RSS

Tuesday, January 25, 2011

Cekal, tabah, pasrah


Menjadi isteri dan ibu, sememangnya perkara fitrah bagi seorang wanita. Andai ditakdirkan dipertemukan jodoh oleh Allah, pasti rumah tangga yang dibina diharapkan akan berkekalan hingga ke syurga.

Ada orang yang ditakdirkan cepat jodohnya, ada yang lewat malah ada yang tak berpeluang menikmati gelaran seorang isteri. Ada rumah tangga yang dibina kekal hingga mati, namun ada juga yang putus di tengah jalan – sama ada bercerai di usia muda, usia senja ataupun bercerai mati. Apa yang pasti setiap yang berlaku itu ada hikmah dan terbaik untuk manusia.

Berkesempatan berbual dengan Anne Ngasri baru-baru ini, jelas terlihat betapa cekal dan tabahnya hati wanita muda ini. Terserlah kematangannya berbicara, biarpun usianya belumpun menjejak angka 27. Ramai yang tahu dia mendirikan perkahwinan sewaktu berusia 21 tahun dan menjadi ibu belumpun berusia 23 tahun. Lima tahun lebih usia perkahwinannya, dia dikurniakan 3 cahayamata. Malangnya 5 tahun itu juga menyaksikan dirinya telah diceraikan 3 kali, terakhir sewaktu kandungan berusia 4 bulan!

Sebenarnya peluang bertemu muka dengan Anne terjadi secara tidak sengaja. Saya dijemput oleh JANDA Product Marketing untuk majlis pelancaran Duta KOPI JANDA, (JANDA tu sebenarnya akronim bagi Jaring Amanah Niaga Demi Addeen - kata Anne dia juga agak skeptikal pada mulanya, tapi setelah diberi penerangan, dia menganggap peluang tersebut rezeki buatnya dan anak-anak) yang menampilkan Anne sebagai duta barunya.

Selepas tamat majlis tersebut, saya cuba mendekati Anne dan bertanya bolehkah beliau meluangkan masa setengah jam untuk ditemubual, Alhamdulillah, dia tidak keberatan. Lalu berlangsunglah sesi temubual ‘bidang terjun’ kami (sebenarnya bagi golongan wartwan sesi bidang terjun atau sesi terjah ni suatu yang lumrah. Nasib baik dilayan baik nasib tak baik kita kena tahan telinga sajalah!)

Bergelar isteri, ibu dan kemudiannya, ibu tunggal, pada usia yang masih muda, bukanlah sesuatu yang mudah, namun ternyata Anne cekal menghadapinya. Dan kecekalan itu terbina, apabila kita mendekatkan diri kepada Allah.

“Bohonglah kalau saya katakan tak terkesan dengan apa yang terjadi kak. Apatah lagi ia berlaku dalam keadaan saya mengandung. Memang kalau tak kuat saya boleh meroyan. Namun saya menerimanya sebagai ketentuan Allah. Memang sukar tapi kita kena redha,” ujarnya yang kelihatan ceria sepanjang sesi temubual berlangsung.

Saya dapat membayangkan kecekalan Anne dan rasaya seakan tidak percaya melihat tranformasi dirinya, daripada zaman anak kecil, menjangkau remaja dan kini bergelar wanita dewasa – tetapi masih berwajah keanak-anakan. Teringat zaman kecilnya, saya sering terserempak beliau sekeluarga makan tengahari di restoran Haslam yang terletak berhampiran pejabat.


Ditanya bagaimana dia menyiapkan diri menghadapi situasi getir, dengan nada suara rendah, dia memberitahu, “solat kak…itu yang perkara yang Anne buat. Bukan sahaja yang wajib dijaga tapi Anne juga bangun solat malam mohon kekuatan. Anne sangat-sangat dapat merasakan yang tiada tempat lain kita boleh bergantung selain daripada Dia. Of cause, keluarga juga memberi support, tapi hanya pada Dialah sumber kekuatan sebenar. Dan Anne beruntung juga kak kerana Allah panggil Anne menjadi tetamuNya saat-saat genting tu. Anne sempat buat umrah selepas bercerai dan itu juga satu bentuk persiapan bagi Anne untuk menguatkan diri dan kembali menghadapi orang ramai dan kehidupan."

Benarlah sebagaimana janji-Nya sesungguhnya dengan mengingati Allah hati akan tenang.

