RSS

Saturday, February 27, 2010

Alahai Anak Umi…

Pagi Jumaat, saya, suami dan Efa keluar bersarapan bertiga. Kak long tidak mahu ikut, hendak menyiapkan kerja sekolah katanya, sementara Iman kembali menyambung tidur selepas solat subuh.

Kami bertiga ke Restoran Taqwa di Seri Gombak. Saya suka makan tosey telur di situ. Memang sedap. Suami memesan roti canai, berkongsi dengan Efa.

Setelah itu kami menghala ke kedai spare part di Batu 6 Jalan Gombak. Suami mahu membeli timing belt kerana timing belt yang sedia ada sudah sampai jangka hayatnya untuk ditukar.

Sewaktu dalam perjalanan ke kedai tersebut tiba-tiba ternampak sekumpulan orang ramai yang berarak. Ingatkan orang berarak maulud Nabi, tapi nampak ada semacam kumpulan kompang. Oh, kenduri kawin agaknya, kata saya kepada suami.

Seperti biasa, Efa riuh mulutnya bertanya. “Orang kawin ye umi. Ke berarak maulud? Kenapa orang berarak…bla..bla.bla..”

Setelah membuat pusingan U, suami memberhentikan kereta di tepi jalan di hadapan kedai spare part tersebut. Saya dan Efa tinggal di dalam kereta. Efa sudah berpindah dari tempat duduk belakang ke atas riba saya di hadapan.

Tersengih-sengih memandang muka saya. Tiba-tiba dia bersuara.

“Umi adik nak kawin lah..”

“Ha..?” tanya saya terkejut. Dalam hati saya berkata budak ni biar betul. Ke maksud dia dah besar nanti?

“Adik nak kawin kecik-kecik ni…”

Adus!! Tepuk kepala saya.. Alahai anak, faham ke kamu makna kahwin tu..

“Adik nak kawin dengan sapa?”

“Dengan Huzaifah, awek adik”

Hua! Hua!

Allah. Allah.. Tergelak saya mendengar celoteh Efa.

“Isk adik tak malu lah” usik saya. Efa sudah ketawa menggelekek. Dia mempermainkan saya rupa-rupanya!

Tapi itulah budak-budak sekarang, kecik-kecik lagi dah pandai!.

Bila saya tanya siapa Huzaifah, kata Efa kawan di tadikanya. Dia suka berkawan dengan Huzaifah kerana pipinya tembam dan Huzaifah pula memang suka mengusik Efa.

Daripada Iman saya dapat tahu, rupa-rupanya Huzaifah anak ustazah Iman. Ustazah Hazirah dan suaminya Ustaz Jailani, Imam masjid di Jalan Gombak.

Isk,isk,isk dapat ‘berbesan’ dengan ustaz-ustazah rupa-rupanya! Hahaha…macam-macam hal anak dara saya sorang ni..

Wednesday, February 24, 2010

Birthday Dan Bertindik

Hari ini genap umur si Efa 5 tahun. Sejak dari semalam lagi dia sudah tersenyum lebar apabila diberitahu bahawa hari ini dia bakal menyambut hari lahirnya yang ke-5. Cuma lucunya dia sudah warning kami awal-awal… “Adik tak nak lagu happy birthday.. tapi nak nyanyi lagu Allah selamatkan kamu!”. Macam-macam

Awal pagi tadi dia agak liat untuk ke sekolah. Katanya nanti kalau petang dia balik dah nak habis happy birthday dia. Setelah dipujuk dan berjanji petang nanti kami akan bawa dia pilih kek sendiri, barulah dia ceria kembali.

Petang tadi setelah dia balik dari sekolah, Efa sudah pun kelihatan ceria. Dia meminta untuk bertindik telinga. Mulanya ingatkan dia main-main. Setelah mandi dan menukar pakaian, kami terus membawanya keluar. Setelah mengambil kaklong di sekolahnya, kami ke pasaraya Giant Taman Permata. Mencari kedai aksesori untuk menindik telinganya.

Sebelum itu beberapa kali juga kami mengusik dan menggempak untuk menakutkan dia. Tapi dia benar-benar nekad untuk bertindik. Setelah tiba di kedai tersebut sekali lagi saya bertanya benar-benarkah dia ingin bertindik. Dia tetap tidak berubah fikiran.

