RSS

Monday, August 31, 2009

Benarkah Dia???

Telah lama saya tidak mendengar khabar daripada dia. Dia yang saya kenali sewaktu sesi temubual lebih sepuluh tahun yang lepas. Seorang personaliti tv waktu itu. Saya berasa kagum kerana walaupun dari kalangan bangsawan, namun ternyata beliau sangat menjaga pekertinya dan menjaga auratnya.

Waktu itu beliau sudahpun mendirikan rumah tangga selama lebih dua tahun, namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Sesi temubual dibuat di rumah ibu bapanya di sebuah kawasan perumahan elit dan beliau memang tinggal bersama ibu bapanya.

Setelah setahun berlalu dari tarikh temubual tersebut, saya masih lagi berhubung dengan beliau, walaupun saya telah berpindah ke Kota Bharu. Kadangkala beliau menghubungi saya bertanya khabar atau sekadar memberitahu yang dia sekeluarga akan bercuti di luar negara. Ia bukanlah perkara yang pelik kerana beliau sendiri menghabiskan usia persekolahannya di luar negara, setelah menamatkan pendidikan awal di sebuah sekolah antarabangsa di ibu kota. Begitulah rutin kehidupan beliau sekeluarga.

Setelah saya kembali semula ke ibu kota, saya tetap menghubunginya. Daripada stesen tv, saya diberitahu beliau telah bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah antarabangsa.

Seringkali juga apabila berkesempatan berbual, beliau menyatakan kesedihannya kerana dirinya didiskriminasi lantaran bertudung. Walaupun pentadbir sekolah tersebut seorang Melayu beragama Islam, beliau tidak terlepas daripada ‘ditegur’ dan dikutuk hanya kerana beliau bertudung dalam usia yang dianggap muda oleh pentadbir tersebut.

Saya yang mendengar cuma mampu beristighfar dan menasihatinya agar bersabar dengan kerenah manusia yang sebegitu. Di samping meniup kata-kata semangat, saya juga menggalakkan beliau mencari kerja lain kalau benar-benar tidak lagi suka dengan situasi di situ, memandangkan beliau berkelulusan dalam bidang perniagaan (kalau tak silap saya).

Setelah itu agak lama kami terputus hubungan, hinggalah suatu hari terlintas untuk kembali menghubunginya. Banyak perkara yang mengejutkan berlaku. Beliau telah bertukar kerja dan yang agak menyedihkan saya diberitahu rumah tangga yang dibina sekian lama telah menemui keruntuhan. Seperti diduga, alasan anak menjadi punca penceraian. Apalah yang mampu saya katakan selain daripada meluahkan perasaan simpati di samping doa agar dia terus tabah.

Hubungan kami akhir terus terputus. Ada juga saya cuba menghubunginya, namun beliau sempat membalas dengan mengatakan yang beliau sedang sibuk dan meminta berbanyak maaaf kerana tidak dapat berbual dengan saya. Lalu terputuslah hubungan kami…

Namun, kelmarin saya berasa sangat terkejut sewaktu menonton tv sementara menunggu waktu berbuka. Rancangan yang memaparkan bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur sedang bersiaran. Dan tiba-tiba, mata saya terpaku pada sesusuk tubuh yang ditemubual pengacara… Benarkah itu dia??? Kalau dilihat dari nama yang terpapar memang dia. Malah nada suara dan iras wajah ternyata dia. Namun benarkah dia yang saya kenal selama ini?? Mengapa tiada lagi sehelai kain yang menutupi rambutnya yang diwarnakan perang?? Tersentap sungguh hati saya melihat dia! Andai benar itu dia (dan saya yakin memang itu dia), apakah yang telah terjadi selama ini??

Alangkah sedihnya hati saya sebagai seorang sahabat dan kakak melihat adik yang saya kagumi dan sayangi sebagai saudara seagama berubah sedemikian rupa. Sememangnya hati yang berbolak-balik itu milik Allah jua. Semoga dia akan kembali diberikan hidayah oleh-Nya..

“Ya muqallibal quluub, thabbit qalbi ‘ala diinik”
‘Wahai Tuhan membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu’

Thursday, August 27, 2009

Pertemuan…

Salam untuk semua! Sudah lama saya tidak menulis di blog. Kekangan masa dek kesibukan mengejar deadline untuk majalah, ditambah ketandusan idea membuat saya terpaksa melupakan seketika untuk menulis.

Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan "Selamat Menjalani Ibadah Puasa" kepada semua.

Awal Ramadan kali ini dan dua minggu sebelumnya, merupakan minggu pertemuan dengan sahabat-sahabat lama.

