RSS

Friday, February 27, 2009

Usah bakar kelambu kerana nyamuk!

Selasa lalu, sedang saya berteleku di meja, rakan sekerja menyuakan satu laporan akhbar.

"Cuba Kaknik tengok ini..," kata Dayah. Saya meneliti laporan tersebut. Laporan mengenai Persidangan Global Musawah Mengenai Tuntutan Kesaksamaan dan Keadilan dalam Keluarga Islam.

Teringat saya sewaktu sesi promo persidangan ini dibuat oleh pihak TV3, apabila disebutkan beberapa nama tokoh yang bakal membentangkan kertas kerja, hati saya berasa cuak. Apa tidaknya nama-nama tersebut sememang tidak asing lagi dan terkenal sebagai penyokong Islam Liberal. Saya masih ingat salah satu nama yang disebut ialah Dr. Musdah Mulia (bagaimanapun sewaktu persidangan diganti dengan Kamala Chandrakirana).

Mungkin ramai pembaca tidak kenal beliau. Namun di Indonesia, beliau memang tokoh terkenal yang memperjuangkan Islam Liberal. Beliaulah yang memimpin jawatankuasa, "Kelompok Kerja Pengarusutamaan Gender (PUG) Departmen Agama Republik Indonesia menghasilkan kertas kerja COUNTER LEGAL DRAFT ATAS KOMPILASI HUKUM ISLAM, yang menuntut persamaan hukum syarak antara lelaki dan wanita.

Antara isu-isu yang ditimbulkan ialah menyarankan poligami diharamkan, lelaki juga perlu beredah selama 130 hari sebelum boleh berkahwin semula selepas bercerai atau kematian isteri, membenarkan perkahwinan berlainan agama dan pembahagian faraid yang sama antara lelaki dan wanita.

Persidangan tertutup yang hanya boleh dihadiri oleh jemputan tertentu sahaja itu, telah mengundang kontroversi. Saya juga sebenarnya tertanya-tanya apakah motif sebenar di sebalik musawah (kesaksamaan) ini diadakan. Memetik apa yang dikatakan oleh Pengarah Projek Musawah... "perubahan undang-undang memang perkara yang sukar malah kami mendapat tentangan daripada pelbagai pihak menggunakan agama serta undang-undang partriaki bagi mencapai objektif mereka.."

Meneliti laporan akhbar tersebut, undang-undang yang dimaksudkan ialah undang-undang Islam yang dilaksanakan oleh negara-negara umat Islam. Menurut Pengarah Eksekutif Majlis Wanita Islam Kanada, Alia Hogben, Institut Keadilan Sivil Islam, iaitu sebuah badan penimbang tara bagi komuniti Islam yang menggunakan prinsip undang-undang Islam yang ditubuhkan di Ontario bagi mengendalikan hal keluarga (penceraian, penjagaan anak) dan pewarisan harta, dilihat mendiskriminasikan wanita - wanita tidak setaraf dengan lelaki.

Kenyataan yang dibuat tersebut membuatkan saya terfikir apakah sebenarnya yang ingin mereka tuntut. Jika dibuat telahan mudah, prinsip asas undang-undang Islam berkaitan harta, perkahwinan/penceraian, tentulah nisbah pembahagian harta iaitu wanita satu bahagian, lelaki dua bahagian. Manakala jika perkahwinan/penceraian pula ialah isu poligami (lelaki boleh berkahwin lebih daripada satu dalam satu masa - perempuan tidak boleh), eddah (lelaki tidak perlu bereddah - perempuan ada eddahnya) dan hak talak (ditangan suami - bukan pada isteri).

Jika bentuk kesaksamaan sebegitu yang ingin dituntut, wajarkah ia diberi laluan? Apakah kerana wanita menjadi penyumbang dalam ekonomi rumah tangga (pencari nafkah) dan pelindung keluarga maka garis panduan yang ditetapkan dalam al-Quran dipertikaikan?

Apakah kerana wanita mendapat satu bahagian, lelaki mendapat dua bahagian dalam hukum faraid, bermakna ia tidak berlaku adil kepada wanita.

Di sinilah takrifan 'adil' dari kacamata Islam tidak sama dengan takrifnya dengan akal manusia. Adil bermaksud "meletakkan sesuatu pada tempatnya" atau reasonable/moderate. Adil bukan bermaksud sama rata atau equal.

Memang benar wanita hari ini ramai yang menjadi penyumbang nafkah dalam keluarga. Tetapi andai kata dia bekerja dan tidak mahu menyumbang kepada keluarga (atau suami) maka tiada siapa boleh memaksanya. Malah haram bagi suami mengambil wang atau harta isteri tanpa izinnya. Sebaliknya bagi lelaki, berdosa dirinya jika tidak memberi nafkah kepada seisi keluarga tanggungannya. Bahkan isteri boleh 'mencuri' duit suami jika suami tidak memberi nafkah atau perbelanjaan kepada isteri.

Begitu juga dalam hukum faraid, dua bahagian kepada lelaki memerlukan dia memberi kepada tanggungannya, manakala satu bahagian untuk perempuan miliknya yang mutlak.

Memang tidak dinafikan, dalam sistem perundangan Islam yang diguna pakai ada kelemahan dalam pelaksanaannya. Tapi perkara yang asas atau hukum sudah jelas, tidak perlu dipertikaikan lagi. Jangan sebab kita tidak puas hati dengan pelaksanaannya, kita pinda perkara asas. Takkan marahkan cabang kita kerat batangnya?

Entahlah.. saya bimbang sebenarnya. Apakah dalam kita begitu teruja memperjuangkan hak kesaksamaan wanita, kita bertindak membabi buta mengikut nafsu. Jangan sampai dalam kita sibuk menyerang segala halangan, sampaikan rumah api yang menjadi pemandu perjalanan pun kita hentam... Marahkan nyamuk kelambu dibakar? Bagaimana kita akan sampai ke destinasi dengan selamat jika kita hilang penanda arah?

Wednesday, February 25, 2009

At last...!

At last... dapat juga merakamkan gambar Efa...


Gambar ini diambil petang semalam.. di depan rumah. Puas pujuk dia suruh posing.
Genap umur Efa 4 tahun.



Seronok dia mengerjakan basikal Kak Ngahnya...



Gambar ini dirakamkan sebelum saya menghantarnya ke sekolah pagi tadi... Dia sudah monyok semacam!

Dia minta saya ambil gambarnya bersama kawannya Aishah bila sampai di sekolah. Tapi sebaik tiba di sekolah...dia melalak! Mujur Cikgu Satun peluk dan pujuk. Sempat juga gambarnya dirakamkan bersama cikgu dan kawan-kawan, tapi kawan baiknya Aishah belum sampai.

Tuesday, February 24, 2009

Cepatnya masa berlalu...

Hari ini hari jadi adik Efa. Sedar tak sedar dah genap empat tahun umur dia. Dan semalam, 23 Februari, hari pertama dia masuk sekolah tadika - Raudhah Ibn Kathir.

Sebenarnya, saya tidaklah berhajat untuk memasukkan dia ke sekolah seawal ini. Tapi dia banyak kali menyebut ingin bersekolah. Pada awalnya saya tidak mengambil kisah sangat. Kata saya tunggu umur adik lima tahun. Ok, jawab dia.

