RSS

Monday, October 12, 2009

Yang Mudah dan Indah

Tudung atau jilbab, bukanlah sesuatu yang asing di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Daripada sekecil-kecil anak hinggalah kepada wanita dewasa dan warga emas, memakai tudung sudah menjadi satu kebiasaan yang diterima semua. Tidak kira atas dasar berfesyen (ikut-ikutan) atau menyedari ianya tanggungjawab yang wajib dilaksanakan, bertudung sudah menjadi amalan.

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi apabila kita dapat melihat amalan bertudung ini dilaksanakan oleh kebanyakan wanita Islam di negara kita. Teringat zaman persekolahan dahulu, pemakaian tudung di sesetengah sekolah tidak dibenarkan atau boleh memilih untuk bertudung atau sebaliknya. Namun pada hari ini, kebanyakan sekolah menggalakkan pelajar wanita Islam bertudung hingga ada sesetengahnya seolah-olah menjadi ‘wajib’ pula. Walaupun seolah-olah berupa ‘paksaan’, namun tiada salahnya kerana sekurang-kurangnya ia memberi peluang bagi yang tidak pernah melaksanakannya mencuba, dengan harapan ia menjadi satu kerelaan kelak.

Menutup aurat itu wajib, sebagaimana wajibnya mendirikan solat. Jika solat itu perlu ‘dipaksa’ sejak kita berusia 7 tahun, (bermula dengan suruhan, kemudian dipukul apabila berumur 10 tahun), maka ‘paksaan’ juga seharusnya dibuat dalam hal menutup aurat kerana daripada paksaan inilah menjadi kebiasaaan yang akhirnya membentuk pemahaman. Sekiranya kita boleh menerima unsur ‘paksaan’ dalam urusan solat dan puasa, maka seharusnya dalam urusan menutup aurat ini juga kita tidak bersikap berkecuali. Kalau dalam solat kita boleh menutup aurat, maka seharusnya signifikan dalam solat ini dibawa keluar dalam kehidupan seharian!

Bercerita mengenai bertudung ini, ramai juga di kalangan kita bertudung ketika keluar bekerja atau keluar bersiar-siar bersama keluarga, alhamdulillah. Namun ramai juga yang terlepas pandang dan tidak mengenakan tudung apabila melangkah keluar rumah untuk menyidai pakaian, berkebun atau sekadar melangkah ke halaman. Atau tatkala berhadapan dengan ipar duai, sepupu dan dari kalangan yang sama. Begitu juga apabila menerima tetamu yang bukan mahram di rumah!

Kenapa begitu? Adakah kita merasa tidak apa kerana berada di persekitaran rumah sahaja atau dikelilingi oleh orang yang kita kenali? Mungkin kita terlupa sebenarnya aurat itu tetap haram dilihat oleh kaum ajnabi tidak kira di mana situasinya.

Alhamdulillah, kita telah faham sedikit sebanyak tentang aurat, maka lebih baik lagi penghayatan tersebut ditonjolkan melalui perlaksanaannya. Jika sebelum ini kita terlepas pandang, selepas ini sama-samalah kita perbaiki diri. Tanda adanya peningkatan iman, insya-Allah. Memang mula-mula terasa pelik, tapi alah bisa tegal biasa. Jika dihayati dan dilaksanakan akan terasa mudah dan indah.

Tutup aurat bukan sekadar menutup daripada pandangan yang tidak berhak, tetapi signifikan menutup aurat juga wajib dihayati. Menutup segala akhlak yang buruk dengan akhlak yang mulia. Tutup aurat dan serlahkan akhlak dan keperibadian muslimah solehah, insya-Allah!

2 comments:

ain said...

saya teringin nak menutup aurat spenuhnya. kdg2, sy 'terlepas' ketika didlm kaw rumah atau ketika ipar duai berkunjung!!

Nik Fauziah Nik Hussin said...

salam ain...
akak pernah terbaca satu kisah mengenai saidatina aishah, setelah nabi wafat dan dikebumikan di dlm rumah baginda (di tmpt raudhah tu) saidatina aishah masih lagi membuka jilbab dlm rumah, begitu juga setelah kematian saidina Abu Bakar dan dikembumikan di sebelah Rasulullah, Aishah masih lagi membuka jilbabnya. Tapi setelah kematian saidina Umar dan dikebumikan di dlm rumahnya juga, Aishah terus menjaga auratnya, kerana seblm ini yang pergi itu suami dan ayahnya. Tapi Saidina Umar bukan mahramnya, biarpun sudah berada di bawah sana, Aishah tetap menjaga auratnya..wallahua'lam.