Apapun yang terjadi hidup perlu diteruskan, dan Anne tetap tabah meneruskan kehidupan bersama tiga anak yang masih kecil, Abdul Warits 4, Abdul Wafri 2, dan Nazharah Afroza 3 bulan.

Pesan Anne bagi yang terpaksa menjadi ibu tunggal.. “Tidak dinafikan masing-masing ada masalah tersendiri dan punca penceraian itu juga pelbagai. Apa yang penting ialah kita kena redha dengan ketentuan Ilahi. Elakkan daripada menuduh sesama sendiri, memang dugaan akan datang tapi apabila kita tenang dan yakin semuanya sudah tersurat, insya-Allah akan ada jalan penyelesaiannya. Apa yang penting, kaum lelaki apabila bercerai, mereka perlu tahu tanggungjawab masing-masing. Alhamdulillah, walaupun kami bercerai Wafi melaksanakan tanggungjawabnya. Mudah-mudahan kami dapat kekal sebagai kawan dan dapat sama-sama melaksanakan tanggungjawab masing-masing terhadap anak-anak.”

Sunday, January 23, 2011

Bila hidayah mengetuk hati..


Sebenarnya kali ini saya ingin berkongsi cerita sewaktu mengadakan temubual dengan Catriona Ross. Bagi yang telah membaca majalah Muslimah bil 227, anda dapat mengikuti hasil temubual tersebut yang telah saya paparkan dalam ruangan Citra Wajah.

Bagaimanapun saya ingin berkongsi cerita sampingan ataupun peristiwa di belakang tabir sewaktu menemubual Cat. Sebenarnya saya terbaca kisah penggambaran beliau dalam drama terbitan Sheila Rusly di sebuah akhbar. Barulah saya tahu rupa-rupanya Cat telahpun bertudung.

Kebetulan untuk bulan tersebut, kami agak kelam kabut sedikit kerana ketiadaan personaliti untuk dijadikan cover majalah. Lalu apabila membaca berita tersebut, terlintas ingin mencuba mendapatkan beliau untuk mengisi ruang tersebut. Memang tindakan yang berisiko, kerana sudahlah tarikh deadline sudah sangat hampir, saya memang tiada contact number Cat. Justeru, saya hanya mampu bertawakal dan memohon dipermudahkan kerja saya.

Alhamdulillah dengan bantuan kak Zue, penulis sambilan Muslimah yang bekerja Utusan Media, akhirnya contact number Cat saya perolehi. Saya cuba mendail nombor tersebut tetapi masuk ke peti suara. Dua tiga kali mencuba masih juga sama keadaannya. Lalu saya pun nekad menghantar mesej kepada Cat menyatakan hajat dan meminta dia menelefon kembali. Selepas itu saya hanya berdoa agar dipermudahkan kerja saya.

Memang tidak disangka selepas solat Maghrib hari yang sama, saya menerima panggilan. Terkejut melihat di skrin telefon bimbit saya tertera nama Catriona Ross. Alhamdulillah mesej saya disambut baik oleh Cat dan beliau bersedia untuk ditemubual. Betapa leganya perasaan saya yang ketika itu sudah buntu mencari Cover Girl.

Sebagaimana yang dijanjikan, sesi temubual tersebut berlangsung di kediaman Kak Zaiton Alias, tauke butik Zaiton Alias Collections (ID Perempuan). Rumah Kak Ton yang sememangnya sering menjadi studio bagi banyak penerbitan, sekali lagi menjadi tempat shooting kami.

Alhamdulillah, temubual berjalan dengan lancar. Agak lucu juga kerana sepanjang sesi temubual itu Cat banyak bercakap loghat Kelantan – biasalah bak kat orang Kelantan kalau sudah bertemu ‘gu’ pasti bahasa ibunda menjadi pilihan. Terbayang watak lakonan Cat dalam drama Mek Salmah dari Scotland. Tambahan Kak Ton memang anak jati Kelantan yang pasti akan bercakap dialek tersebut kalau diketahui ada yang berasal dari sana. Saya yang separuh Kelantan ini pun sudah seperti ‘Siam bercakap Melayu’ dibuatnya..ngeee!

Dan seperkara yang tidak pernah menjadi ‘kejemuan’ saya ialah berkongsi kisah bagaimana terbukanya hati untuk melaksanakan suruhan bertudung.