Apabila pekerja kedai tersebut menindik telinga sebelah kirinya dia sudah mula mahu menangis. Sakit katanya. Tapi segera saya ingatkan dia yang dia sendiri mintak nak pakai subang. Mujurlah sempat juga telinga sebelah kanan pula ditindik, walaupun dia sudah tercebik-cebik hendak menangis. Segera didukung oleh abahnya dan setelah disuakan cermin, dia kembali senyum.

telinga Efa dah bersubang

Setelah selesai, kami ke kedai kek pula. Setelah puas memilih Efa berkenan dengan sebiji kek coklat. Bukan main seronok lagilah dia, dapat kek dan dapat pakai subang. Lihatlah saja keceriaan di wajahnya.




Semoga Efa terus membesar menjadi anak yang solehah!

Monday, February 22, 2010

Uri Terlekat

Semalam saya menerima mesej dari blogger Kak Asma http://kaksma.blogspot.com bertanya sama ada saya sudah tahu mengenai kehadiran orang baru dalam keluarga beliau.

Saya memang tak perasan kerana pada entry terakhir di blog, beliau masih lagi belum melahirkan. Apabila sudah hujung minggu memang komputer pun menjadi rebutan anak-anak.

Sebaik membalas mesej beliau, saya terus menghubunginya pula. Saya memang malas sungguh untuk menaip mesej. Lebih puas bercerita kalau dapat mendengar suara.

Alhamdulillah, Kak Asma dan baby sihat walafiat. Biarpun dia agak bimbang untuk menyambut kehadiran orang baru di usia sudah melebihi empat puluh, namun dengan keyakinan bahawa sudah rezeki buatnya sekeluarga, beliau redha.

Inilah orang baru dalam keluarga Kak Asma (kredit dari blog Kak Asma)


Dan tambah mengujakan kelahiran si bongsu ini merupakan seorang hero, jadi adalah kawan untuk si Acid. Kalau tidak, Acidlah saja ‘kumbang’ yang dikelilingi bunga-bunga di ‘taman’ Kak Asma dan suami.

Cuma agak ngeri, apabila Kak Asma mengalami masalah uri tersangkut dan masuk semula ke dalam. Daripada kelahiran yang normal, beliau nyaris-nyaris terpaksa dibedah untuk mengeluarkan uri tersebut.

Alhamdulillah, ia tidak terjadi. Tapi agak ‘teruk’ jugalah beliau ‘dikerjakan’ oleh doktor. Mujurlah, dia diberi general anesthetics. Dan sebaik sahaja sedar daripada kesan bius, Kak Asma makan beberapa biji tamar untuk memulihkan tenaga beliau. Kata Kak Asma dia teringat perihal Maryam yang makan buah tamar sebaik sahaja selamat melahirkan Nabi Isa, dan berbekalkan keyakinan tersebut, beliau mencubanya. Alhamdulillah, beliau dibenarkan pulang pada hari yang sama.

Berdiri juga bulu roma dek terasa ngilu mendengar pengalaman yang terpaksa dilalui Kak Asma. Sebenarnya saya sudah lama terlintas untuk memberikan sepotong ayat Quran yang pernah diajar kepada saya oleh seorang ustaz (almarhum) untuk mereka yang lekat uri sewaktu bersalin, kepada Kak Asma. Tapi entah macam mana terlupa pula. Sudah tersurat begitu…

Sebelum terlupa lagi, kepada sahabat-sahabat yang sedang menunggu kehadiran orang baru, saya ingin kongsikan sedikit ilmu yang saya dapat ini.

Ayatnya dari surah At-Thariq, bermula ayat 1-7.(Ayat ke-7 diulang 3 kali). Tiup pada segelas air dan beri minum pada orang yang lekat uri tersebut.

Semoga ada manfaatnya!

Thursday, February 18, 2010

Tak sanggup, toksah beranak!!!

Semalam saya sempat berbual dengan sahabat sekursus sewaktu di ITM. Isu yang dibualkan membuat saya panas hati. Pagi tadi saya sempat bersembang dengan adik saya Sham. Sekali lagi isu yang sama dibawakan oleh Sham. Entah mengapa, sekali lagi saya bagai ‘tebuan yang dijolok sarangnya’.

Isunya berkenaan ibu menjaga cucu. Sahabat saya A bercerita kisah kakaknya yang sibuk menjaga cucu sehinggakan tak ada masa untuk menjenguk ibu mereka yang uzur. Ibu yang uzur itu duduk bersama A dan dibantu bibik pengasuh. Kata A, kalau nak bercerita perihal abang-abang dan kakak-kakaknya memang menyakitkan hati. Masing-masing bersikap lepas tangan. Mujurlah suaminya tidak kisah dia menjaga ibunya. Yang membuatkan dia terasa marah, hendak menjenguk ibu sekali sebulan pun payah.

“Bukan nak suruh jaga pun, suruh datang tengok pun macam-macam alasan. Kalau jaga pun, bukan dia orang yang jaga. Bibik ada, cuma letak mak di rumah dia orang aje. Nak ajak bergilir pun susah. Nasib baiklah ada sorang abang yang sanggup jaga kalau saya nak balik kampung suami. Kalau sekadar dekat-dekat ni saya memang bawak mak keluar sama. Geram memang geram, tapi biarlah orang lain nak derhaka pada mak. Saya tak kisah. Cuma sedih bila mak pun susah dia orang nak jengah.”

Memamglah, bab menjaga orang tua sering sahaja menjadi perbalahan. Sebab itu agaknya orang tua-tua kata, seorang emak boleh jaga 10 anak, tapi 10 anak belum tentu boleh jaga emak yang seorang.

Kata A, kakak sulungnya sering memberi alasan sibuk menjaga cucu. Katanya, kesian kerana si anak merengek tak cukup perbelanjaan. Jadi dia rela menjaga cucu demi meringankan masalah kewangan si anak.

Hmmm.. saya cukup panas hati apabila isu ibu menjaga cucu ini dibangkitkan. Kalau kita sudah sanggup berkahwin dan beranak-pinak, maka seharusnya kita sanggup mengambil tanggungjawab yang hadir kesan daripada tindakan kita itu. Seharusnya kita sudah merancang bagaimana anak yang lahir akan dibesarkan dan urusan penjagaan di waktu kecilnya andai isteri bekerja. Kita tidak harus mengambil mudah perkara tersebut. Dan jangan lupa setiap anak yang lahir itu sudah ditentukan rezekinya.

Tapi kalau dilihat dari sudut lain pula, itulah padahnya apabila kita mengabaikan ibu. Sudahnya, jadilah kita hamba anak! Masa anak kecil, kita sibuk menjaga kebajikan anak. Bila anak sudah besar, cucu pula dihumban kepada kita untuk dijaga. Sepatutnya, di usia emas ini biarlah menjadi waktu penambahbaikan amalan sebelum dijemput Allah kembali menghadap-Nya.

Kisah yang Sham bawakan pula perihal sahabatnya yang meminta pendapat untuk berdepan dengan suami yang sibuk hendak menghantar balik anak ke kampung apabila isterinya selamat melahirkan anak nanti. Si suami yang didesak oleh ibu dan adik beradik yang lain, sudah bersetuju untuk menyuruh isterinya berpantang di rumah ibunya dan kemudian selepas pantang, anak tersebut akan ditinggalkan selama setahun dengan ibunya sebelum dipulangkan semula kepada mereka.

Menangis-nangislah si isteri ini kerana suami sudah tidak boleh diajak berbincang. Malah apabila bergaduh, kisah pergaduhan mereka suami isteri diceritakan oleh suami kepada ibunya.

Aduh, sekali lagi saya rasa telinga saya berasap! Apa jenis suamilah sebegitu. Di manalah kredibiliti sebagai seorang pemimpin dalam rumah tangga. Takkanlah hal bergaduh suami isteri nak diceritakan kepada ibu. Di mana kerahsiaan hal rumah tangga kita?

Kalau kita sudah pandai ‘buat’ anak, mengapa kita berasa ‘tidak yakin’ untuk membela sendiri anak kita? Walau susah macam manapun kita perlu ada perancangan dari awal lagi. Tak terfikirkah perasaan si isteri yang sakit melahirkan, menyusukan anak dalam pantang, tiba-tiba nak disuruh berpisah dengan anak. Dan sebagai ibu yang pernah melahirkan anak, seharusnya si ibu faham perasaan menantunya! Mengapa begitu tega nak pisahkan mereka dalam tempoh penyusuan? Bukankah itu tindakan yang zalim?

Teringat kisah seorang sahabat saya bernama Kak N. Dia sanggup bersusah payah menjaga sendiri anaknya. Dengan pendapatan suami isteri tak sampai RM2500 dan anak pula sederet setahun seorang seramai tiga orang waktu itu, dia sanggup menyewa di rumah yang uzur. Semuanya kerana ingin menjimatkan kos dan supaya dekat dengan pengasuh yang boleh menjaga anak-anaknya. Satu ketika dia terpaksa meminta ihsan syarikat untuk mengubah waktu kerja agar dapat masuk di sebelah petang hingga malam, sementara mendapat pengasuh yang baru. Semua sanggup dilakukan kerana tidak mahu menyusahkan ibu, ibu mertua dan adik-beradiknya menjaga anaknya. Sampaikan mereka suami isteri dimarahi oleh ibu, adik beradik dan mertua kerana tidak pernah menceritakan kesukaran yang dialami, sehinggalah segalanya dapat diatasi. Pada mereka berdua biarlah mereka berdikari dalam membesarkan anak-anak.

Saya cukup tidak faham dengan sikap anak yang suka menyusahkan ibu bapa! Tak cukupkah ibu bapa sudah bersusah payah daripada kita kecil hingga dewasa. Kalau kita sudah hilang upaya, sakit atau hal-hal yang tidak dapat dielakkan, lainlah ceritanya. Tapi alasan tak kukuh kewangan atau kerana tidak yakin nak jaga anak sendiri, itu sudah melampau!

Inilah agaknya yang dikatakan nabi s.a.w tentang petanda akhir zaman, ibu melahirkan tuannya. Ibu dibuat seperti hamba oleh anak-anak! Masalah ibu rela, bukan alasan. Sebagai anak kita perlu menyenangkan ibu di usia tuanya. Cukuplah ibu sudah bersusah-payah waktu kecil kita. Seharusnya ibu berehat dan tidak lagi perlu ‘bermain’ kencing berak cucu lagi. Sekarang waktu ibu honey moon semula dengan ayah!

Cukup-cukupla menyusahkan ibu. Jangan orang lain kawin, kita pun sibuk nak kawin. Orang beranak kita pun sibuk nak beranak. Tapi anak humban pada ibu untuk menjaganya. Belajarlah menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab!.

Wednesday, February 17, 2010

Ahaa…Panas!

Dalam seminggu dua kebelakangan ini, cuaca terasa cukup panas sekali. Hujan tak turun setitik pun. Kalau waktu tengahari tu, panasnya terasa sangat memeritkan kulit. Kepala pun terasa pening dibuatnya. Memang terasa malas untuk keluar ke mana-mana.

Sebelah malam pula bahangnya masih tetap dirasai. Kami sekeluarga tidur di ruang tamu. Anak-anak pun sudah tak mahu tidur di dalam bilik. Masing-masing pandai sahaja mencari port di ruang luar. Sebelum tidur mesti nak basahkan badan, kalau tidak, rasa sangat tidak selesa.

Kipas siling dan kipas meja berputar ligat hingga out meter, masih tidak dapat mengurangkan rasa panas. Bila bangun untuk solat Subuh, berpeluh-peluh badan. Efa pun sudah tidak lagi sibuk nak mandi air panas di waktu pagi.

Cuaca yang agak ekstrim ini membuatkan ramai yang tidak tahan dan mengalami masalah kesihatan. Deman, batuk dan selesema mudah menyerang. Klinik-klinik penuh dengan manusia yang nak mendapatkan rawatan. Begitulah penangan cuaca panas.

Hmm..dalam menghadapi cuaca sebegini, sedikit sebanyak membuatkan minda saya berfikir dan bermuhasabah sendiri. Baru kepanasan sedikit yang dirasai, kita sudah tidak tahan. Sedangkan matahari jauhnya berjuta-juta kilometer dari bumi (149,680,000 kilometer). Bagaimanalah nanti di Padang Mahsyar, matahari sejengkal di kepala? Tak tergambar kepedihan yang akan dirasai. Bagaimana kita nak melaluinya? Nauzubillahiminzaalik.. Mohon kita mendapat perlindungan di hari yang tiada lagi perlindungan melainkan dengan izin-Nya!

Sungguh kita takut untuk menghadapinya, namun kenapa ketakutan kita itu tidak seiring dengan perlakuan kita? Kalau benar kita takut, kita sudah pasti akan mempersiapkan diri untuk mengelak daripadanya. Tapi kenapa perlakuan kita semakin mendekatkan kita dengan perkara yang kita takutkan?

Kita takut dengan siksaan neraka, tetapi kita tak berlindung daripadanya.. Kita ingin ke syurga, tapi perlakuan kita menjauhkan kita daripadanya. Entah mengapa ye, kita yang bernama manusia ini sangat pelik perangainya. Takut tapi berani tinggalkan suruhan-Nya.