Tapi sejak dua minggu lalu, dia semakin buat onar tak mahu ke rumah Opah yang mengasuhnya. Tambahan pula, terlalu banyak cuti bersambung dengan hujung minggu membuatkan dia semakin liat. Kebetulan pula suami saya selalu outstation, memaksa saya mengambil cuti untuk menguruskan banyak hal. Sementelah cuti tahun lepas berbaki dua tiga hari lagi.

Setelah berbincang dengan suami, akhirnya kami mengambil keputusan untuk memasukkan dia ke sekolah. Itupun saya terpaksa merayu guru sekolah tersebut kerana katanya pihak sekolah hanya mengambil 10 orang sahaja kanak-kanak berumur 4 tahun, itupun anak kakitangan di situ atau sekolah rendah Ibn Kathir saja.

Namun kerana tidak sampai hati untuk menghampakan, pengetuanya meminta saya membawa anak ke sekolah. Katanya bawalah, kita tengok macam mana. Kalau tak menangis dan sudah pandai menguruskan diri bolehlah bersekolah.

Puas kami bertanya Efa sama ada dia betul-betul ingin bersekolah atau tidak. Kata saya kalau adik nangis nanti tak boleh sekolah. Naper? Tanya dia. Sebab nanti susah cikgu nak ajar kalau adik nangis. Macam mana nak baca ABC, nak mengaji dan menyanyi kalau adik nangis. Adik tak nangis la ummi... jawabnya yakin.

Lalu semalam saya bawa dia mendaftar di sekolah. Alhamdulillah, dia tidak menangis walaupun mukanya agak suspen. Kebetulan Cikgu Wan yang menyambutnya pula agak ramah. Kata Kak Wan, besar orangnya walaupun umur empat tahun.

Sewaktu saya menyarungkan uniform sekolahnya, sempat Efa berbisik di telinga saya.."ramainya budak, Ummi". "Iya..semua itu ada budak lima dan enam tahun... kelas adik kat atas," kata saya. Kebetulan waktu tersebut kanak-kanak tersebut sedang diajar mengaji oleh seorang guru.

Setelah siap menyarungkan baju, seluar dan tudung, saya rasa sungguh terharu. Apa tidaknya, terasa dia sudah besar kerana sudah pun memulakan alam persekolah. Bangga bersulam sayu rasanya. Terasa betapa cepatnya masa berlalu.

Balik dari sekolah becok dia bercerita... "Adik suka sekolah. Dapat kawan nama Aisyah. Tadi cikgu ajar baca ABC, ajar nyanyi lagu bapakku pulang dari kota..Tapikan budak-budak tak nak kawan adik." di hujung keriangan bercerita, saya terdengar keluhan sedihnya.

Ayat "budak-budak tak nak kawan adik" diulang-ulang beberapa kali. Sayu pula saya mendengarnya. Saya katakan pada dia, "bukan tak nak berkawan tapi dia orang tak tahu nama adik".

Mujurlah apabila ditanya sama ada dia ingin ke sekolah atau tidak esok, dia segera mengangguk. Malah sibuk menyuruh saya menggosok bajunya yang berkedut.

Apapun saya sudah menyiapkan diri. Tak tahu sampai bila dia boleh bertahan. Takut pula selepas seminggu, dia bertukar fikiran.

Pagi tadi, sewaktu bersiap untuk ke sekolah dia mula buat perangai. Tapi setelah dipujuk dia kembali ceria. Malah, siap melambaikan tangan kepada saya. Saya ingin merakamkan gambarnya berbaju sekolah, tambahan pula hari ini hari jadinya yang keempat. Tapi dia membantah, katanya biar abahnya mengambil gambarnya di sekolah.

Sekembalinya suami dari menghantar Efa, dia memberitahu, "Efa menangis tadi. Waktu dia sampai Cikgu Wan tak ada. Nasib baik Cikgu Wan perasan dan terus pujuk dia. Cikgu Wan kata tak apa, biasalah budak-budak peringkat awal. Tak jadilah ambil gambar dia"

Hmmm... mampukah dia bertahan? Harapnya begitulah!

Selamat ulang tahun hari lahir NURUL IEFFAH

Friday, February 20, 2009

Terkenang semasa dulu...

Apabila Cik Rose (Rose Harissa) memberitahu dia dari Felda Chini, ingatan saya mengimbau masa kecil saya. Saya juga dibesarkan di Felda.. beberapa buah Felda sebenarnya. Ayah saya sebelum bersara, pernah bekerja dengan Perbadanan Kilang Felda. Bidang kerjanya membawa kami sekeluarga merantau ke beberapa buah Felda.

Bermula pada tahun 1970, ayah ditempatkan di kilang Felda Bukit Besar, Kulai, Johor. Dua tahun di Felda tersebut, namun ingatan saya agak kabur kerana faktor usia. Sewaktu itu saya baru berusia 1 tahun dan kemudian apabila berusia hampir 3 tahun, berpindah pula ke Felda Bukit Goh, Kuantan.

Namun apa yang jelas di ingatan, tentang jiran kami yang sangat baik. Arwah Makcik Inah dan Arwah Pak Hussin. Makcik Inah orangnya berbadan gempal dan berkulit putih. Ada darah keturunan Cina. Pak Hussin pula ada darah mamak.. Anak-anak Makcik Inah ada lapan orang. Abg. Abas, Kak Eton, Kak Miah, Kak Tijah, Kak Tipah, Abg. Amid, Kak Shahrom dan Ghani.

Keluarga mereka memang baik, selalu menjadi tempat kami ditinggalkan kalau emak dan ayah ada urusan. Pendek kata, makan minum tidur baring di rumah mereka. Abg Amid ada membela burung gembala kerbau diberi nama Maiku. Pandai bercakap. Kalau nampak Abg Amid dia akan menjerit... Amid.. Amid..
Kak Tipah pula masa itu digelar mak alak.. sebab kuat melalak! Memang kelakar. Salah sikit suka menjerit dan melalak. Sebab itu keluarga menggelarnya begitu.

Tahun 1972, kami sekeluarga berpindah ke Felda Bukit Goh, di Kuantan. Teringat hari berpindah itu merupakan hari kematian Seniman Negara Tan Sri P. Ramlee. Saya masih ingat hari tersebut. Arwah mak menangis bersalaman dengan Makcik Inah. Makcik Inah berpesan pada saya.. Adik Yah jangan lupa Makcik Inah... Dan Makcik Inah tak pernah saya lupakan.

Pakcik Hussin meninggal dunia sewaktu saya berada dalam darjah enam. Arwah mak, saya dan ayah pergi menziarahinya. Itulah kali pertama bertemu selepas terpisah hampir sepuluh tahun. Saya sempat menziarahi arwah Makcik Inah sewaktu dia dimasukkan ke hospital kerana penyakit kencing manis sewaktu di tingkatan tiga. Dan sewaktu di tingkatan lima (kalau tidak silap) saya mendapat khabar Makcik Inah telah kembali ke rahmatullah.

Berada di Felda Bukit Goh, saya sudahpun memasuki alam persekolahan. Kawan-kawan sepermainan terdiri daripada budak-budak lelaki anak jiran. Masuk belukar keluar belukar, main pondok-pondok, bertumbuk, main pistol peluru terung pipit menjadi aktiviti harian. Sesuatu yang tidak dapat dinikmati oleh anak-anak saya pada hari ini.. Malah saya pernah dijahit kepala kerana jatuh tangga.

