RSS

Sunday, March 21, 2010

Hari Pertama PBKL 2010

19 Mac, bermulalah KL International Book Fair 2010. Seperti biasa, saya akan menjadi pengunjung tetap. Urusan kerja – membuat liputan, mencari bahan untuk majalah. Sambil sempat jugalah menjamu mata dan membeli buku.

Hari pertama pesta buku kali ini, saya bercuti (sebagai ganti dua hari satu malam bekerja tanpa henti mengejar deadline), jadi masa diperuntukkan untuk membeli buku dan meninjau-ninjau gerai-gerai penerbit lebih panjang. Seperti biasa, saya ke gerai Kak Yati (Norhayati Berahim). Mendapatkan novel terbaru beliau dan agenda wajib berlonggok berjumpa rakan blogger. Cuma Liza Bujang sahaja yang sempat saya temui di hari pertama.

Kemudian saya ke gerai PTS, mencari novel kanak-kanak untuk Iman. Kebetulan, hari pertama pesta buku bersamaan tarikh ulangtahun Iman yang ke-10. Boleh tahan juga ramainya orang di gerai PTS walaupun hari pertama. Penat juga beratur untuk membayar. Di gerai PTS, terjumpa dengan Editor PTS, Asmah Fadilah. Terima kasih pada Asmah yang sudi ‘meminjamkan’ kemudahan staffnya. Dapatlah diskaun sebanyak 35% untuk buku-buku yang dibeli oleh Along Huda.

Di gerai PTS jugak, saya terserempak dengan Yusnita, PRO Media Prima. Katanya sudah bertukar pula ke GBSB. Yus datang dengan kakak iparnya. Sempat bertukar khabar sekejap dengan Yus.

Kemudian saya ke gerai kak Noor Suraya untuk bertemu kak Su dan kak Noor. Ramai betul pengunjungnya, tak sempat nak ambil gambar kak Su dan Kak Noor. Dan tak sangka terjumpa pula dengan sahabat saya Saidah Saat yang lebih 20 tahun terpisah. Tak sempat juga nak rakam gambar Saidah dan anak keduanya. Tak apa Saidah, lepas ni kita contact lagi!

Hari yang sama sempat juga ke gerai Blue T, sambung langganan Ana Muslim. Dan singgah di gerai Galeri Ilmu. Lama juga bersembang dengan sahabat seperjuangan, Kak Jalilah, editor majalah Anis. Memang lama sungguh tak bersua dan bersembang dengan Kak Jal. Kali terakhir menelefon Kak Jal, sewaktu hari kematian Ustaz Asri Rabbani. Kebetulan Kak Jal sedang menunggu isteri arwah Ustaz di hospital.

Memang tak puas berpusing-pusing di pesta buku pada hari pertama. Insya-Allah tugasan yang dipikul akan membawa saya lagi ke pesta buku, sebelum tiba tarikh akhirnya, mudah-mudahan.

Apapun nilah yang dibeli pada hari pertama…16 buah buku!! (baru hari pertama tuh!!!)

Iman… dah sepuluh tahun dah anak umi nih!!!

Wednesday, March 17, 2010

Cerita Kampung Lagi!


Sabtu lepas kami sekeluarga sempat balik ke Kedah. Kebetulan Ince Hb ada urusan tanah pusaka, jadi peluang tersebut digunakan untuk membawa anak-anak bercuti, berkebetulan dengan cuti persekolahan.

Kami bertolak jam 10 malam hari Sabtu dan tiba jam 2.30 pagi di rumah abang ipar di Taman Gurun Jaya. Break record lah juga perjalanan kerana kami langsung tidak berhenti di jalanan.

Sebaik sampai di Gurun, sempat singgah di gerai nasi lemak Nasir Bilal Khan di pekan Guar Chempedak. Memborong nasi lemak lima puluh sen sebungkus 10 bungkus. Seronok..ada lagi nasi lemak 50 sen!

Hari Ahad seperti biasa, aktiviti jalan-jalan. Anak-anak bila dah sampai Kedah, agenda wajib ke rumah Tok Wan Ahmad, rumah tepi sawah yang menjadi kegilaan anak-anak beraktiviti!.

Kebetulan pula anak bungsu Tok Wan Ahmad, (adik bungsu biras) ada balik dari Sabah. Walaupun anak bungsu tapi dipanggil Pak Anjang, kerana kata biras ingatkan selepas Pak Anjang, akan ada lagi adik. Rupa-rupanya terhenti pada Pak Anjang sahaja!

Isteri Pak Anjang Khairul, Mak Anjang Ani sibuk memasak waktu kami sampai. Tengahari tersebut, kami makan besar. Juadah yang disediakan antaranya masak lemak kuning ketam, sambal tumis udang dengan belimbing buluh dan kari ikan jemuduk. Ada sambal mempelam dan ikan kering serta ikan senangin goreng. Aduh.. berpeluh-peluh dibuatnya.

