat gelagat anak-anak.

Alhamdulillah, Iman tahun ini berpuasa penuh, walaupun dalam sebulan itu ada tiga hari dia tidak bangun bersahur. Pernah sehari, dia meminta untuk berbuka, tetapi abahnya suruh juga dia bertahan. Berjaya juga dia berpuasa hari tersebut.

Rupa-rupanya si abah sudah berniat kalau Iman berpuasa penuh, ada ganjaran yang menanti. Duit raya Iman daripada abahnya melebihi daripada kaklong dan adiknya! Tersenyum lebarlah anak dara kedua saya itu. Kata abahnya itu perangsang buat Iman.

Seperti biasa, beraya di kampung lebih kepada berkumpul bersama keluarga. Apabila berlonggok beramai-ramai, terasa betapa cepatnya masa berlalu. Anak-anak saudara yang masa kecil mereka pernah saya jaga, kini sudah lebih besar daripada Makcu mereka…hahaha. Terasa sudah tua diri saya!

Terbayang gelagat lucu mereka semasa kecil. Malah ada yang sehingga kini masih lagi kelakar. Macam si angah Nini, anak kedua abang saya. Tak kering gusi kami semua mendengar dan melihat aksinya. Biarpun sudah berada di universiti, perangai kelakarnya tak pernah berubah. Kalau bertemu dengan si Mia anak keempat kaklong, memang sakit perut kami semua. Gandingan pelawak mantap. Sampaikan kami pernah mengusik mereka supaya masuk rancangan Raja Lawak!

Sememangnya saat berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara menjadi saat yang indah dan sentiasa dinantikan. Cuma tahun ini, anak sulung dan kedua kaklong saja yang tidak dapat bersama. Kak La beraya bersama keluarga mentuanya, manakala Piya di Adelaide, belajar. Namun kemeriahan hari raya tetap juga dirasai dalam kesederhanaan kami menyambutnya.

Semoga saya dipanjangkan usia untuk melihat anak-anak dan anak buah saya ini membina keluarga mereka.

Tuesday, September 7, 2010

Cari baju raya!

Diam tak diam, kita sudah berada di minggu terakhir Ramadhan. Biasanya minggu terakhir ini menjadi minggu paling sibuk dan minggu untuk membuat persiapan hari raya, khasnya bagi mereka yang bekerja.

Saya juga termasuk dalam kategori yang suka membuat persiapan di saat akhir. Apatah lagi kebiasaannya apabila raya, jadual kerja pun mula menjadi tak tentu arah kerana terpaksa mengejar deadline. Lalu setelah segalanya selesai, saya menggunakan kesempatan sewaktu cuti hari kemerdekaan untuk menjadi shopping trip persediaan raya untuk anak-anak!

Alhamdulillah, dengan bantuan Didi, misi mencari baju raya untuk anak-anak dapat dilakukan dengan jayanya. Kami memulakan agenda hari Selasa, 31 Ogos, pada jam 4 petang.

Dalam hujan, lepas jugak ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Orang yang membeli-belah boleh tahan juga ramainya. Bergerak dari satu kedai ke satu kedai memang agak memenatkan, tambahan pula dengan si Efa yang sibuk merengek penat dan sebagainya. Memang boleh naik angin dibuatnya.

ni aksi si Iman je..bukan baju sebenar dia pun...

Berpusing-pusing hampir dua jam akhirnya Iman berjumpa dengan baju kurung yang disukainya. Warna merah hati! Cantik pulak tengok Iman pakai. Kami memang tidak pernah ada pakaian ‘seragam’ sewaktu raya. Cuma ada sekali, kalau tak silap dua tahun lepas, itu pun anak-anak sahaja yang sama. Manakala pakaian saya sedondon dengan suami.

Semakin anak-anak membesar, mereka juga sudah ada cita rasa sendiri. Iman pilihannya merah hati, Efa pula katanya nak warna pink. Si along suka warna yang suram! Bagi saya tak kisahlah, janji masing-masing happy.

Selepas Iman, kami mencari pula pakaian untuk si Efa. Hai! Susah juga mencari baju untuk si kecil saya ini. Anak-anak sekarang, sudah ada cita rasa sendiri, bukan seperti zaman kita kecil dahulu. Ikut sahaja apa yang mak belikan. Jenuh juga mencari baju untuk si Efa, akhirnya dapat juga di Kamdar! Tengoklah aksi si kecil saya... memang boleh hilang sabar dibuatnya. Mujurlah dia akhirnya gembira dengan pilihan uminya.





Misi untuk si along agak mudah. Dia sebenarnya sudah berkenan dengan sehelai baju kurung tapi saya menyuruh dia melihat-lihat dulu yang lain. Pusing punya pusing akhirnya berpatah balik juga ke kedai yang awalnya dia berkenan..(patutlah si abahnya selalu malas nak menemankan kami shopping kerana katanya leceh. Bila Didi offer nak bawak, memang sangat dialu-alukanlah!). Mujurlah setelah pusing kali kedua daripada harga RM85 sepasang dan dikurangkan menjadi RM80, akhirnya baju tersebut dibeli dengan harga RM75!

Sebaik sahaja selesai membeli baju, bergegas ke Kompleks Pertama untuk solat Asar. Jam pun sudah menunjukkan 6.45 petang. Sebaik selesai solat Asar terus sahaja mencari tempat untuk berbuka. Mulanya teringat nak berbuka di restoran Idasm pemilik blog Hadiah dari Hati. Teringin nak merasa cheese nan Ida yang femes tu..tapi bila call nak booking tak ada jawapan daripada Ida. Tau, dia mesti sangat sibuk melayan pelanggan. Jadi berbukalah dulu di Pertama Complex .


Setelah selesai membeli kasut untuk anak-anak, tiba-tiba dapat panggilan daripada Ida bertanyakan kami di mana. Lalu akhirnya kami pun singgah juga di restoran Ida. Dapat juga bertemu Ida akhirnya, walaupun ini sudah kali kedua saya ke restoran Ida. Dan akhirnya dapat juga merasa cheese nan Ida yang memang sedap tu! Saya dan anak-anak makan cheese nan, manakala Didi plak order garlic nan.


Mulanya ingat nak terus balik selepas membeli keperluan raya anak-anak, tiba-tiba anak-anak minta dibawa berjalan-jalan. Kata mereka nak ke Dataran Merdeka. Ikutkan, rasa malas sangat sebab dah terasa kepenatan. Tapi Didi memang rajin melayan, jadi sampai jugalah kami ke Dataran Merdeka.

Ramai juga orang mengambil angin bersiar-siar di Dataran Merdeka. Kebanyakannya membawa anak-anak. Kebetulan ada yang menjual alat permainan yang agak unik. Bercahaya, dilastik ke udara macam bunga api pula. Si along bukan main lagi. Ambil kesempatan bermain kat situ. Bengang si Iman kena kongsi dengan along, tapi akhirnya along suruh Iman belikan satu untuk dia. Lucu melihat gelagat anak-anak. Tapi Efa buat kami kering darah seketika. Dia boleh merayau seorang diri dalam pada kami sibuk nak ajak dia bergambar. Kecoh sekejap dibuatnya, sebelum ternampak dia terkedek-kedek berlari di atas padang!.

Dalam keseronokan melayan kerenah anak-anak dan menikmatan keindahan malam di tengah kota raya, pandangan kami tercemar dengan gelagat sepasang anak muda. Gaduh-gaduh manja di tengah padang, yang beruntungnya si lelaki dapat pegang sana sini. Aduh...! Apalah nak jadi anak-anak muda hari ini. Masya-Allah, malu saya dengan Didi!.

Begitulah kisahnya mencari baju raya anak-anak, sebelum kami balik jam 11 malam.

Wednesday, August 18, 2010

Happy birthday Kak Long


Hari ini 18 Ogos 2010..genaplah usia Kak Long 15 tahun. Kak Long Nurul Huda dilahirkan di hospital bersalin Kuala Lumpur, tepat jam 7.45 pagi, setelah menahan sakit selama lebih 7 jam. Alhamdulillah, urusan kelahirannya tidaklah sesukar mana, berbanding dengan kawan-kawan yang terpaksa menanggung sakit sehingga lebih 24 jam!

Kak Long waktu kecil sangat mudah mendapat demam, selesema dan batuk. Pendek kata sebulan sekali mesti kena berjumpa doktor. Penuhlah peti sejuk dengan ubat-ubatan Kak Long. Tapi dalam kepayahan dia yang selalu sakit, Allah permudahkan menjaganya. Kak Long tak banyak kerenah, beri susu masuk buai tidurlah dia berjam-jam. Senang pengasuh menjaganya. Tapi kalau sesekali menangis.. memang padanlah dengan ‘baiknya’ tu.

Kak Long memang tidak kami besarkan dengan kemewahan. Sementelah kami suami isteri baru sahaja membina keluarga. Ekonomi juga tak begitu mantap. Kami ajar dia dengan kesederhanaan dan bersabar sekiranya kemahuannya tidak dapat kami tunaikan. Kesannya alhamdulillah, dia banyak berkompromi. Terima kasih Kak Long kerana sentiasa cuba memahami.

Kini di usia 15 tahun, Kak Long sudah pun memasuki alam remaja. Kami lepaskan dia di bawah ‘jagaan’ guru-gurunya pula untuk proses tarbiyah, dengan pantauan, dorongan dan doa dari kami ibu dan ayahnya. Mudah-mudahan kekallah dia dalam peliharaan Allah.

Buat Kak Long…

“15 tahun lepas, tepat jam 7.45 pagi, umi selamat melahirkan Kak Long, di hospital bersalin KL. Masa itu umi dan abah sangat gembira kerana dikurniakan cahaya mata. Hilang segala rasa sakit dan susah semasa mengandungkan Kak Long. Masa kecil Kak Long selalu demam, tapi sebab sayangkan anak, tak terasa kesusahan tersebut. Moga Allah balas dengan menjadikan Kak Long anak yang solehah. Doa umi semoga Kak Long terus menjadi anak solehah, mujahidah dan srikandi Islam buat saham umi dan abah di akhirat nanti.
Kak Long, jadilah umpama ikan di lautan. Biarpun pun air laut itu masin, tetap tidak menjejaskan isinya. Pimpinlah diri dan orang di persekitaran menuju redha Allah. Hiasi diri dengan peribadi unggul wanita solehah.
Selamat hari lahir yang ke-15, moga diberkatkan umur, dimurahkan rezeki, ditingkat iman dan sentiasa dalam peliharaan Allah selalu!”

Sunday, August 15, 2010

Cerita hari Sabtu

Sabtu minggu sudah, sebelum kedatangan Ramadhan, saya dan suami sempat membawa anak-anak ke Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan yang bertempat di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya.

Agak mengecewakan juga kerana pada hari berkenaan, sambutan daripada pengunjung kurang menggalakkan. Mungkin juga pemilihan tempat yang agak jauh dari pusat bandar menyebabkan ia kurang mendapat sambutan. Atau mungkin waktu saya pilih, iaitu petang Sabtu bukan waktu ‘peak hours’ kunjungan.

Tidak banyak gerai di situ, (atau mungkin saya yang tak jumpa, hahaha) tapi rasanya saya sudahpun menjelajah ke semua tempat. Kalau benarlah sebagaimana yang saya lihat, pihak penganjur perlu lebih memberi promosi andainya ia diadakan lagi di masa akan datang.


Sayang sungguh kamera saya kehabisan bateri, jadi tak dapatlah saya mengambil gambar. Ada tak ada sekeping inilah dan agak ‘blur’ pulak tu!. Di karnival ini turut diadakan ujibakat rancangan Adik-adikku. Puas juga menyuruh Iman mencuba, tapi nampaknya dia masih belum berkeyakinan. Tapi selepas itu dia menyebut-nyebut pula. Hmm..macam malu-malu kucinglah pulak!.

Dalam keadaan bersedia dengan tidak saya telah menerima pelawaan adik angkat saya untuk berkunjung ke rumah beliau, tak jauh dari KLIA. Mulanya rasa agak keberatan juga, bimbang menyusahkannya, tapi kesungguhan beliau mengajak membuatkan tak sampai hati pula untuk menolaknya.

Teringat pesan Didi, “akak bawak je segala keperluan. Jadi tak jadi belakang cerita. D nak bawak anak-anak ke KLIA, biar dorang kenal tempat kerja aunty dorang.”

Dalam teragak-agak, akhirnya sampai juga ke rumah beliau. Walaupun perancangannya kami akan balik sekembalinya dari KLIA, namun tiba-tiba suami saya demam. Akhirnya, kami bermalam juga di rumahnya. Ternyata perancangan Allah mengatasi perancangan manusia.

Justeru malam minggu itu, dapatlah saya dan Didi membawa anak-anak ke KLIA. Memang anak-anak tak pernah dibawa ke sana, kerana biasanya kalau outstation, saya akan pergi bersendirian. Walau bagaimanapun tak dapat nak ke pejabat Didi, kerana ianya kawasan larangan. Terhibur melihat gelagat anak-anak yang gembira.