Ada satu aktiviti yang saya dan kakak cukup suka. Memerun dan membakar sampah. Bukannya kerja memerun atau membakar sampah itu yang menarik perhatian kami, tetapi aktiviti 'sampingannya' iaitu membakar ubi kayu.

Arwah mak banyak menanam ubi kayu di hadapan rumah. Biasanya kalau mula membakar rumput, lalang atau kayu-kayu, kami pun akan menggali ubi. Ubi itu kemudian kami campak dalam api tersebut. Sementara menunggu ubi masak, kami akan bermain di laman.

Apabila sudah masak, ayah akan memanggil kami. Biasanya kayu yang panjang digunakan untuk mengais keluar ubi yang sudah kehitaman kulitnya. Setelah agak sejuk, kamipun apa lagi.. serangggg!!!. Aroma daripada ubi bakar itu sememangnya membangkitkan selera. Apatah lagi budak-budak macam kami yang sering saja 'kebulur'. Bukan tak cukup makan tapi sengaja mencari benda untuk dimakan.

Dan sewaktu dalam darjah dua (1977), ayah saya diarahkan bertukar ke kilang sawit Felda Chini 3. Oleh sebab cuti persekolahan penggal ketiga tidak lama lagi, maka ayah mengambil keputusan meninggalkan kami sementara waktu di Bukit Goh. Saya ingat setiap hujung minggu ayah akan balik menziarahi kami.

Sempat dia bercerita tentang kawasan Felda yang baru dibuka. Jalan yang menghubungi kawasan tersebut cuma jalan lori balak. Rumah kakitangan kilang masih dalam pembinaan, yang ada cuma rumah berek. Sekolah juga belum didirikan. Kali pertama ayah ke sana, tin minyak tanah yang dibawanya pecah akibat teruknya jalan yang terpaksa dilalui.

Ayah mengambil keputusan menghantar saya dan kakak pulang ke kampung untuk meneruskan persekolahan. Tinggallah saya dan kakak dengan nenek dan ibu saudara di Pasir Mas Kelantan.

Saya tidak sempat ikut berpindah ke Felda Chini 3, tapi apabila cuti sekolah kami akan balik bercuti di sana. Pada mulanya memang agak membosankan kerana tiada bekalan elektrik dan air. Sebelah malam, cepat sahaja kena tidur kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan.

Bagaimanapun waktu mandi cukup menyeronokkan. Kami akan ke rumah jiran yang mengusahakan kedai makan untuk pembalak. Di tepi rumah disediakan bilik air. Apa yang menariknya, airnya adalah anak sungai. Bilik air itu dibina di atas anak sungai.

Saya dan kakak kerap bermain di anak sungai itu untuk menangkap ikan. Memang seronok pengalaman tersebut. Hinggakan suatu hari kerana terlampau asyik mengejar ikan, saya dan kakak masuk jauh ke hutan dan terserempak dengan babi hutan. Apa lagi, lintang pukang kami lari. Nasib baik babi tersebut terkejut melihat kami dan cabut lari. Kalau tidak, entahlah apa yang akan terjadi. Teruk kami dimarahi arwah mak!

Kami sekeluarga selalu juga masuk ke hutan. Sekadar untuk beriadah. Memang menarik pemandangan kawasan yang belum terusik oleh pembangunan. Sayangnya, saya tidak ada menyimpan gambar-gambar kenangan. Kalau tak silap, ada di rumah ayah. Saya sendiri sebenarnya tidak berapa suka bergambar atau menyimpan gambar. Entah mengapa! Kata orang rugi, kerana sekeping gambar membawa seribu makna. Tapi pada saya segala kenangan itu tetap terakam dalam minda dan menjadi kenangan yang terindah dalam hidup saya.

Wednesday, February 18, 2009

Mudahkah berpoligami?

"Akak dengar tak berita gempar terkini?" demikian pertanyaan sahabat saya menerusi YM. "Berita apa?" tanya saya. "Kisah YB kena tangkap khalwat ke?"
"Bukanlah.. itu jelas fitnah," jawab sahabat saya pula.
"Hmm apa kisahnya?"
"Kisah lama berulang kembali!" jawab sahabat saya
Hhuu??? Apa pula? Saya tertanya-tanya sendiri.

"Kak.. kawan kita yang di tutttt ada yang tambah cawangan dan bakal menambah cawangan!"
Owhh... itu kisahnya. Hmm... Oklah kut. Kalau mampu apa salahnya.
"Si dia tu kawin dengan rakan seofis juga. Anak dara," cerita sahabat saya lagi.

Saya termenung seketika mendengar cerita sahabat tadi. Terlayar di minda saya wajah insan yang dimaksudkan. Setahu saya isteri akhi tersebut seorang suri rumah sepenuh masa. Dapat saya bayangkan, kehidupan di KL ini kalau suami sahaja sebagai sole bread winner, agak sempit jadinya kalau suami 'membuka cawangan' baru.

"Kak, bukan akhi tu sorang. Ada sorang lagi kak."

Dengar sahaja nama yang disebutkan, saya terasa darah menyerbu ke muka. Apa tidaknya ,saya kenal benar dengan isterinya. Kalau benarlah bagai dikata, saya tumpang marah! Isteri tidak bekerja, tunggang-langgang mengambil upah mengasuh anak jiran dan menjahit pakaian untuk mencukupkan belanja rumah dan memenuhi keperluan anak seramai 6 orang itu.

Saya bukanlah anti poligami dan tidak juga pro poligami. Saya tahu dan amat sedar, ia dibolehkan oleh Islam. Kalau kita menentang, bermakna kita mengharamkan yang halal. Namun, saya seringkali merasakan orang lelaki tidak menggunakan pertimbangan kelebihan akal yang diberikan. Mereka suka mengambil jalan mudah, "alah kalau kawin tu adalah rezekinya". Pada saya itu adalah alasan yang sangat tidak bertanggungjawab. Justeru tidak hairanlah jika kita dengar suami tidak balik ke rumah, nafkah isteri dan anak terabai.

Bukan saya emosional, tapi saya banyak berhadapan dengan perkara sebegini. Sahabat baik saya sendiri pernah mengalami nasib yang sama. Menjadi isteri ketiga. Nama saja ada suami, tapi tak pernah nampak batang hidung. Kalau berhajat pada isteri, barulah nampak muka. Itu pun beberapa jam sahaja, setelah nafsu dilampiaskan, terus tidak nampak batang hidung. Duit belanja? Tak usah ceritalah! Mintak sepuluh ringgit kena khutbah panjang lebar... katanya baru saja semalam anak di universiti mintak dimasukkan duit seratus ringgit. Teringat kata sahabat saya itu, "dia buat aku macam perempuan di celah lorong sahaja!."

Namun saya tabik kesabaran sahabat saya. Tak pernah melawan atau berdendam. Sampailah satu masa ditinggalkan selama 4 bulan (setakat sebulan dua tu dah mangli). Kami yang mendengarnya naik radang... Akhirnya dia dapat juga membuat keputusan. Minta fasakh.

