Kehidupan adalah sebuah universiti. Dari kehidupan pelbagai perkara boleh dipelajari. Kita mungkin mampu belajar sesuatu perkara itu secara teorinya sahaja di sekolah atau pusat pengajian, namun pengalaman yang dirasai itulah pelajaran atau guru sebenar dalam kehidupan.
Nikmat kejayaan dan pahit kegagalan, hanya mampu dirasai setelah kita melaluinya sendiri. 27 Januari, tarikh yang mendebarkan bagi semua pelajar yang telah menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama di Selangor. Tarikh pengumuman keputusan peperiksaan tersebut.
Bagi yang telah berusaha bersungguh-sungguh, pasti tersenyum lebar melihat keputusan 'mumtaz' yang tercatat di slip peperiksaan.
Saya sebenarnya agak terkejut sewaktu disapa oleh guru sekolah Along melalui fb. Katanya, along kelihatan sangat 'down'. Saya waktu itu masih tidak tahu rupa-rupanya hari tersebut hari pengumuman keputusan. Dalam hati sudah berdetap, mungkin keputusan along tidak seperti yang diharapnya. Setelah berbual seketika, barulah saya tahu along cuma mendapat pangkat Jayyid Jiddan.
Saya dapat merasakan kesedihan anak sulung saya itu. Memang dia sudah berusaha bersungguh-sungguh dan menaruh harapan yang tinggi untuk mendapat pangkat mumtaz. Dan tentu sahaja tambah menyedihkan, apabila tiga orang sahabahat baiknya mendapat pangkat mumtaz. Dapat saya bayangkan hancurnya hati along.
Lalu malam tersebut saya bergegas ke asramanya. Dalam tergesa-gesa balik dari pejabat, saya cuma sempat menyediakan sandwich telur kegemaran along. Selepas solat Magrib, kami sekeluarga bergerak ke Ampang. Pada guru asramanya saya telah kirimkan mesej meminta izin melawatnya, biarpun waktu tersebut bukan masa melawat. Naluri keibuan saya dapat merasakan beban perasaan yang ditanggung olehnya.
Sebaik saja dipanggil turun, along terus berlari mendapatkan saya dan memeluk saya seeratnya. Basah bahu saya dengan airmatanya. Luluh hati saya mendengar tangisannya. Namun saya tetap tiupkan semangat kepadanya. Saya nyatakan saya dan abahnya bangga dengan keputusan yang diperolehinya. Saya tahu dia sudah berusaha sedaya upaya, namun itu rezeki yang tersurat untuknya.
Saya ulang padanya, bukankah umi pernah kata, along dah berusaha sehabis daya. Apa juga keputusannya kena redha. Alhamdulillah, setelah hampir setengah jam meluahkan perasaan yang terbuku, akhirnya along tenang.
Saya dan abahnya terus menasihatinya agar melupakan keputusan yang diperolehi, dan terus berusaha sebaiknya untuk peperiksaan SPM yang bakal diduduki penghujung tahun ini.
Pada Along, ingatlah...kadang kala apa yang terbaik kita harapkan, bukan yang terbaik untuk kita sebenarnya. Along tak perlu malu dengan umi, tapi malulah dengan Allah dan redhalah dengan ketentuan Allah. Umi bangga kalau along dapat keputusan cemerlang, tapi umi lebih bangga jika along menjadi anak yang solehah dan hamba Allah yang beriman. Cemerlang di dunia, belum menjamin cemerlang di akhirat. Semoga Along terus tabah dan belajar dari pengalaman. Dan doa umi sentiasa mengiringi kehidupan Along.
Istighasah, boleh ke tak?
1 day ago