Teringat kata si Iman, “Adik ingat kecil aje macam dalam TV.. tapi besar. Sayap pun dah besar!”. Ralit sungguh dia memerhatikan kapal terbang mahu bergerak keluar ke landasan. Sayang waktu malam, kalau tidak mesti dia lagi teruja!


Masing-masing, tak melepaskan peluang bergambar.. Tengoklah gelagat si Iman dan Efa! Along pun tak nak ketinggalan. Sebelum balik, Iman dan Efa sempat bermain di taman permainan yang disediakan. Menarik, kerana di situ disediakan replika kapal terbang. Kata Iman dapat main kat sini pun tak apa! Nanti ada rezeki bolehlah naik kapal terbang betul pula. Apapun, terisi juga hujung minggu bersama anak-anak!

And to Didi…terima kasih atas layanan first class!

Thursday, August 12, 2010

Bahaya sungguh!

Sudah lama blog saya ini terbiar sepi..Rasanya alasan yang klise – sibuk, banyak kerja. Dah nama pun kerja, tak akan habis sampailah pencen!

Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan, selamat menyambut Ramadhan al-mubarak. Kepada semua sahabat, maaf dipohon, semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas, insya-Allah.

Hhmm..kali ini saya nak share satu story di samping nak membebel (hahaha). Seminggu sebelum berpuasa, saya berkesempatan ke kedai buku kegemaran saya di Pertama Kompleks. Membawa ‘adik manja’ merangkap sahabat baik saya, si Didi mencari buku yang dikehendakinya.

Dalam perjalanan balik, sempat kami singgah di Sogo sebentar. Si Didi nak melihat cadar. Sementara menunggu Didi membeli yang dihajatinya, saya berdiri berhampiran tiang yang berhadapan dengan sebuah outlet alat mekap berjenama Clinique.

Mata saya ralit memerhatikan gelagat orang ramai di hadapan. Tiba-tiba mata saya tertangkap objek kecil di hadapan saya. Objek kecil tu..seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan dua tahun. Comel sungguh. Berambut panjang diikat ekor kuda dan pipinya tembam. Dengan bert-shirt sendat dan skirt pendek, anak ini montel sungguh. Memang sangat comel dan memikat hati.

Ralit saya perhatikan gelagatnya bersama si ibu yang sibuk memilih alat mekap. Cuma saya berasa sedikit risau. Si ibu membiarkan anak secomel itu lepas bebas. Apabila dia masuk ke dalam premis berkenaan, boleh ditinggalnya si anak bersendirian. Anaknya tadi dah berpusing-pusing mencari ibunya. Saya yang berdiri betul-betul di hadapannya menguit tangan memanggilnya. Dan lebih membuatkan saya terkejut, anak ini terus berjalan mendapatkan saya. Lalu saya pun pegang tangannya, sambil mata saya memerhati gelagat ibunya.

Dalam hati saya sudah berleter. Sifat sebeginilah yang membuatkan anak-anak senang diculik. Terlampau asyik hingga keselamatan anak terabai. Sudahlah anaknya perempuan, comel pula. Si anak pula mudah mendekati orang yang tidak dikenali. Bukankah sangat merbahaya!

Ikutkan hati terasa mahu menyorokkan budak tersebut, sambil memerhatikan gelagat ibunya. Teringin juga melihat bagaimana reaksi si ibu bila menyedari anaknya hilang. Sekurang-kurangnya dapat memberinya pengajaran. Orang lain susahnya nak dapat anak, ini dah ada anak yang comel boleh dibiarkan bersendirian dalam lautan orang ramai..

Tapi rasa tak sampai hatilah pulak..Memikirkan kalau saya ditempatnya, sudah pasti macam nak gila mencari anak hilang nanti. Lagipun saya tak mahu cari pasal..nanti tak pasal-pasal kena tuduh menculik pula! Hahaha…

Bila saya lihat dia perasan anaknya tiada, terus saya lambai dan tunjukkan anaknya dengan saya. Dan si kecil tersebut, mendengar ibunya memanggil terus berlalu ke arah si ibu. Sempat juga saya bertanyakan si ibu berapa umur anaknya..baru masuk dua tahun. Saya katakan pada ibunya, anaknya itu tak takut dengan orang..hati-hatilah.

Tak lama kemudian bila si Didi sudah siap membeli keperluannya, terpaksalah dia menadah telinga mendengar bebelan saya! Hahaha…terlepaslah geram saya pada si Didi yang tidak bersalah.

Thursday, July 15, 2010

Radio kumbang..rindunya!

Kredit untuk LelaMajnun's Photostream.


“Umi sakit tak kalau kena sengat dengan lebah,” tanya Effa. Pertanyaan tersebut muncul apabila kami selalu membacakan untuknya sebuah buku cerita kanak-kanak. Dalam cerita tersebut budak lelaki itu dikejar lebah.

Jawap si along, “sakit dik.”

“Ayong (Effa suka panggil along dia ayong) pernah kena sengat ke?”

“A’ah. Ayong kena. Masa duduk asrama kat Chenor. Lebah tu suka duduk dekat baju yang ayong jemur. Bila angkat terpegang, dia sengatlah,” cerita Along.

“Umi pernah kena sengat lebah?” Iman pulak menyampuk.

“Pernah. Kumbang pun umi pernah kena sengat!”

“Macam mana boleh kena?” hurm, bermulalah sesi soal jawab dengan si tengah yang rajin bertanya itu.

Maka uminya pun membuka hikayat. Masa kecil yang penuh dengan ‘adventure’. Yang kini anak-anak tak berpeluang merasainya lagi. Memang masa kecil sebagai anak kampung, macam-macam benda kita redah buat. Salah satunya menangkap kumbang. Buat apa??? Buat radio…ha!ha!ha…

Dengan berbekalkan plastik sederhana besar, pergilah cari pokok-pokok renek yang berbunga halus. Di rumpun pokok begitu biasanya akan ada kumbang (kumbang jati agaknya..macam dalam sajak-sajak tu..hehehe) yang sedang menghisap madu bunga. Separuh plastik tu dipunjut dengan jari dan mulut plastik dikembangkan. Kemudian pekup pada kumbang yang sedang hisap madu. Teknik ini, abang sayalah yang mengajar.

Biasanya waktu untuk ‘menolak’ kumbang ke bahagian punjut merupakan bahagian ‘kritikal’. Sama ada kumbang terlepas atau jari akan disengat. Memang selalunya berjaya. Tapi satu hari nak dijadikan cerita, jari saya disengat!. Memanglah sakit, tapi tak pernah serik walaupun umur masa tu baru lima tahun! Bergegas lari balik ke rumah dan panggil mak suruh letak ubat. Kemudian turun semula, sambung lagi cari kumbang!