Dua minggu sebelum bermula Ramadan, saya diziarahi oleh adik saya Rabiatul Adawiyah atau Bie. Bie sekarang bekerja di Ipoh dan datang bercuti di KL. Antara agendanya ialah melawat kakaknya ini… Bie datang bersama kakak angkatnya, Sya. Sempat bersembang dan minum dengan Bie. Hmm…entah bila dapat berjumpa lagi dengan Bie dan adik yang dua orang lagi, Ria dan Qema, sahabat baik Bie..Rindu saya dengan mereka.


Sehari sebelum puasa, saya telah berkesempatan bertemu dengan sahabat lama yang telah terpisah 23 tahun lamanya. Nyaris tak kenal. Terkejut juga apabila mendapat panggilan telefon daripada Che Sal pagi itu mengajak bertemu di Sogo. Salbiah, merupakan sahabat sewaktu bersekolah menengah dan berjumpa kembali di Facebook. Aduh hai..makan hati tengok Che Sal maintain ayu! Hahahah…


Dan di awal Ramadan, saya tak sangka sebenarnya akan balik berbuka hari pertama di kampung. Percutian yang tidak dirancang sebenarnya. Kebetulan, suami terpaksa balik ke Kedah untuk menguruskan hal tanah pusakanya. Apabila dioffer untuk balik kampung dan dia membelikan kami tiket bas, sememangnya peluang yang tidak wajar sama sekali ditolak. Agak lama juga saya tidak balik ke kampung dek kesibukan. Alhamdulillah, dapatlah berbuka puasa dengan ayah dan kakak kedua saya dua hari berturut-turut.

Amacam?? Anak ayah tak saya nih? Sebenarnya saya sangat suka kalau orang kata saya anak ayah, walaupun banyak perkara yang kontra.. of coz..ayah lelaki, saya perempuan; ayah tekun dan berdisiplin, saya..ngeeee!!; Ayah pandai menjahit, saya cuma pakai baju yang ayah jahit! Cuma saya ni pandai mengaji macam ayah (iyer ker???) dan yang penting saya anak ayah hua! hua!.

Sekadar mencoret sedikit kali ini…melepas tension, sebelum saya kembali bergelut dengan deadline. Adusss!!

Ps: Terima kasih buat sahabat yang sudi berkunjung ke blog saya walaupun tiada cerita terbaru. Dan buat kak Haiza Najwa yang sering berkunjung, terima kasih di atas support yang diberikan.. harap puas hati walaupun sekadar catatan peribadi!.

Monday, August 17, 2009

Bersediakah kita...?

Malam tadi anak saya si Effa menangis sakit gigi. Berbanding dengan kakak-kakaknya, memang gigi Effa agak kurang sihat. Mungkin juga sewaktu mengandungkan dia saya mengalami alahan yang teruk dan tidak mendapat kalsium yang sempurna. Seawal usia setahun setengah, gigi Effa sudah menunjukkan tanda-tanda kerosakan, biarpun diberus setiap hari. Ditambah pula dengan kesukaannya memakan gula-gula, banyak giginya yang berlubang,

Memang sakit gigi merupakan satu kesakitan yang serius. Kata orang, antara tiga kesakitan yang paling sakit, iaitu sakit sakaratul maut, sakit bersalin dan sakit gigi!

Sambil berbaring dan mengusap pipinya, saya membacakan doa penahan sakit yang diajar oleh arwah ibu mentua saya. Belakang Effa saya usap dan tepuk perlahan-lahan. Dalam merengek-rengek sakit, akhirnya terlena juga. Tapi sekejap-sekejap terjaga. Lalu saya dodoikannya dengan zikir munajat dan lagu nasyid.

Namun tanpa saya sedar, air mata saya mengalir sewaktu menyanyikan lagu nasyid bertajuk Nun Di Sana (kalau tak silap saya..) Kenapa? Kerana senikata lagu itu cukup menyentuh hati dan pernah dinyanyikan oleh arwah Ustaz Asri Ibrahim. Lagu ini dinyanyikan beliau sewaktu bersama kumpulan Nada Murni.. (lebih kurang liriknya)

Nun di sana cita-cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal

Betulkan niat dari sekarang
Tukar sikap kita yang merugikan
Quran dan sunnah jadikan panduan
Agar besok kita tidak kesesalan

Biar susah sedikit kerana Tuhan
Untuk menghindar kesusahan yang besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah iktibar kalau mahu sedar.

Di sana tiada kawan yang membela
Amal ibadah itulah pembela kita
Ayuh bersegeralah membuat kebajikan
Usah dilalaikan oleh nafsu dan syaitan

Pangkat dan harta tidak akan kekal
Bahkan apa yang ada akan ditinggal
Hidup di dunia hanya sementara
Buatlah bekalan untuk ke sana.

Ayuh bersegeralah menuju Allah
Taatilah Ia minta ampun pada-Nya
Mati bila-bila masa boleh tiba
Jangan sampai kita tidak bersedia.

