Semalam, sewaktu pulang dari kerja, saya melihat dua ekor anak kucing di atas jalan raya di hadapan rumah saya. Anjing jiran saya menyalak-nyalak ingin keluar pagar, pastinya ingin mengerjakan anak-anak kucing itu.
Sebaik membuka pintu kereta, anak kedua saya terus menerpa memberitahu anak kucing itu mengikut dia balik. Katanya anak kucing itu pada awalnya berada berhampiran padang permainan.
Azan Maghrib hampir berkumandang, anak saya yang kecil pula sudah berlari mendapatkan anak kucing tersebut. Manakala anjing jiran sudah tidak senang duduk, bimbang pula anjing-anjing tersebut melompat keluar pagar. Bukan sahaja kucing tersebut dalam bahaya, silap-silap anak saya juga menjadi mangsa!
Saya terpaksa membuat keputusan segera, anak-anak kucing itu saya suruh anak saya ambil dan bawa masuk. Saya terus bergegas ke dapur mencari kotak yang tersimpan di stor dan menyuruh anak mengambil kain buruk serta surat khabar untuk dibuat lapik. Kebetulan ada susu dalam peti sejuk, lalu saya masukkan sedikit ke dalam bekas dan saya beri pada anak-anak kucing tersebut. Selamatlah anak kucing itu untuk satu malam.
(Macam mana hati tak cair tengok mata anak-anak kucing ni?)
Sebelum tidur malam itu saya berbincang dengan suami untuk memelihara anak kucing itu. Sebenarnya suami saya sangat sukakan kucing dan saya juga pernah memelihara kucing sewaktu kecil. Tapi setelah bekerja dan berkeluarga, kami tidak begitu berminat untuk membela kucing sebab bimbang tidak dapat menjaganya dengan baik serta susah kalau terpaksa outstation.
Namun nampak gayanya disebabkan dua ekor anak kucing ini, terpaksalah saya memujuk suami untuk bersetuju. Saya sebenarnya tidak sampai hati melihat anak kucing yang masih kecil itu berkeliaran di jalanan. Sungguh tidak berhati perut orang yang membuangnya. Memisahkan anak-anak daripada ibu mereka. Dilihat pada usia anak kucing tersebut, ia masih menyusu. Namun bila difikirkan semula, apalah yang nak dihairankan... sedangkan anak sendiri boleh dibuang, inikan pula anak kucing!!! Takde maknanya!
Teringat saya insiden di mana anak saudara saya 'menyelamatkan' dua ekor anak kucing. Menurut Che Yam, anak buah saya, anak kucing yang baru celik mata itu dibuang oleh seorang doktor. Ibu kucing itu pula tidak kisahkan anak-anaknya walau nampak anak-anaknya merangkak di tepi rumah kosong. Anak buah saya yang tidak sampai hati melihatnya mengangkut pulang kedua-duanya. Jadilah dia ibu angkat kepada kucing-kucing itu. Seekor diberi nama Miko (bulu coklat) dan seekor lagi Soya (bulu putih).
Dari Kuala Lipis, kucing itu dibawa pulang ke kampung. Nak dijadikan cerita, di rumah ayah di kampung, ada seekor ibu kucing yang kematian anak. Ibu kucing itu sangat berminat dengan anak kucing tersebut. Mulanya bimbang juga ibu kucing itu mencederakan anak-anak kucing tersebut, namun setelah dilihat rupa-rupanya ia mahu menyusukan mereka. Ia mahu menjadi ibu angkat mereka rupanya!
Tersentuh juga hati saya sebenarnya, kerana kucing pun tahu sayangkan anak walaupun bukan darah dagingnya. Tetapi manusia sudah hilang sifat ehsan mereka, tanpa rasa bersalah langsung sanggup membuang anak kecil yang masih menyusu.
Cerita terakhir saya dengar, ibu kucing itu sempat menjaga anak-anak angkatnya sekejap sahaja kerana dia telah mati. Jadilah anak-anak kucing itu yatim piatu sekali lagi!
(Rain sedang berbaring dan Bo'an yang duduk tu)
Kini giliran saya pula menjadi ibu angkat kepada anak-anak kucing yang dibuang oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Petang tadi saya sudah membelikan makanan dan pasir untuk kucing-kucing tersebut memerut. Dan kucing tersebut sudahpun diberi nama oleh anak saya... Boan dan Rain.. Entah berapa lama mereka mampu bertahan???
Wallahu a'lam!
Istighasah, boleh ke tak?
2 days ago
1 comments:
Teringat semasa tgkatan 3 dulu, balik dari main hoki, hujan lebat, jumpa anak kucing dlm longkang tak jauh dari sklh Aminuddin Baki Kg Pandan, kesian, kita letak dlm beg, anak kucing tu miow! miow! dlm beg, semua org dlm bas pandang, kita buat bodoh je, hihihi...
Post a Comment