Memang tak serik sebab nak dengar ‘radio kumbang’. Guna tin susu pekat manis, kain buruk dan getah gelang. Letak kumbang di bawah tin dan pekup dengan kain buruk, ikat dengan getah gelang. Lepas tu dengar dari sebelah tin berlubang …dengung kumbang itulah radio.. Kalau dia tak berbunyi sentuh kumbang tersebut, nanti akan berdengung.

Itulah pengalaman zaman budak-budak. Nostalgia sungguh…dan tiba-tiba saya teringat arwah mak. Oh…sedihnya!!!!

Tuesday, July 13, 2010

Terima kasih...

Dia saya ‘kenal’ melalui sahabat maya. Tak pernah bersua mata. Daripada sahabat-sahabatnya, soalan dilontarkan kepada saya untuk menjawabnya. Setiap soalan yang dikemukakannya, membuatkan saya terpaksa berusaha mencari jawapan. Aduh! Tercabar sungguh rasanya. Terpaksa menggali kembali apa yang telah lama dipelajari. Juga terpaksa berusaha mencari jawapan bagi persoalan yang dikemukakan.

Tapi membuatkan saya sedar, betapa ceteknya pengetahuan saya tentang agama yang celik mata, saya sudahpun menjadi penganutnya. Untung saya kerana lahir saja sudah Islam. Benar, tiada yang lebih besar melainkan nikmat iman. Tidak sepertinya, terpaksa membaca, mengkaji dan bertanya apa itu Islam. Malah ada yang menuduhnya sengaja mahu menguji kefahaman kita yang ditanya olehnya. Namun saya lebih suka mengambil sikap husnu zhan...

Yang saya sangat pasti, daripada pertanyaan dikemukakannya, buat saya lebih menghargai agama saya, membuat saya terus mencari jawapan kepada persoalan yang tidak pernah terlintas di fikiran dan pastinya menilai kembali sejauh mana Islamnya seorang saya! Malu? Memang terasa malu...tapi ia juga menerbitkan keinsafan.

Kalau selama ini, saya cuma dapat mengungkap “sampaikanlah dariku walau sepotong ayat”, maka kini sejauh mana satu ayat itu boleh saya sampaikan untuknya? Kalau dahulu saya sering menyebut tugas dakwah itu bukan milik ustaz/ustazah atau pegawai agama, kini ternyata saya perlu membuktikannya!

Ya Allah, terasa beratnya tapi dalam masa yang sama terasa nikmatnya. Nikmat kerana dari sifat ingin tahunya, saya lebih mendalami agama saya. Tidak lagi taklid membuta tuli – mudah-mudahan.

Buat dia yang menamakan dirinya ds, terima kasih...semoga hidayah Allah menjadi milik anda juga hendak-Nya.

Monday, July 5, 2010

Rupa-rupanya dia faham!

Kadang kala kita sering terlupa anak-anak ini walaupun masih hijau usianya, mereka sebenarnya sudah mampu memahami sesuatu perkara. Mungkin bentuk kefahaman itu tidaklah seperti orang dewasa faham, tetapi dari segi konseptualnya mereka memahaminya.

Satu perkembangan yang agak kurang menyenangkan, dalam tiga empat bulan kebelakangan ini, di kawasan ofis saya tiba-tiba wujud sebuah kelab malam. Pada mulanya saya tidak perasan kewujudannya. Maklumlah ia beroperasi tatkala waktu menjelang Maghrib. Kalau siang hari, premis tersebut tertutup rapat dan dilindungi oleh shutter. Tidak ada sebarang sign board yang kelihatan. Mungkin sebab kawasan ofis saya berhampiran dengan pejabat penguatkuasa, agaknya lebih mudah mereka mendapat ‘lesen’ untuk beroperasi!

Saya terperasan adanya kelab malam tersebut apabila tiba masa deadline. Disebabkan mengejar deadline, saya akan balik selepas solat Magrib. Waktu itulah baru saya perasan rupanya kawasan ofis saya sudah ada ‘nite life.’

Kebiasaannya, anak-anak akan dibawa bersama oleh suami yang menjemput saya pulang dari kerja. Jadi apabila balik agak lewat, maka sudah pasti mereka juga dapat melihat premis tersebut yang disinari lampu lip-lap di bahagian luarnya.

Lalu si kecil Efa dan kakngahnya Iman bertanya pada abahnya, kawasan apakah itu. Si abah dengan selamba menjawab itu KALABUL MALAMI. Seperti biasa, si dua beradik itu mula menunjukkan muka tercengang dan bertanya apa maknanya. Lalu diberitahu oleh si abah…kelab malam.

Perkara tersebut dilupakan begitu sahaja. Kalau sesekali balik lewat, anak-anak sudah tidak lagi bertanya dan mengambil tahu, hinggalah baru-baru ini. Seperti biasa, deadline menuntut saya balik lewat dan pulang selepas jam menunjukkan angka 8 malam.

Sewaktu turun dari ofis, si Efa bertanya kami akan ke mana? (Masing-masing sudah merungut kelaparan). Si abah kononnya hendak buat lawak dengan anak-anak lalu menjawab, kita hendak ke kalabul malami.

“Ha..boleh ke kita pegi kelab malam??” dengan nada terkejut si Iman bertanya.

“Bolehlah, tengok orang joget-joget. Pastu minum-minum,” si Efa menyampuk.

Uishh…terkejut mendengar jawapan dari mulut si kecil.

“Orang buat apa dik kat kelab malam,” tanya saya sekadar ingin menguji pengetahuannya,

“Hmm..orang joget-joget, pastu dia minum arak umi,” jawabnya polos.

“Orang Islam boleh minum arak tak?” tanya saya lagi kepadanya.
“Tak boleh berdosa. Nanti masuk neraka,” jawab si Efa.

“Ha, tahupun..jadi tak payahlah masuk tempat yang boleh menyebabkan kita berdosa.”

“Tapi tadi abah kata nak pegi kelab malam?”

Hah! Sudah!!!… inilah akibatnya tersalah nak bergurau dengan anak. Akhirnya si abah terpaksa membetulkan statementnya. Kata si abah, abah saja nak uji tengok anak-anak faham tak tempat tu elok atau tidak. Takkan abah nak bawak anak-anak ke tempat macam tu. Alhamdulillah, anak-anak abah faham tempat tu tempat tak elok. Dan kita orang Islam tak boleh pergi tempat yang mengundang dosa.