Setelah bercerai, sibuk pula suami gila talak. Namun sahabat saya ini sudah nekad, seperti katanya pada suami, "jangan sampai saya ambil keputusan ini.. saya tak akan berpatah balik". Yang menghairankan, pandai pula si suami memberi nafkah RM150 setahun, SAYA ULANG SETAHUN - BUKAN SEBULAN, kepada anak tunggalnya dengan sahabat saya ini.

Terasa lucu juga mengingatkan gurauan sahabat saya.."kalau aku tahu, lama dah aku minta cerai! Dapat juga aku duit RM13.50 sebulan!"

Alhamdulillah, berkat kesabarannya sahabat saya itu sudahpun bertemu jodoh dengan lelaki bujang dan kini berbahagia.

Seperti saya katakan tadi, saya bukanlah anti poligami. Teringat saya, satu hari pada tahun 1999 dahulu, pagi-pagi lagi saya menerima panggilan telefon daripada seorang doktor. Kebetulan waktu itu kami ada menulis artikel mengenai perceraian/poligami.

Doktor tersebut sempat bercerita, dia berpendapatan lima angka. Isterinya juga berpelajaran tinggi tetapi tidak bekerja. Dia berhasrat untuk menambah isteri dan katanya dia mampu. Malah dia juga mempunyai contoh teladan yang baik.. iaitu ayahnya sendiri yang beristeri dua. Katanya, ayahnya sehingga ke hujung usianya masih lagi naik bas berulang alik antara rumah isteri tua dan isteri muda berselang hari. Dan dia yakin dirinya juga boleh mencontohi si ayah.
Katanya dia mampu dari segi zahir dan batin. Mengapa isterinya sukar untuk memahaminya?

Saya katakan kalau doktor yakin benar-benar mampu, baik dari segi zahir, batin dan agama, teruskanlah niat tersebut. Tak perlu minta izin isteri, lagipun perkara itu halal. Cuma kata saya, kalau ditanya pada wanita, memanglah sukar untuk memberi izin. Bukan wanita hari ini. Malah, Saidatina Fatimah pun sewaktu Ali menyuarakan hasrat ingin berkahwin turut membantah secara simbolik. Mengikut riwayat (saya tidak pasti hadis dhaif atau sahih), beliau mengambil segenggam jerami gandum yang kering lalu diramasnya. Kemudian beliau berkata, sebagaimana hancurnya jerami tersebut begitulah hancurnya hati beliau dengan permintaan Ali. Wallahu a'lam.

Teringat saya kata Tok Guru Nik Aziz, melihatkan orang sekarang berpoligami, beliau takut untuk berpoligami. Apa taknya, nak berkahwin ikut sunnah Nabi, tapi bab yang lain tak pula ikut sunnah. Malah menentang lagi ada!

Cuma cuba bayangkan.. katalah anda berpoligami. Anda mempunyai amalan yang baik sehingga terpilih untuk memasuki syurga. Namun sebaik ingin melangkah masuk, tiba-tiba dari kiri datang isteri pertama menuntut haknya yang anda abaikan selama di dunia. Dari kanan datang isteri kedua menuntut haknya yang juga anda abaikan. Dari depan dan belakang datang pula anak-anak dari kedua-dua belah isteri menuntut hak mereka yang diabaikan anda. Elok-elok dapat masuk syurga, anda terheret ke neraka.. Itu kata ustaz yang saya sempat ikut kuliahnya!

Jangan marah!

Monday, February 16, 2009

Piya,.. Piya oh Piya.. Piya!

Piya atau nama sebenarnya Anis Safira. Dia ini anak saudara kedua saya. Anak kakak saya yang sulung. Orangnya agak tembam...tapi comel. Umurnya sekarang dah pun 25 tahun.

Piya lahir sewaktu saya di tingkatan dua. Masa kecilnya ada juga arwah mak saya membawa dia balik ke rumah. Waktu itu saya sedang bercuti sekolah. Saya, arwah mak dan ayah ke rumah mama Piya dan membawanya balik ke rumah selama sebulan. Seronok juga ada baby di rumah waktu itu. Hari-hari arwah mak masakkan bubur campur sayur dan hati ayam. Dan tugas saya menyuapkan Piya makan bubur.

Teringat sewaktu Piya belajar menunggang basikal. Dia menggunakan basikal kaklongnya. Basikal tersebut ada dua roda kecil di kiri kanannya sebagai pengimbang. Satu hari, kaklongnya membuang roda kecil tersebut kerana katanya basikal tersebut asyik terbalik. Mamanya tidak mahu membuka tayar tersebut kerana bimbang akan terbalik, tapi digesa oleh kaklongnya. Katanya takkan terbalik basikal tu. Jelas sekali apabila dibuka, dia dengan selamba mengayuh basikal itu dan tak terbalikpun. Apabila Piya bising sebab basikal tersebut tiada lagi pengimbang, Kaklongnya kata, jangan bimbang, tak terbalik dia sudah naik. Dan bila Piya pula naik basikal tersebut, ternyata dia juga boleh mengimbanginya.. Tekniknya.. kerana tidak ada di fikiran mereka bahawa fungsi tayar tersebut untuk mengimbang dan sudah pasti kalau dibuang pun tidak mendatangkan apa-apa masalah.

Piya juga pernah terkehel bahunya. Puncanya, dia memanjat meja makan. Entah macam mana dia terjatuh dan tertimpa kerusi. Sendi bahunya terkeluar dari lesungnya. Bergegas mamanya membawa dia ke bomoh patah. Alhamdulillah sehingga kini dia sihat.
Pernah juga sewaktu tinggal di kuarters rumah guru, dia 'disorok' dalam bilik yang dijadikan stor. Kawasan perumahan tersebut memang terkenal dengan 'kekerasannya'.

Sewaktu berusia tiga tahun, Piya ke UK mengikut mama dan abahnya menyambung pengajian. Kemudian sewaktu berada di dalam darjah satu, dia ke US pula kerana abahnya bertugas dengan jabatan penuntut Malaysia di Chicago. Dia kembali semula ke Malaysia sewaktu dalam darjah empat. Dua tahun mengikuti kembali pelajaran di Malaysia, dia berjaya memperoleh 5 A, dalam peperiksaan UPSR.

Piya sangat suka makan ayam. Teringat saya sewaktu balik dari US, hari-hari dia mintak ayam goreng. Arwah mak saya sampai bertanya dengan dia..Ya tak jemu ke hari-hari makan ayam? Gelihati bila mengingatkan yang ayah terpaksa menyembelih seekor ayam kampung kerana kebetulan bekalan ayam daging di rumah habis. Ayam tersebut pula buta sebelah matanya kerana dipatuk oleh ayam jantan. Sampai sekarang dia akan ketawa kalau disebut kisah tersebut. Apa tidaknya dia bercerita dengan semua orang maktoknya masak ayam buta untuk dia!

Bila sudah dewasa, kisah ayam buta seringkali menjadi bahan kami mengusiknya. Dia juga sering ketawa kerana katanya, apalah teruknya Ya ni, tak dapat makan ayam sanggup menangis. Dan yang lucunya saya sering mengusiknya, kalau tak dapat tuannya, telur pun Ya rembat. Hehehhe..

Piya sekarang sudah menjadi anak gadis yang dewasa. Setelah menamatkan pengajian di politeknik, dia bekerja graphic artist. Sempat juga la mak sedaranya ini merasa duit raya daripada anak saudara. Kemudian, dia mendapat tawaran melanjutkan pengajian di UPSI. Tak sampai dua tahun, dia mendapat pula tawaran dari politeknik untuk melanjutkan pelajaran di bawah skim pensyarah muda.

