RSS

Thursday, February 18, 2010

Tak sanggup, toksah beranak!!!

Semalam saya sempat berbual dengan sahabat sekursus sewaktu di ITM. Isu yang dibualkan membuat saya panas hati. Pagi tadi saya sempat bersembang dengan adik saya Sham. Sekali lagi isu yang sama dibawakan oleh Sham. Entah mengapa, sekali lagi saya bagai ‘tebuan yang dijolok sarangnya’.

Isunya berkenaan ibu menjaga cucu. Sahabat saya A bercerita kisah kakaknya yang sibuk menjaga cucu sehinggakan tak ada masa untuk menjenguk ibu mereka yang uzur. Ibu yang uzur itu duduk bersama A dan dibantu bibik pengasuh. Kata A, kalau nak bercerita perihal abang-abang dan kakak-kakaknya memang menyakitkan hati. Masing-masing bersikap lepas tangan. Mujurlah suaminya tidak kisah dia menjaga ibunya. Yang membuatkan dia terasa marah, hendak menjenguk ibu sekali sebulan pun payah.

“Bukan nak suruh jaga pun, suruh datang tengok pun macam-macam alasan. Kalau jaga pun, bukan dia orang yang jaga. Bibik ada, cuma letak mak di rumah dia orang aje. Nak ajak bergilir pun susah. Nasib baiklah ada sorang abang yang sanggup jaga kalau saya nak balik kampung suami. Kalau sekadar dekat-dekat ni saya memang bawak mak keluar sama. Geram memang geram, tapi biarlah orang lain nak derhaka pada mak. Saya tak kisah. Cuma sedih bila mak pun susah dia orang nak jengah.”

Memamglah, bab menjaga orang tua sering sahaja menjadi perbalahan. Sebab itu agaknya orang tua-tua kata, seorang emak boleh jaga 10 anak, tapi 10 anak belum tentu boleh jaga emak yang seorang.

Kata A, kakak sulungnya sering memberi alasan sibuk menjaga cucu. Katanya, kesian kerana si anak merengek tak cukup perbelanjaan. Jadi dia rela menjaga cucu demi meringankan masalah kewangan si anak.

Hmmm.. saya cukup panas hati apabila isu ibu menjaga cucu ini dibangkitkan. Kalau kita sudah sanggup berkahwin dan beranak-pinak, maka seharusnya kita sanggup mengambil tanggungjawab yang hadir kesan daripada tindakan kita itu. Seharusnya kita sudah merancang bagaimana anak yang lahir akan dibesarkan dan urusan penjagaan di waktu kecilnya andai isteri bekerja. Kita tidak harus mengambil mudah perkara tersebut. Dan jangan lupa setiap anak yang lahir itu sudah ditentukan rezekinya.

Tapi kalau dilihat dari sudut lain pula, itulah padahnya apabila kita mengabaikan ibu. Sudahnya, jadilah kita hamba anak! Masa anak kecil, kita sibuk menjaga kebajikan anak. Bila anak sudah besar, cucu pula dihumban kepada kita untuk dijaga. Sepatutnya, di usia emas ini biarlah menjadi waktu penambahbaikan amalan sebelum dijemput Allah kembali menghadap-Nya.

Kisah yang Sham bawakan pula perihal sahabatnya yang meminta pendapat untuk berdepan dengan suami yang sibuk hendak menghantar balik anak ke kampung apabila isterinya selamat melahirkan anak nanti. Si suami yang didesak oleh ibu dan adik beradik yang lain, sudah bersetuju untuk menyuruh isterinya berpantang di rumah ibunya dan kemudian selepas pantang, anak tersebut akan ditinggalkan selama setahun dengan ibunya sebelum dipulangkan semula kepada mereka.

Menangis-nangislah si isteri ini kerana suami sudah tidak boleh diajak berbincang. Malah apabila bergaduh, kisah pergaduhan mereka suami isteri diceritakan oleh suami kepada ibunya.

Aduh, sekali lagi saya rasa telinga saya berasap! Apa jenis suamilah sebegitu. Di manalah kredibiliti sebagai seorang pemimpin dalam rumah tangga. Takkanlah hal bergaduh suami isteri nak diceritakan kepada ibu. Di mana kerahsiaan hal rumah tangga kita?

Kalau kita sudah pandai ‘buat’ anak, mengapa kita berasa ‘tidak yakin’ untuk membela sendiri anak kita? Walau susah macam manapun kita perlu ada perancangan dari awal lagi. Tak terfikirkah perasaan si isteri yang sakit melahirkan, menyusukan anak dalam pantang, tiba-tiba nak disuruh berpisah dengan anak. Dan sebagai ibu yang pernah melahirkan anak, seharusnya si ibu faham perasaan menantunya! Mengapa begitu tega nak pisahkan mereka dalam tempoh penyusuan? Bukankah itu tindakan yang zalim?

Teringat kisah seorang sahabat saya bernama Kak N. Dia sanggup bersusah payah menjaga sendiri anaknya. Dengan pendapatan suami isteri tak sampai RM2500 dan anak pula sederet setahun seorang seramai tiga orang waktu itu, dia sanggup menyewa di rumah yang uzur. Semuanya kerana ingin menjimatkan kos dan supaya dekat dengan pengasuh yang boleh menjaga anak-anaknya. Satu ketika dia terpaksa meminta ihsan syarikat untuk mengubah waktu kerja agar dapat masuk di sebelah petang hingga malam, sementara mendapat pengasuh yang baru. Semua sanggup dilakukan kerana tidak mahu menyusahkan ibu, ibu mertua dan adik-beradiknya menjaga anaknya. Sampaikan mereka suami isteri dimarahi oleh ibu, adik beradik dan mertua kerana tidak pernah menceritakan kesukaran yang dialami, sehinggalah segalanya dapat diatasi. Pada mereka berdua biarlah mereka berdikari dalam membesarkan anak-anak.

Saya cukup tidak faham dengan sikap anak yang suka menyusahkan ibu bapa! Tak cukupkah ibu bapa sudah bersusah payah daripada kita kecil hingga dewasa. Kalau kita sudah hilang upaya, sakit atau hal-hal yang tidak dapat dielakkan, lainlah ceritanya. Tapi alasan tak kukuh kewangan atau kerana tidak yakin nak jaga anak sendiri, itu sudah melampau!

Inilah agaknya yang dikatakan nabi s.a.w tentang petanda akhir zaman, ibu melahirkan tuannya. Ibu dibuat seperti hamba oleh anak-anak! Masalah ibu rela, bukan alasan. Sebagai anak kita perlu menyenangkan ibu di usia tuanya. Cukuplah ibu sudah bersusah-payah waktu kecil kita. Seharusnya ibu berehat dan tidak lagi perlu ‘bermain’ kencing berak cucu lagi. Sekarang waktu ibu honey moon semula dengan ayah!

Cukup-cukupla menyusahkan ibu. Jangan orang lain kawin, kita pun sibuk nak kawin. Orang beranak kita pun sibuk nak beranak. Tapi anak humban pada ibu untuk menjaganya. Belajarlah menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab!.

15 comments:

ain said...

saya pulak terbalik. Dah empat org anak saya, dan empat2 tu mmg saya yg jaga. Mak saya tak perlu buat apa2 . Saya tak de konsep pantang2 sgt, so keluar je hospital, rutin harian sy buat mcm biasa, mak saya dtg hanya utk melawat saya bersalin aje. mandikan baby pun sy yg buat. Masak pun sy yg buat. senang citer semua lah sy yg buat!!!

iman said...

huhu.. kak nik, pedas tapi memang bermakna... pengajaran buat semua ni...

Suhana Shahril said...

Itu semua kes anak manja lah tu.Susah skit,minta tolong mak, masalah sikit,pas anak kat mak..kan lebih seronok kalau dapat berdikari sendiri, lebih puas kalau dapat menjaga dan mendidik sendiri anak2.Sampai bila hidup nak bergantung pada orang tua, macam mana kalau tiba2 orang tua kita pergi/tiada...kalau tak belajar berdikari dari sekarang,mau terlingkup anak-anak..kucar kacir rumahtangga.

Anonymous said...

Saya juga bersetuju dgn pendapat kak nik. anak perlu di jaga sendiri oleh kita. Saya x sanggup nak berpisah dengan anak2. Biarlah orang tua berehat di usia emas mereka. itu namanya berumahtangga. Susah dan senang bersama. yang herannya nenek sanggup jaga cucu. Arwah mak saya serta ibu mertua saya memang berterus terang tentang pendirian mereka x mahu jaga cucu.

mokwonik said...

salam nik, mokwo bertuah sebb yg jaga anak2 mokwo semuanye pokwo sendiri...berkorban kariernye semata2 nak melihat anak dididik dgn sahsiah Islam yg sempurna..biarpun sukar menghadapi tanggapan negative org lain tapi kami memnag tak harapkan org lain utk didik anak2 kami..waluupun mama mokwo cukup baik hati nak jaga cucu2nye itu..klau rase2tak sanggup jage anak, pill pernacang kuarge cukup berlambak di pasaran ..makan aje deh,lepas tuh tak yah beranak, dr menyusahkan org lain..

hans said...

haih
macam2 kan
minta saya tak jadi mcm tu
kacang lupakan kulit

kakyong said...

kak nik,
saya behenti kerja dok rumah sbb tak nak susahkan mak jaga anak, pulak tu susah nak cari pengasuh..

lagipun x nak bebankan mak.. la ni mak pun byk xtvt dia.. marhaban, dan mcm2 ler xtvt komuniti yg dia join.. kurang2 ade lah pengisian utk mak pulak.. muda2 dah susah payah besarkan kami..