Cat juga punya cerita yang menarik. Bukan peristiwa kemalangan lebih dua tahun lalu yang membuatkan beliau bertudung tetapi kerana bosan menunggu kawan dan ingin mencuba-cuba tudung akhirnya beliau nekad mengambil keputusan untuk bertudung.

“Cat menunggu kawan membeli tudung dan sudah lebih dua jam menunggu dia hingga Cat berasa bosan. Entah macam mana mata terpandang pada sehelai tudung yang dipakaikan pada mannequin, lalu Cat minta pembantu kedai itu ambil untuk dicuba. Sebaik menyarungkan tudung ke kepala, belum sempatpun Cat melihat cermin, tiba-tiba terasa umpama ada satu tiupan yang menusuk ke hati membuatkan bulu roma meremang. Cat terus menanggalkan tudung tersebut.”

Dan sekembalinya ke rumah bermulalah episode dirinya diselubungi perasaan sayu yang sukar digambarkan lalu di hati terselit yang dirinya ingin bertudung. Malah keesokan harinya beliau tidak terlangkah keluar rumah kerana tiada tudung yang boleh dipakai.

Segera dia menghubungi sahabat baiknya mengadu yang dia ingin keluar rumah tapi tak boleh berbuat demikian kerana tiada tudung. Apalagi, terkejut sahabat baiknya itu lalu dia disuruh bersiap kerana sahabatnya itu akan membawa dia ke butik yang dijengahnya semalam untuk membelikannya tudung.’

Begitulah, apabila hidayah mengetuk hati siapakah yang boleh berkata TIDAK?

Wednesday, January 5, 2011

Sesi persekolahan, sesi 'paip bocor'

Tahun baru, bermakna bermulalah juga sesi persekolahan baru. Dan bagi ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah sudah pasti sibuk menyiapkan segala keperluan sejak awal lagi. Kalau anak seorang dua bolehlah dibuat last minute..tapi kalau bilangan anak ramai maka tentu kena buat bajet awal-awal. Jika tidak, bengkok kita dibuatnya!

Bagi ibu bapa yang bekerja dan terpaksa menyerahkan anak ke pusat jagaan atau kepada baby sitter, kita sering merasakan besar belanja yang perlu dikeluarkan untuk mengupah mereka. Ditambah pula dengan duit susu, pampers dan lain-lain.

Tapi percayalah, apabila anak mula menjejakkan kaki ke bangku sekolah, biaya yang lebih besar diperlukan. Buku, baju sekolah, duit poket dan bermacam-macam yuran lagi. Rasanya ia menjadi keluhan yang 'standard' semua ibu bapa.

Memang segala keperluan bersangkutan persekolahan anak hari ini semakin meningkat. Apatah lagi jika anak-anak bersekolah di sekolah swasta. Daripada buku, yuran sekolah, yuran peperiksaan dan pakaian sekolah serta bermacam perkara titik bengik perlu dilunaskan. Memang setiap kali awal tahun terasa betapa lajunya duit yang keluar..macam paip bocor sahaja!

Mujurlah kaklong sudah pandai mencari buku-buku second hand daripada senior-senior, jadi belanja untuk membeli buku dapat dikurangkan. Ada yang bermurah hati memberikan dengan percuma ataupun dibayar separuh harga. Dan saya selalu berpesan kepada kaklong, buku-bukunya yang tidak lagi digunakan sedekahkanlah pula kepada adik-adik junior..biar berpanjangan ilmu dikongsi.

Dan malam tadi si Iman membuat kecoh, mengatakan buku latihannya tak ada. Memang saya pun perasan, buku yang dibeli tahun ini kurang daripada biasa walaupun bayaran melebihi daripada tahun-tahun lepas. Sewaktu saya sibuk memasak makan malam sebelum Maghrib, dia datang bertanya mana buku-bukunya yang lama. Saya sudah menyuruh dia mengemaskan buku-buku yang tidak lagi digunakan untuk dibuang atau diberikan kepada kawan-kawan yang memerlukan. Kata Iman dia sudahpun memasukkan buku tersebut ke dalam plastik sampah. Kalau begitu sudah menjadi habuan tong sampahlah!