Baru hari Sabtu 14 Februari kelmarin, Piya berangkat ke Adelaid untuk menyambung pengajian. Saya tidak dapat menghantarnya ke KLIA, cuma sempat bersembang dengannya di telefon. Piya masih tetap si montel yang manja, ceria dan cakapnya dengan Cuyahnya masih meleweh-leweh.

Pagi tadi saya sempat berym dengan dia, katanya nanti kuruslah dia kerana terpaksa berjalan jauh untuk sampai ke universitinya. Ada kemudahan bas tapi bus stop agak jauh. Naik bas tak kena tambang kerana kata driver bas, within walking distance..
"Alamak Cuyah, distance 3-5 km tu walking distance bagi diaorang". Tergelak sendiri saya membaca tulisannya. Apapun saya katakan padanya hmm..nanti jangan lupa hantar gambar Ya. Nak tengok betul ke Ya slim???

Inilah Piya - anak saudara saya!

Saturday, February 14, 2009

Ingkar? Derhaka? Hmmm....

Pada hari Khamis 12 Feb, saya telah berkesempatan menghadiri majlis penyerahan kutipan Sumbangan Tabung Kemanusiaan Harakah - Rayuan Gaza.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh jurucakap kanan HAMAS, Sdr. Sami Abu Zuhri. Selain beliau sebagai tetamu kehormat pada hari itu, turut serta Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang, Pengerusi Lembaga Pengurusan Harakah Dato' Mustafa Ali dan Pengarah Urusan Harakah yang juga Setiausaha Agung merangkap MP Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaafar.

Pada majlis tersebut, sejumlah RM500,000 telah berjaya disumbangkan oleh Tabung Rayuan Gaza yang merupakan titik permulaan kepada sumbangan seterusnya. Selain itu terdapat juga sumbangan daripada individu dan organisasi lain yang dihulurkan pada hari tersebut. Secara keseluruhannya, jumlah penyerahan pada hari tersebut hampir mencecah RM900,000.00. Alhamdulillah, jumlah sumbangan yang agak besar itu berjaya disampaikan sendiri kepada pihak HAMAS.

Apa yang menarik, majlis tersebut berjaya menarik minat para wartawan kerana masing-masing begitu eager untuk mendengar komen daripada wakil PAS mengenai isu Perak.
Saya sendiri berkesempatan menyelit untuk menemubual Ustaz Ahmad Awang.

Rasa puas sebenarnya, dapat mendengar sendiri dari mulut 'orang Perak' mengenai situasi yang berlaku. Jika sebelum ini, hanya mendengar di television yang kadang kala kita boleh jadi tenggalam punca dibuatnya.

Di kesempatan 'berbual' dengan Ustaz Ahmad Awang, beliau banyak menjelaskan perkara yang berlaku. Perihal penderhakaan, perihal isu MB haram serta sikap berpaling tadah.

Yang jelas sebagaimana yang dilaporkan di Astro Awani semalam, Hj Nizar mengemukakan injuksi menghalang MB baru Perak menjalankan tugas sebagai MB di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Baru pertama kali saya melihat (dalam berita sepanjang yang saya ikuti, mungkin ada sewaktu saya tidak menonton) laporan yang objektif dibuat oleh media elektronik. Apa yang diutarakan oleh Hj Nizar disiarkan sepenuhnya oleh Awani.

Perkara tersebut ada dinyatakan oleh Ustaz Ahmad Awang, perihal mengapa Hj Nizar menolak perlantikan kerajaan baru di Perak.
Isunya mudah:
- Beliau tidak pernah menerima surat rasmi pemecatannya.
- Tidak pernah beliau menerima usul tidak percaya kepadanya.
- perlantikan MB baru tidak diputuskan dalam 'kabinet' Perak

Sebagai seorang rakyat biasa, rasanya saya mendapat kepuasan apabila dapat mendengar penjelasan daripada kedua belah pihak. Dengar di pihak kerajaan dan dengar juga di pihak pembangkang. Bukankah Rasulullah pernah menunjukkan bagaimana adilnya Baginda menangani isu baju perang antara seorang Yahudi dengan menantunya Saidina Ali?

Isu derhaka? Entahlah, seingat saya banyak juga sebelum ini kisah penderhakaan berlaku, dari kisah Hang Jebat, peristiwa tahun 70-an di Perak dan juga 1993... Mungkin saya silap. Terpulang pada anda untuk menilainya!

Friday, February 13, 2009

Salam Kasih Buat Sahabat!

Januari lalu saya telah menerima ucap selamat sempena hari persahabatan sedunia. Sebenarnya saya ni kalau bab-bab sambutan ni agak kurenggg sket. Lemah ingatan... yang saya tahu birthday, merdeka day, hari wilayah... sebabnya cuti! Begitu juga hari kebesaran Islam, bila tengok kat kalendar tu ada tanda kuning (kalendar kuda tu!!) sah la cuti hehe...

Saya tahu hari ibu, hari bapa dan hari guru. Tapi tarikh hari ibu dan bapa, saya selalu lupa. Apatah lagi dengan hari persahabatan ini. Apapun saya terharu dengan ingatan seorang sahabat saya ini. Biarpun ucapan dikirim melalui sms, saya tetap berterima kasih padanya (Thanx Kak Zu).

Bercerita mengenai sahabat, saya sebenarnya beruntung kerana mempunyai ramai sahabat. Mereka adalah SAHABAT, bukan sekadar teman, rakan atau kawan. Mereka sanggup bersusah payah untuk saya dan mendengar luahan hati saya.

Saya masih ingat sewaktu di Dewan Muslimat Sdn. Bhd., syarikat yang menerbitkan Majalah Muslimah sebelum ini, saya dilingkungi oleh sahabat-sahabat yang cukup baik. Ukhuwah yang terjalin memang sangat erat kerana saya yakin ia berpaksikan lillahi ta'ala dan berada dalam jamaah Islam.

Masih terbayang di mata saya kesemua mereka; Kak Ana yang sering meminjamkan telinga dan kauselor kami, Suzi wartawan merangkap butik kami, Milah (banker saya hehehe). Suria yang sering membantu dengan artikel kalau kami tersangkut. Begitu juga Izan model dan jurutaip yang sering meringankan tugas kami, Ani,Ina, Najma, Za (peti duit kami hehe) dan Normi (kalau takde dia alamat banyak mesej tersangkut - telefonis la katakan..) Juga Zam dan Aris. Kak Ton yang sentiasa memastikan pejabat bersih. Biarpun kita tidak lagi sebumbung, tapi ukhuwah yang terjalin kekal hingga ke hari ini (bila kita nak reunion kat tepi Tasik Titiwangsa lagi ek? Milah...camner organizer nih?)

Berada di tempat kerja baru, saya masih lagi dikelilingi sahabat yang berhati luhur! Biarpun pendapatan saya biasa-biasa saja... tapi saya yakin inilah rezeki dan nikmat Allah untuk saya. Bukankan dikelilingi sahabat yang baik itu satu nikmat?

Mereka bertiga ini 'anak-anak buah' saya yang sangat baik...


Qema: Dialah yang selalu menjadi peneman saya kalau suami outstation. Dialah yang menggantikan tugas suami saya menghantar anak-anak ke sekolah kerana saya tak boleh drive (huhuhu).