Sekarang musim kemarau di Kedah. Hujan turun tak menentu. Jadi tidak kelihatan padi menghijau. Yang ternampak cuma, padang gondol yang luas. Kata Tok Wan Ahmad, tunggu musim hujan turun baru tali air akan dibuka dan proses menanam padi akan dilakukan. Anak-anak agak frust juga, kerana tak dapat melihat sawah padi menghijau.

Tapi aktiviti minum air kelapa muda tetap diteruskan. Terbarai jugaklah setandan kelapa muda Tok Wan Ahmad!

Selain itu sempat juga anak-anak bermain layang-layang. Angin yang kuat di kawasan sawah yang sudah menjadi padang, memang seronok untuk bermain. Memang tak lepas peluang si Iman dan Efa. Yang jadi mangsa buat layang-layang, sepupu merekalah. Kak Ala dan Abang Am. Habis lidi penyapu Tok Wan kena rembat dengan cucu!

Sebelah petang kami sekeluarga bertolak ke Tanjung Dawai. Sebenarnya teringin nak merasa ikan bakar yang menjadi sebutan di Tanjung Dawai. Sebelum sampai di Tanjung Dawai sempat melencong ke Pantai Murni, tapi sekejap sahaja.

Kami tiba di Tanjung Dawai jam 6.30 petang. Singgah di salah sebuah kedai menjual ikan bakar. Lupa pula nama kedainya. Agak banyak juga pilihan. Kami ambil ikan cencaru yang besar, udang, ketam, sotong dan kerang.

Ikan dibakar, udang goreng mentega, sotong celup tepung, ketam masak masam manis dan kerang bakar. Kemudian ada tambahan kangkung goreng belacan dan tomyam campur serta jus buah-buahan dan laici kang. Untuk makan lima orang (enam termasuk si Efa), kami membayar RM90.00. Berbaloilah kan?

Sementara menunggu hidangan siap dimasak dapat melihat pemandangan matahari terbenam. Memang cantik.

Kali ini tak sempat untuk ke Teluk Kechai makan laksa. Masa yang suntuk dan perut kekenyangan tak mengizinkan. Pendek kata balik ke Kedah dua malam, penuh perut sentiasa! Mesti kilo pun naik barang seunit dua..adusss!

Isnin, selesai urusan di Mahkamah Syariah Sg. Petani, saya dan suami sempat singgah di sebuah gerai makan yang menawarkan hidangan roti canai dan teh tarik gelas kecil dengan harga RM1.00. Gerainya terletak di Guar Chempedak. Memang ramai pengunjungnya. Tapi kami makan pulut dengan ikan kering sahaja.

Jam 3 petang, kami bertolak balik ke KL. Anak-anak, terutama si Iman dan Efa merungut tak puas berada di kampung. Tapi cuti tak mengizinkan. Akhirnya kami tiba di rumah jam 8.15 malam. Kali ini berhenti dua kali. Itupun Inche Hb saja yang turun!

Dan malam tadi, saya tidur jam 4.15 pagi.. biasalah, menyiapkan kerja yang tertunggak disebabkan bercuti. Apa nak buat, kerja mengikut deadline ni beginilah! Jom layan gambar...

sawah kontang menunggu hujan turun
matahari terbenam di Tjg Dawai
Pantai Murni
Tjg Dawai
udang celup tepung, ketam sweet sour, udang goreng mentega, kangkung belacan dan tomyam
cencaru bakar dan kerang bakar.
tinggal kulit aje..
wassalam...dah tidur dah, kepenatan

Friday, March 12, 2010

Imiginasi kanak-kanak

Anak-anak sedang membesar, kadang kala tak terduga kita dengan pemikiran mereka. Ada kala kita boleh menjawab pertanyaannya. Ada kala kita terpaksa buat bodoh! Adakala kita boleh jadi bengang juga untuk memikirkan jawapan sesuai seusia mereka.

Sebagai contoh, kalau dia bertanya, Umi kenapa dalam gambar ni adik takde? Kita jawab, adik belum ada lagi waktu tu..Dia mula bising. Adik dah adalah! Iyelah. Tapi kat mana? Dalam perut umi ye…Oo.. adik masa tu tengah main-main dengan Allah ye? Kat syurga? Aduh..memang tepuk kepala dibuatnya! Itu belum masuk bab macam mana ada baby dan baby lahir..

Pernah juga apabila isu rogol kanak-kanak sedang hangat ditayangkan di tv dulu, anak yang kedua bertanya, apa dia rogol itu. Mujurlah saya teringat kawan saya pernah bercerita perkara yang sama. Anak saudaranya bertanya kepada abangnya makna rogol.

Maka jawapan tersebut saya ulang pada anak.. “Rogol tu perbuatan orang jahat dik…menyiksa kanak-kanak..bla.bla.bla..”

Memang jadi ibu kena sentiasa bersedia dengan jawapan yang kita tak tau bentuk soalan ‘cepumas’ yang akan naik!!

Teringat dalam minggu ni, seekor katak masuk dalam rumah. Kebetulan pintu dapur terbuka. Saya memang cukup pantang dengan katak. Geliiii sangat! Lalu saya suruh along tolong kuis keluar.

