RSS

Tuesday, January 6, 2009

Beruntungkah Kita?

Hari ini sudah genap sepuluh hari Israel membedil Palestine... Setiap kali menonton channel Al-Jazeera, air mata saya pasti menitis melihat kesengsaraan anak-anak, wanita, warga emas dan juga semua saudara saya di bumi berdarah tersebut.

Kesedihan begitu merobek tangkai hati... anak kecil terbujur kaku atau ada yang terbaring diselirati wayar dan tiub dalam keadaan kemudahan yang dhaif. Hospital dibom... bangunan runtuh, mayat bergelimpangan... hati seorang ibu sudah pasti tidak dapat lari daripada memikirkan bagaimana jika itu yang terpaksa dilalui oleh anak-anak saya.

Beruntung kita berada di bumi yang aman damai.. namun setiap kali menyebut beruntung.. saya jadi tertanya sendiri, apakah kita sebenarnya beruntung?? Beruntungkah kita kerana paling kurang dapat makan 3 kali sehari? Beruntungkah kita kerana dapat keluar bekerja, membeli belah? Beruntungkah kita jika pagi kita keluar bekerja, petang kembali ke rumah berehat bersama keluarga?

Apakah beruntung kita kerana setiap kali di dada akhbar tertera kisah anak muda kita mempertaruh nyawa di jalan raya seolah-olah tiada harga, berlumba sesama sendiri? Beruntungkah kita kerana dalam keamanan yang dinikmati, anak gadis Melayu-Islam kini ramai bersedudukan sehingga melahirkan anak luar nikah? Atau beruntungkah kita kerana hari ini ramai di kalangan kita yang Islam warisan ini tanpa rasa bersalah mengisytiharkan diri murtad?

Disebabkan kita tidak pernah diuji maka kita semakin lalai, bersikap individualistik - ah... itu di sana, di sini aman - dan lebih menyedihkan kita bersikap menidakapakan hukum Tuhan... Ah! tak apa... lambat lagi nak mati. Ah! Tak apa...muda lagi bila masa nak enjoy, nanti tua barulah bertaubat...!

Begitulah kita, sentiasa panjang dengan angan-angan. Justeru tidak hairanlah jika di saat saudara kita di bumi Palestine 'dikendurikan' oleh Yahudi laknatullah, kita masih bergembira menyambut pesta tahun baru dan meriah menyambut kenduri Mawi. Di saat para remaja Palestine sibuk mengangkat senjata memerangi musuh agama dan negara, remaja kita sibuk dengan My Starz LG, Raja Lawak dan di saat anak kecil Palestine membaling batu dengan keyakinan kalau diizinkan Allah batu itu boleh membunuh musuh Allah itu, anak kecil kita bergembira dengan TOMTOMBAK.

Fikirkanlah... adakah kita benar-benar beruntung atau kita sebenarnya sedang dalam istidraj Allah...? Na'uzubillah!

0 comments: