RSS

Thursday, February 9, 2012

Alahai anak...macam-macam kerenah!

Diam tak diam sudah hampir 2 bulan sesi persekolahan berlangsung. Bermakna hampir dua bulan jugaklah si Efa memasuki alam persekolahan. Sudah lama sebenarnya nak bercerita pasal si kenit nih..tapi tak sempat nak ambil gambar dia.

Pertamanya, memory card kamera saya telah 'diculik' oleh abah Efa dan dia terlupa di mana diletaknya. Dan kedua pulak, waktu pagi menjadi waktu yang sibuk dan serta kelam kabut. Kelam kabut melayan kerenah anak dara sunti berdua ini, sehinga tak sempat nak ambil gambar mereka berdua.

Iman dengan kerenahnya dan si Efa pulak dengan kerenahnya. Nasib baiklah uminya ni boleh tahan sabar! Walaupun rasa dah keluar asap kot telinga sebab geram. Agaknya dah tua2 ni (okey okey mmg dah tua..) Allah beri kesabaran lebih sikit kot.

Manalah tak nak meradang, pagi2 nak kejut kedua2nya makan masa dekat 15 minit. Si Iman bila dah keluar bilik air, mood dia pun lebih ok. Tapi si Efa pulak, mulalah serba tak kena. Hendak pulak kalau malamnya tido lewat. (Sejak sekolah mata Efa macam dah kena kontrol, pukul 9.30 sudah layu!)

Mesti ada yang tak kena, mandi nak air panas..bising rambut dia kata ikatannya senget (skrg dah kena potong pendek), tudung dia tak selesa..pendek kata semua serba tak kena sampailah van sekolah tiba depan pintu.

Kata Iman hari pertama sekolah, jam 12 sudah ajak kakaknya balik (waktu sekolah habis jam 3.30 ptg) sebab dia sudah penat. Seminggu sekolah, cikgu kelas sudah komplen kerana homework yang diberikan tak siap. Iman yang menjadi penolong ketua pengawas bengang kerana cikgu bertanya padanya.

Kata Iman lagi itu belum lagi bila Efa nak ke tandas. Dia akan mencari kakaknya di kelas tahun 6 untuk menemankan dia atau menjerit memanggil nama Iman sekuat hati sewaktu habis sekolah kerana bimbang si kakak meninggalkan dia seorang diri!

Memang tak tahan nak tergelak dengar Iman bercerita. Bengang dia, katanya malu namanya dijerit satu sekolah. Tapi Iman memang kakak yang bertanggungjawab dengan adiknya itu. Setiap kali waktu makan mesti melayan kerenah si adik, malah tiap2 malam dialah yang menyusun buku si adik (Efa selalu kena denda kalau dia sendiri yg susun buku sbb ada saja buku yg tertinggal).

Efa memang terlebih manja sedikit. Dan dia tak suka sangat menulis. Sebab itu homework dia ada sahaja yang tak siap awal2 dulu. Tapi sekarang sudah agak ok. Memang selalu apabila balik dari pejabat, saya akan paksa dia siapkan homeworknya.

Cuma yang tak tahannya sambil buat, mulutnya sama naik bisingnya. Kalau tak sibuk bercerita hal kawan-kawan sekolahnya, dia sibuk berleter. Cikgu ni kalau ye pun janganlah bagi budak2 banyak homework...penat tau. Kenapalah, kena tulis banyak2...dan mcm2lah lagi yang dibisingkannya.

Apapun setelah hampir dua bulan bersekolah, dia semakin serasi walaupun masih ada kerenah2 yg boleh membuatkan darah kita menyirap. Sabar jelah..

Melihat kerenah anak-anak, saya 'angkat topi' dengan guru-guru mereka. Tentu sahaja mereka lebih 'pening' menangani kerenah anak didik yang bukan seorang dua dan datang dari pelbagai latar yang berbeza.

Terima kasih buat mereka dan semoga anak2 amanah Allah ini membesar menjadi insan solehah penyejuk mata.


Gambar Mood tengah ok!

Monday, January 30, 2012

Itulah pengalaman hidup, anak!

