RSS

Wednesday, March 17, 2010

Cerita Kampung Lagi!


Sabtu lepas kami sekeluarga sempat balik ke Kedah. Kebetulan Ince Hb ada urusan tanah pusaka, jadi peluang tersebut digunakan untuk membawa anak-anak bercuti, berkebetulan dengan cuti persekolahan.

Kami bertolak jam 10 malam hari Sabtu dan tiba jam 2.30 pagi di rumah abang ipar di Taman Gurun Jaya. Break record lah juga perjalanan kerana kami langsung tidak berhenti di jalanan.

Sebaik sampai di Gurun, sempat singgah di gerai nasi lemak Nasir Bilal Khan di pekan Guar Chempedak. Memborong nasi lemak lima puluh sen sebungkus 10 bungkus. Seronok..ada lagi nasi lemak 50 sen!

Hari Ahad seperti biasa, aktiviti jalan-jalan. Anak-anak bila dah sampai Kedah, agenda wajib ke rumah Tok Wan Ahmad, rumah tepi sawah yang menjadi kegilaan anak-anak beraktiviti!.

Kebetulan pula anak bungsu Tok Wan Ahmad, (adik bungsu biras) ada balik dari Sabah. Walaupun anak bungsu tapi dipanggil Pak Anjang, kerana kata biras ingatkan selepas Pak Anjang, akan ada lagi adik. Rupa-rupanya terhenti pada Pak Anjang sahaja!

Isteri Pak Anjang Khairul, Mak Anjang Ani sibuk memasak waktu kami sampai. Tengahari tersebut, kami makan besar. Juadah yang disediakan antaranya masak lemak kuning ketam, sambal tumis udang dengan belimbing buluh dan kari ikan jemuduk. Ada sambal mempelam dan ikan kering serta ikan senangin goreng. Aduh.. berpeluh-peluh dibuatnya.

Sekarang musim kemarau di Kedah. Hujan turun tak menentu. Jadi tidak kelihatan padi menghijau. Yang ternampak cuma, padang gondol yang luas. Kata Tok Wan Ahmad, tunggu musim hujan turun baru tali air akan dibuka dan proses menanam padi akan dilakukan. Anak-anak agak frust juga, kerana tak dapat melihat sawah padi menghijau.

Tapi aktiviti minum air kelapa muda tetap diteruskan. Terbarai jugaklah setandan kelapa muda Tok Wan Ahmad!

Selain itu sempat juga anak-anak bermain layang-layang. Angin yang kuat di kawasan sawah yang sudah menjadi padang, memang seronok untuk bermain. Memang tak lepas peluang si Iman dan Efa. Yang jadi mangsa buat layang-layang, sepupu merekalah. Kak Ala dan Abang Am. Habis lidi penyapu Tok Wan kena rembat dengan cucu!

Sebelah petang kami sekeluarga bertolak ke Tanjung Dawai. Sebenarnya teringin nak merasa ikan bakar yang menjadi sebutan di Tanjung Dawai. Sebelum sampai di Tanjung Dawai sempat melencong ke Pantai Murni, tapi sekejap sahaja.

Kami tiba di Tanjung Dawai jam 6.30 petang. Singgah di salah sebuah kedai menjual ikan bakar. Lupa pula nama kedainya. Agak banyak juga pilihan. Kami ambil ikan cencaru yang besar, udang, ketam, sotong dan kerang.

Ikan dibakar, udang goreng mentega, sotong celup tepung, ketam masak masam manis dan kerang bakar. Kemudian ada tambahan kangkung goreng belacan dan tomyam campur serta jus buah-buahan dan laici kang. Untuk makan lima orang (enam termasuk si Efa), kami membayar RM90.00. Berbaloilah kan?

Sementara menunggu hidangan siap dimasak dapat melihat pemandangan matahari terbenam. Memang cantik.

Kali ini tak sempat untuk ke Teluk Kechai makan laksa. Masa yang suntuk dan perut kekenyangan tak mengizinkan. Pendek kata balik ke Kedah dua malam, penuh perut sentiasa! Mesti kilo pun naik barang seunit dua..adusss!

Isnin, selesai urusan di Mahkamah Syariah Sg. Petani, saya dan suami sempat singgah di sebuah gerai makan yang menawarkan hidangan roti canai dan teh tarik gelas kecil dengan harga RM1.00. Gerainya terletak di Guar Chempedak. Memang ramai pengunjungnya. Tapi kami makan pulut dengan ikan kering sahaja.

Jam 3 petang, kami bertolak balik ke KL. Anak-anak, terutama si Iman dan Efa merungut tak puas berada di kampung. Tapi cuti tak mengizinkan. Akhirnya kami tiba di rumah jam 8.15 malam. Kali ini berhenti dua kali. Itupun Inche Hb saja yang turun!

Dan malam tadi, saya tidur jam 4.15 pagi.. biasalah, menyiapkan kerja yang tertunggak disebabkan bercuti. Apa nak buat, kerja mengikut deadline ni beginilah! Jom layan gambar...

sawah kontang menunggu hujan turun
matahari terbenam di Tjg Dawai
Pantai Murni
Tjg Dawai
udang celup tepung, ketam sweet sour, udang goreng mentega, kangkung belacan dan tomyam
cencaru bakar dan kerang bakar.
tinggal kulit aje..
wassalam...dah tidur dah, kepenatan

7 comments:

ana sofiya said...

pantai murni dekat yan, kan?
tgk gambar, dan baca ttg kedah..rindu nak balik sana pulak..
arghh..laksa teluk kechai...
nik, pernah rasa sup tonggek kat pekan rabu tak? terangkat, woo
hehe

NIk Fauziah Nik Hussin said...

kak sofi..
sup tonggek!!! first time dengar. Tak pernah lak hb bwk pi.

Marzalina said...

sedapnya gambar makanan tu semua huhuhu..syoknya!!

mak intan suka gi area tanjung dawai beli ikan kering hehehehe

zara aluwi said...

Assalamualaikum,

Sebut Tanjung Dawai, teringat peristiwa naik bot di Pantai Merdeka untuk ke Tanjung Dawai. Hingga akak muatkan kisah tu ke dalam novel pertama akak. Memang murah, makan di Tanjung Dawai. Terasa nak ke sana lagi.

Masayu Ahmad said...

Assalamualaikum

Seronok kak nik sekeluarga balik kampung, saya baca pun dah boleh gambarkan apa lagi yang merasai sendiri.

Lauk-pauk tu memang menyelerakan.

sya said...

kak, rindunya tg dawai... pantai merdeka, gunung jerai.. kiranya, rindu semua lah belah2 utara tu...

cantik2 pemandangan kat sana.... buat saya lagi rindu! hehehe

hans said...

rindu nak balik kedah