Ria: Dia selalu meringankan tugas saya di pejabat. Bekas wartawan Muslimah yang berkelulusan dalam bidang teknologi makanan. Sekarang dia sudah kembali ke bidangnya, kembali bekerja di makmal yang membosankan, itu kata dia.. hehehe. Dialah yang selalu menjadi pendengar dan mentranskrip temubual yang telah dibuat. Saya memang kurang gemar untuk mendengar semula mp3 yang merekodkan perbualan interview.

Bie: Ceria orangnya, ketawanya saja sudah cukup untuk menakutkan pencuri di waktu malam.. (jangan marah Bie). Dia menjadi kesayangan anak saya Efa..kalau Bie ada di rumah, Efa mesti berkepit dengan kak Bi nya.. Kak Bi suapkan makan, bergolek atas riba kak Bie. Pendek kata Kak Bie kena buli dengan Efa. Tapi selalu menjadi sparing partner Iman untuk bergaduh! Heheh
(Yang ceria dengan tangan ala-ala pistol - itulah Bie)


Mira: Orangnya lemah lembut, walau jarang berjumpa dengan dia tapi kemesraan tetap terasa bila kami semua berkumpul. Suka sangat kalau dapat berkumpul di rumah saya.

Huda: Orangnya pendiam tapi murah dengan senyuman. Dia guru matematik anak sulung saya. Kalau ada homework yang tidak boleh diselesaikan, Kak Hudalah tempat dia merujuk. Kebetulan mereka berdua berkongsi nama!
(Huda yang bertudung hijau, sebelahnya kembar tak seirasnya Waheeda hehe)

Dan saya sendiri, di usia sebegini saya berharap dapat menjadi tempat mereka bersandar! Sebagaimana Kak Ana menjadi pendengar setia saya.. saya juga berharap mereka puas dapat 'meminjam' telinga saya. Sebagaimana mereka rindukan masakan ibu mereka, saya berharap dapat meminjamkan air tangan saya untuk mereka nikmati..

Biarpun mereka kini tidak lagi berada di dekat saya, tapi mereka tetap di hati saya!

(Untuk Zam, Mel dan Anim.. kalian tetap dalam ingatan! Buat Diana, pertemuan semula setelah hampir 27 tahun terpisah benar-benar membangkitkan nostalgia sewaktu kita masih bergelar kanak-kanak. Rindunya saya saat itu! Pada CheYah, Kakma dan Mamisuri...sayang selalu)

Tuesday, February 10, 2009

Berkelah di Ulu Yam..

Setelah beberapa kali berjanji untuk membawa anak-anak berkelah, akhirnya hari Ahad lepas terlaksana jugak hasrat tersebut.

Itu pun beberapa kali si Iman bising. Katanya abah asyik tak tepati janji. Janji bawa berkelah tapi selalu tak jadi. Kanak-kanak memang pantang berjanji... mesti akan dituntutnya. Tapi ia sebenarnya mengajar orang dewasa agar jangan ambil mudah bila berjanji dan jangan mudah melafaz janji kalau tidak yakin dapat menunaikannya.

Pagi Ahad, jam 11.30 pagi, kami sekeluarga bertolak ke Ulu Yam. Perjalanan lebih kurang 20 minit. Disebabkan tidak merancang awal, bekal yang dibawa cuma sebotol air mineral, sebotol air anggur dan sebungkus biskut. Suami saya kata tak payah masak apa-apa kali ini. Nanti beli sahaja di sana. Mesti ada yang berjualan.

Tepat sebagaimana yang dijangka, terdapat tempat makan dan gerai-gerai menjual pelampung dan tikar. Malah pakaian juga ada dijual di situ.

Untuk masuk ke kawasan perkelahan, bayaran dikenakan; RM1.00 untuk orang dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak. Orang sudah ramai memenuhi kawasan perkelahan. Biasalah, hari cuti pasti wargakota ingin keluar mencari ketenangan dan bersantai bersama keluarga.


Anak-anak bukan main seronok. Sampai sahaja mereka terus mahu masuk ke air. Masing-masing sudah bersedia dari rumah dengan pakaian untuk terjun ke sungai. Yang kelakarnya, bukan anak sahaja yang exited, abahnya pun sama naik dengan anak-anak! Maklang jugak tidak ketinggalan. Bahkan dari rumah lagi dia sibuk menyiapkan pakaiannya untuk mandi.


Cuma saya dan Kaklong sahaja bertindak menjadi pemerhati. Kaklong sesekai turun juga ke air.

Saya tidak melepaskan peluang.. jadi jurugambarlah! Gambar-gambar ini sayalah yang mengerjakannya...bersama Kaklong.



Saya sempat berbual dengan keluarga Aidah (dari Jalan Ipoh, KL)yang turut mengambil kesempatan berkelah di hujung minggu. Aidah datang bersama suami dan tiga orang anaknya.. Along, angah dan Nurul Syuhada. Aidah sebenarnya hanya menunggu hari untuk melahirkan anak yang keempat. Katanya biar mudah dia bersalin!

Setelah puas berendam, masing-masing mula kelaparan. Saya ke gerai makan. Nasi goreng kampung, mee goreng dan mee hoon menjadi pilihan. Dua biji burger dan buah-buahan turut dibeli. Kesemuanya RM27.00. Hmm!... kiranya oklah untuk makan enam orang. Tidak terlalu mahal.

Setelah turun berendam untuk sesi kedua, jam 2.45 petang kami pun balik. Dalam perjalanan masih sempat merancang... lain kali kalau datang lagi ke situ, kami nak buat barbeku!

Hmmm... bila kala la pulak nak pegi lagi ke situ??? Wallahu a'lam!

Saturday, February 7, 2009

Miow! Miow!

Semalam, sewaktu pulang dari kerja, saya melihat dua ekor anak kucing di atas jalan raya di hadapan rumah saya. Anjing jiran saya menyalak-nyalak ingin keluar pagar, pastinya ingin mengerjakan anak-anak kucing itu.

Sebaik membuka pintu kereta, anak kedua saya terus menerpa memberitahu anak kucing itu mengikut dia balik. Katanya anak kucing itu pada awalnya berada berhampiran padang permainan.

Azan Maghrib hampir berkumandang, anak saya yang kecil pula sudah berlari mendapatkan anak kucing tersebut. Manakala anjing jiran sudah tidak senang duduk, bimbang pula anjing-anjing tersebut melompat keluar pagar. Bukan sahaja kucing tersebut dalam bahaya, silap-silap anak saya juga menjadi mangsa!

Saya terpaksa membuat keputusan segera, anak-anak kucing itu saya suruh anak saya ambil dan bawa masuk. Saya terus bergegas ke dapur mencari kotak yang tersimpan di stor dan menyuruh anak mengambil kain buruk serta surat khabar untuk dibuat lapik. Kebetulan ada susu dalam peti sejuk, lalu saya masukkan sedikit ke dalam bekas dan saya beri pada anak-anak kucing tersebut. Selamatlah anak kucing itu untuk satu malam.

(Macam mana hati tak cair tengok mata anak-anak kucing ni?)