Neraka itu pahit, tapi jalannya penuh kemanisan dan keseronokan. Syurga itu manis, tapi jalannya penuh kepahitan dan ranjau. Kenapa ye kita sering tertarik pada keseronokan dan keindahan yang menipu itu? Kita inginkan syurga tapi kita tak mahu bersusah payah untuknya. Memang begini agaknya sifat kita manusia yang suka turutkan hawa nafsu. Kita sedar perlakuan dosa, tapi kenapa sayang nak tinggalkannya?

"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)" – Al-Ankabut: 64.

Justeru jika sebegitu, tidak seharusnya kita takut dengan kesukaran dan kesusahan kerana kesenangan dan kemewahan di sini hanyalah hiburan dan permainan sahaja. Jika sudah berstatus permainan, pasti tidak ada maknanya dan tidak akan kekal.

Perlu apa kita takut dengan kesukaran dan kesusahan kerana sebagaimana pesan Baginda s.a.w, “Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, nescaya DIA akan mengujinya dengan kesusahan” - (Riwayat Al-Bukhari).

Jadinya, tak perlulah takut pada kesukaran dan kesusahan, kerana Dia mahukan kebaikan untuk kita… Ambillah iktibar daripada suhu dan cuaca panas ini!

Tuesday, February 16, 2010

Kuatkah Pergantungan Hati Kita dengan-Nya?

Baru-baru ini saya mendapat emel daripada grup alumni AFKL menyampaikan khabar tentang seorang sahabat saya yang kematian adiknya. Saya kemudiannya segera menelefon sahabat saya itu untuk bertanya khabar.

Kebetulan, jenazah adiknya baru sahaja siap disemadikan. Menurut sahabat saya ini, adik lelakinya itu meninggal dunia akibat santau. Sudah agak lama dia sakit. Cuma sejak sebulan kebelakangan ini adiknya itu semakin tenat. Sehinggalah dia terlantar dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Apa yang amat menyentuh hati saya, adiknya ini meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masih kecil. Anak sulungnya baru berusia 9 tahun dan anak keempat masih dalam kandungan. Dijangka lahir Mac ini. Saya dapat membayangkan kesedihan yang ditanggung oleh isteri arwah. Saya tidak pasti sama ada isteri arwah ini bekerja atau tidak.

Saya membayangkan kalaulah saya berada di tempat balu arwah ini, bagaimanalah agaknya diri saya. Walaupun saya mempunyai kerjaya sendiri, tak dapat saya bayangkan bagaimana diri saya apabila tempat ‘berteduh’ saya tiada lagi. Tambahan dengan saya yang ‘kurang berdikari’ dan terpaksa bergantung dengan suami. Saya tidak boleh memandu, susahnya saya hendak mengurus anak-anak (saya perlu memotivasikan diri untuk mengambil lesen secepat mungkin). Dan pastinya saya akan kehilangan sumber kekuatan, pakar rujuk dan spiritual advisor saya. Oh! Tak sanggup rasanya untuk saya membayangkannya, memang saya rasa helpless habis.

Namun dalam melayani kebimbangan itu, saya lebih terfikir sebenarnya andai ditakdirkan suami pergi mendahului saya, apakah saya telah berbakti sebaiknya untuk beliau. Apakah saya sudah menyandang gelaran isteri solehah? Apakah setelah pemergiannya, saya tidak akan berasa kesal kerana tidak memberikan yang terbaik untuknya? Mengenangkan perkara tersebut saya jadi sangat sayu dan berdoa janganlah saya terpaksa menghadap pemergiannya dahulu!

Tambah membuatkan saya menilik diri, apabila membaca novel terbaru Kak Noor Suraya, Jaja & Din. Buku tersebut tiga kali saya ulang baca.

Teringat mesej saya dengan Lily Haslina.. Bila saya bertanya pada beliau, sudahkah dia membaca novel Jaja & Din, jawab Lily, “Aha memang dbom…lembut menikam.”

Lalu saya balas, “touching gilerkan? Rasanya akak ni isteri tak solehah langsung”.

Balas lily pula.. “ha..ha..ha.. akak ni kelakar lah”

“Serius lah, buat akak terpk & muhasabah blk makna perkhwinan…”

Tetapi betullah, semakin dibaca semakin saya rasakan betapa saya masih belum mencapai darjat isteri solehah! Memang buku Kak Su bukan sekadar sebuah novel tapi bagi saya sebuah buku tazkirah yang lembut menikam. Yang mengajar erti ihklas, redha, sabar, zuhud, jihad dan taat!