Kehidupan adalah sebuah universiti. Dari kehidupan pelbagai perkara boleh dipelajari. Kita mungkin mampu belajar sesuatu perkara itu secara teorinya sahaja di sekolah atau pusat pengajian, namun pengalaman yang dirasai itulah pelajaran atau guru sebenar dalam kehidupan.

Nikmat kejayaan dan pahit kegagalan, hanya mampu dirasai setelah kita melaluinya sendiri. 27 Januari, tarikh yang mendebarkan bagi semua pelajar yang telah menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama di Selangor. Tarikh pengumuman keputusan peperiksaan tersebut.

Bagi yang telah berusaha bersungguh-sungguh, pasti tersenyum lebar melihat keputusan 'mumtaz' yang tercatat di slip peperiksaan.

Saya sebenarnya agak terkejut sewaktu disapa oleh guru sekolah Along melalui fb. Katanya, along kelihatan sangat 'down'. Saya waktu itu masih tidak tahu rupa-rupanya hari tersebut hari pengumuman keputusan. Dalam hati sudah berdetap, mungkin keputusan along tidak seperti yang diharapnya. Setelah berbual seketika, barulah saya tahu along cuma mendapat pangkat Jayyid Jiddan.

Saya dapat merasakan kesedihan anak sulung saya itu. Memang dia sudah berusaha bersungguh-sungguh dan menaruh harapan yang tinggi untuk mendapat pangkat mumtaz. Dan tentu sahaja tambah menyedihkan, apabila tiga orang sahabahat baiknya mendapat pangkat mumtaz. Dapat saya bayangkan hancurnya hati along.

Lalu malam tersebut saya bergegas ke asramanya. Dalam tergesa-gesa balik dari pejabat, saya cuma sempat menyediakan sandwich telur kegemaran along. Selepas solat Magrib, kami sekeluarga bergerak ke Ampang. Pada guru asramanya saya telah kirimkan mesej meminta izin melawatnya, biarpun waktu tersebut bukan masa melawat. Naluri keibuan saya dapat merasakan beban perasaan yang ditanggung olehnya.

Sebaik saja dipanggil turun, along terus berlari mendapatkan saya dan memeluk saya seeratnya. Basah bahu saya dengan airmatanya. Luluh hati saya mendengar tangisannya. Namun saya tetap tiupkan semangat kepadanya. Saya nyatakan saya dan abahnya bangga dengan keputusan yang diperolehinya. Saya tahu dia sudah berusaha sedaya upaya, namun itu rezeki yang tersurat untuknya.

Saya ulang padanya, bukankah umi pernah kata, along dah berusaha sehabis daya. Apa juga keputusannya kena redha. Alhamdulillah, setelah hampir setengah jam meluahkan perasaan yang terbuku, akhirnya along tenang.

Saya dan abahnya terus menasihatinya agar melupakan keputusan yang diperolehi, dan terus berusaha sebaiknya untuk peperiksaan SPM yang bakal diduduki penghujung tahun ini.

Pada Along, ingatlah...kadang kala apa yang terbaik kita harapkan, bukan yang terbaik untuk kita sebenarnya. Along tak perlu malu dengan umi, tapi malulah dengan Allah dan redhalah dengan ketentuan Allah. Umi bangga kalau along dapat keputusan cemerlang, tapi umi lebih bangga jika along menjadi anak yang solehah dan hamba Allah yang beriman. Cemerlang di dunia, belum menjamin cemerlang di akhirat. Semoga Along terus tabah dan belajar dari pengalaman. Dan doa umi sentiasa mengiringi kehidupan Along.

Tuesday, January 10, 2012

Berpindah...

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang oleh-Nya untuk terus bernafas di bumi pinjaman-Nya ini.

Alhamdulillah..1 Januari 2012, saya berpindah ke rumah sewa baru. Setelah agak lama mencari akhirnya ditemukan juga sebuah rumah yang selesa, dalam bajet mampu. Syukur atas kurniaan Allah.

Sebenarnya setiap hari kita dalam proses perpindahan..berpindah dari setiap minit ke minit, jam ke jam, hari ke hari. Dan sedar atau tidak..kita semakin berhijrah dari alam fana ke alam baqa! Suka atau tidak perpindahan itu tetap akan terjadi.

Penghujung tahun 2011 menyaksikan peristiwa sedih dalam kehidupan saya. Adat bergelar manusia, hidup berjodoh dengan mati. Seawal Disember 2011, saya kehilangan ayahanda tercinta dan penutup tahun, seorang sahabat blogger yang sempat dua kali saya bertemu mata (tapi sering berhubung di talian..) Ayu, kembali ke alam baqa.

Ternyata pertemuan Oktober lalu menjadi pertemuan terakhir kami..Masih teringat kata-kata akhir Ayu, "tak taulah bila kita jumpa lagi kak...agaknya tak jumpa dah!" Sedih bila diingatkan kembali..Moga Allah memberikan rahmat buat Ayu!

Dan semalam, saya dikejutkan lagi berita, kenalan yang saya panggil ibu (jiran kakak angkat saya di Nilai) kematian suami tercinta. Begitu mengejut pemergiannya.

Betapa, terasa sungguh bahawa tiada daya dan upaya kita yang bergelar manusia. Nyawa yang dipinjamkan, bila-bila masa boleh ditarik balik oleh Allah. Dan setiap hari kita semakin meniti ke detik tersebut...

Cukupkah persiapan kita untuk kembali menghadap-Nya? Apa yang bakal kita jawap di hadapan-Nya nanti? Bolehkah kita menyediakan alasan-alasan sebagaimana kita sering beralasan kini? Atau mantapkan jawapan yang akan kita berikan nanti?

Mudah-mudahan cukuplah mati itu sebagai satu nasihat untuk kita semua memperbaiki diri dan terus mencari redha Allah..

Friday, December 30, 2011

Sebab mulut iman binasa!



Sebut hal mulut ini, memang macam-macam perkara yang boleh dikaitkan dengannya. Malah banyak peribahasa yang mengaitkan tentang mulut. Mulut tempayan, berat mulut dan ringan mulut, antara contoh biasa yang digunakan ramai orang.

Begitu juga dengan kata bidalan, sebab pulut santan binasa sebab mulut badan binasa. Menunjukkan betapa peranan mulut atau apa yang disebut oleh mulut akan memporak-porandakan hidup.

Sebab itu Nabi saw bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Namun pernahkah kita semua terfikir, disebabkan mulut juga iman dan akidah kita boleh binasa?

Sebenarnya ramai di kalangan kita yang tidak sedar bahawa disebabkan kata-kata yang keluar daripada mulut kita, menyebabkan jatuh syahdah atau gugur keimanan kita. Benarkan begitu?

Keimanan itu terbina di atas 3 unsur iaitu takrir , tasydid dan amal; diucapkan di mulut, membenarkan di hati dan dimanifestasikan dengan perbuatan. 3 unsur inilah yang membina keimanan. Justeru andai rosak salah satu daripada 3 unsur ini maka bukankah akan rosak keimanan kita?

Sifir iman bukan 3-1 jadi 2. Tapi 3-1 jadi 0!

Contoh mudah, mulut kita suka sangat sebut: “Mujurlah ada awak, kalau tak tahu apa nak jadi.”

Kata –kata sebegini sebenarnya sangat mengundang bahaya. Bayangkan kalau dilafazkan dengan taklid bahawa sebab kawan kita itu ada kita selamat, maka apa jadi dengan iman kita? Tak takut jatuh syirik kah kita?

Mungkin lebih molek kalau kita tukar, “Mujurlah Allah hantar awak...alhamdulillah, syukur sangat-sangat”.

Itu baru satu contoh kecil. Banyak lagi perkara yang sebenarnya membuatkan kita berada di jurang syirik.

“Kalau tak undi parti ni jangan mimpilah nak maju, banyak peluang kerja, senang dapat makan!”

Allah..Allah. Tak kisahlah anda nak mengundi siapa, parti mana - itu hak masing-masing dan saya tidak bercakap tentang politik..tapi perhati apa yang kita lafaz di mulut dan iktikad kita. Sebab beza iman dan kufur itu sangat tipis garisannya!

Begitu juga, berhati-hatilah apabila bercakap tentang hukum disyariatkan oleh Allah dalam Quran. Jangan sebab nafsu, mulut kita bercakap sekehendaknya. Dan natijahnya badan kita yang merana, iman kita yang binasa.

“Pada hari ini Kami kuncikan mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), serta kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan .” (surah Yasin: 65)