Sebelum tidur malam itu saya berbincang dengan suami untuk memelihara anak kucing itu. Sebenarnya suami saya sangat sukakan kucing dan saya juga pernah memelihara kucing sewaktu kecil. Tapi setelah bekerja dan berkeluarga, kami tidak begitu berminat untuk membela kucing sebab bimbang tidak dapat menjaganya dengan baik serta susah kalau terpaksa outstation.

Namun nampak gayanya disebabkan dua ekor anak kucing ini, terpaksalah saya memujuk suami untuk bersetuju. Saya sebenarnya tidak sampai hati melihat anak kucing yang masih kecil itu berkeliaran di jalanan. Sungguh tidak berhati perut orang yang membuangnya. Memisahkan anak-anak daripada ibu mereka. Dilihat pada usia anak kucing tersebut, ia masih menyusu. Namun bila difikirkan semula, apalah yang nak dihairankan... sedangkan anak sendiri boleh dibuang, inikan pula anak kucing!!! Takde maknanya!

Teringat saya insiden di mana anak saudara saya 'menyelamatkan' dua ekor anak kucing. Menurut Che Yam, anak buah saya, anak kucing yang baru celik mata itu dibuang oleh seorang doktor. Ibu kucing itu pula tidak kisahkan anak-anaknya walau nampak anak-anaknya merangkak di tepi rumah kosong. Anak buah saya yang tidak sampai hati melihatnya mengangkut pulang kedua-duanya. Jadilah dia ibu angkat kepada kucing-kucing itu. Seekor diberi nama Miko (bulu coklat) dan seekor lagi Soya (bulu putih).

Dari Kuala Lipis, kucing itu dibawa pulang ke kampung. Nak dijadikan cerita, di rumah ayah di kampung, ada seekor ibu kucing yang kematian anak. Ibu kucing itu sangat berminat dengan anak kucing tersebut. Mulanya bimbang juga ibu kucing itu mencederakan anak-anak kucing tersebut, namun setelah dilihat rupa-rupanya ia mahu menyusukan mereka. Ia mahu menjadi ibu angkat mereka rupanya!

Tersentuh juga hati saya sebenarnya, kerana kucing pun tahu sayangkan anak walaupun bukan darah dagingnya. Tetapi manusia sudah hilang sifat ehsan mereka, tanpa rasa bersalah langsung sanggup membuang anak kecil yang masih menyusu.

Cerita terakhir saya dengar, ibu kucing itu sempat menjaga anak-anak angkatnya sekejap sahaja kerana dia telah mati. Jadilah anak-anak kucing itu yatim piatu sekali lagi!

(Rain sedang berbaring dan Bo'an yang duduk tu)

Kini giliran saya pula menjadi ibu angkat kepada anak-anak kucing yang dibuang oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Petang tadi saya sudah membelikan makanan dan pasir untuk kucing-kucing tersebut memerut. Dan kucing tersebut sudahpun diberi nama oleh anak saya... Boan dan Rain.. Entah berapa lama mereka mampu bertahan???
Wallahu a'lam!

Friday, February 6, 2009

Coup de tat Alaf Baru?

Saya bukanlah penganalisis politik. Bukan juga penulis politik. Tetapi isu Perak ini benar-benar menarik minat saya untuk 'berceloteh'. Harap tiadalah yang merasakan blog saya blog politik (kwang3)!!!

Mengapa saya suka isu ini? Sebab ia besssss! (teringat iklan merdeka Yasmin Ahmad untuk PETRONAS). Bagi saya menarik kerana senarionya ibarat tayangan ulangan. Pernah berlaku di Tranungkite.. dan di Sabah. Cuma menariknya, ia berlaku di alaf baru. Oleh pemain-pemain baru tapi taktik lama!

Bermacam ulasan yang dapat kita dengar oleh mereka yang pakar dalam bidang Sains politik. Buka saja berita tv atau belek saja akhbar, pasti isu ini mengisi ruang. Cuma sebagai orang media, saya melihat dalam banyak kupasan media arus perdana, pembaca tidak didedah dengan berita penuh atau secara keseluruhan.. Saya ambil contoh, dalam sidang media yang dihadiri oleh YB Nizar, DSAI dan Haji Hadi, apa yang diwarwarkan ialah 'sembah derhaka' Nizar terhadap perintah Sultan. Sebaliknya apabila saya melihat sidang media penuh, ada explanation daripada Nizar dan mengapa 'sembah derhaka' itu dilafazkan. Bukan sembah derhaka sebenarnya, tetapi meminta Tuanku untuk mempertimbangkan semula keputusannya berdasarkan undang-undang tubuh negeri Perak!

Saya melihat media diperguna dengan sebegitu sekali demi untuk memenuhi cita-cita dan kehendak. Di manakah integriti media? Di mana agaknya nilai objektif dalam menyampaikan berita? Yang penting di manakah nilai diri wartawan?

Namun saya tidak terkejut perkara ini berlaku kerana dalam diri penulis tidak ada rasa bahawa setiap apa yang ditulis itu dicatat oleh PEMERHATI di bahu kiri dan kanan!

Saya tahu dan dapat merasakan PAS boleh menerima pukulan KO dengan OK. Kalah itu bukan perkara baru bagi mereka..lumrah yang biasa mereka hadapi. KO kali ini tetap OK kerana bak kata mereka... susun barisan untuk memperkemas Bulatan!

Thursday, February 5, 2009

Ong, Ong.. Gedekk..gedekkk!!!


Politik Malaysia berkocak lagi!!! Kelam kabut seminggu ini rupa-rupanya mencetuskan situasi yang sungguh mengejutkan kita. Dewan Undangan Negeri Perak, kerajaan negeri PILIHAN RAKYAT tumbang gara-gara adegan 'lompat katak' oleh wakil rakyat yang pada saya sangat tidak berpendirian dan tidak bertanggungjawab serta telah mengkhianati amanah rakyat!
Kini kita masih menunggu keputusan daripada institusi istana... sama ada Pilihanraya kecil akan dibuat atau tidak. Debaran pasti terasa... baik di pihak BN ataupun PR. Biarpun BN nampak 'confident' namun diamnya YB Nizar juga turut menggentarkan.
Andai BN kembali berkuasa di Perak, terukir lagi sejarah dalam negara. Sebuah kerajaan dibentuk hasil wakil rakyatnya yang melompat parti! Bukan kerana dipilih rakyat.
Saya sebenarnya sangat tertarik apabila membaca komen mantan PM, Tun M dalam blognya yang bertajuk LOMPAT MELOMPAT. Antara lain beliau menulis:

"8. Apakah UMNO begitu terdesak sehingga tidak dapat tunggu keputusan mahkamah berkenaan tuduhan terhadap mereka sebelum menerima mereka? Jika diterima sekarang dan kemudian mereka didapati tidak bersalah maka Kerajaan pimpinan UMNO (lebih kurang) akan dituduh mempengaruhi mahkamah. Benar tidak benar bukan soalnya. Pada pandangan masyarakat tuduhan ini tetap akan dipercayai. Ia akan punyai kesan dalam PRU13.
9. UMNO sudah dianggap bergelumang dengan rasuah, selalu mungkir janji, mengutamakan kroni Perdana Menteri di Terengganu. Jika kepada semua ini ditambah pula dengan penerimaan orang yang dituduh melakukan rasuah seks, imej UMNO akan jadi lebih buruk."