Dan kemudiannya, apabila saya berbual di YM dengan Kak Yati, terbitlah kisah bagaimana kalau ditakdirkan suami dipanggil balik menghadap Ilahi. Dalam berbincang, saya tergelak sendiri apabila Kak Yati bercerita kisah dia mengusik suaminya, bilakah jenazahnya akan dikebumikan kalau dia meninggal dahulu kerana kata suaminya dia akan menangis di tepi jalan kalau isteri kesayangannya itu pergi dahulu daripadanya.

Sememangnya kematian hakikat yang tidak dapat dielakkan. Sudah pasti ia akan menjadi kehilangan yang amat memeritkan kerana kita bukan sahaja kehilangan suami tetapi soul mate kita.

Namun apabila saya bersembang dengan suami tentang kematian, seringkali jawapan yang diberikannya mudah sahaja (agaknya dia tak mahu melayan pertanyaan saya!).

“Kalau dah mati tanam sahajalah. Yang hidup teruskanlah kehidupan. Isteri kawinlah lain, dapat suami baru.”

Dan mulut saya pun mulalah menjawab, orang lelaki senanglah. Isteri meninggal terus cari ganti. Memang tak pelik pun, isteri masih hidup pun, ramai yang sudah cari pengganti. Orang perempuan tak semudah itu…!

Dan saya kemudiannya dapat tazkirah percuma daripada suami… “Hidup mati itu ketentuan Allah. Yang penting walau siapa pun mati dulu, kita kena minta semoga Allah mengampunkan dosa kita dan dimasukkannya kita ke dalam golongan orang beriman. Dan yang hidup pula jangan lupa pergantungan kepada Allah. Waktu inilah ujian sebenar di mana pergantungan kita, Kita kata kita yakin Allah yang memberi kita rezeki, maka kalau tiada suami pun jangan takut, Allah tetap memberi rezeki.Yang penting pastikan isteri berpegang teguh dengan Islam, didik anak dengan Islam, hiduplah dengan cara Islam.”

Iye memang benar, senang untuk menyatakan kita mesti berlapang dada dengan ketentuan Allah dan menguatkan pergantungan kita kepada-Nya. Namun andai datang ujian itu, sekuat manakah sifat redha kita dan setebal manakah keimanan kita? Apakah ianya senipis kulit bawang yang akan koyak dengan sedikit carikkan sahaja? Semoga tidak begitu hendaknya!!!

Tuesday, February 9, 2010

Tak kisah kalau dia mampu…

“Akak, nak mintak tolong ye. Boleh tak akak tolong carikan muslimat untuk sorang muslimin, umurnya 37. Kalau boleh biar yang berdikari, ada experience dan minat bisnes. Untuk dijadikan isteri kedua ya. Akak cakaplah dengan dia, isteri pertama mengizinkan dan nak jadikan adik. Jangan takut.”

Saya disapa dalam YM oleh seorang adik yang saya panggil Cik Wan. Saya tersengih sendiri membaca pesanan di YM tersebut. Sejak bila pulak le saya buka projek baitul muslim, agen cari jodoh atau jadi match-maker ni.

Terus-terang, saya bab-bab match-making ni tersangatlah failed nya. Lagipun, pada saya kalau nak berkahwin biarlah kenal sendiri. Kalau orang carikan nanti tak berkenan atau apa-apa masalah yang timbul nanti, tak pasal-pasal kita pulak yang disalahkan.

Saya hanya mengabaikan permintaan tersebut, sebaliknya berborak-borak biasa dengan Cik Wan. Namun selang seminggu saya masih ditanya olehnya tentang calon yang diingini. Lalu saya berterus-terang padanya, saya tak biasa buat ‘kerja’ tersebut dan susah saya nak cari di mana calonnya. Tambahan pula yang bakal ‘dipinang’ itu untuk dijadikan calon isteri kedua. Lagilah susah!.

“Takpelah kak..tapi akak tolong tanya-tanyakanlah ye kalau ada.” Hmm..akhirnya saya terpaksa berjanji dengan Cik Wan.

Selang seminggu Cik Wan muncul lagi di laman sembang.

“Dah jumpa calon kak? Muslimin ni dah bertanya!

“Belum” jawab saya. Lalu saya bertanya apa hal, si muslimin ni desperate sangat? Tak bolehkah dia mencari sendiri. Tambahan pula yang nak dicari calon isteri kedua.

Sudahlah saya tidak mengenali muslimin ini, takkan saya nak sua sahabat saya untuk orang yang saya tak kenal (dan saya yakin sahabat saya pasti akan menolak untuk menjadi isteri kedua kerana dia sebolehnya tidak mahu menjadi orang ketiga dalam sebuah perkahwinan).