Moralnya, jangan disangka anak-anak tak faham dengan perkara yang berlaku di sekitarnya. Sekarang ini mereka belajar menerusi pendedahan di persekitaran mereka, televisyen dan juga IT. Bukan macam kita dahulu. Zaman dah berubah dunia sudah maju, anak-anak kita sudah semakin bijak. Justeru, amat benarlah saranan Rasulullah yang menyuruh anak-anak diasingkan tempat tidur apabila usianya mencecah 7 tahun kerana ternyata dari situ mereka sudah mula mempelajari sesuatu, yang seterusnya akan tertanam dalam minda mereka selama-lamanya.

Monday, June 28, 2010

Doa untuk mereka...



Saat langit berwarna merah saga
dan kerikil perkasa berlarian
meluncur laksana puluhan peluru
terbang bersama teriakan takbir

Semua menjadi saksi
atas langkah keberanianmu
kita juga menjadi saksi
atas keteguhanmu

Ketika Yahudi Yahudi membantaimu
merah berkesimbah di tanah airmu
mewangi harum genangan darahmu
membebaskan bumi jihad Palestina
perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
syahid dalam cinta-Nya

Mereka sangat memerlukan bantuan dari kita saudara di bumi aman damai ini. Paling kurang kirimkanlah mereka dengan untaian doa..kerana doa itu amat besar peranannya.

ps: Sebenarnya banyak yang saya ingin kongsikan dengan sahabat semua, terutama tentang pengalaman peribadi Dr. Noorazman ketua delegasi Haluan di atas kapal Mavi Marmara, yang sempat saya rakamkan sewaktu beliau berceramah di surau Taman Berjaya. Puas saya menahan airmata sewaktu mendengar ceramah beliau dan meremang bulu roma mendengar 'bantuan' Allah sewaktu serangan Yahudi Laknatullah itu. Tapi buat masa ini saya benar-benar sibuk dan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan. Semoga saya diberi kelapangan untuk berkongsi bersama sahabat semua!

Tuesday, June 1, 2010

Yang bernama Isteri

Wanita sememangnya dianugerahi dengan sifat pengasih dan penyayang. Dengan sifat tersebutlah maka wanita sanggup berkorban demi insan yang dikasihi. Malah sedari kecil anak gadis sudah menyerlah sikap tanggungjawab dan rela berkorban. Sebab itu tidak hairan kalau kita mendengar komen, ‘mudah ada anak perempuan, umur 9, 10 tahun sudah boleh diharap meringankan urusan rumah tangga.’

Setelah berumahtangga, wanita yang bergelar isteri ini akan terus menerus sanggup berkorban untuk insan tersayang. Biarpun wanita berkerjaya, namun ramai yang tidak mendapat bantuan bibik. Balik dari kerja terus bergegas untuk memasak hidangan buat keluarga. Sambil memasak, sempat lagi memasukkan kain baju kotor ke dalam mesin basuh, untuk memastikan pakaian ahli keluarga sentiasa bersih.

Selepas makan, perhatian ditumpu pula pada anak-anak. Mengajar mengaji, membantu anak menyiapkan homework. Sebelum tidur, sempat lagi menggosok pakaian dan menyediakan kelengkapan semua ahli keluarga untuk esok hari pula. Begitulah peranan seorang wanita yang bernama isteri dan ibu.

Dan uniknya, pengorbanan wanita ini tidak memerlukan dirinya diiktiraf atau diberi penghargaan. Cukuplah ucapan terima kasih. Atau kalau dia sudah memasak, tunjukkan dengan makan masakannya dengan berselera.

Cuma apa yang diharapkan daripada suami ialah kasih sayang. Cukup kalau suami mengungkap kata sayang dan menghargainya sebagai seorang wanita. Ya, nilai kasih sayang dengan tidak menduakan dirinya!

Wanita dan kasih sayang, mereka akan sanggup berkorban apa sahaja atas nama kasih sayang. Mereka rela bersusah payah dan menanggung kesakitan, atas nama kasih sayang. Dan kasih sayang yang diterima dari seorang suami akan terus kekal dalam ingatan dan di hati biarpun terpisah nyawa dari badan.

Sebab itu bukan sesuatu yang pelik andai kita dapati ramai wanita yang bercerai mati dengan suami, tidak tega untuk mencari pengganti. Dan lumrah kita dengar, hanya perkara yang baik-baik dan muluk-muluk sahaja keluar daripada mulut isteri yang kematian suami tercinta.

Teringat bicara seorang sahabat yang juga seorang penulis terkenal...walaupun suami telah lama kembali ke rahmatulllah kerana kanser, namun di hati sanubari, seolah-olah suami baru pergi semalam. Dari mulutnya terlafaz, kerana dorongan suamilah (yang sewaktu itu terlantar) dirinya bergelar penulis. Dan sehingga kini masih belum boleh berbicara tentang suaminya kerana sebak sentiasa mengundang mengenangkan kasih sayang yang pernah tertumpah buat dirinya dan anak-anak. Begitulah wanita dan kasih sayang...segala kenangan manis sukar terpadam.

Namun awas, wanita juga punya sifat pendendam yang sangat bahaya. Sekali hatinya terluka sukar untuk dia memaafkan. Malah tindakannya juga tak akan terfikirkan oleh akal yang waras. Justeru, tidak pelik kes Lorena Bobbit boleh berlaku!

Tidak hairan, kalau wanita akan mengungkit segala titik bengik perkara yang pernah dibuatnya lantaran hati yang terluka dan berasa dikhianati. Terjawab rasanya pertanyaan seorang sahabat yang isterinya menuntut segala yang diusahakan bersama hanya kerana dia berkahwin lain!

Sunday, May 16, 2010

Kitalah Da’ieyah, Murabbiyah dan Mursyidah!

Hmm tengok tajuk entry, bunyinya macam berat kan? Mendengarnya sahaja, pasti ramai yang akan mengatakan bagaimana mungkin untuk menjadi da’ieyah, murabbiyah dan mursyidah sedangkan kita bukannya berlatar belakangkan pendidikan agama. Atau tegasnya kita bukan ustaz atau ustazah!

Namun sedar atau tidak, setiap wanita yang melahirkan anak (malah setiap wanita sebenarnya) adalah da’ieyah, murabbiyah dan mursyidah! Dengan kata lain wanita adalah penyampai, pendidik dan penunjuk ajar kepada anak-anaknya (atau anak saudaranya).

Saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang sempat dikutip sewaktu kuliah Zohor, Jumaat 14 Mei 2010, kelas Dr. Robiah K.Hamzah, bersesuaian dengan hari guru yang disambut dalam hari ini (after all we are also teachers in our own ways, right?).

Sebenarnya suka atau tidak, bagi kita yang bergelar ibu, kita sebenarnya menjadi da’ieyah, murabbiyah dan mursyidah kepada anak-anak. Selepas ‘dilantik’ menjadi isteri maka menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan hak kita sebagai isteri solehah dan kemudiannya menggalas jawatan sebagai ibu solehah.

Dan di sinilah bermulanya tugas kita sebagai da’ieyah, murabbiyah dan mursyidah, untuk melahirkan dan membina anak-anak solehah. Memang menjadi impian setiap pasangan suami isteri untuk mendapat zuriat yang soleh dan solehah, namun apakah bentuk pengisian yang kita berikan kepada anak-anak?

Mengapa tanggungjawab mendidik anak itu terletak di bahu ibu? Bahkan kita sering mendengar ungkapan bahawa ibu adalah madrasah atau sekolah pertama bagi anak. Dengan sifat lembut dan sabar yang dianugerahkan Allah, maka tugas sebagai pendidik, pendakwah dan penunjuk ini sangat sesuai buat mereka.

Apabila disebut murabbiyah atau pendidik, ia bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari supaya mengenal pencipta-Nya. Dengan kata lain ia membangunkan keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya.

Justeru, untuk mengisi keperluan tersebut, sudah semestinya ia memerlukan kepada pengisian ilmu. Ilmu untuk mendidik dan ilmu untuk dipraktikkan. Maka, bertepatanlah dengan hadis bahawa, menuntut ilmu tidak terhenti apabila sudah graduate atau tamat persekolahan sahaja. Proses pembelajaran itu terus berjalan dari dalam buaian hinggalah ke liang lahad – proses yang berterusan sepanjang kehidupan. Barulah dengannya melayakkan kita menjadi seorang mursyidah!

Mengapa kita lihat hari ini, anak-anak tidak mengikut kebaikan yang dibuat oleh ibu bapanya? Contoh biasa, mengapa kita melihat, ibu bapa yang bersolat tetapi anak tidak bersolat? Jawapannya kerana ibu bapa gagal menjadi da’ie, murabbi dan mursyid! Bagaimana kita ingin menjadi pendidik yang berjaya sedangkan kita sendiri gagal menghayati tugas dan tanggungjawab yang terpikul!

Sesungguhnya proses menjadi da’ieyah, murabbiyah dan mursyidah ini memerlukan kita terus menuntut ilmu, dan kemudiannya belajar menjadi pendengar dan sahabat yang baik, mudah didekati, bersifat positif, dapat mendorong ke arah kebaikan dan seterusnya dapat mewariskan ilmu. Melalui proses menimba ilmu, kemudiannya diamalkan dan seterusnya diwariskan, maka akan berjalanlah proses pendidikan.

Semoga kita semua dapat membangunkan jiwa-jiwa murabbi tanpa mengira latar belakang pendidikan kita!

Wednesday, May 12, 2010

Kutip pengalaman!

Baru-baru ini (6-9 Mei) saya sekali lagi berpeluang ke Kedah. Kali ini atas urusan kerja…tapi bekerja ‘di kampung’, memang teruslah jadi misi percutian untuk anak-anak. Cuma saya dan suami terkejar-kejar ke sana-sini, manakala anak-anak berehat sakan di rumah Pakngah Qadet depa!.

Dalam ‘misi’ kali ini, saya sempat menemubual Ustaz Mujahid Yusof Rawa, anak bekas mursyidul am PAS pertama, Pak Yusuf Rawa. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar. Bermacam perkara dikongsi oleh beliau sehingga tak kering gusi kami dibuatnya.

Agak lama juga berbual sehinggalah jam 12 tengahari dan terpaksa berhenti untuk bersiap solat Jumaat. Tambahan pula pada malam tersebut ada program besar yang perlu dihadiri. Program yang sangat menarik dan sebenarnya menjadi misi penting pemergian saya ke sana.

Sudah lama saya mendengar cerita, perihal Ustaz Mujahid yang sering mengadakan dialog di gereja. Sesuai dengan jawatannya dalam parti yang memegang Lujnah Perpaduan Antara Kaum, menjadi tugas beliau memberi penerangan tentang Islam dan perkara-perkara berbangkit mengenainya.

Sepanjang temubual bersama beliau, saya dapati Ustaz Mujahid mempunyai peribadi yang mudah didekati dan mudah mesra orangnya. Justeru tidak hairanlah, dalam program yang berlangsung di Church Of Christ The King, Sg. Petani beliau begitu mudah diterima oleh mereka yang hadir di situ. Ini bukanlah kali pertama beliau menghadiri dialog, malah kalau tidak silap saya kali kesembilan. Sebelum ini beliau pernah menghadiri 7 dialog di tujuh buah gereja di Pulau Pinang, dan sekali di sebuah gereja di Taiping.

Dalam dialog antara agama (mengenai penggunaan nama Allah) itu, Ustaz Mujahid sebenarnya memberikan penerangan mengenai Islam, apa yang terkandung di dalam al-Quran dan antara persoalan-persoalan perbezaan akidah.

Antara yang menarik dapat dikupas mengenai mengapa kejadian manusia yang berbeza dari segi rupa paras serta suku kaum yang antara lainnya bertujuan untuk saling kenal mengenal dan akhirnya yang terbaik itu adalah yang bertaqwa di sisi Allah. Juga perbezaan kefahaman tentang ketauhidan serta keesaan Allah SWT, menerusi surah al-Ikhlas, tentang tiada paksaan dalam beragama, serta perihal tentang perbezaan agama dengan huraian dari petikan surah al-Kafirun.. “lakum diinukum waliyadeen”. (Detail mengenai program tersebut akan saya tulis dalam Muslimah keluaran Julai, insya-Allah).


Pertama kali dalam sejarah hidup melangkah memasuki gereja, bersama suami dan anak sulung saya Nurul Huda, memberikan pengalaman baru buat diri saya. Tapi yang lebih mengesankan ialah dialog yang bertujuan mencari persefahaman, rasanya sedikit sebanyak menjadi jalan/uslub dakwah untuk menerangkan keindahan Islam itu kepada khalayak bukan Islam. Dan dengan keperibadian yang ditunjukkan oleh Ustaz Mujahid serta penerimaan positif khalayak (bertubi-tubi soal jawab dan pendapat positif yang diberikan sewaktu sesi pertanyaan) saya yakin akan ada insan-insan yang dibuka hatinya untuk menerima Islam. Mudah-mudahan!