Lebih menarik lagi komen balas beberapa orang terhadap tulisan Tun..
Doleng Brovo menulis
Tun...
Your observation is sharp...
These people wanted to jump party to save their own butt....
Im sure that They are promised with money n dismissal of their cases..
I think these people dont deserve the peoples vote..
Jump for What U believe in...
Not For Yourself........

Manakala Chris pula berpendapat
Sir,
It is obvious that BN is desperate to entice PR assemblymen to defect because they are the opposition. Considering the razor thin majority of PR, it is no wonder they will go all out to topple the Perak Government. For some reason the Bota guy left UMNO and I suspect it is monetary in nature. So BN is using the logic of two hands make the clap. DS Najis must be the brains behind this intrigue. Too bad because the Perak Assembly is about to be dissolved. Fresh elections will wipe out BN/UMNO for sure 100%. The people on the ground are totally fed up with this nonsense. I really hope the Sultan of Perak gives his consent to DS Nizar and PR to go ahead with the dissolution of the state assembly. This will really teach UMNO/BN a well deserved lesson in governance. Make no mistake; the people decides!

Dan Fikrah pula menyatakan:
1)Rasuah sememangnya penyakit. TIDAK harus dikompromi; dilihat kesian atau diberikan simpati; apatah lagi untuk dijadikan ahli.

2)Asas peraturan perundangan - TIDAK BERSALAH selagi tidak dibuktikan BERSALAH. Maknanya, masih belum lagi kedua exco itu bersalah. Untuk melabelkan mereka seperti pesalah juga adalah tidak patut!

3)Jelas sekali UMNO memang terdesak untuk membentuk kerajaan di Perak. Isu yang utama adalah menunjukkan bahawa BN masih kuat dalam kaca mata masyarakat; Jadi, membentuk kerajaan adalah cara yang paling pantas. Dengan kata lain, lompat sebelah sini.

4)Pilihanraya DUN Perak! adalah jalan keluar yang paling berintegriti! dan paling bertanggung-jawab! Sanggupkah BN atau PR untuk melalui lagi? Kalau ini berlaku, rasanya, janji BN bukan lagi pembangunan. Mungkin pertarungan akan berkisar kepada isu rasuah juga...

Anda boleh membaca komen-komen lain di blog Tun M.

Sebagai orang yang terlibat dengan media, memang banyak khabar angin sampai ke telinga saya. Malah khabar yang separa benar dan benar juga sampai ke pengetahuan saya sebelum pengumuman pembubaran secara rasmi diumumkan petang semalam.
Sebagai seorang rakyat yang pernah mengundi dan terlibat dalam pemilihan kerajaan, saya berasa sangat tidak seronok dan kecewa apabila cara pengambilalihan (masih lagi belum sahih, setakat saya sedang menulis ini) dilakukan. Pada saya ia sangat tidak bermaruah dan telah mengetepikan hak rakyat yang memilih.
Adalah lebih baik dan releven jika diadakan semula pilihanraya DUN Perak. Biar rakyat menentukan siapa pemerintah pilihan mereka. Dan pastinya bukan dari kalangan mereka yang suka-suka main lompat katak!!! Ong2! Gedek3!!!

Tuesday, February 3, 2009

Putihnya Sekeping Hati...


"Umi,... tadi masa kat sekolah, kita orang tengok video pasal perang Palestine! Umi tahu tak kita tak boleh beli barang Nestle, air coke, pepsi, cadbury, Mc Donald's, KFC, Pizza pun tak boleh. Tu semua orang Yahudi punya. Ustaz kata kalau kita beli macam kita beri duit suruh bunuh orang Islam Palestine. Umi tahu tak, ustaz kata kat Gaza tu, ada dinding tinggi. Orang Yahudi buat untuk sekat orang Palestine masuk. Kawasan orang Palestine jadi kecik aje. Itu pun Yahudi serang lagi nak rampas tanah tu...Betulkan umi?" kata anak kedua saya Nuruliman Aufa yang belajar di darjah 3, petang Jumaat lalu sewaktu saya sampai di rumah dari tempat kerja.
Dia begitu teruja untuk bercerita pengalamannya seharian di sekolah. Sememangnya setiap hari Jumaat, dalam jadual persekolahannya terdapat satu sesi yang dinamakan 'mentor-mentee'. Ia sebenarnya sesi usrah, guru-guru sebagai naqib dan naqibah, dan murid-murid sebagai anak usrah.
Pengisiannya antara lain, guru akan bercerita kisah para Rasul, sesi praktikal pelajaran fekah, pengisian tauhid dan juga tayangan video.
"Memang betul, negara Palestine dah jadi kecil sebab tanahnya dirampas Yahudi. Dalam tv kan ada tunjuk. Itulah umi suruh tengok berita, adik tak nak...," kata saya. Gelihati pun ada juga melihat dia begitu beriya-iya bercerita, sedangkan hampir setiap malam berita mengenai Palestine terpampang di kaca tv, hingga membuatkan air mata uminya mengalir setiap kali mendengarnya!

Saya sebenarnya tidak menyangka rupa-rupanya apa yang ditonton dan diberitahu gurunya di sekolah benar-benar menyentuh hatinya. Sewaktu dia mengikut saya dan suami ke pasar raya, mulutnya tidak putus-putus mengingatkan saya agar tidak membeli barangan Nestle dan cadbury. Dia juga tidak lagi meminta dibelikan makanan dari Mc Donald's atau KFC seperti sebelum ini. Kalau tidak jenuh kami mengingatkan.
Maghrib semalam, dia tiba-tiba bertanya saya, "Umi, dalam surah al-Baqarah tu.. ada cerita pasal Yahudi yer. Macam mana adik nak tahu kisah dia?"
Saya katakan pada dia, cari dalam Quran tafsir. Saya tidak mengambil kisah sangat kerana sebelum ini ada juga saya ceritakan padanya kisah golongan bani Israel yang banyak bertanya apabila disuruh melakukan sesuatu. Sambil itu, saya suka mengusiknya yang memang gemar beralasan kalau disuruh atau diberitahu sesuatu. Ayat yang paling disukainya, "ye ker? ada ke macam tu?"
Insiden ini mengingatkan saya kekecohan mengenai isu tayangan video sajak kematian yang akhirnya diharamkan penayangannya di sekolah. Benarlah, jiwa anak-anak umpama kain putih. Apa yang kita corakkan itulah yang akan terhasil. Anak saya ini juga sempat menonton video tersebut di sekolahnya. Apabila ditanya, katanya ramai kawan-kawan yang berasa insaf setelah melihat video tersebut.
Anak kawan saya yang sama bersekolah di situ juga memberitahu uminya, "Umi, ramai kawan abang menangis melihat video tersebut. Kita orang rasa insaf, takut sangat kenangkan dosa yang dilakukan!" Itu komentar anak darjah lima.
Justeru, saya jadi tidak faham, mengapa kita sangat takut anak berasa sedikit gerun kerana melihat perkara yang sebenarnya bakal terjadi, tetapi kita tidak bimbang membiarkan anak melihat pelbagai perkara yang boleh merosakkan akhlak dan akidah mereka.
Berbalik pada Iman, rupa-rupanya dia sangat serius ingin mengetahui kisah tersebut. Dan Magrib itu dia menelaah Quran tafsir semata-mata ingin mengetahui kisah Yahudi yang telah membelasah umat Islam Palestine!