RSS

Sunday, August 21, 2011

Ustaz Azizi dalam kenangan

(gambar dari fb Allayarham)

Saya sebenarnya agak terkejut mendengar berita kembalinya penulis tanah air Azizi Hj. Abdullah. Sudah lama saya tidak berhubung dengan beliau. Rasanya kali terakhir menelefon beliau semasa penerbitan buku Halal dan Haram terbitan CAP. Kemudian tidak lama selepas itu, saya ada berjumpa dengan beliau sewaktu pesta buku 2006 kalau tak silap. Adalah sesekali beliau menghantar emel kepada saya meminta disiarkan artikel oleh Presiden CAP.

Ketika sibuk pilihanraya kecil Kerdau saya mendapat khabar beliau dimasukkan ke hospital. Namun disebabkan kesibukan kerja saya tak sempat bertanya khabar dengan Saudara Ridhwan rakan setugas arwah di CAP. Hinggalah apabila mendapat khabar beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, pagi tadi.

Saya mengenali Allahyarham sewaktu bertugas dengan Dewan Muslimat Sdn. Berhad. Ketika itu saya baru sahaja menamatkan pengajian dan bertugas sebagai wartawan Muslimah. Beliau ketika itu menjadi penulis tamu dengan majalah Muslimah di ruangan “Azizi Abdullah Menulis”.

Kalau kebetulan beliau berada di Kuala Lumpur, beliau akan singgah di pejabat kami untuk bertanya khabar. Beliau lebih mesra dengan gelaran Ustaz Azizi.

Sepanjang mengenali beliau sempat juga beliau berkongsi tips menulis. Katanya kalau beliau ada sesuatu projek manuskrip yang ingin disiapkan, beliau akan menulis nota peringatan dan menampalnya di hadapan meja tulisnya. Katanya setiap kali beliau merenung nota tersebut beliau dapat merasakan seolah-olah nota tersebut mencabarnya agar terus menyiapkan tugasan tersebut.

Banyak tulisan beliau dalam majalah Muslimah tahun 90-an yang masih saya ingat. Antaranya tentang kisah anak murid darjah dua di sekolah tempat beliau mengajar yang dilihat beliau sering balik sekolah lewat petang. Sehingga satu hari beliau mengintai apa yang dibuat oleh dua orang kanak-kanak tersebut. Akhirnya, diketahui juga rupa-rupanya kedua-dua mereka berkejar untuk solat asar biarpun rakan yang lain bergegas pulang, kerana bimbang terlepas waktu asar.

Begitu juga coretannya bertajuk “Menangguh Kiamat”. Penulisannya mengupas tentang tanda-tanda kiamat yang semakin banyak berlaku dan kalau tanda-tanda tersebut dielakkan oleh manusia mungkin sahaja Kiamat dapat ditangguhkan. Penulisan satira sebenarnya!

Sepanjang mengenali beliau, ternyata beliau seorang penulis yang sangat jujur dalam penulisannya. Dan banyak tulisannya berkisar kisah kehidupan yang dilaluinya. Mungkin sudah sifat penulis, latar yang mewarnai kehidupan akan mempengaruhi penulisan.

Ternyata bakat yang dianugerah Ilahi tidak dipersia malah bakat tersebut turut mendapat pengiktirafan. Novel beliau Seorang Tua Di Kaki Gunung, bukan sahaja dijadikan teks sastera sekolah malah pernah dijadikan drama TV. Novel beliau Kahwin-kahwin juga menerima hadiah utama Anugerah Sako. Saya sempat menghadiri majlis penyampaian hadiah tersebut yang diadakan di Hotel Istana. Malah banyak lagi deretan karya beliau yang mendapat anugerah sastera.

Kehilangan beliau merupakan satu kehilangan besar dalam bidang penulisan. Semoga segala hasil tulisan beliau dipandang oleh Allah SWT sebagai satu usaha dakwah beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat dan memasukkan beliau ke dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman. Al-Fatihah.

0 comments: