S486-007 Image Source Royalty Free PhotographApabila disebut ibadah solat atau sembahyang, pasti kita semua sudah tahu perihal kewajipan yang telah ditetapkan ke atas setiap umat Islam yang mukallaf ini. Solat, sebagai rukun Islam yang kedua mempunyai signifikan yang besar ke atas hidup seseorang muslim seandainya ia dilaksanakan dengan sebaiknya.
Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud, “…dirikanlah solat, sesungguhnya solat mencegah perbuatan yang keji dan mungkar..”
Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT telah menjanjikan betapa sekiranya solat itu didirikan dengan menepati ‘piawaian’ yang ditetapkan maka ia berupaya mengelakkan seseorang muslim itu daripada melakukan sebarang perbuatan yang menjerumuskan mereka ke arah dosa.
Telah banyak kajian yang dilakukan oleh para saintis terhadap kebaikan ibadah solat. Antara penemuan menarik ialah terdapat satu saluran darah pada otak manusia yang darah hanya akan melaluinya sekiranya manusia bersujud (salah satu rukun dalam solat).
Malah, lebih menarik lagi, kajian saintifik seorang pakar kejuruteraan bioperubatan Universiti Malaya (UM), Professor Madya Dr Fatimah Ibrahim menemukan bahawa masalah mati pucuk yang menghantui 40 peratus lelaki dunia berusia 40 tahun ke atas boleh diatasi dengan menunaikan solat.
Menurut laporan akhbar 6 Ogos itu, melalui terapi itu, seseorang lelaki yang memiliki masalah berkenaan perlu menunaikan solat sebanyak 12 rakaat secara berterusan dalam masa setengah jam sebanyak tiga kali seminggu (solat sunat awwabin 8 rakaat dan solat zohor sahaja rasanya sudah mencukupi 12 rakaat!).
Membaca laporan tersebut mengingatkan saya kepada temubual yang pernah saya buat dengan seorang pakar sakit puan, iaitu Dr. Amir Farid Dato’ Isahak, pada tahun 2000. Selain seorang pakar perubatan, beliau juga merupakan pengajar senaman Qigong (sebutannya jigong), iaitu satu teknik senaman dari China yang semacam tai chee dan seumpamanya. Senaman ini juga merupakan salah satu kaedah untuk mencegah dan merawat penyakit kanser serta penyakit lain.
Namun apa yang menarik untuk dikongsikan ialah bagaimana Doktor ini ‘terpilih’ untuk menjadi tenaga pengajar senaman ini dan bentuk senaman yang diajarkan. Menurut Doktor Amir, beliau telah diperkenalkan oleh seorang saudara baru yang menjadi sahabatnya kepada seorang Guru (master) Qigong Muslim yang berasal dari China. Malah apabila terpandang sahaja wajah beliau, master tersebut terus memberitahu sababat doktor tadi, bahawa inilah lelaki yang dilihatnya dalam mimpi untuk diturunkan ilmunya.
Setelah belajar teknik-teknik senaman tersebut, beliau memberitahu berlaku suatu perkara pelik apabila setiap kali beliau ingin mendirikan solat. Sebaik sahaja mengangkat takbir maka gerakan tangannya dan anggota lain seolah-olah dikawal oleh satu kuasa agar melakukannya dengan penuh tertib dan tidak terburu-buru. Malahan beliau lebih dapat merasakan setiap pergerakan anggota dalam solat berbanding sebelum ini. Dan sebagai pengamal perubatan, beliau tidak menafikan bahawa mungkin itulah yang dikatakan terapi dalam solat.
Sebagai seorang pengajar Qigong, beliau mempunyai ramai anak murid dari pelbagai kalangan masyarakat. Pernah beliau mengajar sekumpulan kaum Cina di Kelang dan senaman Qigong yang terasa paling berkesan ialah melakukan pergerakan-pergerakan dalam solat. Hal ini diakui sendiri oleh anak muridnya itu.
Justeru, jika Allah telah menjamin bahawa solat boleh mengubati penyakit rohani (perbuatan keji dan mungkar) maka sudah tentulah penyakit fizikal ini lebih mudah diubati. Cuma yang menjadi persoalan, mengapa kita bersolat tetapi masih juga kekal melakukan kefasadan? Di mana nilai solat kita sebenarnya?