“Sebenarnya kak, saya nak cari calon madu untuk suami saya!”

Demi melihat ayat yang tertera di skrin komputer, saya terkedu sekejap. Setahu saya perkahwinannya baik-baik sahaja. Lalu saya terus mendail nombor cik Wan. Maka bermulalah sesi curah perasaan dengan Cik Wan.

Menurut Cik Wan, perkataan poligami ini sering menjadi mainan mulut si suami. Katanya memanglah peringkat awal, hatinya cukup terguris. Manakan tidak terasa dirinya dikecewakan.

“Susah kak, kalau suami merasakan dirinya berkemampuan. Padahal banyak aspek lain yang tidak dilihat secara teliti. Terus terang cakap, dia bukan jenis yang ada masa untuk keluarga. Selama berkahwin dengannya, kerja sentiasa menjadi ‘isteri pertamanya’. Dia bukan jenis yang memanjakan isteri dan anak. Kalau saya bukan jenis yang berdikari memang teruk kehidupan kami.”

Menurut Cik Wan, keluarga mentuanya juga tidak bersetuju suaminya berkahwin lain. Tetapi si suami memang jenis yang tak makan nasihat. Justeru, apa yang mampu dibuat oleh Cik Wan adalah bersabar kerana tidak mahu terus bertelagah.

“Saya dah pasrah kak. Saya cuma bersolat dan berdoa, kalau betul suami layak dan saya memang kuat untuk diuji sebegini saya redha. Cuma saya minta Allah beri saya kekuatan. Dan saya juga akan pastikan madu saya boleh dibuat adik beradik.”

Hmm, mulia sungguh hati adik saya seorang ini! Mendengar bicaranya yang tenang membuatkan saya juga jadi tenang.

Namun saya benar-benar kagum dengan kesabaran Cik Wan. Kata Cik Wan bukan senang nak sabar. Hanya dengan mendekatkan diri pada Allah sahaja yang mampu membina kekuatan jiwanya. Dan selalu mendapatkan nasihat daripada orang yang mahir di bidang agama. Malah dia sangat berpegang dengan kata-kata ustazah tersebut, raihlah cinta Allah melebihi cinta suami.

Apabila saya bertanya mengapa dia ingin mencari calon madu, dia memberitahu dia ingin membina hubungan yang baik dengan bakal madunya, umpama adik beradik. Biarlah kehidupan bermadu nanti tenang. Kata Cik Wan lagi si suami pernah menjalinkan hubungan dengan gadis 19 tahun. Dia tidak nampak bagaimana gadis tersebut boleh menjadi seorang yang berdikari sebagaimana yang diingini suaminya.

“Saya dah bercakap dengan gadis tersebut dan bertanya sama ada dia faham kemahuan suami saya. Nyata dia terkejut. Daripada perbualan tersebut saya tahu dia memang tidak tahu langsung dan dia berharap dapat bergantung sepenuhnya dengan suami saya. Dan ternyata kak tidak lama lepas tu suami saya sendiri mula merungut kerana terasa si gadis tersebut jenis yang ingin bermanja dan tidak berdikari.”

Kata Cik Wan, padan jugalah dengan si suami yang sibuk duk bercinta bermain sms, menabur kredit kepada si gadis. Puas dinasihati supaya menjaga pergaulan, si suami bersikap endah tak endah juga. Nak dijadikan cerita, tiba-tiba suaminya kemalangan, mujurlah tiada kecederaan cuma kereta sahaja yang rosak teruk. Cerita tersebut habis di situ.

Selang beberapa minggu tiba-tiba Cik Wan muncul lagi di laman YM. Katanya. “kak alhamdulillah, suami saya tak jadi nak kawin lain.”

Sekejapan, terdengar suaranya di talian. Ceritanya, sebaik awal tahun sesi persekolahan, dia menyuruh suaminya menguruskan hal-hal bersangkutan dengan persekolahan anak-anak. Menyuruh membawa anak-anak membeli pakaian dan menguruskan bayaran yuran dan sebagainya. Kata Cik Wan, kalau ingin beristeri lebih seharusnya suaminya perlu belajar dari sekarang mengimbangi tanggungjawabnya. Kebetulan pula, anaknya yang kecil baru berusia 4 bulan, jadi ada alasan baginya menyuruh suami mengambil alih tugas yang selalu dilakukannya.