Pada hari Ahad, sebelum pulang, saya sempat bertemu sekali lagi dengan Toksu Hajah Soffiyah Hj. Idris (pernah saya tulis sedikit mengenainya dalam entry terdahulu). Tujuan kali ini ialah untuk merakamkan serba sedikit kisah hidup beliau. Alhamdulillah, masih banyak juga yang diingatinya. Memang kagum saya dibuatnya! Saya sebenarnya baru tahu yang Toksu ini pernah melahirkan 16 orang anak dan daripada 16 kelahiran itu 2 pasang kembar, iaitu Muhsin dan Hasnah (anak ke-12/13) dan Abd. Halim dan Halimah (anak ke-14/15, walau bagaimanapun Halimah meninggal di usia masih kecil). Memang beliau seorang ibu yang cukup hebat!

Ada juga peristiwa lucu, selepas mengambil gambarnya, beliau mahu melihat gambar yang dirakamkan. Kebiasaannya, kalau sudah meniti usia emas, rata-ratanya sudah kurang penglihatan, justeru saya terlupa yang Toksu masih terang matanya. Sempat juga beliau menarik kamera digital di tangan saya untuk melihat gambarnya!

Saya yakin daya ingatan dan penglihatan yang baik yang masih dimilikinya itu, berkat amalan solat tahajud, solat dhuha dan membaca al-Quran yang tidak pernah ditinggalkannya walaupun usianya kini telah menjangkau 101 tahun. Malah saya sangat kagum, apabila kami berada di ruang tamu rumahnya (sewaktu kami tiba beliau sedang dimandikan) dia masih ingat akan kami. Katanya, “ni yang datang dulu waktu Maghrib, anak Ramlah!”. Dan seperti biasa, kami disuruh makan dahulu sebelum pulang!

Saya juga berkesempatan bertemu dengan dua orang sahabat maya, Ayu dan Kak Packy. Sudah dua kali saya berhajat untuk bertemu dengan Ayu, alhamdulillah kali ketiga ini hasrat tersebut dikabulkan Allah. Ayu turun dari Arau ke Sg Petani pada petang Jumaat, (kebetulan untuk appoint di Alor Star keesokannya, sambil bercuti rehat hujung minggu dan saya pula bersiap sedia untuk ke program dialog) dan kami berjumpa di restoran Radix FC.

Seronok melihat gelagat Afif yang ceria dan wajah Afif yang comel. Afif agak hampa kerana tak dapat berjumpa dengan Efa dan Iman, yang terpaksa saya tinggalkan dengan MakNgah mereka. Begitu juga dengan Najib suami Ayu, peramah orangnya. Dan dapat saya lihat, Najib seorang yang sangat sabar melayan isteri dan anak. Semoga Allah terus memberikan kekuatan dan kesabaran buat Najib mengharungi dugaan.

Cuma sedikit berita yang kurang menyenangkan, Ayu mungkin mengalami serangan penyakitnya dan kali ini saraf mata kanannya mungkin terlibat. Beliau memberitahu mata kirinya sudah tidak boleh melihat langsung dan mata kanannya pula kabur. Dan untuk pengetahuan semua, Ayu dimasukkan ke hospital di Penang hari Selasa (11 Mei) untuk pemeriksaan lanjut. Sama-sama kita berdoa semoga Ayu diberi kesihatan oleh Allah SWT dan terus tabah dengan ujian yang menimpa.

Kak Pakhiroh aka Kak Packy, saya temui sebentar cuma selepas menemubual Toksu. Memang agak terkejar-kejar tetapi cukup menggembirakan! Orangnya kecil molek dan manis. Memang tak puas berjumpa beliau, harap ada jodoh untuk bertemu dia lagi!

Meninggal bumi Penang, hampir Maghrib dengan harapan dapat tiba di rumah sebelum tengah malam. Namun sudah tersurat, kenderaan kami mengalami kerosakan. Mujurlah sudah tak jauh dari Bidor. Dengan nasihat PLUS, kami masuk ke exit Bidor dan akhirnya tepat jam 12 malam kereta terus mati di situ! Terpaksa bermalam di Bidor semalaman.

Setelah check-out dari hotel jam 12 tengahari, kami diambil oleh pengusaha bengkel dan menunggu kereta siap dibaiki. Mujurlah tak jauh dari bengkel, ada sebuah restoran, JJ Nabati. Pengusahanya bernama Kak Ani. Melepaklah kami di situ sehingga kereta siap dibaiki. Kata Kak Ani, memang sudah biasa kedai makannya menjadi tempat mereka menunggu dan baginya itulah sedikit bantuan yang boleh diberikan olehnya. Si Efa sempat lagi bermain dengan Jazli, anak Kak Ani yang berusia enam tahun dan belajar di tadikan Cina.

Jam 6 petang barulah kereta siap dan kami berangkat balik ke KL. Memang memenatkan tetapi mengumpul kenangan dan pengalaman. Bak kata Kak Ani, kalau tidak sebab kenderaan rosak kami tak dapat berkenalan dan menjalin silaturrahim! Akhirnya, tepat 7.45 malam tiba juga di rumah dengan selamatnya!

Wednesday, May 5, 2010

Apa jawapan anda?

Hadis Nabi menyebut, “keberkatan seorang wanita ialah apabila cepat jodohnya, ringan maharnya dan cepat hamilnya.”

Merenung hadis tersebut dengan kejadian buang anak serta kehamilan luar nikah dan gejala sosial yang berleluasa, adakah wajar barangkali kalau kahwin muda dipraktikkan kembali di dalam masyarakat kita, sebagaimana zaman ibu dan ayah kita dahulu?

Memanglah perkahwinan bukan jalan penyelesaian kepada masalah tetapi kalau sudah begitu keadaannya, bukankah lebih baik kalau dikahwinkan sahaja daripada berterusan melakukan dosa zina. Mungkin ada yang bersetuju dan juga tidak bersetuju dengan saranan ini, tapi mungkin juga wajar difikirkan.

Tidak dinafikan, banyak perkara yang perlu diambil kira kalau kita bersetuju dengan saranan berkahwin muda. Mungkin faktor pendidikan, faktor ekonomi, sikap bertanggungjawab dan sebagainya.

Ramai yang berpendapat, kalau masih belajar teruskan pelajaran sehingga tamat dahulu, dapatkan pekerjaan yang baik, mungkin ada sebuah rumah dan sebuah kenderaan. Malah teringat saranan seorang ustaz - bekas kadi dalam satu siaran langsung rancangan agama. Katanya, sebelum berkahwin pastikan memiliki sekurang-kurangnya 3 kunci. Kunci rumah, kunci pejabat dan kunci kenderaan (dengan kata lain ada rumah – tak kiralah rumah sendiri atau rumah sewa, ada pekerjaan dan ada kenderaan walaupun sebuah motosikal). Ada kebenarannya saranan ustaz tersebut.