Monyoklah muka si tengah itu dan selepas makan dan solat Maghrib, dia tergolek di depan tv sambil menangis! Bila ditanya, katanya buku tulisnya tak ada dan koperasi sekolah tutup. Saya berasa pelik juga mendengarnya, tetapi terlupa untuk meminta daripadanya, senarai buku yang telah dibuat pembayaran.

Malas mendengar dia bising dan terasa bersalah pula kerana keperluan utama persekolahannya tidak lengkap, abahnya mengajak kami keluar ke kedai buku. Kebetulan kaklongnya pun ingin mencari buku teks matematik tambahan dan buku-buku latihan, jadi kami sekeluarga keluarlah ke kedai buku Smart di Giants Batu Caves.

Sebaik sahaja balik dari kedai buku, Iman terus tersengih-sengih gembira dan kemudian menunjukkan senarai buku yang diberi oleh pihak sekolah. Patutlah bukunya kurang, ada buku yang belum diperolehinya kerana kehabisan stok (terutama buku diniah kerana pertukaran silibus oleh pihak JAIS), termasuklah juga buku tulis! HMmmm...silap saya juga tidak melihat dahulu senarai buku tersebut..tetapi saya rasa pihak sekolah juga seharusnya menyediakan lebih awal. Pembelajaran sudah bermula, guru sudah memberikan latihan tetapi anak murid tak ada buku tulis..kan haru!

Saturday, January 1, 2011

Laksa Sarawak..nyaman!!

Selamat tahun baru 2011 kepada semua sahabat sekalian. Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih lagi dipanjangkan usia hingga ke saat ini. Ini enrty pertama tahun barulah kiranya… saya cuma ingin berkongsi cerita tentang makan …hehe..

Baru-baru ini sahabat saya si Liza Bujang nun di Sarawak sana, telah mengirimkan rempah laksa Sarawak. Dalam banyak-banyak jenis laksa hanya laksa Sarawak yang sering diperkatakan orang itu saja yang belum saya cuba. Lalu si Liza bertanya sama ada saya ingin mencubanya tak, dia akan mengirimkan untuk saya rempahnya.

Lalu Selasa lepas, 28 Disember saya pun ke pejabat pos untuk mengambil bungkusan yang dikirim oleh Liza. Bungkusan tersebut sudah sampai pada hari Khamis sebelumnya tetapi anak-anak yang ada di rumah tidak sedar kedatangan posmen. Terpaksalah ke pejabat pos untuk mengambilnya.

Kebetulan waktu saya sampai di pejabat itu masih awal pagi (sebelum saya ke ofis) jadi, tidak ada orang lain di situ. Yang lucunya sewaktu mengambilnya, bekas tersebut dimasukkan dalam plastik, kerana minyak sudah meleleh keluar dan bungkusan tersebut pun sudah lencun berserta dengan bau rempah yang semerbak harum! Pekerja pos tersebut ketawa katanya ini mesti makanan…Dan bungkusan tersebut saya bawa ke ofis dan tumpang simpan dalam peti sejuk di kedai mamak di bawah pejabat saya! Hahaha…



Saya sebenarnya berasa sangat terharu dengan susah payah Liza membungkus dan menghantarnya dari jauh. Ingatkan, saya ingin cuba mencari di sini sahaja atau mencari resipi membuatnya di internet. Tapi kata Liza, cubalah yang asli dari Sarawak dan yang penting sudah pasti halalnya.

Disebabkan sibuk dengan kerja saya terpaksa menangguhkan dulu untuk memasak laksa Sarawak sehinggala semalam yang berkebetulan cuti kerana Malaysia menang bola walaupun cadangan awal hendak membuatnya pada hari ini.

Lalu petang semalam, saya pun memulakan operasi memasaknya. Berpandukan resipi dari blog Che Mat Gebu dan yang tertera pada pembungkus rempah, maka inilah hasilnya!


Memang sedap laksa Sarawak. Kata Iman dan Efa, macam mihun sup. Kata Along pulak baunya tak sedap (sebab bau rempah) tapi rasanya sedap! Rasa saya orang dalam pantang pun boleh makan kuah laksa ni sebab rempah ratusnya mengingatkan saya waktu pantang. Apapun kalau anda tak pernah merasainya.. bak kata pensyarah saya dulu..hilang satu nikmat hidup ha.ha.ha!

Kepada sahabat saya Liza, terima kasih banyak-banyak.