Merenung senikata nasyid tersebut, terasa betapa kerdilnya diri. Benarlah sebagaimana sabda Nabi s.a.w, cukuplah mati itu sebagai nasihat. Bersediakah kita untuk dipanggil balik bila-bila masa…? Iya, kerana mati bila-bila masa boleh tiba, bimbang kita tidak bersedia! Betapa lirik lagu ini menyentuh hati yang sering dilalaikan oleh nafsu dan syaitan! Semoga kita beroleh redha dan ampun Allah.

Allahumma innaka a’fuwwun, tuhibbul a’fwa fa’ fua’nna – wahai Tuhan yang maha pengampun, suka memberi keampunan, ampunkanlah aku

Friday, August 14, 2009

Di mana nilai solat kita?

S486-007 Image Source Royalty Free Photograph

Apabila disebut ibadah solat atau sembahyang, pasti kita semua sudah tahu perihal kewajipan yang telah ditetapkan ke atas setiap umat Islam yang mukallaf ini. Solat, sebagai rukun Islam yang kedua mempunyai signifikan yang besar ke atas hidup seseorang muslim seandainya ia dilaksanakan dengan sebaiknya.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud, “…dirikanlah solat, sesungguhnya solat mencegah perbuatan yang keji dan mungkar..”

Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT telah menjanjikan betapa sekiranya solat itu didirikan dengan menepati ‘piawaian’ yang ditetapkan maka ia berupaya mengelakkan seseorang muslim itu daripada melakukan sebarang perbuatan yang menjerumuskan mereka ke arah dosa.

Telah banyak kajian yang dilakukan oleh para saintis terhadap kebaikan ibadah solat. Antara penemuan menarik ialah terdapat satu saluran darah pada otak manusia yang darah hanya akan melaluinya sekiranya manusia bersujud (salah satu rukun dalam solat).

Malah, lebih menarik lagi, kajian saintifik seorang pakar kejuruteraan bioperubatan Universiti Malaya (UM), Professor Madya Dr Fatimah Ibrahim menemukan bahawa masalah mati pucuk yang menghantui 40 peratus lelaki dunia berusia 40 tahun ke atas boleh diatasi dengan menunaikan solat.

Menurut laporan akhbar 6 Ogos itu, melalui terapi itu, seseorang lelaki yang memiliki masalah berkenaan perlu menunaikan solat sebanyak 12 rakaat secara berterusan dalam masa setengah jam sebanyak tiga kali seminggu (solat sunat awwabin 8 rakaat dan solat zohor sahaja rasanya sudah mencukupi 12 rakaat!).

Membaca laporan tersebut mengingatkan saya kepada temubual yang pernah saya buat dengan seorang pakar sakit puan, iaitu Dr. Amir Farid Dato’ Isahak, pada tahun 2000. Selain seorang pakar perubatan, beliau juga merupakan pengajar senaman Qigong (sebutannya jigong), iaitu satu teknik senaman dari China yang semacam tai chee dan seumpamanya. Senaman ini juga merupakan salah satu kaedah untuk mencegah dan merawat penyakit kanser serta penyakit lain.

Namun apa yang menarik untuk dikongsikan ialah bagaimana Doktor ini ‘terpilih’ untuk menjadi tenaga pengajar senaman ini dan bentuk senaman yang diajarkan. Menurut Doktor Amir, beliau telah diperkenalkan oleh seorang saudara baru yang menjadi sahabatnya kepada seorang Guru (master) Qigong Muslim yang berasal dari China. Malah apabila terpandang sahaja wajah beliau, master tersebut terus memberitahu sababat doktor tadi, bahawa inilah lelaki yang dilihatnya dalam mimpi untuk diturunkan ilmunya.

Setelah belajar teknik-teknik senaman tersebut, beliau memberitahu berlaku suatu perkara pelik apabila setiap kali beliau ingin mendirikan solat. Sebaik sahaja mengangkat takbir maka gerakan tangannya dan anggota lain seolah-olah dikawal oleh satu kuasa agar melakukannya dengan penuh tertib dan tidak terburu-buru. Malahan beliau lebih dapat merasakan setiap pergerakan anggota dalam solat berbanding sebelum ini. Dan sebagai pengamal perubatan, beliau tidak menafikan bahawa mungkin itulah yang dikatakan terapi dalam solat.

Sebagai seorang pengajar Qigong, beliau mempunyai ramai anak murid dari pelbagai kalangan masyarakat. Pernah beliau mengajar sekumpulan kaum Cina di Kelang dan senaman Qigong yang terasa paling berkesan ialah melakukan pergerakan-pergerakan dalam solat. Hal ini diakui sendiri oleh anak muridnya itu.

Justeru, jika Allah telah menjamin bahawa solat boleh mengubati penyakit rohani (perbuatan keji dan mungkar) maka sudah tentulah penyakit fizikal ini lebih mudah diubati. Cuma yang menjadi persoalan, mengapa kita bersolat tetapi masih juga kekal melakukan kefasadan? Di mana nilai solat kita sebenarnya?