Kata along, bukan katak biasa umi, katak pisang. Adus lagi lah buat saya kecut, dengan katak yang boleh ‘terbang’ nih…Saya suruh juga along tolong buangkan. Akhirnya kata along, katak tu menyorok belakang kabinet dapur. Sabar jelah..!

Efa seperti biasa, kalutlah. Apatah lagi terjumpa ‘benda’ baru. Setelah keadaan reda, saya kembali menghadap komputer. Si Efa duduk di belakang saya, mewarna. Tiba-tiba saya terdengar dia bercakap seorang diri. “Kenapa orang panggil katak pisang? O, sebab dia bawak pisang sebab tu orang panggil katak pisang”.

Saya yang sedang menaip, tergelak seorang mendengar ocehan si Efa. Kebetulan si Iman yang mendengarnya menyampuk.. “dik, kenapa katak hon (katak yang bunyinya kuat waktu hujan)”. Jawap si adik penuh yakin.. “O, sebab dia tekan hon tu!”. Aduh, lagi lah tergelak besar saya mendengar jawapan yang penuh tulus itu!

Agaknya bagaimanalah otak mereka berfungsi di peringkat usia sebegitu? Belum masuk peringkat usia sekolah rendah. Kalau yang bersekolah rendah pula, soalannya mesti bermula dengan KENAPA?

Tambahan dengan si Iman. “Umi kenapa kena solat, umi kenapa Allah buat kita ada kuku, Umi, kalau tak sembahyang tak boleh ke? Umi, tak boleh ke kalau… Umi macam mana kalau..?” Bagaimana nak menjawabnya?

Selalu juga saya ‘kenakan’ semula. Jangan jadi macam kaum Bani Israel dengan Nabi mereka. Benda yang senang, kalau banyak sangat tanya sampai jadi susah. Macam kisah sapi betina tu. Daripada senang, disebabkan banyak sangat bertanya, mintak details, akhirnya jadi susah! Hmm..politiklah kan???

Thursday, March 4, 2010

Nostalgia…

Baru-baru ini sempena sambutan maulidurrasul, telah diadakan ekspo 1 Malaysia 1 Halal bertempat di Masjid Negara. Teringat dulu-dulu, ekspo yang menampilan jualan produk-produk halal ini dipanggil Ekspo Masjid Negara.

Saya berkesempatan mengunjungi ekspo ini. Kebetulan diadakan sempena cuti maulidurrasul yang bersambung dengan hujung minggu. Kunjungan tersebut lebih kepada untuk membawa anak-anak berjalan, di samping urusan mencari iklan untuk majalah.. 2 dalam 1 lah tu kiranya.

Cadangan awal, kami sekeluarga ingin pergi pada petang Sabtu. Anak-anak sibuk ingin menonton persembahan nasyid. Tapi disebabkan kereta terpaksa dihantar ke bengkel, akhirnya pagi Ahad (hari terakhir) baru dapat ke sana. Konon-konon nak berlama di situ tetapi cuaca panas membuatkan masing-masing sudah nak balik. Tak sempat solat Zohor kami dah cabut balik!

Sempat jugalah membeli sebotol sambal tumis segera keluaran NekNor yang dijual dengan harga RM4.90. Rasanya? Bolehlah kalau nak makan segera tu. Cuma goreng bilis dan kacang tanah, biarkan sejuk kemudian gaul saja dengan sambal tu.

Dapat juga membeli air karbonat keluaran maduria dan FAMA. Oh, si Iman sudah tersangkut di gerai Ana Muslim. Apalagi koleksi buku-buku Ana Solehah yang belum ada semua diangkutnya. Dan Efa pula sempat capai T-Shirt Ana Muslim.

Orang ramai juga pada hari terakhir, jadi terpaksalah parking agak jauh dari masjid. Dekat medan selera Tangling dan berjalan kaki ke Masjid Negara. Melalui Jalan Cenderasari ini, sebenarnya membawa nostalgia bagi saya. Sebab inilah jalan yang saya lalu setiap hari persekolahan dari tahun 1982-1986, 28 tahun yang lalu. Uiks.. lama tu!!

Di sebelah Masjid Negara inilah saya bersekolah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Methodist Girls’ School (MGSKL). Bila melihat bangunan sekolah, teringat zaman belajar dahulu. Sezaman dengan saya, Sheila Majid (senior saya), Ziela Jalil (junior) dan Sheliza Shahdan (classmate). Bangunan lama masih kekal dan ada juga tambahan baru. Iyelah, sudah 24 tahun sekolah tersebut saya tinggalkan. Tapi tentu saja kenangannya masih kekal di ingatan!

Bangunan di belakang yang kelihatan tu, terletak kelas saya dulu, tingkat 5 sains 2. Monyet cukup suka masuk kelas kami hahaha!

Sempatlah posing depan gate sekolah (dulu-dulu zaman sekolah tak pernah teringin pun! Hahaha), bawah pokok saga. Si Efa siap kutip biji saga yang berterabur. Teringat zaman sekolah dulu, saya pun suka jugak kutip biji saga yang merah menyala ni!

Apa pun, kenangan lama memang satu yang indah untuk dikenang!