Tapi bagaimana pula dengan fenomena gejala sosial yang melanda anak-anak muda cerdik pandai di institusi pengajian tinggi. Malah kalau dijenguk di pusat perlindungan, ramai juga dari kalangan yang mengandung anak luar nikah ini bakal-bakal graduan. Berbaloikah membiarkan mereka lepas bebas belajar andai tergadai akhlak dan maruah diri? Mungkin anda boleh menjawabnya!

Teringat sewaktu di zaman bergelar pelajar, ada di kalangan pelajar (juga kenalan saya) yang bekerja sebagai pelayan di kelab eksklusif. Pernah balik dengan baju berbau busuk kerana tertumpah ‘air kencing syaitan’. Ada juga yang setiap malam minggu keluar berpeleseran, clubbing. Balik setelah fajar menyinsing dengan sebuah kereta yang di dalamnya hanya dia seorang sahaja wanita, yang empat lagi semuanya lelaki!

Itu baru kisah dari kalangan yang bergelar intelek. Bagaimana pula yang pelajarannya suam-suam kuku tidak kira di mana mereka berada? Lalu sekali lagi, wajarkah kalau saranan berkahwin di usia muda ini difikirkan secara serius? Jawapan di tangan anda!!!

Monday, May 3, 2010

Pesan ustazah…

Alhamdulillah, Jumaat 30 April 2010, saya berkesempatan mengikuti kuliah Zohor di JKR. Kelas kali ini merupakan kelas tafsir yang dikendalikan oleh Dr. Fatma Zahrah. Kuliah tafsir kali ini membincangkan ayat ke-30 hingga 45 dari surah an-Nur.

Sebagai mukadimah kelas, beliau memberikan tazkirah mengenai keutamaan membaca al-Quran. Sebagaimana yang kita semua maklum, al-Quran merupakan wahyu daripada Allah SWT. Ia wajib dibaca dan dihayati. A-Quran perlu dibaca dengan tajwid yang betul (justeru fardhu ain bagi kita belajar tajwid) dan sebagai orang Islam wajib bagi kita khatam Quran sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Bukan sekadar membaca Quran, wajib juga bagi kita mentadaburnya (memahami).

Kenapa perlu memahaminya? Sebab, ia akan memberi kita keinsafan serta menguatkan keimanan. Hanya dengan keimanan inilah maka akan lahir amalan soleh. Hanya dengan memahaminya juga kita akan dapat beramal dengannya, meninggalkan segala larangan dan menjalankan segala suruh Allah. Cantiknya Islam, iman dan amal soleh itu berjalan seiringan. Memahami al-Quran juga akan dapat mengubati dan membaiki hati, sesuai dengan sifatnya sebagai syifaa’ atau ubat bagi segala penyakit. Baik penyakit fizikal mahupun penyakit rohani. Al-Quran juga menjadi zat dan makanan bagi rohani (selain zikrullah, menghadiri majlis ilmu dan bersahabat dengan orang warak) agar ia tidak kelaparan dan melakukan perbuatan yang tidak menepati syariat.

Menyentuh mengenai surah An-Nur iaitu surah ke-24 dalam al-Quran, tidak ada surah dalam Quran yang bermula dengan “difardhukan ke atas kamu..”
“(Inilah) suatu surah yang Kami turunkan dan kami wajibkan (menjalankan hukum-hukumnya) dan Kami turunkan di dalamnya tanda-tanda (kebesaran Allah) yang jelas, agar kamu ingat.” – Surah An-Nur ayat 1.

Malah menurut Saidina Umar, orang yang mati tanpa mengetahui/mempelajari surah an-Nur, mati dalam kejahilan. Surah ini merupakan surah penting yang perlu diajar oleh setiap ibu kepada anak-anaknya sejak berusia 9 tahun. Surah yang dapat menjaga anak-anak daripada terjebak dengan zina. Di dalamnya mengandungi tatacara dan hukum mengenai pergaulan. Antara intipati ringkas, diajar bahawa untuk menjauhi zina:
1. Jangan berdua-duaan lelaki dan wanita bukan mahram, kerana yang ketiga turut bersama adalah syaitan.
2. Jaga pandangan kerana zina bermula dengan mata
3. Jangan masuk rumah orang tanpa izin dan pastikan tidak berdua-duaan dalam rumah tersebut.
4. Orang bujang jangan cerewet memilih pasangan, kalau berjumpa yang baik agamanya terimalah walaupun bukan kaya raya, kerana berkat niat yang baik insya-allah, Allah buka rezeki.
5. Kalau belum berjumpa jodoh – berpuasa dan melakukan aktiviti bermanfaat.

Sesuai dengan salah satu nama Allah yakni Nur, maka semua ciptaan Allah berjalan dengan nur Allah. Ilmu adalah nur Allah. Barangsiapa tidak cari ilmu maka takkan dapat nur Allah khususnya ilmu al-Quran. Disebabkan kejahilanlah kita akan mudah terjebak dengan maksiat. Dengan Nur inilah maka kita akan dapat membentengi diri daripada perkara-perkara maksiat. Nur yang diibaratkan, pelita dalam tabung kaca yang cahayanya tidak pernah padam (surah an-Nur ayat 35). Menyinari walau di mana kita berada dan membentengi kita daripada segala perkara yang boleh menjebak kita ke kancah maksiat.

Dan di akhir kuliah, sesuai dengan fungsi al-Quran sebagai as-shifaa’ maka Dr. Fatma memberikan petua-petua berdasarkan surah An-Nur.

1. Amalkan membaca ayat ke-35, dari surah an-Nur selepas solat subuh. Kemudian, tadah tangan dan baca “Ya Allah, Ya badi’ (wakafkan dengan huruf ain), Ya Nur, Ya Hadi...” hembus di tapak tangan dan sapu ke seluruh wajah (sebaiknya diulang 3 x)... Gunanya, sebagai penyeri wajah (so tak payah dah nak pakai-pakai make-up - ni ustazah buat lawak dalam kelas tu - kata dia next class dia boleh kenal siapa yang amal atau tidak sebab yang amal muka akan berseri2..ngeee!!!)

2. Juga potongan dari ayat yang sama, “nuurun ‘ala nuur..” – bagi anda yang menghadapi masalah, kebuntuan, murah rezeki (bukan semestinya duit ringgit - kesihatan, lapang waktu, anak tak bermasalah juga rezeki) atau sebagainya baca 3 x dan sapukan ke dada dan ubun-ubun.
Demikian, sedikit perkongsian..mudah-mudahan kita sama-sama dapat manfaat daripada-Nya.