NIk Fauziah Nik Hussin said...

salam ain..wah ain mmg 'muslimah bersemangat waja' gitu. Mmg ye, anak kita, kitalah yang jaga. Lainlah kalau sakit terkedang tu tak dpt nak kata apa lah tu..

Iman...
biarlah sesekali bagi 'cabai'. Supaya sama-sama berfikir.

NIk Fauziah Nik Hussin said...

Ana, btol apa yg ana cakap. Kalau kita asyik duk bergantung dengan mak ayah, mmg terduduklah kalau jd apa2. Lagipun biarlah tangan kita sendiri besarkan anak2. Jangan esk anak claim mak ayah tak pernah bersusah untuk aku!

anonymous... mmg patutpun klu mak/mentua tak nak jaga cucu dah.. bukan peringkat umur mereka dah nak berkejar ngn cucu..usia mcm dorang tu dah patut berehat, beribadat dan buat aktiviti yang dorang miss masa muda!

NIk Fauziah Nik Hussin said...

Mokwonik..
sebenarnya kalau suami isteri sekata dlm membuat keputusan dan menyandang tanggungjawab, banyak perkara bersangkutan dalam keluarga boleh diatasi. Mcm pokwo, sanggup berkorban untuk anak.

Hans..ambik iktibar, jangan ikut perkara yang tak elok dik!

Kakyong.
Itulah pengorbanan besar seorang ibu. Mungkinlah bila tk kerja tu kita sedikit 'sempit' tapi kena belajar hidup dlm keupayaan yang sedikit tu kan? tk boleh lah bermewah mcm org lain kan? Tp akak yakin banyak keberkatan yang kakyong dpt rasakan? Btol tak... ramai org lupa yang sepatutnya kita cari ialah keberkatan. Mewah mcm manapun takde berkat, hidup tunggang-langgang jgk, rasa tak cukup semedang kan?

kakyong said...

kak nik,
sgt2 setuju pasal isu keberkatan ni.. memang lah tak leh nak sangkal, kdg2 rasa sesak di dada bila duit cukup2 nak byr hutang (biasalah kan hutang kereta, rumah).. & ada kala (acapkali dah pun) bil2 utiliti tertangguh.. tp xde lah sampai kami suami isteri bergaduh.. saya rasa masih boleh lagi kawal emosi & sabar.. mungkin di situ lah hikmahnya.. belajar bersyukur dgn apa yg ada...

NIk Fauziah Nik Hussin said...

Yong...apa yang Yong alami tu lumrah sebenarnya. tp tulah manisnya sebuah kehidupan. Yang penting kita kena belajar hidup dlm kemampuan yang terhad. Dan yakin dengan kekuasaan Allah. Duit ni klu hitung atas kertas, semua tak cukup tp bila adanya berkat..kita dpt juga lalui kehidupan. Alhamdulillah kan, tak pernah pun miss makan sehari? Bila kita bersyukur dan bertawakal, Allah buka rezeki tanpa hisab. sekurang2nya rumah tangga ttp aman walau hidup sederhana kan?

Deng Anaz said...

ehh kak nik..anak2 deng mmg deng tinggal dgn mak time deng g keje..sbb deng duk mikir, daripada deng byr kat sapa2, baik deng byr kat mak..kalau mak x sihat ker apa, deng cuti lar hari tue, duk umah mak tgk2 mak ngn budak2 tue skali..kak nik nie, main bambu jer tau..buat lar pengecualian sikit..hisyyy..bgtau mak kak nik ckp canni...

sya said...

betul kak... saya pun panas bila dengar orang hantar anak kepada mak untuk jaga.. pada saya, usia dah tua adalah masa untuk banyakkan 'berkhalwat' untuk beribadah. bukan diganggu dengan jerit pekik cucu. sesekali datang meneman tu tak apa lah... ini, dia lah yang menghantar cucu ke sekolah, dia lah yang ambil, sediakan makanan, gosok baju sekolah cucu.. nanti, bila anak yang lain ajak berjalan pun susah, sebab kena 'bertugas' ambik cucu dari sekolah...

hai... cukuplah mak tu dah jaga anak sendiri dari kecil hingga ke tua, jangan ditambah pula kena menjaga cucu pula..

alamak, sorry kak.. teremosi pula.. huhu..

anis said...
This comment has been removed by a blog administrator.