“Akak tau apa katanya setelah menguruskan keperluan anak-anak? Dia kata dia rasa dia tidak berkemampuan. Banyak duit yang perlu dikeluarkan. Banyak kerenah anak yang perlu dia beri perhatian. Kalau selama ini dia cuma memberi saya duit dan bertanya kenapa selalu tak berbaki? Barulah dia tahu perbelanjaan menguruskan anak hari ini bukan sedikit. Tapi lebih penting dia sedar banyak perkara bersangkutan anak dia terlepas pandang dan dia sedar Allah masih sayang pada dia kerana menimpakan musibah kemalangan dulu. Banyak perkara yang dia tak jaga.”

Kata Cik Wan, dia tahu poligami diharuskan dan dibenarkan oleh Islam. Cuma dia tahu suaminya masih belum layak, tapi apakan daya, ego lelaki susah untuk dilentur.

“Alhamdulillah, bila saya lepas sedikit tanggungjawab yang seharusnya dia pikul dan kembalikan semula kepadanya barulah dia nampak ketidakupayaannya. Allah menjawab permintaan saya, kalau benar dia mampu saya redha malah saya telah pun mencarikan calonnya untuknya. Tapi ternyata Allah tahu dia tak mampu dan akhirnya dia sendiri menarik balik keputusannya!”

Cuma kata Cik Wan, sebagai manusia dia pasti akan diuji lagi. Entah bagaimana bentuk ujian perkahwinan yang akan dilaluinya, cuma harapannya biarlah apa yang berlaku menjadi pengajaran!

Tuesday, February 2, 2010

Emo lah pulak!!!

Saya baru sahaja dapat menghabiskan novel Ranting Cinta Si Plato, buah tangan terbaru Kak Yati Berahim, Ahad lepas. Kali ini entah mengapa, agak lambat bagi saya untuk menghabiskan sebuah novel. Mungkin sebab sedikit sibuk dan banyak pula gangguan. Padahal, perangai saya kalau sudah menghadap novel, jawabnya selagi kulit tidak bertemu kulit, saya tak akan berhenti. Perkara biasa kalau berjaga malam untuk menghabiskan sebuah novel (walaupun Mr. Hb jenuh duk jeling2 hahaha)!!!

Seperti mana biasa, karya Kak Yati tidak menghampakan. Cuma entah mengapa, selesai membacanya, perasaan geram tetap mendongkol di hati! (Kata kak yati pada saya, nasib baik happy ending, kalau tak ko bakar buku akak agaknya!!! Hahaha…harus!!!!)

Sememangnya watak Alfian, membuat saya sedikit emosional. Hati saya benar-benar jatuh belas kepada Sofea apabila setelah kematian Alfian, barulah diketahui bahawa dirinya dimadukan.

Memang benarlah, walaupun poligami itu diizinkan Allah, tapi sukarnya bagi wanita untuk mendidik hati. Hanya insan terpilih dan tinggi imannya sahaja yang mampu melaluinya.

Buah tangan terbaru Kak Yati mengingatkan saya kisah seorang ustazah yang pernah saya kenali. Menyelami watak Sofea sewaktu mendapat tahu bahawa suaminya pernah berkahwin lain sewaktu hayatnya, mengingatkan saya kepada Ustazah ini. Kalau Sofea mendapat tahu suami berkahwin lain setelah kematiannya, ustazah ini pula mengetahuinya sewaktu si suami sedang tenat terlantar di rumah isteri mudanya. Pasti kedua-dua situasi tersebut tetap menghancur lumatkan hati si isteri.

Saya tidak menyalahkan Ustazah tersebut yang akhirnya bertindak membiarkan suaminya menghabiskan hayat di rumah isteri kedua dan membiarkan isteri kedua tersebut menguruskan pengkebumian si suami. Dirinya hanya menjadi tetamu sahaja. Saya dapat merasakan betapa terluka hatinya.

Hakikatnya memang ramai para suami yang suka menyorokkan perkahwinan keduanya daripada isteri. Alasan yang diberikan, what she does not know, would hurt her less. Benarkah sebegitu? Tidakkah ianya menzalimi wanita akhirnya?

Kalau terbongkar kisah, tak mengapalah juga. Paling-paling, cuma ada hati yang terluka. Bayangkanlah pula kalau ia tetap tersimpan kejap bersama kematian si suami. Anak-anak saling tidak mengenali, terpaut hati sesama sendiri. Aduh!!! Tak dapat nak dibayangkan kesannya!!

Seharusnya kalau tangan sudah berani mencincang, bahu seharusnya berani menanggung. Entahlah, mungkin para lelaki di luar sana ada jawapannya.

ps maaf ye kalau entry kali ini sedikit ‘emo’… hheheheh!